Selasa, 11 Julai 2017.
Jam menghampiri sebelas pagi. Saya sedang merehatkan minda dengan melayan spider solitaire di komputer riba saya sementara menanti waktu ke kelas. Masih berbaki empat puluh minit lagi.
Wanita itu mendekati saya. Dia pekerja swasta yang bertugas mencuci bangunan tempat saya bekerja. Selalu saya berbual dan bercerita dengannya kerana dialah yang mengemas dan membersihkan bilik saya ini. Minggu lepas sewaktu saya bercuti kerana temujanji, dia kemaskan meja kerja saya dan menyusun segala buku dan kertas yang bersepah di kabinet sisi itu. Nampak elok sedikit. Ya lah, saya ni jenis yang tidak begitu cakna dengan kekemasan.
"Ti, kakak ada hal sikit ni, nak minta tolong..."
Wajahnya sedikit suram. Saya seolah sudah dapat meneka apa yang dia mahu.
Benarlah, dia perlukan wang. Anak sulungnya baru dapat kerja di Kedah. Dia mahu belikan motosikal untuk anaknya berulang ke tempat kerja.
"Kakak nak pinjam duit, kalau boleh seribu setengah. Tapi kalau Ti dapat bagi seribu pun tak apa..."
(Usianya muda setahun daripada saya tetapi selalu dia bahasakan dirinya kakak.)
Saya memang sangat mudah tersentuh. Kasihan saya kepadanya.
"Ini kakak ada bawa gelang. Ti peganglah." Dia menghulur seutas gelang tangan emas kepada saya, sebagai gadaian.
"Tak apa. Saya tak nak gelang tu. Bagi saya nombor akaun je, nanti saya transfer duit tu. Petang nanti lepas kerja dah boleh cucuk kat mesin."
Dia menangis, memeluk saya dan mengucapkan terima kasih.
Saya akui dalam hal begini saya memang tidak dapat berkata tidak. Rasa kasihan sentiasa menebal melihat kesusahan orang. Apa salahnya saya membantu kerana saya mampu? Bukankah begitu suruhan Tuhan?
Lebih dua tahun lepas, saya pernah membantu seorang sahabat lama dengan cara seperti ini juga. Sehingga ke hari ini dia masih tidak menjelaskan hutang itu walaupun pada awalnya dia berjanji untuk meminjam sebulan dua sahaja.
Mungkinkah nanti saya mengalami keadaan yang serupa?
Kepada Allah saya berserah. Niat saya ingin membantu. Selebihnya biarlah Allah yang uruskan.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment