Ramai benar rakan guru mula bercerita tentang pencen. Mungkin dek beban tugas yang bagai tidak terpikul. Tugas yang tidak lagi memberi kepuasan sebagai seorang guru, datang bertimpa-timpa sehingga luntur segala semangat yang ada. Pada hal, kita memilih perguruan dahulu kerana cinta kepada pendidikan, bukan tugas-tugas yang entah apa-apa itu. Murid pula seolah-olah bahan eksperimen, yang tidak lagi dinilai seperti manusia. Mereka umpama bahan yang diproses di kilang yang boleh dinilai kualiti melalui segala analisis di atas kertas.
Ya, begitu yang kami rasa.
Lima belas tahun masih bersisa untuk saya lalui sebagai guru jika usia ada. Lama lagi itu. Mampukah saya meneruskan tugas dan tanggungjawab ini dalam tempoh itu jika setiap hari saya melihat pelbagai kepelikan dalam sistem?
Sekali fikir, saya pun mahu pencen. Mahu menamatkan segala resah dan gelisah yang menjadikan hari-hari saya sentiasa penat dan letih. Mahu merehatkan diri dari segala aktiviti fizikal dan mental yang sudah tidak kondusif dengan diri. Mahu memesrai suasana baru yang lebih tenang dan aman.
Tetapi, cinta itu masih ada. Sungguh ia ada di dalam jiwa saya. Apabila membayangkan wajah-wajah anak didik yang sedang bertungkus lumus mengisi dada-dada dengan ilmu yang perlu, saya tewas. Saya masih mahu bersama-sama mereka. Memberi. Membantu. Membimbing. Merekalah warna dunia kita pada masa depan.
Ya Allah, berilah yang terbaik buat kami. Semoga sistem yang merosakkan semangat kami ini tidak lama hayatnya. Semoga wujud seorang menteri yang lebih mengerti jiwa kami tanpa selitan agenda yang tidak kami fahami.
Ya Allah, kuatkanlah jiwa kami menempuh medan ini demi sebuah bakti.
Amin.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment