Tiba-tiba sahaja mood saya menjadi kacau apabila apa yang saya rancang terbengkalai.
Esok Jumaat. Sepatutnya saya memiliki hari ini untuk diri sendiri. Hujung minggu, kan? Saya mahu rehatkan diri, fizikal dan mental. Apatah lagi badan saya seperti tidak berapa sihat sejak semalam. Panas dan sakit-sakit. Bertahan sahaja saya dengan ikhtiar mengambil paracetamol tanpa mahu ke klinik.
Semalam, pengetua mengeluarkan arahan agar semua guru hadir ke program bersama TPM pada Jumaat esok, jam 8.00 pagi. Saya tidak kisah dengan arahan itu kerana saya tidak mahu pergi pun. Suami saya kan guru juga, biarlah dia sahaja yang hadir mewakili saya. Bukankah kami ini sejiwa? Biar sahaja saya berurusan di rumah semasa dia di sana.
Tiba-tiba, sekitar jam 11 tadi, rakan guru Matematik Tambahan saya datang memaklumkan kelas tambahan esok berjalan seperti biasa.
Eh, bukankah esok giliran guru lain?
Guru itu tiada, terlibat dengan perlawanan bola sepak, katanya.
Tapi esok kan ada program dengan TPM?
Pengetua kata teruskan kelas, tak payah ke program itu.
Aduh!
Badan saya yang baru sahaja berasa segar daripada demam semalam, kembali mahu menggigil. Segala khayalan saya untuk berehat di rumah sambil menyelesaikan urusan-urusan yang tertunda akhirnya tidak menjadi kenyataan. Esok, saya mesti hadir ke sekolah.
Tak apalah Ti. Kalau tak nak datang, biar akak handle sorang.
Tergamakkah saya?
Hilang. Terbang entah ke mana mimpi saya mahu berbahagia di rumah sendiri esok.
Beginikah nasib guru seperti saya?
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment