Tuesday, July 04, 2017

Kembali

Sudah hari ketiga tamatnya cuti raya. Jujurnya, ada kelegaan di hati saya kerana cuti raya bukanlah cuti sebenarnya. Ia penuh dengan aktiviti yang memenatkan. Seronok memang seronok, tetapi penat. Begitu.

Sabtu hari terakhir cuti, saya mengikut rombongan pengantin lelaki ke kenduri menyambut menantu di Kedai Mulong. Teruja sebenarnya, kerana Kedai Mulong itu tempat saya melayari zaman kanak-kanak saya dahulu. Februari 1981 hingga Disember 1984, kami menginap di sebuah rumah sewa yang agak selesa dan dikelilingi jiran-jiran yang baik. Saya waktu itu berusia 9 tahun (1981).

Tempat kenduri itu sememangnya benar-benar di tapak rumah sewa kami dahulu. Cuma rumah itu telah berganti banglo indah, milik Kak Haizan yang menjadi tuan kenduri. Dia cucu kepada arwah Pakcik Saad, tuan rumah sewa kami itu.

Walaupun rumah sewa itu telah tiada, tetapi suasananya masih sama. Saya masih boleh membayangkan tempat kami kanak-kanak saban petang berkejaran bermain bola selipar, bola tin dan memanjat pokok. Tempat kami mengenal alam persahabatan walaupun kini terpisah oleh masa.

Rindu juga ya pada kenangan lalu. Kenangan yang tidak mungkin berulang. Kawan-kawan waktu itu juga sudah entah ke mana. Jika pun berjumpa, ia sudah tidak serupa.

Semoga semuanya bahagia.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment