Meneruskan minat dalam diri, saya menambah lagi koleksi buku saya pada bulan ini. Chicken Soup for The Soul: The Power of Positive menjadi buku ketiga siri Chicken Soup for The Soul yang saya miliki. Buku ini mengandungi kisah-kisah penuh inspirasi yang boleh dijadikan panduan untuk kita memandang kehidupan dari sudut positif. Kadang-kadang, persekitaran sangat menekan dan memberi banyak kesukaran untuk kita meneruskan hidup namun reaksi positif kita sesungguhnya amat mengundang sejahtera.
Syed Mokhtar Al Bukhary - A Biography pula menjadi pilihan saya untuk mengenali lebih dekat insan yang begitu tersohor ini. Apa yang dilaluinya, liku-liku perjalanan dan kehidupan sehariannya sering mengundang tanya di hati. Mungkin buku inni memberi jawab yang tepat buat saya.
Sangkar, novel tulisan Samsiah Mohd Noor ini pernah saya miliki pada 1996 sewaktu menuntut di UKM. Namun entah ke mana hilangnya kini. Pun, saya yang meminati penulisan Samsiah masih teringat-ingat isi cerita ini dan mahu sekali mengulang baca. Kebetulan, bertemu buku ini di MPHOnline saya tanpa ragu menempahnya. Ada beberapa lagi novel lama yang saya idamkan, seperti Hartini tulisan Aziz Afkar dan karya-karya Khadijah Hashim, tetapi masa belum menemukan buku-buku itu kepada saya.
Money, You and Islam pula, buku tulisan Dr Zaharuddin Ab Rahman berkaitan isu-isu kewangan semasa. Saya yakin ia sangat penting untuk membolehkan saya mendalami lagi ilmu kewangan. Harapnya, saya mampu menghadam buku ini sesegera mungkin.
Akhir sekali, buku yang saya beli di Muda Osman KB Mall iaitu Kanser Payudaraku tulisan Allahyarham Dalilah Tamrin. Buku yang memberi gambaran jelas bagaimana seorang pengidap kanser payudara meneruskan hidup, dan bagaimana penyakitnya itu mengubah persepsi beliau terhadap sebuah kehidupan. Ia ringkas, tetapi mengesankan.
Buku-buku ini, bakal mewarnai cuti sekolah saya kali ini.
No comments:
Post a Comment