Terkasima saya dengan apa yang saya alami hari ini. Sebaik selesai Majlis Restu Ilmu yang diadakan khas untuk pelajar tingkatan lima sempena peperiksaan SPM yang menjelang esok, saya dihujani dengan berbekas-bekas pulut kuning!
Ada yang cuma pulut kosong, ada yang diisi dengan rendang, dan ada yang bersekali dengan telur dadar warna warni. Banyak begitu, siapa mahu makan? Saya hanya mampu menerima satu sahaja kerana perut saya tidak begitu selesa dengan pulut. Lalu saya agihkan kepada sahabat guru yang punya keluarga besar. Buat saya, cukup sekadar satu.
Selain pulut, ada juga ketupat, karipap, kek dan cenderahati.
Meriah sungguh mereka meraikan guru-guru mereka. Terima kasihlah anak-anak didikku. Bersalam-salaman dengan mereka, mendengar ucapan maaf dan mohon halalkan ilmu dari mulut mereka, ada rasa sebak juga timbul di jiwa. Sememangnya tanpa sebarang permohonan pun, saya dengan rela hati meredhakan segalanya. Tanpa sebarang pulut semangat pun, jiwa saya sentiasa menyertai mereka. Sungguh saya sayang mereka kerana mereka anak-anak didik saya.
Semoga Allah memberi kejayaan buat kalian. Amin.
No comments:
Post a Comment