Monday, November 05, 2012

Kelam kabut

Pagi ini hujan rintik-rintik, mengundang rasa sejuk tatkala turun dari rumah sekitar jam 6.45 pagi. Menuju ke sekolah, pelbagai agenda berputar di kotak fikir. 

Hari ini saya bakal membuat jadual ganti. Saya tahu kesukaran akan berlaku kerana dijangka satu pertiga guru tiada di sekolah. Ada yang mengawas SPM. Ada yang mengawas STPM. Ada yang menanda kertas PMR. Ada yang mesyuarat. Dan macam-macam lagi.

Tiba di sekolah, saya menyalin nama guru-guru yang tiada itu. Seawal jam 7 pagi saya bertungkus lumus menyiapkan jadual ganti. Alhamdulillah, selesai juga tanggungjawab saya yang pertama hari ini sekitar jam 7.40 pagi.

Seterusnya, saya turun ke dewan. Hari ini bermula SPM. Selamat berjuang anak-anak didikku. Kalian bakal meneraju negara, berilah yang terbaik agar kelak terajuanmu menjadi kebanggaan kami dunia akhirat. Cikgu akan mendoakan kalian tanpa jemu.

Mendekati mereka sebentar tadi, rasa tidak cukup dengan doa yang terhimpun selama ini. Saya panjatkan doa lagi dan lagi pada Rabbul izzati agar mempermudah segalanya. Ada debar pada wajah. Ada risau dan gundah. Usah begitu anak-anakku. Jika usahamu telah jitu, tenangkanlah hati. Allah tahu apa yang terbaik buat kalian.

Selesai mengiring mereka ke medan SPM, saya bersarapan di kantin. Saat menikmati nasi berlauk gulai ikan aya dan nescafe tarik itu, sahabat di hadapan saya menerima panggilan telefon.

Ada masalah dengan kertas peperiksaan tingkatan empat rupanya. Wujud sedikit kesilapan yang mengganggu kelancaran perjalanan peperiksaan. Saya menyelesaikan sarapan dengan segera untuk kembali ke bilik peperiksaan, menyemak apa yang tidak kena.

Rupanya, guru tersilap mengagih kertas. Yang sepatutnya kertas 2 diberi kertas 1. Tergendala sebentar tetapi sempat dikawal dan tiada kebocoran berlaku harapnya.

Saya berasa lelah seawal pagi. Hajat hati ingin bersantai seketika di hadapan laptop sambil mendengar alunan nasyid. 

Menenangkan fikiran. 

Kiranya tidak demikian!

Ada sebungkus lagi kertas matematik tingkatan dua yang belum dibawa ke kelas. Peperiksaan sepatutnya bermula 8.15 pagi, tetapi jam sudah ke angka 8.22 pagi. Di mana guru itu?

Rupanya dia bertugas mengawas peperiksaan STPM di sekolah lain tetapi tidak menulis namanya di papan kenyataan. Kelasnya tidak berganti. 

Bukan mudah mengubahsuai jadual ganti pada saat segenting ini. Tiada pilihan, saya korbankan masa 'free' saya ini untuk mengawas kelas tersebut.

Kadang-kadang, terbit rasa geram seiring dengan hairan dalam hati dengan tahap keprofesionalan serta komitmen sesetengah guru pada sekolah. Mereka ambil mudah. Mereka menganggap ketiadaan mereka di sekolah tidak perlu dicatat di papan kenyataan kerana pentadbir telah tahu. Sedangkan pembuat jadual ganti bukannya pentadbir. Jadilah ia sesuatu yang menyusahkan semua orang!

Kalut dan kelibut sekali, sedang jam baru sahaja 9.00 pagi. Apa nak buat.

Eh.. Waktu saya sudah habis di kelas ini. Sepatutnya saya sudah boleh keluar tetapi kenapa guru selepas saya ini belum tiba lagi? Perlukah saya berkorban masa free saya sekali lagi?

Aduh!!

No comments:

Post a Comment