Tuesday, November 27, 2012

Pajero

WHR 7815.

Ia ada di halaman rumah saya sekarang.

Sejak September lalu, suami saya menyuarakan hajatnya kepada saya. Ah, lelaki! Jika tentang kereta, entah bila kepuasan tiba. Sudah berbelas-belas buah kereta bertukar ganti namun serasinya belum juga. Kerana saya ini wanita, sampai bila-bila pun saya tidak akan mampu faham sifat lelaki dalam hal yang satu ini!

Dia mahu Pajero terpakai. Dia mahu menjual Kelisa itu dan membeli Pajero terpakai. Dia begitu teringin memandu Pajero. Entah, saya tidak tahu kenapa. Pada saya, tiada praktikaliti langsung. Apa perlunya Pajero dan apa kurangnya Kelisa?

Pun, saya malas memenatkan kotak fikiran. Jika itu mahunya, biarlah. Jangan kata mahu kereta, jika dia mahu isteri pun saya pasti redha! Kenapa perlu menyesakkan fikiran, menekankan perasaan? Ini hanya dunia sementara. Bahagia yang saya cari bukan di sini, tetapi di sana.

Lalu, bermulalah proses mencari dan men'survey'. Ke sana ke mari, bertanya orang itu dan bertanya orang ini. Tidak ketinggalan, melayari mudah.my.

Saya biarkan dia dengan keinginannya itu. 

Kelisa itu, akhirnya terjual dengan harga RM22,000.00 pada Oktober lalu. Dan semalam, Pajero yang dihajati akhirnya ditemui juga.

Adik ipar kakak ipar saya, yang tinggal di Tendong sudi menjual Pajeronya dengan harga RM25,000.00 tunai kepada suami saya tanpa perlu banyak bicara. Hari ini, Pajero itu tiba di rumah saya. Alhamdulillah.

Semoga mereka serasi. Semoga Pajero ini mampu berbakti, memberi sesuatu yang bernilai buat kami, bukan hanya di sini, tetapi juga membawa ke sana.

Semoga suami saya bahagia.


No comments:

Post a Comment