Hari ini, 1 Muharram 1434 H. Mengikut perhitungan tahun hijrah, usia saya sudah pun 42 tahun sekarang. Saya dilahirkan pada 23 Zulqaedah 1391H (mengikut catatan ayahanda pada sijil lahir saya) bersamaan 9 Januari 1972. Perkiraan apa pun, saya tahu saya telah tua.
Setiap kali tahun berubah, kita pun menghitung dan menghitung perubahan usia sendiri. Apa yang kita lupa ialah menghitung sejauh mana keberkatan usia yang kita miliki itu. Jika hanya angka yang bertambah sedang amal dan bekalan belum pernah cukup, tentu ada sesuatu yang perlu kita ubah.
Cara hidup, cara pemikiran.
Itulah azam saya setiap hari. Saya mahu hidup yang lebih berkualiti, bukan sahaja di sisi Allah tetapi juga di sisi keluarga dan sahabat handai. Saya juga mahu pemikiran yang lebih positif, yang tidak meletakkan kesalahan pada orang lain apabila berlaku sebarang kesulitan. Dalam berbelanja pula, saya ingin menjadi lebih berhemah tetapi sentiasa pemurah.
Semoga semangat 1434 H ini berpanjangan, dan berkekalan.
Amin.
No comments:
Post a Comment