Saya telah mencuba, sehabis baik. Saya telah memberi, sehabis banyak. Segala-galanya kini terpulang padamu, anak-anak didikku!
Bukan mudah menunai tanggungjawab sebagai guru kamu. Saban hari saya berdepan dengan cabaran baru, yang seringnya berganda-ganda daripada yang sebelumnya. Saya bukan sahaja perlu memberi, malah juga perlu memotivasi, mengawasi dan membimbing kamu. Saat berdepan dengan kamu, pelbagai rasa ada dalam diri. Ada waktunya rasa geram, kerana kamu susah sekali mahu faham. Kadangkala rasa mahu berlepas tangan, dan membiarkan kamu sendiri berusaha dengan cara kamu. Malah, pada tahap paling kritikal, saya berasa mahu berhenti menjadi guru!
Tetapi rasa itu hanya ketika nafsu menguasai diri. Sedang pada kebanyakan waktu, saya sentiasa memikirkan kamu. Mendoakan kamu. Mengharap yang terbaik buat kamu. Bukan kerana saya mengejar sesuatu, tetapi kerana saya guru kamu yang amat mengasihi kamu.
Anak-anak didikku,
SPM bukanlah segala-galanya, tetapi ia menjadi batu loncatan untuk kamu meneruskan tujuan. Jika kejayaan di genggaman, maka kamu bakal bebas memilih. Jika sebaliknya, kamu masih punya ruang yang lain untuk diterokai. Dunia ini luas, jangan sempitkan pada SPM semata-mata.
Selepas ini, bebaslah kamu wahai anak-anak didikku. Carilah hidupmu pada batasan waktu yang ada itu. Saya di sini, kekal mendoakan yang terbaik buat kamu, kekal menyimpan rasa kasih dan sayang buat kamu, selagi nyawa dikandung badan.
Allah, lindungilah anak-anak didikku!
No comments:
Post a Comment