Wednesday, November 21, 2012

UPSR

Tahun ini cucu sulung Ma menerima keputusan UPSR yang cemerlang, 5A. Alhamdulillah, dan sekalung tahniah buat anakanda Anis Radhiah bt Mohd Lutfi, pelajar SK Sultan Sulaiman 2, Kuala Terengganu. Semoga kecemerlangan berterusan, di dunia dan akhirat.

UPSR menjadi medan juang pertama buat semua kanak-kanak di Malaysia. Jika dahulu, kami generasi lama menduduki peperiksaan seawal darjah lima dan sepanjang setahun kemudiannya kami ber'honeymoon year' pada darjah enam, kini tidak lagi begitu. Kanak-kanak sekarang bertungkus lumus menyiapkan diri untuk UPSR pada darjah enam, sedang kami dahulu berseronok sakan!

Mengingat kembali sejarah lama pada 1983, saat saya baru berusia 11 tahun, sungguh manis. Walaupun ayah begitu menekankan kepentingan ilmu dan sentiasa memastikan kami mendapat kedudukan yang baik dalam setiap peperiksaan, tetapi entah kenapa, saya tidak tertekan langsung. Saya menganggap apa yang ayah buat untuk saya adalah sesuatu yang normal, dan saya boleh menerima dan mencernanya tanpa sebarang cela.

Pada zaman itu, keputusan 5A dalam penilaian darjah lima sangat tinggi nilainya. Malahan, pelajar yang mendapat 3A 2B pun masih berpeluang belajar di sekolah berasrama penuh. Apa tidaknya, pada tahun saya itu, hanya lima orang pelajar yang mendapat 5A di SK Mulong. Sesetengah sekolah, langsung tiada. 
Apa pun, janganlah UPSR ini menjadi satu bentuk tekanan alaf baru buat kanak-kanak. Pengalaman membuktikan, 5A dalam UPSR belum menjamin apa-apa. Ia hanya titik permulaan, bukan penentu sebuah kejayaan.
Berjaya, kita gembira. Jika gagal, janganlah dicerca. Jangan sampai peristiwa malang kanak-kanak membunuh diri kerana gagal mendapat 5A berulang lagi. Sungguh ia amat menakutkan!

No comments:

Post a Comment