"Anak sulung Ti umur berapa dah?"
Seorang rakan guru, lelaki, bertanya saya beberapa hari lepas. Waktu itu kami sedang menyiapkan markah peperiksaan di sekolah. Dia membawa dua orang anaknya bersama-sama, dan bercerita tentang anak sulungnya yang sedang menghadapi SPM di Maahad Muhammadi Lelaki.
Saya tersenyum. Tanpa lengah, saya menjawab, "saya tiada anak, ustaz!"
"Hah? Saya tak tau.." katanya dalam nada bersalah.
"Tak apa, saya okay.."
"Oh.. maafkan saya. Sungguh saya tak tau. Tak apa Ti, ada hikmahnya tu.."
Seterusnya, saya bercerita. Cerita tentang rumah tangga saya yang sudah berusia lima belas tahun. Cerita tentang penyakit saya, yang menyebabkan saya tidak mampu mengandung.
Sebelum dia pulang, dia mendoakan yang baik-baik untuk saya.
Saya tahu, ramai wanita yang senasib dengan saya akan sensitif bila bercakap tentang anak. Kata mereka, persekitaran tidak memahami. Sahabat-sahabat pula gemar menyindir dan memerli. Mereka jadi tertekan.
Alhamdulillah, sejak saya berkahwin hingga hari ini, saya belum pernah lagi disindir dan diperli dengan situasi saya yang tidak memiliki anak ini. Orang bertanya, saya menjawab. Ikhlas, tanpa selindung. Tidak pula saya meratap menangis, apa lagi menyesali suratan. Saya positif.
Mungkin kerana itu, jika ada yang menyindir pun, saya tidak terasa. Bagi saya, anugerah Allah datang dalam pelbagai bentuk. Memiliki anak anugerah untuk mereka, sedang bagi saya, tiada anak itulah anugerah. Saya bahagia dan bersyukur kerana dipilih Allah untuk menerima anugerah sebegini. Sungguh!
Janganlah menganggap ini satu kekurangan. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Walaupun ada yang berkata rugi tiada anak, sedarlah yang pergantungan hidup kita bukan pada manusia. Bukan pada anak, bukan pada suami, bukan pada siapa-siapa. Kita bergantung hidup hanya pada-Nya. Yang mencipta kita, yang maha mengetahui segala-galanya.
Cukuplah Allah bagiku!
Janganlah menganggap ini satu kekurangan. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita. Walaupun ada yang berkata rugi tiada anak, sedarlah yang pergantungan hidup kita bukan pada manusia. Bukan pada anak, bukan pada suami, bukan pada siapa-siapa. Kita bergantung hidup hanya pada-Nya. Yang mencipta kita, yang maha mengetahui segala-galanya.
Cukuplah Allah bagiku!
No comments:
Post a Comment