Monday, November 12, 2012

Perpustakaan

Dulu, saya rajin ke perpustakaan. Saya rasa damai dan tenang dikelilingi buku-buku yang pelbagai. Sewaktu darjah enam, saya tidak terus pulang ke rumah apabila tamat kelas pada jam 1.00 tengah hari. Saya akan berada di perpustakaan sehingga guru perpustakaan, cikgu Naimah pulang sekitar jam 2.30 petang. Saya seronok menemaninya. Kadang-kadang saya membantunya menyusun buku-buku yang baru sampai, menulis kod buku-buku tersebut, atau mebetulkan buku-buku di rak. Tetapi pada kebanyakan waktu, cikgu Naimah membiarkan sahaja saya membaca.

Apabila melangkah ke MRSM, cinta saya pada perpustakaan bertambah-tambah. Apa tidaknya, perpustakaan di MRSM Terengganu itu sungguh besar, selesa dan berhawa dingin. Buku-bukunya usah ceritalah, sangat banyak. Bukan hanya buku berkaitan pelajaran, buku resepi, majalah lama yang dijilid, novel, dan segala-galanya. Saya begitu teruja!

Di Matrikulasi pula, saya menjadi Pustakawan. Tentu sekali saya boleh berada di perpustakaan pada bila-bila masa. 

Apabila cuti sekolah, saya dan rakan baik saya Azni akan berjanji temu di Perpustakaan Awam Kota Bharu. Lama kami mengunci diri di situ. Dari pagi, membawa ke tengah hari.

Di UKM, lagilah saya seronok dengan perpustakaan Tun Seri Lanang itu. Kecanggihan teknologi yang ada, membolehkan saya mencari buku yang diingini di hujung jari sahaja. Sungguh, saya seronok!

Kini, perpustakaan hanya menjadi kenangan.

Saya mahu sekali memiliki perpustakaan mini di rumah saya ini, namun saya tak punya ruang yang sesuai. Buku-buku sudah terlalu banyak menjadi koleksi tetapi pengemaskinian ruang belum lagi berlaku.

Semoga saya mampu merealisasi impian saya yang satu ini.

No comments:

Post a Comment