Saya lapar, tetapi tak tahu nak makan apa.
Tengah hari tadi, kakak ipar saya mengadakan majlis aqiqah cucunya Haniey Haziera bt Fakhruddin. Lauk-lauk yang disediakan sedap-sedap belaka. Ada kurma kambing, gulai ayam, teresek kacang, acar timun, daging singgang dan juga ikan kering. Tapi, saya hanya makan sedikit.
Biasanya begitulah, kalau makan di tempat jamuan saya tidak mampu menelan banyak. Bukan kerana tidak sedap, tetapi kerana badan yang berpeluh dan penat, juga masakan bersantan yang banyak menjadikan saya cepat kenyang.
Jam 2.30 tengah hari saya pulang ke rumah. Lepas solat, saya tidur. Asar baru saya bangun.
Jam 5.30 petang, saya ke dapur menyediakan minum petang. Teh o limau ais dan cucur bilis. Suami saya sedang bertukang, mengubahsuai kandang kambingnya kerana menerima kelahiran anak kambing kembar dua ekor. Jam 6.35 baru kami menikmati minum petang itu.
Sekarang, 8.38 malam. Suami saya ke surau, dan akan menghadiri majlis tahlil di rumah jiran. Tentunya saya tidak perlu memasak untuknya. Masalahnya, saya sedang lapar. Apa perlu saya makan?
Di dapur, ada sebiji durian yang diberi jiran. Saya mengopeknya dan sempatlah makan empat ulas. Sedap. Tapi belum mampu menghilangkan rasa lapar saya.
Perlukah saya memasak nasi untuk makan seorang diri? Macam tak berapa praktikallah. Maggi? Oh, saya rasa muak. Jadi?
No comments:
Post a Comment