Monday, October 12, 2026

Suami Provider

Sebagai seorang Muslim, kita sudah semestinya patut tahu dan faham yang tanggungjawab menafkahi keluarga terletak sepenuhnya di bahu seorang lelaki bernama suami. Takrif nafkah itu tidak perlulah saya perhalusi, jika mahu anda boleh mencarinya sendiri.

Maka sudah jelas sekali, suami ialah provider. Tak perlu bising-bising nak bincang perihal ini kerana sudah terang lagi bersuluh, itulah ajaran dan ketetapan dalam agama kita yang mulia.

Melihat situasi zaman dahulu kala, seorang isteri jarang-jarang saja yang bekerja. Suami tidak pernah pula bising-bising nak berkongsi perbelanjaan rumah tangga dengan isteri kerana dia faham itu bukan tanggungjawab isteri. Isteri pula tidak pernah merungut kena buat kerja rumah dan mengasuh anak, kerana suami mereka sudah penat membanting tulang mencari rezeki. Tetapi zaman berubah, wanita kini ramai yang berpendidikan tinggi dan bekerja hebat-hebat, jadi mereka juga ada keupayaan kewangan yang tidak boleh dipandang enteng.

Sesetengah wanita akan rasa berharga jika dapat sama-sama menyumbang kepada kewangan rumah tangga. Sebagai timbal baliknya, mereka mengharap agar suami juga mampu meluang sedikit masa untuk menguruskan hal ehwal anak dan rumah tangga. Dua hala, begitu.

Walaupun situasi sudah berbeza pada masa kini, tanggungjawab sebagai provider tetaplah di bahu lelaki. Saya jadi hairan dan geram juga bila membaca perkongsian di media sosial yang ditulis oleh lelaki yang mahukan isteri turut menyumbang dalam kewangan. Pada saya, isteri boleh sahaja menyumbang tetapi bukan kerana arahan suami. Itu salah sama sekali!

Benar, rumah tangga adalah satu perkongsian hidup untuk kita sama merasa susah senangnya. Menjadi isteri bekerja, tentulah kita tidak lokek beekongsi. Perbincangan wajib ada dan suami tidak boleh suka-suka menyusun atur kewangan isteri. Jadilah suami yang benar-benar tahu tanggungjawab dan jangan bermudah-mudah hanya kerana isteri bekerja.

Tolonglah kembali kepada landasan yang sebenarnya. Isteri kena tahu kewajipan mereka adalah hak suami, manakala kewajipan suami adalah hak isteri. 

No comments:

Post a Comment