Friday, October 30, 2026

Tentang Hari Ini

Terima kasih Tuhan untuk usia yang masih ada. Bangkit pagi ini, batuk dan bersin masih tersisa. Semalam sepertinya badan saya sudah hampir normal, tetapi hari ini terasa kembali memberat. Mungkin badan saya sedang meluahkan sisa-sisa kesakitan dari bakteria dan virus penghabisan yang masih tertinggal. Mudah-mudahan esok saya akan pulih sebaiknya.

Hari ini Jumaat, hujung minggu di tempat saya. Saya hanya memiliki sehari ini untuk urusan rumah tangga. Esok saya ada kelas tambahan pula, walaupun Sabtu. Tak mengapa, saya ok sahaja.

Kisah semalam (Khamis), izinkan saya lakarkan di skrin bisu ini.

Pagi bermula nyaman. Cuaca tengkujuh sudah mula membunga, hujan saban malam membawa ke pagi. Sekolah tetap saya ladeni demi rezeki. Cuma hari ini, saya mohon keluar awal untuk ke HUSM. Pengetua membenarkan dan saya memanggil Grab pada jam 11.45 pagi.

Pemandu Grab itu rupanya Wan Azlan, anak saudara sepupu suami saya yang mana Amir anak lelakinya ialah anak murid saya. Rancaklah kami berbual sehingga tiba di HUSM. 

Sebenarnya, saya cuma bertemu janji di kaunter farmasi, bukan di klinik. Sekejap sahaja menunggu kerana orang tidak ramai. Jam 1.15 selesai. Sempat saya menghubungi emak di rumah, bertanya khabar.

Kisahnya, petang Rabu semalam saya seperti biasa ke rumah emak sebentar. Emak sedang terbaring di tempat rehatnya, dengan wajah sugul seperti demam. Kata emak, badannya sakit-sakit. Emak sakit bahu juga. Saya tanya, ada ubatkah? Emak telan panadol sahaja.

Kasihan emak. Ubat tahan sakit saya pula tidak saya bawa, kalau tidak boleh beri pada emak. Emak kata tak apa, panadol ada lagi. Saya cuma mampu berpesan saja supaya emak rehat dan kalau ada apa-apa, beritahu. Jauh di sudut hati, saya ralat kerana tidak mampu membantu dengan lebih baik.

Hari ini, melalui corong telefon itu, emak kata dia rasa makin sakit. Saya kata kena pergi klinik ni, dan emak setuju. Nanti emak ajak Cik Nab petang ni, katanya.

Saya tiba di rumah jam 2.30 petang. Saya bercerita tentang emak kepada suami saya. Suami saya kata, beritahu emak kita bawa dia ke klinik sekejap lagi. Usai makan tengah hari, kami bersiap.

Kami ke klinik Primer Nilam Puri pada jam 3.20 petang. Alhamdulillah orang tak ramai. Emak disuntik dan doktor bekalkan Arcoxia dan Myonal untuk emak.

Saya kembali berehat di rumah, dan pukul 6 petang turun ke rumah mek pula. Saya hubungi emak lagi, bertanya khabar. Emak kata dia dah ok, dah kurang sakitnya. Alhamdulillah. Tetapi pada masa yang sama, emak menyampaikan berita tentang Farid, sepupu kami di Seremban yang sedang tenat. Emak mohon doakan dia. Apakan daya, ajalnya tiba pada jam lebih kurang 8.30 malam. Innalillahi wainna ilaihi raajiuun. Pulang sudah Farid Abu Bakar pada usia 57 tahun.

Begitulah perjalanan hidup. Dalam usia yang pelbagai, ajal tidak pernah mengira. Semoga setiap kita sedar dan bersedia.


No comments:

Post a Comment