Seminggu dua ini harga emas turun dengan sangat ketara. Daripada harga sekitar RM590-RM620 segram sepanjang September, pada hujung Oktober harganya merudum menjadi cuma RM538 (di KAB Gold). Saya beli juga 3 gram dengan purata harga RM565 sewaktu ia sedang menurun minggu lepas, rupanya ia masih menurun sampai sekarang. Tak apa, saya akan tunggu lagi sehingga harganya ke paras RM520 untuk menambah pembelian beberapa gram lagi untuk menurunkan harga purata koleksi emas saya.
Di Facebook, pelbagai ulasan tentang harga emas singgah di wall saya. Benarlah kata orang, membeli emas memerlukan ilmu, bukan suka-suka. Bagi yang membeli pada harga puncak RM700 sekitar awal tahun ini, mereka mula rasa menyesal kerana mereka menjangka harga emas akan naik sampai RM1000 pada hujung tahun. Mereka merancang untuk menjual emas mereka pada waktu ini untuk kegunaan tertentu.
Di situlah silapnya dalam melakukan pembelian emas. Emas dibeli untuk disimpan, naik atau turun harga usah dikisah. Jika beli hanya untuk beberapa bulan kemudian jual, memang tidak berbaloi. Sudahlah harga beli lebih tinggi dari harga jual (spread), kena pula masa emas menurun harganya, memang akan rugi banyak. Jadi jika ada keperluan dengan sejumlah wang itu dalam jangka pendek, usah dilabur pada emas. Simpan sahaja tunai di ASB atau Tabung Haji atau mana-mana tempat simpanan.
Belilah emas apabila kita ada wang lebih yang kita tidak perlu guna dalam jangka masa terdekat. Selepas tiga tahun ke atas, baru kita rasa keuntungannya.
Sekian, perkongsian seorang cikgu yang suka emas.
No comments:
Post a Comment