Hakikat kehidupan di dunia ini penuh dengan ketidaksempurnaan. Akan sentiasa ada hal yang kita dambakan, tetapi tidak mampu kita genggam. Namun bagi mereka yang berhati waja, impian itu akan terus dikejar lewat usaha dan keringat, bukan dengan jalan menadah tangan meminta-minta.
Sedar akan hakikat dan kekurangan diri, saya pasakkan prinsip agar sifat meminta-minta itu tidak subur dalam jiwa. Sedari kecil, mata ini sering melihat teman-teman memiliki apa yang saya suka. Telinga ini juga sering disajikan dengan kisah pengembaraan mereka ke tempat-tempat yang sudah lama saya impikan. Terliur dan sarat dengan rasa kagum mendengarnya, namun tidak sekali pun saya mendesak ibu dan ayah untuk menyediakannya untuk saya.
Apa yang saya simpan rapi di dalam hati hanyalah sebuah keazaman. Keazaman untuk membina laluan saya sendiri, mencapai impian dengan tulang empat kerat. Pantang bagi saya meminta sesama manusia selagi hayat dan upaya masih ada. Kerana saya tahu, tempat mutlak untuk saya meminta dan merintih hanyalah pada Yang Maha Esa.
Rentetan daripada keengganan meminta-minta, saya asuh jiwa ini untuk mencintai amalan memberi. Saya faham dan selami jerih perih mereka yang hidup serba kekurangan. Jadi, apalah salahnya jika saya menghulur seadanya. Dalam memberi, saya butakan mata daripada melihat siapa penerimanya. Miskin, kaya, Muslim, mahupun tidak, itu semua bukan ukuran. Selagi dia bergelar manusia dan hamba Tuhan, insya-Allah ada rezeki yang sudi saya kongsikan bersama.
Semoga setiap asbab dan niat ini dikurniakan reda-Nya.
No comments:
Post a Comment