Orang kita memang cukup sinonim dengan pantang larang, terutamanya bab pantang makan selepas bersalin, pembedahan, bersunat, hinggakan lepas bertindik telinga pun kena berpantang.
Salah satu makanan yang paling ditakuti (orang Kelantan panggil 'bisa') pastilah telur. Ramai yang percaya, kalau baru lepas bersalin atau dibedah, jangan berani cuba makan telur, nanti luka jadi bernanah. Hakikatnya, dalam perubatan moden, telur adalah sumber protein yang sangat baik dan fungsinya memang untuk membaiki tisu serta mempercepatkan luka sembuh.
Kadang-kadang terfikir juga, dari manalah orang tua-tua dulu dapat fakta sebegini? Mungkin bermula daripada kebetulan—ada seseorang makan telur dan lukanya bernanah akibat jangkitan lain. Cerita itu kemudiannya dijaja kepada kawan-kawan dan saudara-mara, akhirnya satu kampung jadi takut nak makan telur.
Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Selepas lima kali melalui prosedur pembedahan, tidak pernah sekali pun saya berpantang makan telur, dan luka saya elok sahaja sembuh tanpa sebarang nanah. Sebab itulah saya tidak percaya dengan mitos sebegini. Tambahan pula sekarang ini, ramai pakar perubatan berkongsi ilmu di media sosial, menggalakkan pesakit makan telur untuk cepat sembuh. Memang sah, pantang telur itu mitos semata-mata.
Tetapi, peliknya masih ramai yang menolak mentah-mentah fakta perubatan dan kajian global.
Sebenarnya, situasi ini tidak jauh beza dengan sikap sesetengah pihak dalam isu agama. Bila ada pandangan atau pencerahan baharu yang tidak selari dengan amalan tradisi mereka selama beratus tahun, terus dikecam teruk pandangan tersebut tanpa dikaji.
Memang susah, ya, nak mengubah mentaliti dan kebiasaan orang kita?
No comments:
Post a Comment