Ini kisah minggu lepas. Ia terjadi rentetan dari rasa tidak puas hati saya dengan apa yang berlaku di sekolah.
Sebagai guru Matematik SPM, masa yang ada untuk bersama-sama dengan murid saya pada waktu PdPc adalah sangat berharga, apatah lagi peperiksaan Percubaan akan berlangsung pada hujung Jun.
Tiba-tiba diumumkan Sukan Tahunan akan berlangsung seminggu sebelum Peperiksaan Percubaan. Walaupun murid tingkatan 5 dikecualikan, tetapi kami guru mereka tetap ditugaskan di bahagian AJK yang pelbagai. Murid tingkatan 5 pula dijadualkan untuk mengikuti bengkel-bengkel mata pelajaran yang tentunya bukan seperti PdPc harian. Pada hal, sukatan pun belum habis.
Saya rasa tidak seronok dengan keadaan ini jadi saya mencari ruang untuk menghilang pada hari berkenaan.
Kebetulan lutut saya kembali sakit sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Lalu pada Rabu itu (24.6.26) - hari kejohanan berlangsung - saya ke klinik Ehsan untuk merawat kesakitan ini. Sangka saya, usai dirawat saya akan diberi cuti sakit (MC) sehari.
Rupanya, doktor melakukan rawatan PRP pada lutut saya yang memerlukan rehat selepas rawatan jadi saya menerima MC dua hari. Alhamdulillah. Dapatlah saya berehat selama empat hari kerana bersambung dengan hujung minggu.
Rawatan PRP ini sebagai satu ikhtiar saya apabila doktor mengatakan lutut saya ini mengalami OA Stage 3. Semoga Allah mengizinkan kesembuhan untuk saya walaupun selepas 5 hari rawatan, lutut saya masih belum hilang sakitnya.

No comments:
Post a Comment