Pagi ini saya memulakan hari agak awal daripada biasa kerana hari ini hari raya korban. Selepas menunaikan solat sunat, saya terus ke dapur menyediakan sarapan nasi lemak untuk dijamah sebelum ke masjid nanti. Sedang elok siap memasak, azan Subuh berkumandang. Terus saya membersihkan diri untuk menunaikan solat fardu pula sementara suami saya sudah turun ke masjid.
Jam 6.30 pagi, suami saya pulang dan kami pun menikmati sarapan bersama-sama. Segalanya tenang dan santai apabila hanya berdua di rumah sendiri. Tidak buru-buru kerana rutin yang kami lalui hanya tentang kami berdua. Jam 7.15 pagi kami sudah siap untuk bergerak ke masjid. Tahun ini kami memilih jubah hitam sebagai tema. Tiada apa-apa maksud dan tujuan, hanya satu pilihan secara rawak.
Di masjid, kami yang pertama tiba. Sebaik saya melangkah ke pintu masjid bahagian wanita, hanya Tok Siak Rozalina yang ada, sedang menyapu lantai. Selepas salam dihulur, saya terus memilih tempat kegemaran saya di tepi tiang. Di situ selesa, dan strategik. Adik saya Aziah tiba tidak berapa lama selepas saya dan dia memilih untuk bersolat di sebelah saya.
Solat bermula jam 8.00 dan selesai lebih kurang setengah jam kemudian. Terus saya pulang ke rumah di Chenok tanpa singgah di mana-mana kerana suami saya mahu segera ke tempat lembu korban.
Sekarang jam baru ke angka 9.26 pagi dan saya sendirian di rumah dengan tenang dan bahagianya.
Salam Aidiladha 1447.


No comments:
Post a Comment