Jujurnya, selepas lebih 28 tahun saya bergelumang dalam arena pendidikan ini, rasa cinta saya kepada bidang ini semakin menebal. Walaupun ada banyak siri kekecewaan hati saya dalam melestarikan makna pendidikan di negara ini, saya tetap mahu terus memberi.
Kecewa saya lebih kepada kegagalan pihak berkenaan meletakkan makna PENDIDIKAN pada tempat yang sebenar. Masyarakat lebih memandang pendidikan sebagai PEPERIKSAAN dan JUMLAH GRED A sedangkan hasrat sebenarnya lebih dalam dan lebih jauh daripada itu. Saban tahun saya berperang dengan perasaan ingin memurnikan nilai-nilai pendidikan tetapi selagi GPS yang dikejar, segalanya tidak akan kembali ke landasan.
Meneliti setiap baris yang tertulis dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan -
“Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
- kecewa saya semakin tidak dapat diubat. Segalanya sangat tidak selari dengan apa yang berlaku dalam dunia pendidikan Malaysia hari ini.
Saya akan terus berdoa dan menanti satu detik bermakna, apabila masyarakat mula menghargai dan meletakkan pendidikan pada tempat yang lebih mulia, bukan hanya PEPERIKSAAN dan GRED A.

No comments:
Post a Comment