Monday, December 08, 2025

Curah

Saat saya sedang berteleku di hadapan Lenovo Ideapad saya ini, jam sudah ke angka 11.18 minit pagi. Di luar hujan sedang merenyai dan hawa di bilik peperiksaan tempat saya bekerja ini sangat sejuk. Di corong telefon saya, lagu dendangan Muhaini Suratman yang popular pada tahun 1981 bertajuk "Kalau Ada Jodoh" sedang berkumandang. Lagu ini sentiasa saya dengari kerana iramanya yang catchy sangat menggamit nostalgia zaman kanak-kanak saya. Ia cukup mendamaikan.

Hari ini tenang. Sebenarnya saya tidak begitu sihat akhir-akhir ini kerana selesema dan batuk, tetapi ia tidaklah sampai mengganggu ketenangan saya yang sedang bersendirian di bilik ini. Bilik kerja saya ini dihuni 5 orang guru dan empat yang lain semua ada urusan. Hasnah dan Haida berkelas Geografi dengan murid-murid Tingkatan 5 kerana esok berlangsung peperiksaan SPM nya. Azwanis pula sudah terbang ke Melaka untuk mesyuarat ketua pemeriksa Bahasa Melayu SPM dan akan pulang pada Jumaat nanti. Hanani sedang sibuk di koperasi, mengurus stok dan menutup akaun mungkin, kerana tugasnya sebagai Bendahari Koperasi menuntut tanggungjawab itu.

Saya? Hanya di sini, di bilik sunyi ini. Sebentar tadi saya baring, merehatkan badan yang sedikit lelah dek batuk dan selesema. Kelas hari ini langsung tiada kerana kelas 4C1 saya diambil alih oleh cikgu Hadi, manakala kelas 5C2 pula tentu murid-muridnya sekarang sedang bergelut dengan cikgu Hasnah, memastikan kertas Geografi esok mencapai sasaran. Berehatlah saya melayan diri sendiri.

Kerja lain? Ada, tetapi bukan perlu disegerakan. Sebagai Setiausaha Analisis dan Headcount saya sudah selesai melakukan analisis peperiksaan untuk Tingkatan 1, 2, 3 dan 4 pada minggu lepas lagi. Sebagai guru penyedia jadual ganti pula, semuanya sudah selesai pada jam 7.30 pagi setiap hari. Dan tugas sebagai Setiausaha Panitia Matematik tidak terlalu menekan saya menyelesaikan apa jua. Ia boleh dibuat beransur-ansur.

Lalu apakah tekanan kerja sebagai guru untuk saya? Sepertinya tiada, bukan? Ya, setakat ini saya santai-santai sahaja bekerja. Saya begitu bahagia dengan apa yang Allah kurnia ini, dan berdoa selalu agar Allah memberkati setiap hasil rezeki ini. Amin.

 Tekanan untuk saya lebih banyak di rumah. Saya tidak mampu merasa tenang dengan keadaan sekarang yang memaksa saya terkocoh-kocoh saban petang bergerak dari rumah saya ke rumah mek. Segala urusan menjadi terbelah dua, dan kebanyakan perkara menjadi tertangguh sehingga ke hujung minggu. Penat!

Apa pun, itulah tulisan takdir saya dan saya reda.

Saya akhiri curahan hati saya hari ini dengan serangkap lirik dari lagu "Kalau Ada Jodoh"

Ada sekuntum bunga, mekar di taman sari, kumbang yang pergi dulu, datang kembali....... 

Dan terimalah wajah saya hari ini untuk menghilang rindu

 


No comments:

Post a Comment