Lama saya mencari kekuatan untuk menulis tentang dia - Haslina Baharuddin, anak murid saya di SMK Kuala Krai, SPM 1999.
Wanita tabah ini telah dipanggil pulang menemui Tuhan pada Isnin, 1 Disember 2025 yang lalu kerana kanser.
Demi Allah, saya tidak tahu dia sakit. Selepas membaca status FB adiknya yang memaklumkan kematian Haslina, saya terkejut sungguh-sungguh. Haslina sakit apa?
Terus saya menggelintar segala sumber yang ada. Allahuakbar, rupanya sudah lama dia sakit dan ada kisah tentang itu tetapi tidak pernah tersapa oleh saya. Banyak IG stories yang dia kongsi cuma saya terlepas pandang.
Saya tidak dapat menahan sebak. Dada saya sesak. Doa saya panjatkan agar Allah menerima dan meletakkannya di tempat terindah.
Tidak banyak kenangan antara kami, tetapi dia antara murid cemerlang yang peramah dan berbudi bahasa. Saya mengajarnya Matematik Tambahan dan dia berjaya mendapat gred A2. Dia satu-satunya murid yang mendapat gred A mata pelajaran itu pada SPM 1999 di SMK Kuala Krai. Dia menyambung pengajiannya di Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Saya mengingatinya kerana dia murid yang mudah faham dalam belajar, sangat peramah dan mesra, juga manis sekali. Waktu itu saya belum berpengalaman sebagai guru Matematik Tambahan, baru tahun kedua menjadi guru dan diberi tanggungjawab besar untuk mengajar Matematik Tambahan SPM. Berat dan menakutkan tetapi apabila dia berjaya mendapat A2, saya rasa lega dan bangga.
Kali terakhir kami bertemu ialah pada tahun 2007. Itu pun secara kebetulan apabila saya menziarah kematian rakan guru di Kuala Krai yang juga bapa saudara Haslina. Seperti biasa, dia menyapa saya dan memperkenalkan saya kepada ibunya, "Ma, ni cikgu Add Maths ore..." Waktu itu dia baru tamat universiti dan sedang menunggu hari bahagianya. Haslina bertemu jodoh dengan jejaka Perlis, rakan sepengajiannya dan mereka berkahwin pada Oktober 2007.
Pada 2009, apabila saya berjinak-jinak dengan FB, saya mencari namanya. Dia antara rakan FB terawal saya dan dia sangat teruja bila saya menghantar friend request kepadanya. Mungkin dia tidak menduga saya masih mengingatinya. Siapa boleh lupa murid sebaik Haslina?
Kini Haslina sudah tiada, meninggalkan suami yang setia dan seorang anak kecil yang baru setahun lebih umurnya. Saya akan tetap mengingati Haslina sebagai murid yang terlalu baik, yang memberi pengalaman indah dalam sejarah perguruan saya.
Berehatlah Na, cikgu akan tetap mendoakan Na di sana dan keluarga yang Na tinggalkan di sini.
Tulisan Fdaus Ahmad tentang kepulangan Haslina ke rahmatullah

No comments:
Post a Comment