Thursday, November 28, 2024

Tanpa Talian


Hujan turun lebat mencurah-curah sejak awal malam Rabu lalu di tempat kami, dan masih belum berhenti sehingga saat ini. Dihitung-hitung, ia sudah lebih 40 jam dan banjir sudah melanda.

Pagi Rabu semalam, saya menuju ke sekolah dengan mengharung air yang banyak di jalan raya. Penuh hati-hati. Mujur sampai dengan selamat, tetapi sunyi sepi sekolah kami. Ramai guru dan murid terkesan dengan banjir dan tidak dapat hadir. Pengetua juga lewat tiba kerana terpaksa lalu jalan jauh, dan pada jam 10 pagi Pengetua membenarkan kami pulang kerana paras air sedang naik.

Hari ini, sekolah kami mengambil cuti bencana.

Di kawasan tempat tinggal saya, air juga melimpah dan memasuki rumah-rumah sekitar. Alhamdulillah rumah keluarga saya selamat. Rumah ma, mek, dan rumah saya tidak dimasuki air. Bekalan elektrik juga tidak terputus, cuma talian internet yang menjadi perlahan.

Selalu pada waktu saya bersantai, saya akan mengadap telefon untuk mencari maklumat dan juga membeli belah. Kali ini saya tidak mampu melayan hobi sebegini kerana semuanya 'loading'. Terasa bosan pula, mahu layan apa ya?

Apa pun, semoga Allah melindungi seluruh rakyat Kelantan dan memberi kekuatan kepada kami menghadapi ujian banjir kali ini. Amin.


 

Saturday, November 23, 2024

Hafal

Malam tadi, sewaktu saya menyarungkan telekung mek untuk solat Isyak, mek membaca ayat ini - dua ayat terakhir surah At-Taubah (128-129).



Lancar bacaan mek. Mek bertanya, "Ti kena dak?" Maksud mek, saya hafal ke tak ayat tu.

"Sikit-sikit mek.. " jawab saya. Malu mengaku yang saya belum hafal lagi. Ya lah, bila dengar mek baca, terasa mesra di telinga. Tapi bila mahu ulang sendiri, tersangkut-sangkut juga.

Lalu saya ke bilik, membelek apps Quran Android, mencari ayat itu dan mengulang baca. Saya juga meneroka maksudnya.

Terima kasih mek. Kadang-kadang tanpa sedar, ada perkara-perkara yang saya belajar dari mek yang sakit. Ayat-ayat semudah itu, sepatutnya sudah lancar di mulut saya tetapi saya alpa untuk mengekalkan hafazan. Malu sendiri jadinya. Sedang mek yang tua dan uzur, selalu saja mengulang baca ayat-ayat yang dia ingat. Semoga Allah merahmati mek selalu. 

Friday, November 22, 2024

Ipar Adalah Maut

Sekarang ini ramai yang memperkatakan tentang filem Indonesia ini. Pelbagai ulasan saya baca dengan tekun, tetapi sampai hari ini hati saya belum terbuka untuk menontonnya.

Bagi saya menonton filem memerlukan masa dan fokus, tetapi saya tak punya semua itu. Biarlah dulu, jika ada ruang saya akan tonton juga nanti walaupun entah bila.

Ipar dan biras, jika berlainan jantina sememangnya tidak usahlah rapat-rapat. Berlakulah sebagai orang asing, yang hanya berbual jika perlu sahaja. Hubungan ipar yang begini sebenarnya tidak perlu pun dieratkan, kerana banyak yang tidak elok bakal terjadi.

Tetapi, ipar dan biras yang sama jantina, marilah kita semarakkan rasa kasih dan cinta sesama dan eratkanlah kemesraan, biar terasa seperti adik beradik. Biar hubungan yang terbina asbab perkahwinan ini, sama saja rasanya dengan hubungan sedarah daging. Saya kasihkan semua ipar dan biras saya sama seperti adik beradik saya juga.

Terima kasih Kak Zaiha, Cik Nab dan Cik Farah kerana hadir menyerikan keluarga kami dengan membawa seribu cahaya kebahagiaan. Syukur sesungguhnya kepada Allah kerana memberi saya ipar-ipar sebaik ini, penuh budi pekerti.






Semoga Allah merahmati kita selalu. 

Tuesday, November 19, 2024

Gelabah

Pagi tadi, sebaik selesai menyediakan jadual relief, telefon saya berdering. Sangka saya panggilan rakan guru berkaitan urusan sekolah, rupanya tidak.

Tertera nama kakak ipar saya di skrin. Kenapa pula ya, jam belum pun pukul lapan. Tentang mek ke? Risau pula. Pantas saya menyentuh butang menjawab, dan memberi salam.

"Ti, kat sekolah ke tu?"
"Ya, kenapa kak?"
"Pakcik ke mana, belum pulang lagi. Biasanya 7.30 dah sampai, bawa pulang nasi ke mek."
"Akak tak telefon dia ke?"
"Dah, tapi tak berjawab."

Ah sudah! Suami saya tadi selepas hantar saya ke sekolah katanya mahu mencari nasi kerabu daging bakar. Tapi takkanlah sampai sekarang belum pulang. Dah sejam ni. Saya mula gelabah, tetapi cuba tenangkan hati.

"Agaknya dia tengah beli nasi tu kak, telefon tinggal dalam kereta, sebab tu tak jawab."
"Tapi lama sangat ni Ti..."

Saya tamatkan perbualan dengan kakak ipar saya, dan segera menelefon suami saya. Betullah, tak berjawab.

Waktu itu saya sudah mula berfikir bukan-bukan. Segala yang tak elok mula terbayang. Cepat-cepat saya alihkan fikiran. Dalam tenang saya berjalan ke kantin, duduk di meja kosong dan cuba lagi menelefon suami saya.

Dan kali ini berjawab. Alhamdulillah. Rupanya betullah dia tertinggal telefon dalam kereta, dan dia turun makan nasi di kedai, kerana ada kawannya di situ.

Aduhai!

Begini rupanya perasaan bila dalam kerisauan. Mujur saya mampu mengawal dan tidak beremosi. Jika tidak, malu juga pada diri sendiri.

Semoga Allah melindungi kami dan seluruh keluarga kami setiap masa, amin.

 

Saturday, November 16, 2024

Putih

Ada orang kata, kalau nak tahu perempuan tu betul-betul putih, jangan tengok muka saja tapi tengok juga tangan dia. Ada yang muka dia putih sebab pakai produk jadi muka je lah putih melepak, tangan kekal gelap.

Saya tak, kan? Sama je warna kulit muka dan tangan. Haha!

Sebenarnya, tak payahlah judge orang. Ada je orang yang memang kulit muka dia lebih putih dari kulit kat lain sejak lahir. Ada juga yang sebaliknya, kulit muka dia gelap tapi kulit kan lain cerah.

Warna kulit je kot. 

Begitulah. Luaran selalu saja lebih diperhatikan berbanding nilai-nilai lain yang tidak kelihatan.

Friday, November 08, 2024

25 Minit

Saya melangkah turun dari rumah Mek pada jam 7:35 pagi, seusai sarapan bersama suami. Saya menuju ke rumah Ma di seberang tali air yang cuma 100 meter dari rumah Mek.

Pintu tidak berkunci, saya terus melangkah masuk sambil menghulur salam. Ma sedang berbaring di tempat rehat kesukaannya sambil menonton Tanyalah Ustaz.

Saya menyalami dan mencium tangan Ma yang sudah dimamah usia itu. Saya duduk di sisinya, dan kami berbual macam-macam.

Ma bercerita tentang pokok rambutan yang sudah ditebang pada Ahad lalu, menyebabkan dinding rumah Ma jelas nampak dari jauh. Dinding kayu itu sudah buruk, Ma mahu menukar dinding baru. Bolehlah Ma, saya menyokong.

Ma juga bertanya saya tentang simpanan Tabung Hajinya, bila agaknya boleh dipindah masuk sebahagian dari simpanan itu ke akaun CIMBnya untuk digunakan atas tujuan peribadinya? Saya sarankan agar urusan itu dibuat pada cuti sekolah Januari nanti kerana rugi dipindahkan sekarang memandangkan pengiraan dividen Tabung Haji adalah sehingga baki pada Disember. Oh begitukah, Ma mengangguk faham.

Jam 8.00 pagi, saya turun untuk ke rumah Mek semula seperti janji saya pada suami tadi. Belum puas sebenarnya berbual dengan Ma, tetapi masa yang ada cuma itu. Hanya 25 minit tetapi ia cukup berharga. Bukan mudah untuk saya mencelah ke rumah Ma walaupun saya sangat mahu, jadi ruang 25 minit seperti ini pun pada saya besar ertinya.

Semoga Allah menjaga Ma selalu. Amin. 

Sunday, November 03, 2024

Cuti

Salam Subuh.

Hari ini tamatlah cuti Deepavali selama 4 hari yang bermula Rabu. Pengisian cuti saya kali ini sekadar berlibur di sisi keluarga tanpa ke mana-mana.

Sudah lama begitu, lebih setahun. Membaca dan melihat perkongsian rakan-rakan tentang percutian mereka di Facebook, ada juga rasa iri. Lamanya saya tidak merasa tetapi tidak mengapalah, saya reda saja. Berada di sisi keluarga sebenarnya jauh lebih bahagia. Alhamdulillah.

Adik beradik saya ramai yang pulang bercuti dan kami berkumpul di rumah ma, berbual dan bercerita dengan gembira. Cucu-cucu ma juga dapat saling bermesra dan bergelak ketawa. Itu sebenarnya lebih memberi makna. Yang jauh dan yang dekat dapat bersua dan berkongsi cerita, tidak perlu tunggu hari raya.

Mek pula, masih terlantar begitu. Saya buntu juga mahu bagaimana tetapi doa untuk mek sentiasa ada. Semoga mek tabah dengan ujian ini, dan kami juga kuat untuk terus menjaga mek.

Syukur pada-Mu Tuhan atas segala kurnia. 

Saturday, November 02, 2024

Maghrib

Kadang-kadang, bila benda yang biasa kita lalui setiap tahun tetapi dianggap pelik dan menjadi viral, saya mengeluh juga. Hairan.

Hujung Oktober dan awal November setiap tahun - saya ulang, SETIAP TAHUN - adalah waktu di mana siang agak pendek dan Maghrib menjelma awal. Paling awal masuk waktu Maghrib di Kelantan ialah pada pukul 6.53 petang, dan Isyak pada pukul 8.00 malam. Kemudian menjelang pertengahan November, Maghrib akan beransur-ansur lewat kembali dan Subuh juga akan semakin lewat sehingga pada hujung Januari Subuh akan tiba pada jam 6.18 pagi. Apabila Mac muncul barulah Subuh beransur-ansur awal kembali.

Dan ini berlaku setiap tahun.

Kenapalah ramai yang tidak peka lalu mempersoalkan perkara ini umpama ia satu perkara pelik? Saya tidak dapat mencari jawapannya kerana saya sudah tahu perkara ini sejak darjah satu. Sungguh! Waktu itu saya bersekolah di SRK Kota dan menaiki bas untuk ke sekolah. Sewaktu awal tahun, cuaca masih gelap sewaktu menunggu bas, dan ayah menemani kami. Kata ayah, "awal tahun gini gelaplah, masuk bulan 4 nanti masa ni dah cerah dah," dah saya ingat kata-kata ayah itu sampai sekarang.

Dan begitulah, ramai betul yang suka mengongsi perkara yang tidak perlu dikongsi, seolah-olah semua orang jahil seperti dia!