Thursday, October 31, 2013

Restu

Setiap tahun, apabila majlis Restu Ilmu SPM diadakan saya kerap kali gagal hadirkan diri. Entah mengapa majlis ini sering dibuat secara tidak rasmi, dan guru-guru yang terlibat dengan pengajaran perlu masuk ke kelas. Apa daya saya, sentiasa sahaja berkebetulan majlis ini berlangsung saat saya perlu ke kelas.

Lalu, sebaik majlis berakhir akan berbondong-bondonglah anak-anak didik saya mencari saya untuk bersalam-salaman. Mereka akan datang beramai-ramai membawa sedikit cenderahati, mahu bergambar dan meminta autograf. Seterusnya, memohon maaf dan minta mendoakan kejayaan mereka.

Ada sebak terasa di hati. Mereka sesungguhnya anak-anak yang baik dan tahu menilai diri. Saya cuma guru, penyampai ilmu Allah dan tiada hak untuk saya tidak menghalalkan setiap yang saya beri. Mereka meminta maaf, sedang pada saya setiap hari maaf saya berikan kepada mereka. Malah saya juga wajib memohon maaf daripada mereka kerana walaupun saya guru mereka tetapi saya tetap manusia yang tidak pernah gagal membuat kesilapan.


 
 
Selamat berjuang anak-anak didikku. Semoga Allah memudahkan segala urusan dan memberi kejayaan buat kalian di dunia dan di akhirat.

Tuesday, October 29, 2013

Tahan Sakit

Apalah yang mampu saya lakukan apabila ia tiba. Menahan segala sakit yang menyerang dengan penuh rasa ketidakselesaan dalam diri, tanpa siapa pun mengerti.

Zahirnya, pada waktu-waktu saya sihat, tiada siapa akan berkata saya ini berpenyakit. Hanya beberapa hari sahaja dalam sebulan saya terseksa, selebihnya saya normal. Dan sejak semalam, saya dalam mode kesakitan. Saya terpaksa berehat di rumah kerana tidak mampu melakukan apa-apa jika ke sekolah.

Sakit saya ini semakin lama semakin tidak mampu saya tanggung. Malam semalam lena saya terganggu kerana kesakitan. Menjelang pagi, saya menelan pil penahan sakit Tenoxicam yang diambil dari klinik Sayyida. Seperti tiada apa-apa kesan, sakit saya terus menyerang. Berbaring sakit, berdiri sakit, duduk pun sakit. Saya tidak tahu apa perlu saya buat.

Jam tiga setengah petang, saya ke klinik. Saya meminta pil Synflex daripada doktor kerana tenoxicam tidak menjadi. Kata doktor, Synflex kehabisan. Dia mahu memberi Arcoxia. Saya tahu Arcoxia itu pil penahan sakit yang sangat kuat. Harganya pun mahal. Bulan lepas saya membeli Arcoxia di farmasi, tetapi tidak hilang juga sakit saya. Doktor kata, saya perlu mengambil Arcoxia bersekali dengan pil Buscopan untuk kesan yang lebih baik. Saya setuju saja.

Pulang ke rumah, saya terus menelan pil-pil tersebut. Sebiji Arcoxia 120mg dan dua biji Buscopan 10mg. Saya berdoa agar kesakitan saya hilang kerana saya sangat tidak mampu menderitainya lagi.

Alhamdulillah, sakit saya beransur-ansur kurang dengan izin Allah. Walaupun rasa bengkak dan tegang di perut masih ada, sekurang-kurangnya sakit itu hilang juga. Syukur, dan saya berehat dengan lebih tenang walaupun mata tidak mahu lena juga.

Pagi ini, saya menyambung rehat saya di rumah. Sakit datang juga sekali sekala tetapi tidak berpanjangan. Semoga esok, saya mampu ke sekolah untuk menyambung tugas yang bertimbun-timbun itu.

Friday, October 25, 2013

Berkongsi

Selepas berkahwin, banyak perkara baru perlu saya pelajari. Sangat banyak, tidak mampu saya senaraikan di sini. Apabila kita hidup bersama orang yang sangat asing, yang baru beberapa detik  kita kenali, yang langsung tidak sama dengan apa yang kita baca dalam novel cinta, atau apa yang kita gambarkan sebagai putera idaman kita selama ini, tentunya timbul sejuta konflik dan permasalahan yang sangat sukar untuk ditangani jika tiada rencah sabar dan bertolak ansur dalam diri. Ya, dalam diri kedua-dua suami dan isteri.

Seringnya, perkahwinan digambarkan sebagai satu perkongsian hidup. Tidak ramai yang menekankan bahawa perkahwinan juga memerlukan satu pengorbanan. Bukan sekali dua saya mendengar wanita yang menyesal selepas berkahwin. Mereka kehilangan banyak waktu untuk diri sendiri, menjadi murung dan berharap untuk keluar dari sebuah ikatan. Mereka tidak mendapat apa yang mereka bayangkan tentang sebuah perkahwinan.

Sebagai wanita, memang sangat banyak yang perlu dikorbankan apabila merelakan diri menjadi isteri. Tiada lagi waktu santai yang bebas kerana tanggungjawab sebagai isteri mula mengambil tempat. Kalau dahulu bebas berada di sisi keluarga, bebas bersama rakan-rakan, bebas ke mana-mana sahaja, apabila bergelar isteri secara automatik semua itu sirna. Kalau pun suami memberi izinnya apabila kita memohon untuk ke mana-mana, separuh hati kita tetap berada dalam genggaman suami. Kita tidak bebas sepenuhnya kerana teringat-ingat adakah sudah langsai segala yang perlu kita buat dan sediakan untuk dia pada saat kita berada di tempat yang kita berada itu.

Bukan itu sahaja, selera sendiri pun perlu diubah. Apatah lagi jika lidah suami dan lidah kita berbeza. Semua makanan kegemaran dia tidak sama dengan makanan kegemaran kita. Terpaksalah kita memasak sesuatu yang kita tidak gemar kerana ia kegemaran suami. Terpaksalah kita ketepikan masakan kegemaran kita kerana suami tidak lalu menelannya.

Maka, mudahkah melayari kehidupan bersuami isteri ini?

Simpulkanlah. Apabila seorang suami kematian isteri, sesegera itu dia mencari pengganti kerana tanpa isteri hidupnya tiada aturan. Anak-anaknya susah nak makan. Rumahnya akan berselerakan. Tetapi sebaliknya, apabila seorang wanita kematian suami, mereka tidak langsung berfikir untuk berkahwin lagi. Kenapa? Kerana cinta abadikah? Mungkin begitu, tetapi rasanya ada faktor lain, iaitu mereka mahu menikmati satu kebebasan. Mereka tidak mahu terikat dengan sebarang tanggungjawab lagi.

Benarkah kupasan saya kali ini?

Masalah

Nak kata sedih sangat tu tidaklah, tapi memang sangat tidak menggembirakan hati!



Sejak awal minggu ini lagi saya sudah perasan yang Samsung Galaxy Note II saya sedikit sukar untuk dicas. Apabila dimasukkan kabel charger, selang beberapa minit baru menjadi. Rasa hati dah tak sedap dah, tapi malas nak layan. Biarlah dulu, bukan tak boleh cas langsung.

Petang Selasa baru ni, selesai berfacebook dan berinternet bagai, bateri dah tinggal 35%. Saya pun tanpa lengah mula mengecas. Dekat sepuluh minit dah saya masukkan kabel charger tu tapi tak bergerak langsung. Isk!! Tak boleh jadi ni...

Bila suami saya pulang, saya test charger tu dengan telefon dia, ok je. Memang sah telefon saya yang problem! Aduh! Rasa nak menjerit!

Saya selongkar telefon-telefon lama yang ada sebab Note saya ni memang nak kena hantar masuk ward. Malangnya, semua telefon yang ada tu tak boleh pakai. Sedihnya....

Hari Rabu, saya bertahan dengan Note saya yang masih ada bateri sekitar 17%. Itu pun kejap on kejap off. Berjimat cermat gitu...

Habis sekolah, kira-kira jam 3.15 petang, kami ke kb mall. Rupanya kami silap tempat sebab kalau nak baiki telefon kena ke Samsung Service Centre di Lundang. Kecewa lah jugak, tapi tak apa, kita gi esok aje. Hari ni beli dulu telefon baru.

Kalau ikutkan hati nak sambar smartphone jugak yang harga empat lima ratus tapi takut nak minta izin dengan suami. Dah dapat agak yang dia tak bagi sebab nak buat apa smartphone banyak-banyak? Jadi saya cakap saya nak beli telefon murah yang seratus lebih aje sebagai back-up sementara Note saya dibaiki.

Tak sempat nak tinjau banyak-banyak sebab perut dah lapar sangat. Jam dah dekat Asar dah, belum lunch lagi.  So tunjuk je kat model Nokia 110 berharga RM128. Dapat, terus balik. Beli roti dulu kat bakery sebelah tu buat bekal makan dalam kereta. Nasi nanti boleh beli kat Nilam Puri.

So, bergayalah saya dengan Nokia klasik tu dulu. Memang sangat tak selesa sebab dah lama tak pakai telefon tekan-tekan ni, tapi ok lah. Boleh je nak surf internet, nak berfacebook, nak berblog tapi interfacenya tak cun lah. Tak macam Note saya tu!

Khamis semalam, kami ke Lundang. Aduhai, ramai giler orang kat Centre tu. Petugas dia pun sibuk sungguh sampai tak ada pun yang bertanya, "ya puan, boleh saya bantu?" Dahlah susunatur pejabat yang sempit itu sangat tidak mesra mata memandang.

Tiba-tiba saya terpandang notis kat dinding pejabat. Katanya, kalau masalah hp tak boleh cas, kena bawa sekali dengan charger. Rupa-rupanya masalah Note saya ni sangat global hingga dah tertulis kat notis. Hmm, apa nak buat, saya tak bawa charger! Baliklah kami tanpa sempat berurusan apa-apa.

Hari ini, Jumaat. Suami saya ke Kuala Krai. Saya sendirian di rumah. Rindunya nak bersantai dengan Note saya tapi apakan daya, belum sempat berjumpa doktor lagi. Insya Allah esok kami akan ke Lundang lagi, kali ini saya akan bawa selengkapnya, siap dengan kotak dan manual gitu! Harap-harap segeralah ia dibetulkan agar terubat sunyi saya ini.

Sekian.

Thursday, October 24, 2013

Masa Lalu

Memori 1996.

Awal tahun, saya adalah pelajar tahun kepujian yang sedang menyiapkan projek Matematik saya di Fakulti Sains Matematik, UKM. Ia sungguh mencabar namun saya bersyukur kerana dapat menempuh liku-likunya biarpun dengan linangan air mata.

Segala resah itu berakhir pada penghujung April.

Jun, saya menerima tawaran KPLI dan mendaftar sebagai pelajar di MPKT Batu Rakit pada Julai.

Berkursus selama setahun di maktab yang berhampiran dengan rumah sungguh menyeronokkan. Pengajiannya santai, tiada tekanan. Rakan-rakan saling memahami dan akrab sekali. Waktu itu saya bagai tiada masalah langsung. Hampir saban minggu saya pulang ke rumah untuk bersama-sama dengan keluarga kerana tidak tahan rindu. Ya, waktu itu keriangan bergurau senda dan bergelak ketawa dengan dua orang adik manis Ismah dan Zahidah yang masing-masing berusia 9 dan 6 tahun sangat mengujakan. Keceriaan mereka menjadi penawar segala resah yang berbuku dek cinta yang tidak kesampaian!

Kini, ia hanyalah memori.

Sungguh saya amat merindui waktu-waktu itu. Waktu yang tenang tanpa tekanan hidup. Berelaun RM500 cuma, tapi nikmatnya tiada terhingga. Sesekali ke bandar, saya membawa adik-adik menikmati hidangan di restoran KFC. Saya mahu mereka lebih kenal dunia berbanding saya yang hanya melangkah ke KFC buat kali pertama saat diri sudah berusia lapan belas tahun.

Menjelang 1997, saya semakin santai. Apabila tawaran mengajar di Sabah saya tolak, saya sebenarnya menyediakan diri untuk sebuah kerehatan. Biarpun rehat itu seketika cuma, saya amat menghargainya dan sehingga kini saya masih terkenang-kenang betapa bahagianya hidup waktu itu. Bukanlah tiada langsung perasaan sayu dan syahdu tetapi ia terhakis dengan sejuta ketenangan.

1998, saya bergelar isteri seawal Januari. Tamatlah pengembaraan seorang dara dalam alamnya yang tersendiri kerana tanggungjawab sebagai isteri yang sangat besar dan berat ini telah mengambil ruang. Tanggungjawab yang masih saya pikul hingga kini, yang telah mengurangkan waktu saya untuk bersama-sama ibu dan adik beradik.

Itulah hidup dan kehidupan. Bila ia berlalu, barulah kita terkenang-kenang.

Tuesday, October 22, 2013

Harga

Setiap kali saya membeli belah, harga bukanlah sesuatu yang saya kisahkan sangat. Bukan kerana saya ini kaya atau banyak wang, tetapi jika saya berkenan saya tidak kisah harganya selagi ia dalam kemampuan saya. Jarang benar saya tawar menawar hingga tidak jadi beli!

Paling tidak pun, saya cuma bertanya, "berapa boleh kurang?" dan terpulang kepada penjual itu untuk memberi diskaun. Saya tidak pandai meminta harga yang saya mahu kerana saya khuatir ia bakal mengecilkan hati penjual itu. Jika saya rasa mahal, saya tidak beli. Semudah itu.

Di kedai makan pun begitu juga. Apa yang saya makan itulah yang saya bayar. Saya masih punya rasa yakin dengan kejujuran peniaga kedai makan di negara kita. Kalau nasi saya berlaukkan ikan kerapu dan sambal sotong, takkan saya mengharapkan harganya cuma tiga ringgit?

Cuma saya sedikit tidak selesa jika pekedai itu berkata, "hmm.. ikan mahal sekarang. Susah nak dapat yang murah" atau "sotong ni dekat dua puluh ringgit sekilo" Seolah-olah saya mahu harga yang murah, yang tidak setimpal dengan apa yang saya makan. Seolah-olah saya tidak tahu kenaikan harga yang berlaku sekarang.

Saya hanya menjawab, "tak apa, saya tak kisah. Dah saya makan banyak tu, saya bayar banyak tu lah".

Harap kata-kata saya tidak menggores hatinya.

Saturday, October 19, 2013

Mabrurkah?

Esok, 15 Zulhijjah 1434H bermulalah penerbangan pulang jemaah Malaysia ke negara ini setelah 45 hari diberi ruang berada di tanah suci.
Seringnya, sepulang daripada menunaikan fardhu haji di Mekah, ramai yang mahu melihat perubahan baik seseorang individu itu. Kata ulama', ada tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu mendapat haji mabrur. Antaranya ialah perubahan akhlak menjadi lebih baik, semakin rajin beribadat dan meninggalkan maksiat.

Nabi SAW juga bersabda, haji mabrur itu tiada balasan selain syurga.

Tahukah kita adakah kita mendapat haji yang mabrur? Kita sentiasa bermohon dan berharap daripada-Nya, sama ada sebelum ke tanah suci, semasa di sana atau setelah pulang semula ke rumah kita. Sentiasa sahaja kita bermohon agar Allah menerima amal ibadat kita dan memabrurkan haji kita. Sentiasa, sehingga ajal kita tiba.

Apa pun, jawapannya tidak pernah kita tahu. Kita hanya mampu menyimpan harap dan tidak akan sekali-kali berhenti berharap, walaupun setelah bertahun-tahun kita pulang daripada menunaikan haji kerana kita tetap seorang manusia yang sering berdosa. Tiada seorang insan pun yang pulang dari Mekah, mendapat haji mabrur lalu Allah menjadikannya malaikat!

Apabila kita masih lagi manusia, rutin hidup seorang manusia akan terus kita lalui.

"Ustaz, mabrurkah haji seseorang itu yang masih lagi suka marah-marah dan panas baran selepas pulang ke Malaysia?"

Itu soalan seorang penonton dalam rancangan Salam Baitullah yang sedang saya saksikan sekarang.

Saya pun berfikir. Menaakul dan mencari satu rasionalnya. 

Friday, October 18, 2013

Celaru

Kestabilan emosi saya hari ini sedikit tergugat. Entah. Tidak tahu mengapa. Bagai ada yang tidak kena tetapi tidak dapat saya cari di mana dan apa puncanya. Hari ini saya cuma bersendirian di rumah, seharian. Saya langsung tidak ke mana-mana. Bukan tidak mahu, tetapi tidak berlaku. Saya memaku diri di sini, di rumah ini.
 
Pagi tadi, saya memasak. Tengah hari ini, pun saya memasak. Dan sebentar lagi, untuk makan malam, saya akan memasak juga. Aduh! itu sudah satu tekanan buat saya. Berkali-kali memasak dalam sehari bukanlah sesuatu yang enak. Malang, tiada satu jemputan pun untuk kami hari ini seperti hari-hari kelmarin.

Tetapi saya yakin, bukan itu faktornya emosi saya jadi tergugat. Bukan itu yang menyebabkan hati saya terasa hiba. Ada sesuatu yang lain, yang saya sendiri tidak dapat mencarinya.

Mungkin saya perlukan sedikit ruang kebebasan. Ya, berjalan-jalan di shopping complex contohnya. Melayan kehendak sendiri dan melihat-lihat persekitaran yang berbeza mungkin boleh menjadi penawar ketidakstabilan ini. Makan dan berbelanja seadanya. Saya rasa saya perlukan itu. Sendirian pun tidak mengapa, malah mungkin lebih menyeronokkan.

Harap-harapnya, akan ada ruang buat saya menyelesakan diri sendiri.

Thursday, October 17, 2013

Qurban

Salam Aidil Adha.

10 Zulhijjah telah dua hari berlalu. Suasana hari raya masih lagi ada kerana pada setiap hari, kami ada jemputan makan. Hari raya pertama, kami dijemput makan di rumah kak Rohaini, Abang Deraman dan Asmadi. Ketiga-tiganya kami hadir dan alhamdulillah kami kenyang sampai malam.

Semalam, juga ada tiga jemputan pada siang hari dan satu jemputan untuk malam. Keadaan hanya mengizinkan kami hadiri hanya dua daripadanya. Dan hari ini, jemputan yang ada cuma satu sahaja dan kami tiada aral untuk ke sana. Alhamdulillah.

Esok dan lusa, kami belum menerima apa-apa panggilan lagi. Jika ada, pasti kami akan menyudikan diri.

Beginilah suasana hari raya korban di negeri Kelantan ini. Rasanya, untuk tahun-tahun seterusnya wajarlah kerajaan mempertimbangkan untuk memanjangkan sedikit cuti bagi memberi ruang saudara-saudara kami yang jauh pulang beraya lebih lama. Bukan apa, cuti sehari tidak memadai langsung kerana majlis korban berlangsung empat hari. Jika boleh, pendekkan cuti raya aidil fitri kerana dalam bulan Syawal, puasa enam lebih diberatkan.

Semoganya.

Wednesday, October 16, 2013

Hakikat

Hati manusia memang penuh dengan misteri. Penuh dengan ketidaktentuan dan sukar mencari ruang ketenangan yang hakiki. Hati manusia memang begitu. Hati aku tidak terkecuali kerana aku ini manusia.

Saat fizikal lelah dengan pelbagai tugasan, terasa mahu bercuti dan bersantai di rumah. Apabila cuti hadir, sukarnya mencari ruang untuk melayan diri sendiri sepenuh hati!

Itulah hakikat kehidupan yang perlu aku lalui. Banyak yang diingini tidak mampu aku gapai, tidak berdaya aku capai, kerana aku ini manusia yang terlalu meminta-minta!

Tuhan, ampuni aku!

Saturday, October 12, 2013

Minda

Kononnya, ia berita gempar. Apabila Zubir BH mendedahkan siasatannya tentang perkahwinan dua orang artis terkenal ini - Aeril Zaefril dan Wawa Zainal - pelbagai spekulasi yang timbul. Apatah lagi ia rentetan daripada penafian kedua-duanya apabila ditanya tentang perkahwinan itu sebelum ini.

Kata Zubir, Aeril dan Wawa telah bernikah pada 4 Februari 2013 dan Wawa telah pun melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat seberat 3.12 kg pada 24 Ogos baru-baru ini, diberi nama Ahmad Fakhruddin Attar.

Pembaca pun mula menekan kalkulator. Apa! Anak luar nikah?

Gemparlah satu Malaya.

Semalam, mereka berdua tampil membuat pengakuan. Kata Aeril, mereka telah sah bernikah pada 25 Februari 2012 lagi, tetapi tanpa sebarang dokumen dan tidak didaftar kerana mereka tertakluk dengan kontrak MIG Productions milik David Teo yang melarang artis mereka bercinta dan berkahwin. Apabila Wawa disahkan mengandung pada Januari 2013, barulah mereka mengadakan majlis pernikahan sekali lagi iaitu pada 25 Februari 2013.

Sekali lagi, pelbagai spekulasi timbul.

Ada yang meragui kesahihan kenyatan Aeril. Ada juga yang menganggap pernikahan dua kali itu tidak sah. Ada yang marah-marah kerana mereka lebih takut pada David Teo berbanding pada Allah taala.

Terserahlah. Kamu boleh sahaja membuat pelbagai andaian dan tanggapan. Cuma, setiap andaian dan tanggapan kamu itu mencerminkan minda dan jiwa kamu.

Terbaik, cukuplah doakan agar mereka bahagia. Tak perlu memanjang cerita kerana ia hanya sia-sia.




Cinta

Tentang cinta
yang datang perlahan
membuatku
takut kehilangan...

Sedarlah, cinta itu bukan untuk menerima. Jika kita manusia yang faham tentang erti sebuah cinta, tentu sahaja kita tidak akan sekali-kali membiarkan diri menjadi hanya penerima. Menerima itu bukan takrifan sebuah cinta, kerana pengertian cinta itu adalah memberi.

Love has nothing to do with what you are expecting to get
 — only with what you are expecting to give — 
which is everything.

Wukuf

Besok para jemaah haji akan bergerak menuju ke Arafah untuk memenuhi rukun haji yang juga kemuncak ibadah ini iaitu wukuf.

Mengimbas kembali tarikh ini tiga tahun yang lalu, kebetulan ia jatuh pada hari yang sama. Kami bergerak ke Arafah sekitar jam 12.15 tengah hari Ahad, 14hb November 2010 dan selamat tiba pada jam 1.55 petang. Cuaca amat cerah sekali menyambut ketibaan kami jemaah KT34 dari maktab 78. Rupanya kami antara yang terawal tiba kerana kebanyakan bas masih berpusing-pusing mencari jalan dalam kesesakan yang tidaklah seteruk mana.

Sebaik diberi tempat, saya mencari tandas untuk berwuduk dan bersolat. Malangnya, air masih belum lagi disediakan di tandas. Terpaksalah saya kembali ke khemah untuk berehat dan mengunyah bekal yang saya bawa. Hanya sebiji epal merah dan sebotol air mineral.

Di sini, kami diminta bersolat jamak tamam kerana kami berada dalam suasana yang sukar.

Alhamdulillah, walaupun dalam khemah agak panas, tetapi angin di luar sangat sejuk dan mendamaikan. Khemah saya pula begitu strategik kerana sangat hampir dengan bilik air.

Perut saya rupanya tidak mampu bertahan dengan sebiji epal sebagai makan tengah hari. Biskut dan roti ada, tetapi tekak mahukan nasi. Apakan daya, menjelang 9.00 malam barulah nasi sampai ke khemah kami. Walaupun lapar, saya tidak mampu menghabiskan nasi itu kerana terasa tiada selera pula.

Keesokannya, hari wukuf pun menjelang tiba. Saya mengambil peluang sebaik-baiknya untuk mengisi hari ini dengan penuh bermanfaat. Kami bersolat jemaah, mendengar khutbah Arafah, mengaji dan berdoa sebanyak-banyaknya. Semoga Allah menerima pengabdian kami ini kerana entah ada atau tidak peluang untuk kami berada di sini lagi.

Thursday, October 10, 2013

Tiada

Saya mencari-cari, tetapi sampai hari ini tidak langsung saya temui.

Beratus ribu keping gambar tersimpan rapi dalam komputer riba saya ini. Selalunya, saya gemar merakam dan menyimpan kerana setiap gambar itu memiliki seribu satu cerita. Ke mana sahaja saya pergi, kamera pasti ada bersama-sama. Apatah lagi dengan kecanggihan teknologi kini, satu gajet sahaja perlu dibawa kerana segalanya terangkum dalam satu.

Tapi kali ini saya kecewa. Puas saya menggali dan menyelongkar, sekeping gambar pun tiada. Gambar arwah sepupu saya, Allahyarham Halina Abdul Majid yang pergi menemui Penciptanya tiga hari lepas. Sangat saya kecewa!

Terasa sangat tidak munasabah, bukan?

Ibunya, Siti Hajar adalah adik beradik sebapa dengan arwah ayah saya. Mereka lahir pada tahun yang sama (1944) dari ibu yang berbeza. Pun mereka akrab, dan ayah pernah bercerita, mereka ke sekolah bersama-sama.

Sayangnya, keakraban mereka tidak terwarisi kepada anak-anak. Kami, walaupun sepupu, terasa begitu asing sekali. Bertemu jarang-jarang, dan keramahan pula bagai tiada. 

Arwah Halina baru berusia 37 tahun tetapi telah tertulis usianya setakat di situ sahaja. Dia pergi kerana masalah jantung, dan meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil. Sebak dada saya saat menatap wajahnya yang kaku di pembaringan. Meski kemesraan bagai tiada, kasih seorang saudara tetap menjadi miliknya.

Semoga rohnya tenang di sisi Tuhan, dan keluarganya tabah menerima kehilangan.

Amin.

 Hari ini, Sabtu 12/10 saya mencari wajahnya di sksi1.edu.my dan berjaya menemui gambar ini. Cukuplah, sebagai kenangan sebelum diri juga dibawa pergi ke alam yang sama.

Tuesday, October 08, 2013

Biarkanlah

Saya mahu mendidik mereka. Bukan tiada semangat yang menggunung dalam jiwa seorang guru seperti saya ini untuk memberi sehabis baik. Saya tidak kisah mereka lemah, atau tidak pandai, atau lambat faham, asalkan mereka mahu. Saya sudi membimbing mereka hingga ke saat-saat terakhir.

Namun, daya apa yang saya punya jika daripada sembilan belas orang pelajar itu, hanya tiga yang mahu menyerah jiwa dan raga kepada saya? Selebihnya, entah ke mana pergi. Ada yang tidak hadir, ada yang bersembang kosong di koridor, ada yang menyanyi-nyanyi di kelas sebelah, dan ada yang tidur di belakang sana!

Perlukah saya menjerit, memanggil dan menyuruh mereka duduk di hadapan saya kerana saya mahu mengajar? Wajarkah saya mengerah tenaga saya untuk mengejar dan mencari mereka, membawa mereka kembali ke kelas dan memaksa mereka duduk mendengar pengajaran saya?

Memang saya sangat buntu. SPM tidak sampai sebulan sahaja lagi tetapi karenah mereka tetap seperti itu. Seperti tidak apa-apa.

Benar, saya boleh sahaja membiarkan mereka. Mereka yang tidak mahu, kenapa saya mesti memaksa diri memberi? Mereka memilih untuk begitu, untuk menuju jalan hidup sebegitu. Biarkanlah!

Kudrat saya sememangnya kian hari kian mengurang. Faktor usia, juga kesihatan yang tidak berada pada tahap terbaik ini memang memberi kesan kepada semangat dalam diri. Saya sudah tidak mampu untuk berlama-lama memberi ruang kepada mereka. Saya perlu memberi ruang kepada diri sendiri juga.

Mujurlah, ada penawar hati yang memberi sedikit rasa bahagia dalam kalangan mereka. Walaupun tidak ramai, cukuplah. Tidak perlu saya menyusahkan diri untuk yang tidak mahu kerana saya boleh sahaja memberi kepada yang mahu.

Ya Allah, bantulah anak-anak didikku menempuh dugaan hari-hari mendatang.

Sunday, October 06, 2013

Perak

Permohonan adik ipar saya, Norhafizah yang bertugas di Miri untuk pulang mengajar di Semenanjung akhirnya diluluskan juga. Dia diminta melapor diri di SK Temelok, Trong, Perak pada awal bulan ini.

Tiada pilihan lain, suami saya sebagai mahramnya yang terdekat perlu menghantarnya ke sana. Kami memilih hujung minggu iaitu hari Jumaat dan Sabtu untuk tujuan itu kerana cuti rehat kami sudah tidak banyak mana. Rancangan kami, jam 10 pagi Jumaat, 4hb Oktober kami akan bertolak ke Taiping, dan Sabtu esoknya pulang ke rumah semula. Di Taiping, kami bakal berada di rumah anak saudara suami saya, Ustaz Fakhruddin yang bekerja di sana sejak 2009.

Benarlah, kita hanya merancang. Pagi Jumaat itu kakak ipar saya Rohaizan memaklumkan yang anak perempuannya Atiyah mengalami pendarahan tiba-tiba dan dimasukkan ke ward pagi ini. Atiyah sedang hamil anak sulung dan dijangka bersalin hujung November ini. Dia berada di Pulau Pinang. Kak Rohaizan mahu bersama-sama kami ke Perak dan meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang pula untuk melawat Atiyah.

Kami mengubah perancangan dan turut bersama-sama mereka ke Pulau Pinang. Jam tiga setengah petang kami tiba di rumah Fakhruddin di Taiping, dan jam enam petang kami bergerak menuju ke Pulau Pinang pula. Sekitar 7.30 malam kami selamat tiba di sana dan bermalam di rumah Atiyah.

Alhamdulillah, Atiyah selamat dibedah pada tengah hari Sabtu 5hb Oktober pada minggu ketiga puluh dua kehamilan. Bayinya seberat 2.1kg diletakkan di wad neonatal selama tiga minggu untuk pemantauan doktor.

Tahniah buat Atiyah dan suami. Semoga kehadiran Muhammad Hazeeq Isa membawa seribu rahmat dan kebahagiaan buat kalian.

Wednesday, October 02, 2013

Doa Untuk Wajih

Sentiasanya, saya alah dengan tangisan bayi. Tangisan mereka membuat jiwa saya kesasar dan tidak tentu arah. Saya sukar mentafsir makna tangisan itu. Sungguh, jahil benar saya dalam bab yang satu ini.


Wajih, anak saudara saya baru berusia tiga belas bulan. Belum pun pandai bertatih, apa lagi berbicara. Comel wajahnya sudah lama tidak berhias senyum dan tawa. Ada sahaja rengekan yang didengari saban ketika. Biar pun jarang-jarang saya bersua dengannya, tetapi saya dapat rasakan yang dia sedang menahan rasa ketidakselesaan yang tiada siapa pun yang tahu.

Rengekannya yang berterusan, bernada sayu dan menyentuh kalbu.

Semalam, dia dimasukkan ke wad setelah beberapa hari dalam keadaan tidak ceria dan kurang bermaya. Kata doktor, darahnya dijangkiti kuman.

Patutlah dia begitu. Patutlah dia menangis sentiasa kerana itu sahaja cara yang dia tahu untuk memaklumkan ketidakselesaannya. Kasihan Wajih.

Ya Allah, Engkau berilah kesembuhan kepada bayi ini. Engkau kembalikan keceriaan pada wajahnya dan Engkau pulihkan dia seperti sedia kala. Engkau yang Maha Penyayang, lagi Maha Berkuasa ya Allah. Engkau yang Maha menyembuhkan segala penyakit. Hanya pada-Mu kami meminta. Tabahkan hati-hati ibu dan ayahnya, juga seluruh ahli keluarganya dalam menempuh ujian-Mu ini, dan ampunilah segala dosa kami.