Sunday, April 27, 2014

Lesu

Saya kelesuan. Uzur saya berpanjangan hingga hari kesebelas hari ini dan ia masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda. Risau, takut serta lemah bersarang dalam diri. Apabila badan kehilangan darah yang sebegini banyak tentu sekali ia merisaukan saya. Dengan aras hemoglobin saya yang sentiasa rendah daripada normal, keadaan ini menakutkan.

Pagi ini saya sangka ia akan berkurang tetapi meleset. Menjelang tengah hari saya berulang-alik ke bilik air entah berapa kali. Sangat tidak selesa. Apatah lagi saya terpaksa menghabiskan enam masa untuk pengajaran hari ini. Tidak mampu saya gambarkan rasa itu bagaimana.

Dan di rumah, ia berterusan.

Saya enggan terus bergantung dengan ubat-ubatan itu. Ia hormon sintetik yang tentunya ada kesan jangka panjang. Kerana itu saya berhenti mengambilnya dua minggu lepas dan inilah yang saya alami.

Suami saya membawa pulang daun mas cotek untuk saya rebus dan minum. Katanya ia ubat kampung untuk sakit seperti saya ini. Sejak semalam, saya tanpa protes meminumnya dengan doa dan selawat. Semoga mujarab.

Tuhan, legakanlah kesakitan ini. Aku ingin sihat dan terus berbakti di bumi-Mu sebelum masaku untuk pulang menemui-Mu tiba. Perkenankanlah.

Saturday, April 19, 2014

Berkurung

Semalam dan hari ini saya benar-benar berkurung. Tidak keluar langsung saya dari rumah, hanya terperap dalam bilik dan sekali-sekala keluar ke dapur. Walaupun hujung minggu selalunya saya keluar berbelanja di kedai dan di pasar, tetapi kali ini saya hanya menulis senarai barang yang saya mahu dan suami saya sahaja yang keluar. Rumah emak pun saya tidak pergi.

Kenapa ya?

Kerana saya tiada mood. Saya tiada keinginan untuk ke sana ke mari kerana saya mahu berehat sepenuh hati. Di rumah, saya cuma melakukan kerja-kerja rutin sahaja - memasak, membasuh kain, melipat kain, menggosok baju dan menyapu rumah. Hanya beberapa minit sahaja kerja saya itu dan selebihnya, saya membaringkan diri di katil dan mengadap tv, atau melayari internet.

Sungguh santai dan saya menggemarinya. Kebetulan saya sedang uzur, jadi saya boleh melayan diri sendiri sekehendak hati. Tidur dari Zohor membawa ke Asar.

Jarang-jarang saya begini. Mungkin kerana perubahan hormon yang mengurangkan kestabilan emosi membuat saya tiada kepingin aktiviti-aktiviti lain selain memerap di rumah. Dan ia satu nikmat yang berbeza.

Pun kenyataannya, saya rindu pada emak dan adik-adik di seberang jalan sana. Hajatnya ingin ke sana malam ini kerana suami saya ada kelas mengaji berdekatan dengan rumah emak. tetapi mata saya mengantuk amat. Saya tangguhkan niat itu ke minggu hadapan, dan saya akan tidur sebentar lagi.

Emak dan adik-adik, tak rindu saya ke?


Tuesday, April 15, 2014

Prep Malam

Malam ini saya bertugas memantau pelajar asrama prep malam. Sekali dalam dua bulan giliran saya tiba. Dan ini pertama kali.

Seawal 8.45 malam, sebaik selesai makan di kedai makan Fahmi Tomyam, saya tiba di sekolah dihantar suami. Sekitar jam 9.00 kelihatan pelajar berduyun-duyun turun ke bilik prep masing-masing. Saya pun memulakan rondaan.

Pertama saya ke kantin. Pelajar perempuan tingkatan 1 dan 2 prep di sana. Tenang sahaja mereka. Saya cuma melintasi mereka sekali lalu sahaja.

Seterusnya saya ke kelas. Di sini suasana lebih hingar tetapi terkawal. Saya meronda sekali dan masuk ke bilik pelajar tingkatan 4. Mereka kebanyakannya pelajar saya.

Seronok melihat mereka. Ada kenangan yang mengusik ingatan kerana suatu masa dahulu saya juga seperti mereka, turun prep setiap malam.

Waktu itu, ia seronok sekali. Menyiapkan homework sambil berbual dan bercerita amat membahagiakan. Sungguh saya berasa beruntung memiliki waktu-waktu itu kerana bukan semua orang ada kesempatan sebegitu. Indah sebenarnya berada di sekeliling sahabat seperjuangan dari siang membawa ke malam. Ia akrab yang berbeza. Ada rasa sayang yang tidak terhingga.

Kerana itulah, kami kekal berhubung hingga kini. Ikatan yang terbina terlalu utuh untuk dileraikan. Sejauh mana pun saya lari, mereka tetap mencari.

Semoga pelajar-pelajar saya ini juga begitu. Riang mereka berbincang dan belajar bersama, biarlah berterusan sampai bila-bila.

Monday, April 14, 2014

Cuaca

Panas benar hari ini. Peluh menitik-nitik di dahi dan membasahi belakang badan saya. Melekit. Sungguh tidak selesa.

Bilik saya bekerja ini tiada pendingin hawa. Yang ada cuma pusingan kipas yang tidak selaju mana. Saya sudah membeli sebuah kipas berdiri untuk menambah edaran angin dan Alhamdulillah ia menambah sedikit keselesaan.

Pun, kipas-kipas di dalam kelas yang saya mengajar ini sangat perlahan pusingannya. Tidak mampu ia mendinginkan badan saya yang sedang berpeluh-peluh ini. Saya membayangkan, kalaulah kelas-kelas ini dibekalkan pendingin hawa, tentu pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermutu. Tentu murid-murid saya lebih bersemangat.

Tak mengapalah. Saya tetap teguh berjuang memartabatkan ilmu di dada-dada murid saya yang sangat saya sayangi ini biar apa pun suasananya.

Saturday, April 12, 2014

Cerita

Tengah hari Khamis lalu, saya pulang ke rumah emak. Suami saya sudah pun bertolak ke Alor Setar seawal jam 8.00 lagi bersama-sama rombongan sekolahnya. Sabtu nanti baru pulang.

Saya tiba di rumah emak sekitar jam 2.20 petang. Sunyi sekali. Emak sedang bersolat di biliknya dan pintu depan sengaja tidak dikunci. Saya terus menuju ke dapur dan membuka saji. Ada lauk yang masih panas. Tentu emak baru siap memasak.

Usai emak solat, dia mengajak saya makan. Berdua kami menikmati hidangan tengah hari air tangan emak yang sangat saya rindui itu, penuh berselera. Singgang kacang bendi dan ikan bakar cuma, tetapi saya makan bertambah-tambah. Lazatnya berbeza sekali.

Adik Ismah masih bekerja, adik Zahidah pula sedang memenuhi ruang santainya bersama kawan-kawannya. Hanya saya dan emak di rumah ini.

Badan saya penat sekali. Bebanan tugas yang hadir pada minggu ini sangat menyesakkan dada saya. Saya butuh rehat. Berbual-bual dengan emak seketika di ruang tamu, lalu saya beredar untuk mandi, solat dan seterusnya melayan lena sebentar di bilik Ismah.

Menjelang petang, Husna dan anak-anaknya sampai. Hilanglah sunyi yang menguasai sejak tadi, apabila dipenuhi suara-suara manja anak-anak manis itu.

Malam ini, saya mengisi perut dengan nasi tengah hari tadi juga sepinggan pulut inti yang enak sekali. Ismah pula belum pulang-pulang lagi, lalu saya tidur dahulu.

Pagi Jumaat yang bening menyambut saya dengan mentari pagi memancar terang. Emak memasak nasi goreng untuk sarapan, dan kami bertiga menikmatinya penuh berselera.

Aziah dan Muiz tiba untuk memeriahi hari ini, saat Ismah sudah pun keluar ke tempat programnya. Zahidah pula hanya pulang pada tengah hari.

Jam 2.40 petang, saya, Aziah, Muiz dan Zahidah keluar ke KB Mall. Ismah kelihatannya penat, dan tidak bersama-sama kami. Di KB Mall, kami makan di Pizza Hut sebelum membeli belah di Watson, Pacific dan Popular. Jam 5.00 petang kami pulang.

Saya singgah sebentar di rumah mek. Sebagai menantu tentu tidak manis jika tidak menziarahi ibu mentua ketika berdekatan begini. Dia sedang berehat di bangku simen di depan rumah Kak Zan saat saya menyapanya. Sempat juga saya dijamu laksam oleh Kak Zan sebelum saya pulang ke rumah emak semula.

Malam ini, saya memasak mihun goreng untuk hidangan kami berempat. 

Jam 11.00, saya melenakan diri.

Dan pagi ini, Sabtu, Ismah dan Zahidah menghantar saya pulang ke rumah sebelum mereka meneruskan aktiviti masing-masing. Di rumah sendiri, saya menyelesaikan segala kerja yang tertunggak sejak dua hari lalu.

Suami saya sudah dalam perjalanan pulang. Insya Allah petang nanti sampailah dia dan rombongannya kembali ke kampung kami ini.

Wednesday, April 09, 2014

Rasa Yang Resah

Sesekali, saya berfikir untuk menamatkan segala kepenatan ini. Bukan untuk pergi mati, tetapi mahu melapangkan dada dan fikiran daripada segala kesesakan kerja yang tidak pernah mahu habis. Ada waktunya, saya kasihankan anak-anak murid saya kerana masa saya sangat terhad buat mereka. Kalaulah menjadi guru ini tidak perlu bergelumang dengan segala perkara yang entah apa-apa, tentu sekali saya sempat memberi mereka segala kelengkapan yang perlu. Apabila membayangkan wajah-wajah mereka yang begitu mengharap, saya rasa sangat bersalah.

Maafkan cikgu.

Sejak awal minggu ini, cikgu tidak punya ruang langsung untuk bersedia buat kalian. Setiap waktu lapang cikgu, terisi dengan sebeban kerja. Kerja yang tidak akan memberi kecemerlangan pun buat kalian semua, tetapi cikgu tetap perlu lakukan. Setiap hari cikgu pulang ke rumah kepenatan. Tiba malam, cikgu masih perlu menghadap komputer, menyelesaikan apa yang patut. Sungguh cikgu penat, sehinggakan jika ada sedikit ruang untuk diri, cikgu isi dengan rehat. Cikgu masih belum berdaya mencari bahan dan menyediakan soalan yang boleh kalian gunakan sebagai latihan. Terpaksalah cikgu menjadikan buku teks itu sebagai teman setia kalian buat masa ini.

Cikgu berjanji, seminggu dua lagi apabila selesai segala tugas dan beban ini, cikgu akan memberi tumpuan yang lebih dan cuba mencari masa yang banyak untuk kalian. Cikgu mahu kalian memberi sepenuh keyakinan dan kita sama-sama menuju ke arah kecemerlangan.

Boleh, kan?

Friday, April 04, 2014

Dia Telah Tiada

Sahabatku Na sayang,

Menulis cerita tentangmu di sini ternyata sukar. Terlalu banyak air mata yang sentiasa ingin menuruni kelopak mataku setiap kali kucuba memutar segala kenangan bersamamu. Pun, aku tetap ingin menukilkannya di sini, kerana ini sahaja tempat aku mencurah setiap rasa yang ada. Rasa kasih dan rinduku padamu, sahabat.

Nyata, Allah sangat mengasihimu. Betapa mulianya hati dan jiwa seorang Ratnawati binti Ibrahim, setiap yang pernah mengenali tidak akan mampu menafi. Wajah yang sentiasa bercahaya ceria, senyuman yang tidak pernah hilang dari bibir, dan bicara yang sentiasa menenangkan jiwa. Na, engkaulah itu sahabatku yang sentiasa istimewa biarpun kini engkau telah pergi meninggalkan kami. Mendadak sekali Na, kerana baru sahaja aku membaca celoteh lucu dan manismu di kumpulan WhatsApp kita, tiba-tiba mereka bercerita tentang kemalangan yang menimpamu. Mereka kata, engkau parah dan dirawat di ICU.

Aku tidak percaya.

Tetapi, itulah kenyataannya. Engkau terus lena, dan akhirnya Tuhan memanggilmu pulang pada malam Jumaat penuh barakah diiring pelbagai rasa sayu dan hiba keluarga dan teman-temanmu.

Aku ini Na, serasa mahu terbang ke sisimu, tapi upayaku amat terhad. Dari kejauhan, hanya doa mampu kutitipkan. Berehatlah Na, kerana engkau wanita yang dikasihi Tuhan. Bertabahlah suamimu Army, dan anak-anakmu Hadi, Imran dan Yaya. Juga, ibu dan ayahmu yang begitu setia disisimu, bersama abang dan adik-adikmu. Betapa remuknya hati mereka, tetapi aku tahu mereka redha. Dan, aku juga redha.

Lama benar kita bersahabat Na, sejak tingkatan satu (1985) hingga selesai ijazah sarjana muda di UKM (1996). Kemudian selepas kita masing-masing berumah tangga (1998) hubungan kita terputus sementara sehinggalah kita bertemu kembali di alam maya pada 2002. Dan hubungan itu kekal hingga kini.

Kehadiranmu ke rumahku sepulangnya aku dari mengerjakan haji pada hujung 2010 menjadi pertemuan terakhir kita di alam realiti. Pun, engkau sentiasa mesra menyapaku di maya. Harijadiku sering kau ingati padahal aku ini jarang-jarang menyedari tibanya harijadimu. Maafkan aku untuk itu Na.

Terima kasih Na kerana pernah hadir dalam hidupku. Bahagia yang engkau bawa mewarnai seluruh jiwaku. Aku akan mengenangmu sampai bila-bila. Tunggu aku di syurga ya Na!

Terima kasih Tuhan menghadiahkan aku sahabat seistimewa dia. Jagakan dia, bahagiakan dia, damaikan dia disisi-Mu....