Pagi Sabtu itu, saya mencari penyelesaian. Entah mengapa kesakitan kali ini sengatnya begitu berbisa, dan bisanya menular ke serata tubuh saya, bagai tiada simpati!
Kami akhirnya menuju ke Wad Kecemasan di HUSM pada jam 10 pagi, 20hb September itu.
Nyatanya, wad itu dipenuhi pesakit yang sungguh ramai. Saya tidak mahu berkira banyak, saya tetap mahu berjumpa doktor biar pun harus menunggu berjam-jam.
Sekitar jam 12 tengah hari, nama saya dipanggil. Saya dikategorikan sebagai pesakit separa kritikal maka penantian saya lebih pendek daripada pesakit lain. Alhamdulillah.
Seorang doktor wanita yang saya kira berusia sekitar awal 30-an, bertubuh kurus tinggi, berkulit hitam manis dan berkaca mata menyapa saya. Dia meminta saya bercerita tentang sakit saya. Seterusnya, saya dibawa ke katil untuk diimbas.
Rupanya, dia meminta saya menanti di situ, di atas katil, sambil berbaring. Dia mahu menelefon doktor pakar untuk memastikan apakah saya perlu diwadkan. Lama benar dia mencari jawapan.
Tiba-tiba peluh sejuk dan peluh panas mula memercik. Memikirkan suasana wad, dan perasaan yang akan saya alami apabila berada di situ, saya mula seram sejuk. Tidak, saya enggan masuk wad!
Seorang pembantu perubatan lelaki datang menghampiri. Setelah mengesahkan nama saya, dia mula mencucuk tangan saya dengan drip seperti mahu ke wad layaknya!
"Encik, saya kena masuk wad ke?"
"Belum tahu lagi, kak." Jawabnya ramah. "Kita ambil darah dulu."
Lamanya!
Beberapa minit kemudian, seorang jururawat pula datang mengambil tekanan darah saya."
"Saya kena masuk wad ke?"
"Belum tahu kak. Kak tunggu ya, nanti doktor akan cakap."
Tuhan! Mengapa lama sungguh mereka mencari jawapan? Saya tidak berhenti-henti berdoa agar saya boleh saja pulang ke rumah dan tidak perlu masuk wad. Dapat saya bayangkan betapa seksanya hari-hari saya di wad nanti. Betapa ramainya orang yang akan saya susahkan jika saya berada di wad. Sungguh saya tidak mahu masuk wad!
"Kak, doktor pakar kata ambil ubat dahulu, dan temujanji akak di klinik OnG akan dipercepatkan."
Tiba-tiba suara doktor wanita itu menyapa telinga saya.
"Saya tak perlu masuk wad?"
"Tak."
"Alhamdulillah!"
Saya rasa sihat serta merta. Terus saya turun dari katil dan menuju ke kerusi di meja doktor. Saya minta jarum drip saya dibuka. Jururawat mencatat tarikh temujanji baru saya pada kad saya dan saya boleh saja beredar. Alhamdulillah! Entah berapa kali saya melafazkannya dan saya benar-benar lega!
Pulang ke rumah, saya cuak juga kalau-kalau sakit itu menyerang lagi. Alhamdulillah petang ini segalanya berlangsung nyaman. Tiada kesakitan yang keterlaluan dan saya mampu berehat seperti yang saya mahu.
Kini saya menanti 30hb September untuk menuju ke klinik Pakar OnG HUSM pula.