1989.
Cikgu Zawawi Ahmad memulakan pengajaran tajuk Pembezaan pada suatu pagi yang hening, sewaktu saya di Tingkatan Lima MRSM Kuala Terengganu. Wajah manis cikgu Zawawi yang tidak pernah lupa untuk senyum walau tika senang atau tika marah masih mampu saya bayangkan dengan jelas. Jika tidak mengetahui bidangnya, tentu ramai meneka cikgu Zawawi ialah seorang ustaz dek raut wajah tenang dan bersahaja miliknya.
Bagaimana cikgu Zawawi memulakan pengajaran tentang konsep kecerunan yang seterusnya membawa kepada Pembezaan Prinsip Pertama masih saya ingat hingga kini. Penerangannya jelas, dan saya boleh faham dengan sekali itu sahaja.
Itulah cikgu Matematik Tambahan yang sangat cemerlang pernah saya temui. Dia jarang berjenaka walaupun kerap juga bernada sinis apabila menegur kami yang tidak siap kerja rumah tetapi sinisnya masih bernada manis. Kami terasa, tetapi tidak terluka. Bijaknya dia menyusun kata, hebatnya dia memberi jiwa, membuat saya jatuh cinta pada Matematik Tambahan sehingga ke hari ini.
Kini, saya juga seorang cikgu Matematik Tambahan sepertinya. Memang saya tidak sehebat dia kerana saat saya memulakan pengajaran Prinsip Pertama Pembezaan kepada para pelajar saya, mereka seperti kebingungan. Pada hal sewaktu saya mempelajarinya dari cikgu Zawawi dahulu, sekali sahaja penerangannya saya sudah mampu menyelesaikan sendiri. Sungguh luar biasa cikgu Zawawi, dan saya tidak setara itu.
Melihat wajah bingung anak-anak didik saya, saya tidak menerangkan langsung konsep kecerunan yang membawa kepada Pembezaan Prinsip Pertama itu. Bagaimana boleh saya menggambarkan perubahan pada nilai y itu yang menghampiri sifar jika dibahagi dengan perubahan pada x yang juga menghampiri sifar akan memberi nilai kecerunan tangen?
Lalu saya cuma memberitahu, dy/dx ialah kecerunan tangen tanpa menjelaskan kenapa ia begitu. Bukan kerana saya memperkecilkan kebolehan mereka memahami, tetapi saya risau semakin saya menerangkan, semakin pening mereka jadinya.
Cukuplah dengan Prinsip Pertama sahaja. Saya mulakan dengan Prinsip Pertama, bukan dengan konsep kecerunan. Semoga apabila mereka melanjutkan pelajaran dalam jurusan Matematik di Universiti nanti (pastinya bukan semua) mereka akan bertemu konsep kecerunan ini di sana. Dan bagi yang tidak menjurus begitu, tidak perlulah mereka mempelajarinya.
No comments:
Post a Comment