Friday, June 30, 2017

Zaman


Masih dalam mood hari raya, walaupun sudah 6 Syawal. Begitu zaman berubah.

Dahulu, Aidilfitri cuma sehari. Paling lama pun dua hari. Hari-hari seterusnya umat Islam sudah mula berpuasa enam atau berpuasa qada. Tiada rumah terbuka, tiada majlis apa-apa. 3 Syawal sudah pun masuk bekerja.

Dahulu, juadah utama cumalah ketupat dan tapai. Mana-mana rumah pun sama. Kalau berbeza pun, mungkin ada tambahan nasi impit kuah kacang atau mihun goreng. Biskut raya tidak pernah dikenali, ia asing sekali. Tetamu pun tidak pernah kisah makanan dihidang kerana yang penting, bertemu muka dan bersalam-salaman.

Dahulu, duit raya itu amat jarang diberi. Yang ada-ada sahaja menghulur, itu pun hanya kepada anak-anak buah dan saudara terdekat. Tiada dalam mimpi pun kanak-kanak riang zaman kami dulu untuk menghitung duit raya. Kalau dapat pun, tak pernah sampai lima ringgit. 

Dahulu, duit raya itu bukan untuk disimpan. Jumlah yang tidak seberapa itu hanyalah untuk kami berbelanja. Selalunya, kami habiskan duit itu dengan membeli air kotak, aiskrim dan jajan kerana pada hari-hari lain kami tidak mampu hendak membeli. Seronoknya di hati bukan kepalang. Emak dan ayah pun tidak melarang kerana mereka tahu, cuma setahun sekali kami berbelanja begitu.

Itu dahulu. Zaman kecil kami yang indah walaupun serba kekurangan. Zaman yang kami rindui untuk melaluinya kembali.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, June 28, 2017

Aidilfitri

Seusia saya ini, belum pernah terjadi acara jamuan hari raya yang sebesar hari ini. Selalunya saya cuma buat ala kadar sahaja, dan on the spot, tanpa perancangan.

Entah kenapa tahun ini saya suarakan kepada suami untuk mengadakan sedikit jamuan ringkas buat ahli keluarga dan sanak saudara. Ya, suka suka sahaja untuk kepuasan sendiri.

Benar saya bukan orang yang rajin memasak, tetapi tidak salah untuk saya memberi sesuatu yang berbeza kepada diri sendiri. Suami saya setuju sahaja dengan idea saya itu dan dia yang mencadangkan agar kami menempah nasi dagang dan menyediakan mi sup sendiri. 

Dengan seikhlas rasa, kami menjemput sahabat dan kaum keluarga ke rumah kami pada hari ini, 4 Syawal 1438H. Alhamdulillah majlis kami berlangsung lancar tanpa gangguan.

Terima kasih adinda Zahidah yang membantu saya menyiapkan mi sup. Jam empat pagi dia sudah bangun membantu saya di dapur. Terima kasih dik! Jasamu dikenang....

Sekarang jam ke angka 01:35 petang. Tetamu-tetamu sudah pulang dan saya sempat menyandarkan badan sebentar. Masih lagi menanti beberapa orang tetamu yang belum tiba. 

Alhamdulillah. Saya gembira dengan jamuan sebegini dan insya Allah akan ada lagi pada tahun-tahun mendatang.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, June 26, 2017

Syukur

Ahad, 25 Jun 2017. 1 Syawal tiba lagi dengan sinar kebahagiaan dan rasa kesyukuran.

Seperti selalu, saya akan bangkit awal untuk menyediakan hidangan. Kali ini cuma nasi lemak sahaja, ringkas tetapi sedap. 

Usai solat Aidilfitri, kami mula menuju dari rumah ke rumah untuk bersalaman dan bermaafan. Untung kerana rumah adik beradik suami, rumah ibu mentua dan rumah emak saya sebelah menyebelah sahaja. Selesai di situ, kami bergerak pula ke rumah yang agak jauh sedikit di luar sana. Seterusnya kami pulang ke rumah kami pula.

Anak-anak saudara suami menghantar pesanan memberitahu mereka mahu beraya di rumah kami selepas Asar nanti. Saya menjangkakan tentu ramai yang akan datang kerana keluarga mereka besar. Saya terus ke dapur selepas Zohor menyediakan mi kari. 

Jam enam petang baru mereka tiba dengan tiga buah kereta yang memuatkan hampir dua puluh orang semuanya. Alhamdulillah mi kari saya mencukupi untuk semua mereka.

Menjelang malam, saya berehat sahaja kerana tiada lagi tetamu yang tiba. 

Selamat Hari Raya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, June 23, 2017

Raya Lagi

Tinggal dua hari sahaja lagi, Aidilfitri akan tiba bersama senyuman kasih mesra. Dua hari sahaja lagi. Bagaimana perancangannya?

Tuhan sahaja yang tahu betapa saya mahu beraya dengan emak dan adik beradik di rumah Lot 403, Batu 8 itu. Sekadar beberapa jam pun jadilah. Saya mahu makan-makan bersama, bersalam-salaman, bergambar dan berbual mesra dengan keluarga. Indahkan begitu?

Lalu terimbaslah memori raya tahun lepas. Belum sempat saya puas berada di rumah emak, ada yang menelefon mahu datang ke rumah saya di Villa Seri Chenok itu. Bergegas kami pulang, menyediakan apa yang patut untuk tetamu, pada hal hari masih belum tengah hari. Selepas zohor dan membawa ke malam, tidak putus-putus tetamu berkunjung. Saya penat amat, bercampur dengan terkilan tidak sempat lama di rumah emak. Mood saya rosak teruk.

Esoknya, saya mahu ke rumah emak untuk meneruskan raya yang bagai terbengkalai semalam. Ada lagi adik beradik saya yang belum sempat saya salam, dan anak-anak saudara yang belum sempat saya beri duit raya. Tiba-tiba kata suami, jangan lama-lama, takut nanti ada tetamu mahu datang ke rumah. Oh! Mana raya saya? Mood saya rosak lagi.

Wahai, hari raya pertama usahlah diganggu lagi rumah kami ini. Sekurang-kurangnya tunggulah jam tiga petang untuk kunjung mengunjungi. Biarkan kami bersama-sama beraya dengan keluarga dahulu. Kami pun ada ibu dan adik beradik juga. 

Janganlah salah faham. Raya bukan sehari ini sahaja. Kami mengalu-alukan kedatangan kalian tetapi bukan pada pagi raya pertama. Silalah kalian beraya dengan ibu dan adik beradik kalian dahulu seperti mana kami ini. Sudahkan agenda di sisi keluarga dahulu sebelum bertamu ke rumah sahabat dan jiran. Boleh kan begitu?

Tadi, saya sudah memberitahu suami, saya mahu berada lebih lama di rumah emak pada raya kali ini. Dia tidak apa-apa, tetapi katanya jika ada orang menelefon mahu datang ke rumah, kita kenalah balik. Aduh!

Ya Allah, semoga raya kami tahun ini tidak disulami rasa yang tidak indah dalam hati. Amin!


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, June 18, 2017

Aturan

Saban hari sekolah, pulang kami ke rumah hanya apabila jam sudah ke angka tiga. Itu paling awal, walaupun sekolah tamat jam 2.10 tengah hari. Jika ada kelas tambahan atau mesyuarat, tentunya jam lima baru kaki melangkah pulang.

Jika hari-hari biasa, kami tidak kisah pun. Mungkin jika dibanding dengan kakitangan di sektor lain, kami guru antara yang terawal pulang. Alhamdulillah, saya mensyukurinya. Pun pada bulan puasa begini, tentu letihnya berbeza.

Apabila tiba di rumah, yang terbayang di minda hanyalah bantal dan katil. Mahu rehat sebentar, kerana penatnya melayan karenah budak-budak di sekolah sangatlah mencabar. Pun, sebagai isteri perlu memikirkan pula menu untuk berbuka. Badan masih penat, sudah mahu menyingsing lengan ke dapur. Aduh!

Alhamdulillah, suami saya sangat mengerti perasaan hati surinya ini. Tidak pernah dia meminta saya menyediakan apa-apa masakan pada hari sekolah. Jika hari cuti pun, hanya sekali dua saya memasak. Dia lebih senang membeli lauk di bazar.

Saya bersyukur, dan rasa amat beruntung. Mendengar keluhan penat rakan-rakan guru perempuan saya yang terpaksa memasak untuk berbuka, saya menjadi semakin sayang kepada suami saya. Dia memahami sungguh!

Tadi, rakan guru lelaki bertanya saya, memasakkah untuk berbuka?

Tidak. Setiap hari suami saya beli lauk. Saya masak nasi sahaja. Bukan saya tidak mahu memasak, tetapi dia tidak benarkan. 

Oh! Sayangnya dia pada awak!

Alhamdulillah!

Thursday, June 15, 2017

Demi Masa


Aku telah melihatnya
Aku telah mendengarnya
Tak perlu engkau kejutkan aku

Tidakkah kau mengerti 
hidupmu dalam teka-teki
Mencari kebenaran

Yang sedikit tapi payah
Jika kau mengejar yang lain
Merindui kilauan emas
Tapi alpa dengan yang mencipta

Demi masa
manusia sentiasa dalam rugi
Melainkan mereka yang tahu

Engkau sering bermusuhan 
hanya tentang kebenaran
Sedang engkau masih keliru

Bagaimanapun jua
engkau mesti berjalan
Walau harus tersesat dan luka

Dan berpindahlah engkau insan
Dalam putaran hidup ini
Hingga saatnya kau bertemu
Dalam satu pertemuan yang sejahtera

Hanya mimpi 
kata mereka yang rugi
Hanya mimpi
mereka tak mahu mengerti
Dan tak peduli

Jika kelak 
kau melihat aku tidur dan sedang bermimpi
Ku harap kau memahami keadaanku 
dan mungkin kau ingin bersamaku
Bersama bermimpi 
dalam kenyataan yang satu

Semakin mendalam
Hanya aku yang tahu
Perasaan hati nurani

Mungkin kau kan bertanya 
Siapakah dirimu
Apakah destinasimu

Apakah ada yang lain
dari peganganmu yang ada
Atau mungkin
perjalananmu tamat di sini 
dan tiada lagi

Hanya mimpi
kata mereka yang rugi
Hanya mimpi
mereka tak mahu percaya
Dan tak mengerti

Jika kelak
kau melihat aku tidur dan sedang bermimpi
Ku harap kau memahami keadaanku 
dan mungkin kau ingin bersama
Bersama bermimpi 
dalam kenyataan yang satu!

Soalan

Sering hari raya menjadi medan pertemuan saudara mara jauh dekat bertemu dan bertanya khabar. Sering pula anak-anak dara berasa takut dikelilingi mereka ini kerana nanti tidak mampu menahan telinga mendengar soalan maut yang menikam sampai ke jantung hati.

Kalau umur baru dua puluhan mungkin masih boleh senyum-senyum. Jika sudah lewat tiga puluhan, bagaimana?

Siapa pun kita, apa pun mereka, cara saya hanya satu - biarkanlah.

Bukankah mereka sudah lama tidak bertemu kita? Tentu mereka ingin tahu perkembangan semasa yang sedang kita lalui. Sudah kahwinkah? Sudah berapa anak? Kerja di mana? 

Anggaplah itu soalan-soalan mesra seorang saudara yang mengambil berat tentang kita. Jika tidak, apa lagi soalan yang boleh mereka tanya? Takkanlah mereka mahu bertanya warna kegemaran, baju raya berapa pasang, penyanyi pujaan atau hobi masa lapang?

Realistik dan berpijaklah di bumi nyata. Jika sekadar soalan yang biasa-biasa begitu, jujurlah menjawab kerana jawapan kita itu cerminan peribadi kita juga. Jika mereka berlebih-lebihan dan menyentuh perasaan kita, mohonlah beredar. Berilah alasan untuk tidak terus-terusan ditemuduga.

Saya bukan tidak biasa, malah sudah lali. Saya bukan tidak terasa, tetapi mencari rasional itu lebih aula. Jika ditanya tentang kahwin, saya jawab betul-betul.

Saya masih boleh ingat dialog-dialog indah yang saya terima. Malah, saya baru 22 tahun waktu itu, makcik itu sudah berkata, "makcik dulu, masa umur 22 tahun dah berhenti beranak dah!" Saya cuma senyum. "Ya makcik? Wah, saya belum kahwin pun lagi makcik dah berhenti beranak!" Dia pun ketawa. Bukankah itu kemesraan?

Tentang zuriat pun sama, malah tentunya akan berterusan kerana saya sudah tidak mampu. Dalam rasa yang pahit untuk ditelan, saya tetap mahu memaniskan wajah agar mereka tidak terasa. Biarkanlah. Ya, biarkanlah. Mereka cuma ingin tahu.

Raya nanti, sama-samalah kita mengeratkan silaturrahim dan jika kita tidak senang dengan soalan-soalan tertentu, harapnya nanti kita tidak mengulang soalan yang sama kepada generasi seterusnya. Biar teladan menjadi pengajaran.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, June 12, 2017

Markah

Memang sentiasanya sebelum bercuti pertengahan tahun selama dua minggu, kami para guru diingatkan untuk memastikan markah peperiksaan disiapkan sempurna dan dimasukkan ke aplikasi SAPS pada tarikh yang sudah ditetapkan. Memang kami bercuti, tetapi tugas ini tidak pernah mengira cuti atau tidak. Ia wajib.

Selaku Setiausaha Peperiksaan yang menguruskan aplikasi SAPS, saya memikirkan banyak perkara sebelum menetapkan tarikh akhir. Jika saya meletakkan tarikh terlalu awal, akan ada yang merungut. Kata mereka, kami pun mahu balik kampung, mahu bercuti, mahu itu, mahu ini. Macam-macam. Saya faham juga. Tetapi jika diberi tarikh yang lewat, ruang untuk saya melakukan kerja analisis tentu sempit. Sementelah PPD kami ini jika mahukan analisis, terus diminta segera. Bagaimana?

Tidak mahu memikir lama, saya putuskan sendiri tarikhnya ialah pada 11 Jun kelmarin. Rasanya sudah sedang elok dan amat berperikemanusiaan, malah paling lewat berbanding sekolah-sekolah lain. Kebanyakan sekolah meminta guru menyelesaikan urusan ini pada 6 Jun lagi kerana SUP mereka mahu menganalisis segera sebelum tamat cuti sekolah. 

Rakan-rakan guru saya semuanya lega. Sempatlah, kata mereka. Saya pun gembira juga, walaupun terpaksa menganalisis dalam masa yang pendek.

Semalam, 11 Jun pun tiba. Saya biarkan dahulu mereka meneruskan operasi memasukkan markah kerana tarikh masih ada. Hari ini baru saya menyemak.

Aduh! Ramainya yang masih belum selesai, termasuklah orang utama unit peperiksaan ini. Menggelegak juga dalam hati, tetapi saya mahu melakukan sesuatu yang berbeza.

Saya tulis dalam WhatsApp rasmi sekolah, bilangan guru yang masih belum selesai SAPS. Terus orang itu menghubungi saya bertanya termasuk diakah? Eh, mestilah! Saya katakan padanya PKP sudah meminta nama-nama guru yang belum selesai itu. Dia nampak kalut. Risau dia jika namanya sampai pada PKP kerana selama ini dia begitu suci di mata PKP.

"Ti, jangan beri nama itu pada PKP! Beri pada saya dulu. Nanti orang kata saya macam-macam kalau nama mereka sampai pada PKP."

Saya tahulah dia ketua unit ini. Saya kulinya sahaja. Tak mengapa, saya masih mahu bermain-main. Rasa saya dia bukan takut orang mengata, tapi dia takut jika imejnya tercalar di mata PKP.

"Saya belum beri lagi. Rileks laa. Tapi kalau petang ini masih belum selesai, saya tiada pilihan, terpaksa beri juga, sebab dia minta."

Dia makin kalut. Kertasnya belum selesai ditanda agaknya. Masih dia meminta nama-nama guru yang belum selesai itu. Masih saya berdegil untuk memberi.

Petang ini, semua guru sudah selesai kecuali dia. Mahu saya mengusik dia lagi, saya maklumkan hanya dia yang tinggal. Dia berjanji untuk menyelesaikannya petang ini juga. Dia demam, sebab itu belum siap. Katanya. 

Kasihan juga. Tetapi dua minggukah demamnya? Semoga Allah memberi kesembuhan.

Bukan apa, saya sedikit terkilan dengan caranya yang sentiasa mahu kelihatan suci di sisi pentadbir pada hal banyak sekali kekurangan yang ada. Bukan sekali ini saya berhadapan dengan sikapnya yang begitu, sudah berkali-kali. Kerana itulah saya jadi sedikit cuak.

Sebagai guru, akuilah kita bukan sempurna.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, June 06, 2017

Fikir

Selalu pada bulan puasa begini, setiap jam 7.30 pagi saya akan terlena sehingga dua jam. Mana tidak mengantuk, jam empat lagi saya sudah bangun untuk menyiapkan hidangan sahur.

Tetapi semalam dan pagi ini ia tidak begitu. Puas mata dipejam katup, tetap tidak lena. Ada sesuatu yang mengganggu dan mengetuk fikiran setiap kali mahu pejam.

Keputusan ujian diabetes saya semalamlah yang mengganggu itu.

Saya masih berfikir, kenapa bacaan selepas dua jam itu agak tinggi (12.8, normal kurang daripada 11) pada hal bacaan sewaktu berpuasa cuma 6.5? Dan bacaan Random Blood Sugar saya juga cuma 7.4 dan ia memang normal. Saya kira saya masih normal. Belum kena kencing manis lagi!

Macam-macamlah yang datang dalam fikiran. Agaknya air gula yang saya minum itu pekat sangat, dan banyak pula. Saya diberi satu gelas besar dan saya habiskan. Selama dua jam menunggu itu pula, misi suruh saya duduk saja-saja di klinik. Saya minta pulang tetapi tak dibenarkan. Jadi bila duduk saja-saja begitu, metabolisme saya tentunya rendah. Tidaklah berlaku penukaran gula itu kepada tenaga.

Saya pula sudah bosan menunggu. Tepat-tepat dua jam - atau mungkin kurang sedikit - saya sudah ke kaunter untuk diambil darah. Kerana itu bacaan gula dalam darah saya menjadi tinggi.

Begitu dalam fikiran saya. Harapnya betullah penaakulan saya itu kerana saya tidak mahu menjadi penghidap kencing manis!

Selepas ini, saya mahu mengawal pemakanan saya. Tidak lagi makan yang manis-manis. Saya berjanji!


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, June 05, 2017

Temujanji

5 Jun 2017, Isnin bersamaan 10 Ramadan 1438.

Hari ini bertemujanji di Klinik Kesihatan Perol untuk mengambil keputusan ujian air gula yang dilakukan pada 2 Mei lepas. Sebelum 7.30 pagi lagi saya sudah tiba di klinik, serentak dengan jururawat yang bertugas membuka klinik hari ini. Saya menekan nombor, 1001. Ya, giliran pertama.

Nama saya dipanggil beberapa minit kemudian untuk mengambil kad.

Selepas mengambil kad, saya menuju ke kaunter tempat jururawat mengambil bacaan tekanan darah pesakit sebelum dirujuk ke bilik doktor. Doktor sudah tiba, tetapi kaunter jururawat itu belum berpenghuni. Ah awal lagi, saya tunggu sahajalah dulu.

Lama, jururawat masih belum tiba. Kenapa ni? Hati saya memang cepat panas dan tidak selesa jika menunggu lama-lama. Mungkin sebab itu bacaan tekanan darah saya selalu tinggi bila diambil di klinik atau hospital.

Seorang jururawat lain mengambil tugas di kaunter itu apabila dia melihat sudah semakin ramai pesakit menanti dan jururawat bertugas belum tiba. Lega sebentar rasa di hati. Selepas ini tentu nama saya akan dipanggil. Saya kan giliran pertama, 1001.

Rupanya tidak. Kad orang lain dahulu yang dibacanya. Rasanya dek susunan kad yang sudah teratur pada awalnya, telah dikucarkacir oleh jururawat yang bertugas di kaunter 1 kerana dia tersalah menulis tarikh. Saya nampak dia membetulkan tarikh di setiap keping kad itu tadi, tanpa menyusunnya kembali mengikut turutan. Hati saya geram semula. Sabar. Saya sedang berpuasa.

Mujur nama saya dipanggil selepas itu. Kiranya terlangkau satu nombor sahajalah. Alhamdulillah. Saya memberitahu jururawat itu untuk mengambil keputusan ujian gula saya pada bulan lepas. Dia mencari. Dan mencari. Mencari lagi. Tidak bertemu.

Aduh!

Tunggu sekejap ya, saya cari di makmal pula.

Tabahlah hati!

Sambil menunggu, saya melihat-lihat suasana. Nombor 1003 sudah dipanggil masuk ke bilik doktor padahal tuan punya badan masih belum diperiksa pun di kaunter 2 itu. Dia sedikit bingung lalu bertanya jururawat yang baru tiba itu. Oh ya, jururawat itu terlupa melihat jadual bertugas untuk bulan Jun dan tidak menyangka dia yang bertugas di kaunter 2 pada pagi ini. Kerana itu dia lewat.

Kata jururawat itu, masuklah ke bilik doktor itu. Kad puan sudah tiada di sini. Wanita itu pun melangkah ke bilik doktor dengan masih terpinga-pinga.

Betullah kadnya ada pada doktor tetapi tercatat berat dan tekanan darah pesakit lain. Tersilap lagi mereka. Aduhai, kerana apakah begini?

Saya masih setia menunggu. Jururawat yang mencari keputusan saya itu keluar dari makmal, dan menghantar kad saya terus ke bilik doktor. Tidak lama, nombor saya dipanggil. Jam menunjukkan pukul 8.20 pagi.

Doktor melihat kad saya dan memberitahu keputusan ujian. Bacaan gula semasa berpuasa 6.5. Itu ok katanya. Tetapi selepas minum air gula, bacaannya 12.8. Dan itu tinggi. Saya ada kencing manis.

Saya tenang-tenang sahaja. Sedikit hairan dengan bacaan itu tetapi saya diamkan sahaja. Doktor meminta saya membuat ujian Random Blood Sugar dan bacaannya 7.4. Normal, kata doktor.

Kelihatannya doktor masih belum mampu memberi kata putus sama ada saya perlu memulakan ubat diabetes atau tidak. Kesudahannya, beliau meminta sekali lagi darah saya diambil untuk dihantar ke makmal, dan saya perlu datang sebulan lagi untuk mendapatkan keputusan. Saya juga dirujuk kepada Pegawai Zat Makanan untuk mendapatkan rundingan tentang pemakanan yang sesuai untuk saya. Ubat diabetes belum perlu diambil lagi.

Tarikh temujanji seterusnya ialah 4hb Julai, Selasa jam 8 pagi. Bacaan tekanan darah saya semasa diambil pada jam 8 tadi ialah 147/88 dan kata doktor agak tinggi. Saya dibekalkan dengan Amlodipine 10mg untuk sebulan.

Suami saya menjemput saya pulang pada jam 9.00 pagi. Tiba di rumah, saya mengambil tekanan darah saya dan bacaannya cuma 138/82.

Dan begitulah. Di klinik atau hospital, saya tidak mampu tenangkan jiwa. Ada sahaja yang menyebabkan perasaan saya kacau. Di rumah, ia kembali normal. Dan harap-harap diabetes saya itu tidak menjadi nyata. Saya masih akan tetap berdoa. Pun, apa jua keputusannya nanti, saya wajib redha.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, June 02, 2017

Peluang



Sudah empat tahun berlalu. 31 Mei 2013 saya bersama-sama suami mengunjungi Tanah Suci untuk kali kedua dalam hidup kami bagi menunaikan umrah. Bersama-sama kami ialah emak dan besannya, Umi.

Sejak lama saya memang berhasrat untuk membawa emak ke sana dan Alhamdulillah, ia tertunai jua dengan izin Allah. Gembira di hati berbaur juga dengan rasa sedikit terkilan kerana hotel yang kami inap jaraknya agak jauh.

Bagi saya dan suami, 600 meter itu mungkin biasa kerana sewaktu haji pada 2010 kami tinggal lebih jauh. Berbeza pula dengan emak dan umi yang sudah dimamah usia, 600 meter begitu jauh  buat mereka. Sayu juga melihat emak berjalan kaki sejauh itu tetapi apalaj daya, sudah tersurat begitu. 

Sewaktu mendaftar dengan Al-Quds itu, kami dijanjikan hotel yang cuma sejauh 300 meter dari Masjdilharam iaitu Anwar Deyafah. Entah kerana apa mereka tidak mendapat hotel itu lalu kami diberi tempat di Lu'Lu'. Apa pun, itulah rezeki kami.

Selama dua belas hari di bumi Saudi itu, Alhamdulillah kami sihat dan dilayan dengan baik. Semuanya teratur indah dan kami mensyukurinya sungguh-sungguh. 

In shaa Allah Disember nanti kami akan ke sana lagi. Kali ini emak tidak bersama-sama tetapi tidak mengapa. Semoga akan ada nanti ruang untuk emak ke sana, bersama anak yang lain pula. Amin.




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Puasa



Alhamdulillah, hari ini sudah 7 Ramadan. Betapa saya amat menyenangi suasana berpuasa apatah di dalam cuti begini. Terasa luas dan lapang sekali untuk saya beracara sendiri.

Cuma, saya belum berkesempatan berbuka di rumah ma. Di rumah mek sudah dua kali. Entah kenapa peluang ke rumah ma belum tiba. Awalnya saya mahu ke sana hari ini tetapi atas sebab tertentu, saya menundanya ke esok. Semoga Allah mengizinkan dan memudahkan segala urusan.

Di rumah ini, saya tenang sekali. Walaupun setiap hari juadah berbuka dibeli di pasar Ramadan, tidak lah saya tidak memasak langsung. Waktu sahur, saya sentiasa menyediakan menu masakan sendiri walaupun ada kalanya tidak sesedap mana dan berlebihan.

Puasa bagi saya, cukuplah dengan makan pada waktu berbuka dan waktu bersahur. Saya tidak punya rasa dan selera untuk keluar mencari makan selepas Tarawih. Perut saya sudah tidak lapar lagi. Saya tidak mampu mengikut trend orang ramai yamg masih mencari cendol, colek dan macam-macam lagi selepas Tarawih. Bagi saya, puasa merupakan waktu untuk mengehadkan pengambilan makanan, bukan berpesta makan pada waktu malam. Ia seolah keterlaluan.

Sewaktu berbuka, sepinggan nasi dengan dua tiga jenis lauk dan sayur, beberapa gelas air dan sedikit kuih muih serta kurma sudah lebih daripada cukup untuk mengenyangkan. Bukanlah dengan tidak makan selama empat belas jam itu kita perlu membalasnya dengan makan berkali-kali pada waktu malam. Perut kita bukan begitu. Bukan boleh diisi tanpa had.

Selalu selepas Tarawih, saya meneman suami menikmati sedikit kuih dan buah-buahan. Itu sahaja. Air putih memang tidak dapat dipisahkan dengan saya kerana orang berbadan besar ini memerlukan air yang banyak. Saya akan minum air sehingga ke garis penamat waktu, iaitu Subuh. Selainnya, mungkin sedikit kekacang atau kerepek untuk dikunyah sambil-sambil. Cukuplah. Perut saya sudah kekenyangan.

Kerana itu saya sangat menyenangi bulan Ramadan ini. Ia mengajar saya berpada-pada dalam segenap perkara. Berpuasa pada bulan lain rasanya tidak sama dengan bulan ini. Mungkin kerana keberkatan yang ada di dalamnya.

Ya Allah, terimalah puasa kami ini dan temukanlah kami dengan Ramadan seterusnya nanti.

Amin.