Friday, June 23, 2017

Raya Lagi

Tinggal dua hari sahaja lagi, Aidilfitri akan tiba bersama senyuman kasih mesra. Dua hari sahaja lagi. Bagaimana perancangannya?

Tuhan sahaja yang tahu betapa saya mahu beraya dengan emak dan adik beradik di rumah Lot 403, Batu 8 itu. Sekadar beberapa jam pun jadilah. Saya mahu makan-makan bersama, bersalam-salaman, bergambar dan berbual mesra dengan keluarga. Indahkan begitu?

Lalu terimbaslah memori raya tahun lepas. Belum sempat saya puas berada di rumah emak, ada yang menelefon mahu datang ke rumah saya di Villa Seri Chenok itu. Bergegas kami pulang, menyediakan apa yang patut untuk tetamu, pada hal hari masih belum tengah hari. Selepas zohor dan membawa ke malam, tidak putus-putus tetamu berkunjung. Saya penat amat, bercampur dengan terkilan tidak sempat lama di rumah emak. Mood saya rosak teruk.

Esoknya, saya mahu ke rumah emak untuk meneruskan raya yang bagai terbengkalai semalam. Ada lagi adik beradik saya yang belum sempat saya salam, dan anak-anak saudara yang belum sempat saya beri duit raya. Tiba-tiba kata suami, jangan lama-lama, takut nanti ada tetamu mahu datang ke rumah. Oh! Mana raya saya? Mood saya rosak lagi.

Wahai, hari raya pertama usahlah diganggu lagi rumah kami ini. Sekurang-kurangnya tunggulah jam tiga petang untuk kunjung mengunjungi. Biarkan kami bersama-sama beraya dengan keluarga dahulu. Kami pun ada ibu dan adik beradik juga. 

Janganlah salah faham. Raya bukan sehari ini sahaja. Kami mengalu-alukan kedatangan kalian tetapi bukan pada pagi raya pertama. Silalah kalian beraya dengan ibu dan adik beradik kalian dahulu seperti mana kami ini. Sudahkan agenda di sisi keluarga dahulu sebelum bertamu ke rumah sahabat dan jiran. Boleh kan begitu?

Tadi, saya sudah memberitahu suami, saya mahu berada lebih lama di rumah emak pada raya kali ini. Dia tidak apa-apa, tetapi katanya jika ada orang menelefon mahu datang ke rumah, kita kenalah balik. Aduh!

Ya Allah, semoga raya kami tahun ini tidak disulami rasa yang tidak indah dalam hati. Amin!


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment