Wednesday, June 27, 2018

Makbul

Sudah 13 Syawal ini, mulalah teringat kepada makanan raya yang tak terjamah. Di bilik peperiksaan, saya letak berbekas-bekas kuih raya untuk sama-sama kami nikmati. Saya memang selalu terlajak dalam bab membeli, jadi kuih raya saya masih banyak benar berbaki. Bila dibawa ke sekolah, sekejap sahaja sudah habis. Seronok pula rasanya. Jadi tiap hari saya top up kuih raya itu. 

Sembang-sembang di bilik peperiksaan sekitar jam 11 tadi, saya bertanya, "Ada tak yang tau kat mana nak tempah ketupat sambal daging? Kalau dapat yang ada kacang lagi baik."

"Mahal tau kak Ti, seringgit sebiji!" Norita menyampuk.

"Ya? Awak tak nak buat ke Nani? Saya nak tempah ni. 30 biji pun jadilah!" Saya mengusik Nani, guru Ekonomi Rumah Tangga yang sebaya saya itu. Terbahak-bahak dia ketawa. 

"30 biji? 3 biji pun belum tentu jadi." Jawabnya dalam tawa.

Betul. Saya tiba-tiba rindukan ketupat sambal daging. Raya baru-baru ini sempatlah menjamah dua tiga biji pemberian tetamu, dan memang sedap sangat. Hari ini saya teringat-ingat.


Jam 2.30 petang, semua orang sudah pulang. Saya masih menunggu suami menjemput dan Nani pun masih ada di bilik peperiksaan. Kami berbual-bual memenuhi masa, apabila tiba-tiba terdengar suara Kak Norihan, PKP mencari saya.

"Ti ada lagi ke?"

"Ada, belum balik lagi ni". Jawab Nani.

"Ni ha, ketupat sambal daging. Kak Han nak bagi kat Ti." Suara Kak Norihan sambil menuju ke meja saya.

Serentak saya dan Nani berpandangan sambil menjerit. Terkejut Kak Norihan. Kenapa?

"Ya Allah, baru pagi tadi Ti bertanyakan ketupat sambal daging, siap nak tempah dengan saya. Sekarang dah dapat!" Cerita Nani.

"Oh ya ke? Ni Widad asrama yang bagi. Seringgit dua puluh sen tau sebiji. Kak Han teringat nak bagi Ti sebab upah buat analisis tadi." Jenaka Kak Norihan.

Saya apa lagi, gembira teramat rasanya. Dapatlah saya merasa walaupun cuma dua biji. Kak Norihan suruh saya ambil lebih lagi tetapi cukuplah dua biji itu buat menghilang rindu.

Begitu aturan Tuhan. Terima kasih!


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, June 26, 2018

SAPS

Sejak bertahun, kami menggunakan aplikasi SAPS yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menganalisis setiap peperiksaan di sekolah. Ada waktu-waktunya, sistem ini meragam juga tetapi tidak lama, ia pulih dan kami boleh meneruskan analisis dengan selesa.

Tiba-tiba pada kali ini, SAPS ditutup kerana masalah digodam dan kebocoran data. Bukan sekejap, sudah berminggu-minggu. Saya sebenarnya tidaklah susah hati sangat kerana boleh sahaja tunggu sehingga ia dibuka semula, tetapi entah kenapa kaum kerabat lain di sekolah ini mahukan analisis yang segera untuk tingkatan lima.

Aduhai. Tak menyempat-nyempat!

Mujur juga tapak analisis offline yang lama masih ada pada saya. Tapak itu digunakan sejak 2011 hingga 2015, dan ia sebenarnya ada beberapa kelebihan berbanding SAPS. Saya masih menggunakannya untuk membuat target SPM. Jadi apabila mereka mahu markah dianalisis segera, tentunya tapak itu menjadi pilihan, tambahan pula nama-nama pelajar telah saya isi lebih awal sewaktu membina target baru-baru ini.

Lalu saya pun meletakkan tapak itu di komputer bilik peperiksaan untuk diisi oleh guru-guru matapelajaran tingkatan lima. Selesailah masalah saya.

Malam tadi, ada seorang rakan dari sekolah lain menghubungi saya bertanyakan analisis apa yang saya guna untuk kemasukan markah di sekolah saya kerana SAPS masih tidak dibuka. Saya memberitahu beliau saya menggunakan tapak analisis HC3 yang lama dengan anggapan dia masih ada menyimpan tapak itu kerana dia juga Setiausaha Peperiksaan yang bersama-sama dengan saya menggunakan tapak itu dahulu. Rupanya tapak itu sudah hilang dari simpanannya dan dia meminta saya menghantar tapak itu kepadanya melalui emel. Saya pun tidak berlengah, walaupun jam sudah ke sepuluh malam, saya membuka laptop saya, mengedit tapak itu supaya kosong semula dan menghantar salinan kepadanya melalui emel.

Dan pagi ini, dia memaklumkan hantaran saya itu tidak diterima. Aduhai!

Begitulah risikonya. Sekarang saya sedang berusaha untuk menghantar sekali lagi tapak itu kepadanya.

Saturday, June 23, 2018

Sudah Sabtu

Hari ini sudah Sabtu. Esok Ahad sudah bermula hari persekolahan. Tamatlah jua cuti penggal yang bersekali dengan cuti hari raya ini.

Ada yang bertanya, sesuaikah cuti penggal disekalikan dengan cuti hari raya. Jawabnya, boleh jadi sesuai boleh jadi tidak. Terpulang penerimaan masing-masing. Bagi saya ok saja. Sekurang-kurangnya tiadalah kelas tambahan sebab semua nak beraya!

Sepanjang enam belas hari cuti, dari 23 Ramadan hingga 9 Syawal, saya menikmatinya dengan pelbagai rasa. Menziarah dan diziarahi, melayan dan dilayan, semuanya ada. Anak-anak murid suami ramai juga yang datang tetapi anak-anak murid saya seorang pun tiada. Saya tidak kisah pun kerana saya yang tidak menjemput. Bukan sombong, tetapi biarlah mereka menziarah sesama mereka dan saya pula bersama-sama keluarga dan sahabat terdekat sahaja.

Indahnya raya ialah apabila yang jauh datang berkunjung. Sahabat lama yang jarang-jarang berjumpa apabila datang, bualnya berjam-jam. Banyak cerita untuk dikongsi dan banyak hal mahu ditanya.

Semalam dan hari ini, suasana sudah kembali normal. Rutin harian sudah kembali dan raya sudah berkurang suasananya. Dan esok, saya bakal kembali meneruskan tugas di sekolah dan tentunya semangat saya untuk mendidik tidak pernah pudar.

Semoga indahlah semuanya. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, June 17, 2018

Aidilfitri 1439

Alhamdulillah, masih ada usia saya pada Syawal kali ini untuk bersama-sama insan-insan yang saya sayang meraikan. Walaupun sayu ditinggalkan Ramadan, hari yang mulia ini tetap wajib saya raikan.

Nyatanya, Aidilfitri kali ini lebih lama kami miliki kerana ruang cuti sekolah masih panjang lagi berbaki. Tentu saya wajar menyiapkan diri mental dan fizikal.

Pada pagi indah itu, Jumaat 15 Jun 2018, saya ke masjid berdua sahaja dengan suami. Jam belum lagi ke lapan pagi saya sudah melangkah kaki ke pintu masjid. Masih lengang suasana dan saya dapat memilih tempat yang amat menyelesakan diri. 

Khutbah hari raya kali ini disampaikan oleh adinda saya, ustaz Rifqi dan ini kali kedua saya berkesempatan mendengar khutbah hari raya darinya.

Usai solat, saya dan suami menuju ke kampung kami yang cuma beberapa ratus meter dari masjid. Rumah mek, Kak Zan, Kak Imah dan Kak Ini kami selesaikan dahulu sebelum berakhir di rumah Ma. Bahagia sekali kami semua menyalami dan memaafi sesama. Semoga segala silap dan salah, dosa dan khilaf berguguran dari celahan jari-jari insan yang bersalaman.

Jam 11 pagi, kami bergerak pula ke rumah Abang Wahab, Mazlan dan Paksu Mat. Selesai semuanya pada jam 12 dan kami pulang ke rumah sendiri.

Usai solat Jumaat, kami menikmati hidangan tengah hari iaitu nasi dagang masakan Ma. Seterusnya, beberapa orang tetamu berkunjung sehingga malam. 

Jam 11 malam saya mulakan agenda saya, iaitu memasak untuk jamuan pagi esok. Rendang ayam dan mihun goreng sahaja. Alhamdulillah saya mampu menyelesaikannya sendiri-sendiri dan ini sungguh mengujakan.

2 Syawal, jamuan berlangsung seadanya dan semua selesai sekitar jam 12 tengah hari. Menjadilah juga rendang saya walaupun tidak sesempurna mana. Terima kasih semua yang hadir, dan mohon maaf atas segala kekurangan.

Hari ini sudah 3 Syawal. Izinkanlah saya melayan diri sendiri pula. Ada banyak lagi kerja yang belum selesai, dan urat saraf juga sudah meminta untuk dibelai.

Assalamualaikum. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, June 14, 2018

Menuju Syawal

29 Ramadan 1438.

Alhamdulillah, saat ini jam sudah ke angka 5:25 petang. Kurang lebih dua jam lagi, pamitlah Ramadan dan tibalah Syawal. Tamatlah bulan yang penuh kemuliaan untuk kali ini dan jika ada umur In shaa Allah bertemu kembali 325 hari lagi.

Semalam, kami adik beradik berkumpul di rumah Ma untuk berbuka puasa bersama-sama. Amat jarang peluang sebegini diperoleh dek kepadatan ruang dan keasingan waktu antara kami. Alhamdulillah Allah memberi izinnya semalam walaupun tidak lengkap semuanya juga.

Pagi ini, usai bersahur dengan daging goreng dan ikan gelama goreng suami saya menerima pesanan WhatsApp menyatakan kakak iparnya, Kak Yah, isteri kedua Abang Awang sedang tenat di Manik Urai. Kak Yah mendapat serangan jantung malam tadi dan dibawa ke hospital tetapi pihak hospital meminta dia dibawa pulang ke rumah kerana keadaannya sudah terlalu tenat.

Jam 6.50 pagi kami turun dari rumah, dan tidak lama kemudian kami menerima pesanan WhatsApp yang mengatakan Kak Yah sudah meninggal dunia.

Innalillahi wainna ilaihi raajiun. Semoga roh Kak Yah dicucuri rahmat.

Esok, Syawal akan tiba dan saya masih belum bersedia sepenuhnya. Pulang dari Manik Urai jam sudah ke angka 12. Penat dan mengantuk, saya melayan tidur sehingga jam 2 petang. Memang puasa-puasa begini mata selalu sahaja layu.

Menu berbuka hari ini sudah kami setujui iaitu sup tulang, sambal tumis kerang dan ikan selar kuning goreng. Sambil merebus tulang, saya mengemas ruang tamu dan membersihkan beranda dan halaman rumah. Sepatutnya ia dilakukan pagi tadi sewaktu cuaca belum begitu panas tetapi apalah daya, kita hanya merancang. 

Semoga Syawal kali ini menjanjikan keindahan dan kemesraan yang membahagiakan tanpa mencalarkan hati dan perasaan.

Salam Aidilfitri.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, June 11, 2018

Mata Pelajaran

Masa sekolah dulu awak paling suka mata pelajaran apa?

Saya kan cikgu Matematik. Tentulah saya suka Matematik.

Sewaktu sekolah rendah, saya suka semua mata pelajaran kecuali Geografi. Buku teks Geografi tidak menarik minat saya untuk membaca. Tajuk-tajuknya tidak menyentuh hati saya. Antaranya; Penanaman Tembakau Di Kelantan, Nelayan Di Terengganu, Penanaman Teh di Cameron Highland dan seumpamanya. Sangat tidak menyelerakan, bukan?

Mata pelajaran lain semua saya suka. Sejarah macam novel, ada banyak cerita. Hang Tuah, Mahsuri, Tun Perak, Yap Ah Loy dan macam-macam lagi. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula memang memberi keseronokan sebab mudah dan saya selalu dapat markah tinggi. Matematik usah cerita, memang mata pelajaran yang paling diminati sebab kepuasan yang ada padanya tidak terbandingkan. Pendidikan Islam pun seronok. Ustaz dan Ustazah semua best. Cuma mata pelajaran Sains sedikit tawar di hati tetapi tidaklah sampai tidak suka.

Apabila ke sekolah menengah, Geografi masih menjadi mata pelajaran paling tidak mampu saya gemari. Mujurlah apabila naik tingkatan empat saya boleh gugurkan mata pelajaran itu dan menggantikannya dengan Sejarah yang lebih dekat di hati saya.

Pada peringkat menengah atas ini, saya paling tidak minat dengan Kimia. Lapan mata pelajaran lain semua menyeronokkan tetapi Kimia tidak mampu saya selami. Tetapi saya sentiasa meningkatkan usaha agar tidak keciciran dalam SPM. Alhamdulillah, SPM saya warnanya indah.

Tentang guru, Alhamdulillah guru-guru saya tiada yang garang tidak bertempat. Mereka sangat dedikasi walaupun mengajar anak kampung di sekolah kampung. Doa saya untuk mereka sentiasa ada. Semoga Allah membahagiakan mereka di dunia dan di akhirat. 

Kini, sebagai guru Matematik, saya tahu bukan semua anak murid saya meminati Matematik. Kerana itu saya perlu bijak menarik minat dan perhatian mereka untuk sekurang-kurangnya menyukai dan menguasai sebahagian daripada tajuk yang ada, kalau pun tidak semua.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, June 09, 2018

Punch Card

Menjadi penjawat awam, masa bertugas perlu dipatuhi. Di sekolah saya, awalnya dahulu waktu datang dan pulang kerja dicatat menggunakan fingerplex tetapi tiga tahun kebelakangan ini pengetua mahukan punch card. Katanya, lebih rasmi dan lebih mematuhi peraturan.

Sewaktu penggunaan fingerplex dulu, kami kena guna jari sendiri. Suka atau tidak, terpaksalah menapak ke tingkat dua sewaktu awal pagi dan pulang tengah hari untuk mengimbas jari di mesin. Kalau sampai lambat pun, tidak boleh mengelak dan kedatangan pada hari itu tercatat merah. Begitu juga bila pulang awal.

Apabila diganti dengan punch card, nampaklah perubahan kelakuan dalam kalangan kami. Walaupun sudah dipesan berkali-kali oleh pentadbir supaya setiap guru hendaklah jujur dan berintegriti, pesanan itu biasa sahaja dilanggar.

Jika ada kesukaran, saya tidak kisah membantu. Contohnya sahabat saya yang lututnya cedera, tidak mampu mendaki tangga ke pejabat selalu meminta bantuan saya mengetip kadnya. Itu tidak mengapa. Tetapi kalau yang tahu dia akan lambat tiba, tidak kiralah atas urusan apa, tiba-tiba meminta saya mengetip kadnya sedang dia masih belum tiba tentulah saya berbelah bagi. 

Saya sendiri, tidak pernah meminta sesiapa pun mengetip kad saya sama ada sewaktu datang atau pulang. Tidak pernah. Saya memang bertegas bab ini kerana saya mahu menjaga amanah dan integriti. Tiba awal atau lambat, biar ia tercatat betul dan tepat. Kalau merah, merahlah. Jika saya keluar sebelum jam dua kerana ada urusan, saya tetap mengetip kad saya walaupun ia akan bertanda merah. Tidak pernah saya meminta orang lain ketipkan untuk saya.

Malangnya, ramai sahabat saya yang tega menipu dan meminta saya mengetip bagi pihak mereka sedangkan mereka belum datang atau sudah pulang. Saya selalu serba salah. Mahu ditolak saya tidak tergamak. Lalu bagaimana?



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Masanya

Bermula hari pertama cuti, jiwa benar-benar tenteram. Usai sahur pada jam lima, saya melayan diri sendiri. Tidak buru-buru lagi kerana sekolah bercuti. Dalam tenang dan aman, saya memohon dan meminta. Tuhan, aku memerlukan-Mu.

Menanti suami pulang dari masjid sememangnya mengundang lena. Untung kunci dia bawa, tidak perlu lena saya dijaga. Lena yang indah dan menenangkan.

Tahu-tahu, jam sudah ke angka lapan. Rasa sudah hilang kantuk saya maka bergeraklah saya menyelesaikan beberapa kerja. Memasukkan kain ke dalam mesin basuh, menggosok baju Melayu suami untuk bersolat Jumaat nanti, dan menyelesaikan dapur yang bersepah. Jam 9.15 semuanya selesai dan saya bersiap untuk ke kedai pula.

Jam 9.58 pagi kami berdua turun menuju ke G-Orange Mall, tempat membeli-belah kegemaran kami. Barang dapur dan lauk pauk semua ada di sini dan orang pun tidaklah seramai mana. Cukup selesa bagi kami. Selesai membeli belah, suami menghantar saya ke rumah ma kerana saya akan berbuka di sana hari ini. Adik bongsu saya yang comel sudah selamat tiba dari Johor untuk bercuti dua minggu bersama-sama kami di sini.

Menu berbuka sangat ringkas tetapi sungguh menyelerakan. Siapa sangka adik bongsu saya ini rajin memasak dan sedap pula sentuhannya. Ikan gelama sumbat dan sayur bening bayam dicampur udang dan bebola ikan begitu menyelerakan, diteman pula cucur udang 'malas' yang disediakan Ma, membuatkan perut saya benar-benae kekenyangan. Alhamdulillah. 

Jam 10 malam, suami menjemput saya pulang. Kami tidak terus pulang sebenarnya kerana dia mengajak saya menikmati colek dan kerang rebus di Restoran Sawadee, Mulong. Boleh tahan lazatnya hidangan di sini.

Jam 10.55 baru kami tiba di rumah. Lauk pauk untuk bersahur rupanya sudah ada, diberi Pak Him yang mengadakan jamuan berbuka di rumahnya tadi - ayam kerutuk, singgang tulang, teresek jantung pisang dan solok lada. Saya cuma perlu memanaskan sahaja pagi nanti. Terima kasih. 

Selepas nasi yang saya jerang sebaik pulang tadi masak kira-kira jam 11.30 malam, saya pun melenakan diri untuk beberapa jam sebelum bangun bersahur pula pada jam 4 nanti.

Selamat malam.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, June 07, 2018

Hujung

Sudah 22 Ramadan. Pagi ini saya ke sekolah dengan hati lebih tenang dan fikiran lebih lapang kerana hari ini hari terakhir persekolahan untuk penggal pertama. Tiada sesi pengajaran dan pembelajaran hari ini kerana majlis penutup ihya' Ramadan dan penyampaian zakat akan berlangsung. Pada jam 12.30, majlis dijangka tamat dan kami dibenarkan pulang awal.

Selama dua minggu, kami akan bercuti dan melupakan seketika beban tugas di sekolah. Aidil fitri akan tiba pada Jumaat 15 Jun nanti dan selepas sembilan hari Syawal barulah kami akan kembali meneruskan tanggungjawab kami kepada anak-anak didik kesayangan kami.

Semoga segala amal perbuatan kami sepanjang meniti hari-hari Ramadan ini, diterima dan dan diganjari.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, June 04, 2018

Kuasa

"Melayu kita memang bodoh. Senang sangat kena tipu. Tengok sekarang apa jadi?"

Isu Peguam Negara bukan Melayu yang dicadang oleh PM tiba-tiba menjadi hangat pagi ini. Marah benar dia, penyokong kuat BN itu.

"Akak, bila pulak Melayu ni cerdik? Tak pernah kan? Kalau tidak kerana perlembagaan, dah lama dah Melayu ni hapus!"

Saya menjawab. Ingin sekali saya mengatakan yang kebodohan Melayu ini adalah kerana didikan UMNO tetapi biarlah. Biar dia berfikir sendiri.

Sejak lama, Melayu adalah bangsa yang perlu dikasihani. Cina dan India pula adalah bangsa penjahat yang mahu menghapuskan Melayu. Tanpa UMNO, entah apalah nasib Melayu.

Biarlah pemimpin itu korup, asal dia Melayu. Biarlah pemimpin itu perompak, asal dia Melayu. Dia akan menjaga Melayu untuk terus berkuasa dan menjadi tuan di Tanah Melayu. Dia akan menjaga Melayu agar terus diberi hak istimewa tanpa ragu. Walaupun dalam kebodohan.

Saya cintakan tanah air saya. Saya mahukan Melayu baru yang dahaga ilmu, bukan kuasa semata-mata. Walaupun dalam curiga, saya tetap berharap agar kerajaan baru ini memberi sesuatu yang manis, bukan hanya untuk Melayu, tetapi untuk Malaysia.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, June 02, 2018

16 Ramadan


Setelah lebih separuh Ramadan berlalu, barulah ada kesempatan untuk saya berbuka di rumah ma walaupun setiap hari saya mengharap dan menanti. Begitu kekangan kehidupan, bagai terpaksa membiarkan seorang ibu tua bersendirian menempuh sisa-sisa hari yang ada. Tuhan, aku tidak berdaya. Engkau jagakanlah dia dan lindungi dia selalu.

Jam 11 pagi saya tiba di rumah ma bersama lauk dan sayur untuk dimasak berbuka nanti. Ma tidak suka lauk di kedai, jadi saya mencari menu yang boleh menggembirakan ma. Ikan tenggiri, ikan kekek, terung dan tembikai saya beli untuk dimasak resipi kampung. Harap ma suka.

Aziah dan Muiz sudah pun ada di rumah ma sewaktu saya tiba. Mereka juga akan berbuka di sini nanti. Husna yang pada awalnya memberitahu mahu berbuka di rumah mentuanya turut menukar rancangan dan akan menyertai kami memeriahkan rumah ma hari ini.

Alhamdulillah dengan kerjasama erat antara kami, selesai juga kami memasak gulai kuning ikan tenggiri, terung sambal, kerabu daun kayu dan ikan kekek goreng untuk hidangan berbuka hari ini. Husna turut membeli ayam golek untuk anak-anaknya yang tidak berapa gemarkan ikan.

Berselera sekali kami menikmati hidangan itu. Kenyang sungguh saya, dan ma turut berselera apabila makan beramai-ramai begini.

In shaa Allah saya akan mencari lagi ruang untuk berbuka puasa di rumah ma beberapa kali lagi untuk tahun ini. 


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, June 01, 2018

Bonus

Maka gegerlah seantero Malaya apabila bonus tahun ini tidak menyeluruh. Marah, kecewa, kesal dan segalanya bercampur baur kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Saya antara yang tidak layak menerima RM400 itu kerana sudah berada di gred 48. Suami saya juga, adik beradik saya pun. Memanglah ada rasa kecewa itu, tetapi saya masih waras kerana sentiasa memandang positif pada semua kejadian.

Cuma apabila ini berlaku, baru saya tahu betapa besarnya erti bonus pada kebanyakan orang. Yang marah-marah itu semua yang bergaji pokok RM4K ke atas, dan ia jumlah yang boleh dikatakan selesa apatah lagi jika suami isteri kedua-duanya bekerja. Rupa-rupanya, mereka yang berpendapatan sebanyak ini masih perlu dibantu dengan bonus apabila hari raya tiba.

Cara mereka menulis dalam nada kemarahan dan kekesalan benar-benar membuatkan saya terfikir, benarkah ini kata-kata daripada penjawat awam bergred 44 dan ke atas? Jika sekadar marah dan kecewa, tidak mengapa. Ini sudah sampai ke tahap mengatakan mereka terpaksa menyusun semula perbelanjaan raya kerana bonus sudah ditarik. Maksudnya, mereka sudah memasukkan nilai RM500 (yang dijanji BN) ke dalam bajet raya dan apabila ia tidak diberi, maka mereka kena ubah semula.

Bonus ialah bonus. Janganlah dimasukkan ke dalam bajet jika ia masih belum diterima. Susunlah pelan perbelanjaan daripada pendapatan hakiki kita yang rasanya sudah lebih dari cukup. Jika dicampur elaun, gaji gred 44 semuanya sudah menjangkau RM6K. Takkanlah masih memerlukan sokongan daripada bonus?

Di sinilah orang kita (baca: Melayu) perlu diasuh. Bab perbelanjaan memang sentiasa gagal untuk disusun dengan baik. Gaji sebanyak mana pun jika tidak dirancang dengan bijak, tidak akan pernah cukup. Ada duit, ada sahaja yang hendak dibeli. Jangan sebut pasal simpanan, itu bukan yang perlu diutamakan.

Semoga apa yang berlaku ini boleh menyedarkan mereka dan memberi satu pengajaran agar tidak bodoh dalam berbelanja.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sedekah

Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir yang pada tiap-tiap bulir itu terjurai seratus biji dan Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.
[Al Baqarah: 261]

Kawan-kawan, sedekah ialah suatu pemberian ikhlas oleh seorang kepada yang lain tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Tanpa mengira usia dan tahap kewangan. Miskin mahupun kaya kita dianjurkan bersedekah, sebagai sebuah kebajikan yang hanya mengharapkan redha Allah semata.

Sedekah tidak saja dengan harta kerana segala kebaikan adalah sedekah. Membayar hutang adalah sedekah. Mencegah diri dari bermaksiat adalah sedekah. Memberi nafkah kepada keluarga sendiri adalah sedekah. Beramar ma'ruf nahi munkar adalah sedekah. Memberi senyum juga sedekah.

Ali bin Abi Thalib berkata, "pancinglah rezeki dengan sedekah."

Malah sedekah dapat menolak bala. Rasulullah bersabda, "Bersegeralah bersedekah, sebab yang namanya bala tidak pernah dapat mendahului sedekah."

Sedekah juga dapat menyembuhkan penyakit. Rasulullah menganjurkan, "Ubatilah penyakitmu dengan sedekah."

Sedekah malah menunda kematian dan panjangkan umur. Rasulullah mengatakan, "Perbanyakkanlah sedekah sebab sedekah dapat memanjangkan umur."

Dalam hadis lain:
"Bersedekahlah walaupun segantang kurma, walaupun sebahagian dari segantang, walaupun segenggam kurma, walaupun sebiji kurma, walaupun separuh kurma. Barangsiapa yang belum mendapatkannya maka bersedekahlah dengan ucapan yang baik."

Semuanya hanya kerana Allah mencintai orang-orang yang bersedekah.

(FB Bintang Kartika)

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.