Thursday, December 31, 2020

Terakhir

Hari ini penghabisan tahun 2020. Tamat sudah satu tahun yang dari dulu kami nanti, tetapi dipenuhi dengan segala perkara luar jangka. Itu aturan Tuhan. Ternyata kita manusia tiada langsung ada kuasa untuk menebak, hanya mampu merancang. Segala kesudahan di tangan-Nya jua.

Seminggu dua ini saya tidak berapa stabil emosi. Tidak tahulah mengapa. Pagi saya ok, menjelang tengah hari saya serabut, rasa geram dan menangis sendiri. Bila malam saya ok kembali. Berulang dan berputar begitu. Mungkin saya sedang bermuhasabah.

Tetapi sewaktu jiwa saya serabut, ia sungguh menekan. Tidak mampu saya bercerita kepada sesiapa selain menangis sendirian. Saya cuma mampu berdoa dan berharap pada Tuhan agar segalanya dapat saya lalui dengan tabah. Tidak tahu apa yang menyebabkan jiwa saya kacau, ia seperti perasaan sendiri yang penuh emosi.

Mujur apabila selesai menangis dan berdoa, saya akan rasa tenang. Tenang sehingga saya menyesali kata-kata yang terucap sewaktu jiwa kacau tadi. Pun esok-esok, ia akan kembali berulang.

Begitu perasaan jiwa seorang wanita tua seperti saya ini. Sensitif. Nostalgik. Tambah lagi saya sedang berperang dengan kesakitan haid, tentu keseimbangan emosi menjadi terumbang ambing.

Sehari dua lagi saya akan kembali pulih. In shaa Allah.

Esok 2021 hadir. Saya akan menyambutnya dengan hati terbuka. Apa sahaja yang teriring bersamanya, saya terima sebagai anugerah. Semoga virus yang ada ini cepat-cepat pergi, dan semoga kehidupan kita kembali kepada norma. Amin.

Thursday, December 24, 2020

Lari

Kenapa orang perempuan ni takut sangat kalau suami lari? Bila ada iklan produk khas untuk wanita yang tujuannya ialah meningkatkan keupayaan seksual atau mewangikan alat sulit, motif utamanya ialah supaya suami tidak lari.

Aduhlah!

Saya malas nak cerita bab nafsu nafsi ni, tak penting pun pada saya. Apa yang saya nak highlight ialah bab suami lari. Eh, dia nak lari biarlah! Kenapa kita terhegeh-hegeh nak kejar?

Kalau dia lari tu, maksudnya dia dah tak nak kat kita. Tak kiralah miss v kita wangi ke, busuk ke, longgar ke, ketat ke, kalau dia dah tak nak, dia tak naklah. Tak ada maknanya kita nak bersiap segala supaya dia tak jadi lari. Itu bodoh!

Suami ni, teman hidup kita. Bila dia sayang kita dia akan terima kita seadanya. Seteruk mana pun fizikal kita, dia tidak kisah. Dia sayang kita tanpa syarat, sama macam kita sayang dia. Itu baru pasangan yang diredai Allah.

Kalau dia lari, maksudnya dia tak sayang kita. Bila dia tak sayang, biarlah dia pergi. Kita bukan hidup kerana dia. Kita hidup kerana Allah. Kita bergantung pada Allah. Bila dia lari, biarlah. Dia nak hidup tanpa kita maka kita pun perlu belajar hidup tanpa dia.

Susah ke tiada suami? Rasanya susah itu hanya pada mula-mula sebab kita belum biasa. Lama-lama ok lah. Lagi pun, kalau suami tak lari pun kita tetap kena bersedia hidup tanpa suami kerana ajal maut itu rahsia Tuhan. 

Jadi apa masalahnya?

Puan-puan, letaklah kebergantungan pada Allah, bukan pada suami. Allah pasti tidak akan lari selagi kita meyakini-Nya.

Wallahua'lam.

Monday, December 21, 2020

Teringat

Pernah tak tiba-tiba teringat kenangan lama yang tak tau nak kata sedih ke pilu?

Eh, saya bukanlah jenis yang nak terkenang susahnya atau sedihnya zaman sekolah dulu sebab tak adalah sedih mana pun. Saya happy-happy je selalu masa sekolah. Ada duit ke, tak ada duit ke saya ok je. Time ada duit saya seronok tapi bila tak ada duit saya ok je, buatlah cara tak ada duit. Hihi..

Bukan apa, saya teringat tart telur yang Kak Ton jual masa saya di asrama MRSM Kuala Terengganu dulu. Tart tu sedap, saya tak pernah makan pun kat rumah. Bila Kak Ton jual saya beli satu. Lima puluh sen je masa tu. Sedapnya ya Allah, tak cukup seketul tapi nak beli banyak duit tak cukup.

Kak Ton ni selalu datang ke asrama kami petang-petang, bawa barang jualan berupa makanan. Ada macam-macam tapi yang paling saya ingat tart telur dengan colek jambu.

Saya ni masa kat asrama bukan selalu ada duit. Saya jenis tak kisah pun bila duit habis sebab bukan tak boleh makan kalau tak ada duit. Kami makan enam kali sehari di dewan makan, tak ada duit pun kenyang semacam!

Jadi bila Kak Ton datang masa saya ada duit barulah saya boleh membeli. Kalau tidak saya tengok ajelah. Terliur pun tahan aje. Hehe!

Tadi di cafe HUSM, ada tart telur. Saya memang pantang nampak, terus beli. Jika tiga puluh dua tahun dulu Kak Ton jual lima puluh sen je satu, hari ini harganya dah jadi seringgit tiga puluh sen. Saya beli dua. Sedap, masih sama rasanya macam yang Kak Ton jual tetapi saiznya kecil sedikit. Terlepas rindu saya pada tart telur.

Begitulah putaran hidup. Dulu masa boleh makan macam-macam duit tak berapa nak ada. Sekarang duit berkepuk tapi makan pula kena jaga-jaga, tak boleh sembarangan.

Apa pun, saya terima kenyataan ini sebagai satu anugerah yang indah dan bersyukur segalanya.


Saturday, December 19, 2020

Tugas

Khamis itu, saya membawa diri ke sekolah. Rasa rindu untuk bekerja dan mengajar seperti tidak terbendung. Walaupun hujan merenyai pada musim tengkujuh ini, langsung tidak menghalang niat saya. 

Demi kaki melangkah ke tangga sekolah, hati diulit rasa bahagia. Demi menjejak ke bilik peperiksaan yang saya huni sekian lama (dan telah empat minggu saya tidak menjenguknya), ada rasa nyaman dan tenang memenuhi ruang dada. Di sinilah jiwa saya. 

Telah saya maklumkan pada anak-anak kelas 5 Ibnu Rushd yang saya akan berada di sekolah hari ini. Jika mahu belajar dengan cikgu, datanglah.

Tidak saya sangka mereka betul-betul datang. Walau pun cuma lima orang, saya teruja benar kerana dapat melepaskan rindu untuk mengajar Matematik Tambahan. Tekun sekali mereka, harap-harapnya ada penambahan ilmu dan peningkatan kemahiran dalam dua jam kami menelaah. Terima kasih Adam, Auni, Awyn, Soleh dan Nisa kerana memberi cikgu peluang ini. Cikgu sangat seronok. Nanti minggu depan kita sambung pula ya.

Begitu jiwa saya, cukup bahagia meladeni anak-anak didik yang saya kasihi. Semoga Allah memberi kecemerlangan buat mereka, dunia dan akhirat. Juga, semoga Allah memanjangkan umur saya dalam kesihatan yang baik agar saya dapat terus berbakti di medan ini hingga hujung usia.

Friday, December 18, 2020

Tercapai

Rasa macam lama benar menanti, Alhamdulillah pada Rabu 16/12/2020 akhirnya hasrat saya tercapai.

Jujurnya, saya selalu teragak-agak untuk membeli perhiasan emas. Entah kenapa saya risau ditipu. Saya ini tidak pandai menawar, apa yang mereka kata itulah yang saya bayar. Mahal atau murah, saya tidak pasti.

Tetapi sebulan dua ini, saya seperti berubah 180° kerana asyik terfikir mahu beli gelang baru. Bertahun sudah saya tidak membeli yang baru kerana setiap kali saya ke kedai emas, saya akan menjual gelang lama dahulu baru membeli yang baru. Kali ini saya mahu membeli tanpa menjual. Bajet saya RM8000.

Apabila memerhati turun naik harga emas, lagilah saya ragu-ragu. Risau bila saya beli hari ini, esok-esok harga turun pula. Tentu saya rasa rugi. Saya ini fikir macam-macam!

Rabu itu, suami saya mahu ke JPN Tunjung atas urusan sekolahnya. Saya mahu juga ke kedai emas. Boleh tak awak letak saya kat Makmur Gold, kemudian awak pergi urusan JPN, dan bila siap datang jemput saya kat Makmur Gold?

Teragak-agak saya berkata begitu, tetapi mujurnya dia setuju! Lalu itulah yang berlaku pada pagi Rabu itu.

Segalanya mudah apabila saya bersendirian. Tiada cuak, tiada bimbang. Saya cuba dan saya memilih, dan akhirnya seutas gelang emas Coco Kait seberat 23.34 g menjadi milik saya dengan harga RM5694.


Rancangan saya ialah untuk mengintai juga pattern lain di kedai emas sebelah tetapi suami saya tiba sebelum sempat ke sana. Tidak jadilah. Lain kalilah pula ya! Duit belum habis ni... Hihi!

In shaa Allah nanti hari jadi saya pada Januari nanti saya mahu membeli lagi. Mungkin rantai dan cincin pula. Kalau boleh saya mahu keluar membeli dengan teman-teman di sekolah, tetapi entah ada kesempatan entah tidak.

Wednesday, December 16, 2020

Mengapa Dirindu?

Seawal pagi hati sudah rasa sayu tak menentu, entah kenapa. Tiba-tiba rasa mahu menangis, pada hal tiada siapa yang buat salah pun. 

Puncanya ialah rindu. Rindu untuk berada di sisi orang-orang yang saya sayang, tetapi tiada kesempatan. Hati terusik bila memikirkan hanya saya sahajakah yang rindu? Mereka tidak rindu saya pun kan?

Saya saja cari pasal. Lama tak jumpa, mulalah rindu. Bila rindu, mulalah fikir bukan-bukan. Sepertinya saya ini tidak penting pun pada mereka.

Tetapi jika pun benar begitu, mengapa mahu sedih? Biarlah begitu. Apa diharap padi seberang, kan?



Monday, December 14, 2020

Sabah

Saya ada kenangan tentang Sabah, dan hari ini biarlah saya bercerita di sini.

Setamat kursus KPLI saya pada Mei 1997, saya menanti dengan penuh harapan agar penempatan pertama saya sebagai guru ialah di Semenanjung. Rupa-rupanya mereka memilih Sabah untuk saya.

Hanya Tuhan yang tahu betapa kecewanya saya diberi tempat sejauh itu. Selama berbelas-belas tahun saya berjauhan dari keluarga, tidak mungkin saya mahu ke tempat yang semakin jauh untuk bekerja. Dalam fikiran saya, tiada pilihan selain membuat rayuan. Saya benar-benar enggan pergi! Ayah dan emak juga seperti sama pendapat dengan saya, merelakan saya menganggur seketika. Maka saya pun mengarang surat rayuan dan ayah menguruskan penghantarannya.

Tiga bulan kemudian iaitu pada September 1997, saya menerima surat jawapan dari KPM menyatakan rayuan saya gagal dan saya akan tetap ditempatkan di Sabah pada Januari 1998. Kali ini saya reda. Saya perit hidup tanpa duit dan menumpang ibu ayah tak sudah-sudah. Walaupun baru tiga bulan, saya sangat tertekan. 

Januari tiba, saya pun terbang ke Sabah. Waktu itu bulan puasa dan saya baru dua hari bernikah. Perasaan saya? Biasa-biasa saja. Ya, pasrah dan reda.

Kami para guru yang akan posting ke Sabah ini bermalam di Kompleks Haji Kelana Jaya sementara menunggu penerbangan ke Kota Kinabalu pada 5 Januari. Di Kota Kinabalu, kami menginap di asrama SBP pula. Waktu itu musim gawat, kerajaan tidak mampu memberi kami hotel seperti batch sebelum ini. Saya pasrah dan reda.

Hari pertama di Sabah itu, kami diberi taklimat penempatan sekolah. Taklimat sahaja, dan pagi esok baru kami akan diberi surat penempatan dan akan tahulah ke mana kami seterusnya. Sama ada kekal di Kota Kinabalu, atau perlu terbang lagi ke Tawau, Beaufort, Kundasang atau mana-manalah. Saya menanti sahaja. Mana-mana pun tidak mengapa asal ada kerja dan ada gaji. Begitu kata hati.

Usai taklimat, saya bertemu pegawai KPM secara individu untuk bertanya tentang prosedur pertukaran. En. Zainal nama pegawai yang baik hati itu. Dialog kami lebih kurang begini.

Saya  : Encik, saya mahu bertanya tentang pertukaran. Bolehkah saya mohon tukar ke Semenanjung bulan Jun nanti?

KPM : Kenapa cikgu nak balik Semenanjung? Baru je datang ni...

Saya : Saya dah berkahwin. Suami saya mengajar di Kelantan. Kira saya nak balik ikut suami lah.

KPM : Laaa, kenapa tak cakap dah kahwin. Kalau kami tau cikgu dah kahwin kami tak hantar datang sini. 

Saya : Baru seminggu saya kahwin Encik. Masa mohon penempatan hari tu saya belum kahwin.

KPM : Esok baliklah. Duit nak beli tiket ada tak?

Saya : Hah? Ada, ada...

KPM : Patutnya semalam kat KL lagi cikgu bagitau kami yang cikgu dah kahwin. Takdelah cikgu kena datang sini saja-saja. Kementerian bukan kejam nak letak cikgu jauh dari suami.

Saya : Betul ke ni Encik? Esok? 

KPM : Ya, esok. Petang nanti kita ke airport beli tiket. 

Ya Allah, terkejut sungguh saya waktu itu. Gembira dan teruja betul kerana dapat balik Semenanjung! Petang itu saya menaiki kereta KPM bersama-sama En. Zainal dan seorang lagi pegawai KPM yang bernama Che Noh. Dalam kereta kami berbual lagi. Kata En. Zainal, saya akan dihantar mengajar ke Pahang kerana penempatan di Kelantan dan Terengganu dibekukan. Saya terima sahaja, asalkan tidak jauh sangat.

Malam itu saya menelefon suami dan juga ayah memaklumkan berita gembira ini. Semua pun teruja dan tidak sangka semudah itu ia berlaku.

Pulang ke asrama, saya tidur dengan senyuman.

Surat penempatan baru saya diterima pada hujung Februari dan saya ditempatkan di SMK Mahmud, Raub. Saya diminta melapor diri pada 1 Mac 1998.

Alhamdulillah. Begitu aturan Allah. Sempat jugalah kaki saya menjejak Sabah walaupun sekadar jejak sahaja.


 

Saturday, December 12, 2020

Salam Kebahagiaan

Pagi Rabu 9 Disember 2020 itu, adinda Ismah selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.27 kg di Hospital Putrajaya, secara c-section.

Alhamdulillah. Bertambah lagi bilangan cucu tok ma, mencecah 21 orang. 

Tidak sabar mahu bertemu, meriba dan mencium bayi suci yang harum itu tetapi upaya apalah yang saya ada, tambahan lagi dalam suasana pandemik yang masih enggan pergi.

Dari jauh pun, rasa bahagia itu sama. Dari jauh pun jua, doa dari umiti sentiasa bertebaran serata maya. Semoga Allah menjaga dan melindungi kalian di Putrajaya, cepat sembuh uminya dan sentiasa sihat anaknya. Reaksi Huda dan Hana menerima adik baru sentiasa terbayang-bayang di mata. Sungguh rindu untuk melihat aksi begitu.

Jagalah mereka ya Allah. Beri kami ruang untuk menemui mereka jua nanti.

Amin.



Perkongsian

Seorang lelaki pergi ke Masjid. Dia lupa mematikan (silent mode) hp nya dan secara tiba-tiba berdering waktu sedang berdoa. Seorang takmir menegurnya dari depan, beberapa orang memarahinya apabila selesai berdoa karena dia sudah mengganggu kekhusyukan dan ketenangan mereka ketika berdoa.

Apabila dia pulang, dia menceritakan kisah itu kepada isterinya. Dia mengharap mendapat simpati dari isterinya tetapi isterinya terus memarahinya kerana kelalaiannya. 

Sejak itu, dia memutuskan untuk tidak  lagi melangkahkan kakinya ke Masjid itu.

DAN

Malamnya, dia pergi ke cafe. Masih merasa gugup dan tergoncang dengan peristiwa tadi, dia tidak sengaja telah  menumpahkan minumannya di meja.

Pelayan cafe dengan pantas meminta maaf dan memberikan kain lap bersih untuk dia  membersihkan pakaiannya.

Petugas kebersihan segera mengelap dan membersihkan lantai. Pengurus cafe datang  membawakan minuman ganti. Dia juga memberikannya pelukan serta berkata *"Jangan bimbang, sikit punya hal, siapa lah yang tak pernah buat silap?"*

Sejak saat itu, ia tidak pernah berhenti datang ke cafe itu.

PENGAJARAN:

Terkadang sikap kita sebagai orang beriman yang menyebabkan ada jiwa-jiwa yang terdorong ke neraka. Kita memagari diri kita seakan kita adalah orang-orang suci. 

Bagaimana kita boleh berbicara tentang ketenangan jiwa, bila fokus kita hanya  kesalahan-kesalahan orang lain sahaja?

Mari kita asah kembali mata hati kita, bukan  mempersoalkan siapa benar ataupun siapa yang salah, namun respon kita terhadap sesuatu keadaan yang menentukannya.

Laa hawla wala quwwata illa billah hil a'liyil adzim.

#MuhasabahDiri

SUMBER SAYA :
Dari FB Masnieza Angkasah

Thursday, December 10, 2020

Emosi Kesayuan

Sayu hari ini. Air mata mudah je keluar. Tak taulah, dah cuba mencari rasional tetapi hati ini begitu sensitif.

Bukan senang mencari ruang, seorang saya sering terikat dengan pelbagai kekangan. Apabila peluang ada, saya seperti bukan siapa-siapa. 

Sayu.

Pulang ke rumah saya cuba memujuk hati. Tetapi begitulah, mood ke laut. Mahu melayan cakap dengan suami pun rasa malas. Untung dia tidak tahu gejolak dalam jiwa isterinya ini. Penuh emosi.

Usai makan dan solat Zohor, saya tidur. Harapnya bangun nanti semua kesayuan itu pergi. Tetapi tidak. Demi terjaga sahaja, gambaran peristiwa itu terbayang-bayang. Lalu bagaimana?

Saya mencari beg barang kemas saya. Sekadar mahu menatap dan mencuba sambil melupa apa yang sedang mengganggu. Suami saya menegur, acap benar membelek emas sekarang? Tak sabar nak beli baru ke? Nantilah kita ke kedai. Minggu depan ya!

Hati saya berbunga-bunga. Rupanya dia perasan peel saya belakangan ini yang asyik melihat facebook emas, dan membelek-belek barang kemas sendiri yang cuma seurat dua itu. Saya ada juga mengajaknya ke kedai emas, tapi dia kata musim begini tidak sesuai. Kedai emas kan tengah penuh sekarang. Nanti dululah. Saya diam saja. Selalu pun begitu, bila ajakan tak dipenuhi saya tidak akan mengulang ajak lagi.

Mujur dia faham. Alhamdulillah.

Hati saya sedikit tenang. Biarlah peristiwa sayu pagi tadi berlalu. Bukan perlu saya kenang pun. Bukan selayaknya saya nak rasa hati pun. Saya saja yang over sensitive. Hormonal imbalance, or pre menopause syndrom. Yes, whatever!

Untuk sekian kalinya, Alhamdulillah.

Monday, December 07, 2020

Fokus

Melihat gelaran-gelaran yang terpampang di pangkal nama rakan-rakan sekolah saya dahulu, ada juga rasa seperti sesalan terbit di jiwa. Berapa ramai antara mereka sudah ada doktor falsafah, malah ada yang bergelar profesor juga. Mereka berjawatan hebat dalam bidang akademik, serta dikenali. Saya hanya mampu menumpang bangga dengan pencapaian akademik mereka yang menakjubkan itu.

Dahulu, saya pernah bercita-cita untuk berada di tempat begitu. Saya mahu meneruskan perjuangan saya dalam bidang yang saya minati iaitu akademik. Saya suka belajar. Belajar lebih seronok daripada bekerja. Sungguh.

Pun langkah yang saya atur tidak membawa saya ke puncak itu. Laluan yang saya pilih nian berbeza. Kenapa?

Bukan mencari alasan, tetapi inilah kenyataan. Sebaik saya nekad untuk menjadi guru, borang Pengajian Sarjana yang saya isi sewaktu di tahun akhir UKM, saya buang ke bakul sampah. Waktu itu hati berdetik, biarlah dahulu. Masa masih ada selepas bekerja dan ada duit nanti.

Bila sudah bekerja dan berkahwin, saya menjadi beku. Setiap kali ada tawaran untuk sambung belajar lalu di depan mata, saya pejamkan sahaja. Saya seperti sudah lupa pada segala cita-cita. Lagi pun, menjadi guru sekolah akan tetap guru sekolah biar berkeping-keping sarjana saya miliki. 

Saya sebenarnya seorang yang sangat fokus. Saya tidak boleh melakukan dua tugas utama serentak. Jika saya bekerja, saya akan fokus kepada kerja saya. Tidaklah mampu saya belajar jika saya ini masih bekerja. Itulah saya. Apatah lagi saya juga seorang isteri yang taat dan setia. Menyambung belajar tentulah membebankan bahu yang sedang memikul beratnya tugas isteri dan guru!

Lalu segalanya saya abaikan walaupun ada penyesalan. Saya pasrah. Saya reda dengan jalan yang terbentang di hadapan saya. Walaupun gelaran cikgu hanyalah biasa-biasa, saya tetap mahu berbangga dengannya. Ya, bersyukur sesungguh-sungguhnya.

Meneruskan pengajian memerlukan kecekalan dan semangat. Saya tabik pada mereka yang mampu melakukannya serentak dengan kerjaya. Hebat. Saya tidak sehebat itu. 

Semoga curahan tenaga sebagai cikgu ini memberi saya kepuasan yang boleh saya simpan dalam lembaran kenangan.

Benci Memasak

Tidak terkata betapa rindunya saya untuk ke sekolah. Saya sebenarnya sungguh bosan berada begini-begini saja di rumah, mengulang cerita yang sama yang penuh kebuntuan. Saya tidak kisah kalau berada di rumah untuk bebas dan menjadi diri saya juga melayan hobi sendiri, tetapi ia tidak begitu. Saya ada kerja yang perlu saya buat tetapi saya tidak gemar. Jadi?

Saya suka kalau boleh ke sekolah. Saya bebas di situ. Tiada yang saya tidak gemar di sekolah. Jiwa saya tenang bekerja sebagai guru lebih daripada menjadi suri rumah. Saya malas memasak!

Ah!

Semoga cepatlah Covid berlalu. Saya sudah tidak betah untuk memikir menu, kemudian memasak penat-penat, tetapi hasilnya tidak sedap langsung! Saya tertekan sungguh.

Kalau memasak itu boleh di'delete' dari acara harian saya, alangkah syurganya hidup! Berada di rumah memang best, asalkan tidak perlu memasak.

Friday, December 04, 2020

Cerita Gelang

Hampir dua puluh tiga tahun saya bekerja, tidak banyak barang kemas yang saya miliki. Entahlah, hati saya selalu berubah-ubah. Ada waktunya hati saya begitu inginkan barang kemas, tetapi fikiran sering melarang daripada membeli sesuka hati. Dan jika terbeli juga, berhari-harilah pula saya asyik memikir, berbaloikah apa yang saya beli itu?

Pada hal semua tahu emas itu nilainya kekal, kalis inflasi dan laku di seluruh dunia. Untuk jangka panjang, ia sangat menguntungkan. Cuma faktor-faktor tertentu yang menyebabkan saya selalu keliru. Saya seperti lebih menghargai tunai daripada emas kerana kecairan dan fungsinya lebih luas. Jika emas, ia hanya untuk perhiasan di tubuh sendiri dan tidak akan berguna selagi tidak diambil nilainya. Sedangkan tunai, saya boleh lakukan apa sahaja sesuka hati, memberi saya rasa selesa dan yakin.

Pada tahun pertama bekerja (1998), saya memiliki kisah tentang emas. Saya mengajar di SMK Mahmud Raub waktu itu dan berjauhan dengan suami yang mengajar di SMU(A) Rahmaniah Kuala Krai. Sebaik saya mendapat gaji pertama, saya teringin sungguh untuk memiliki gelang emas idaman saya. Saya berkenan benar dengan gelang licin tanpa corak, dan dipakai dua utas. Cantik pada mata saya.

Memikirkan saya ada duit sendiri, saya terus ke kedai emas di bandar Raub sendirian sepulang dari sekolah. Sekolah saya memang terletak di bandar, saya hanya berjalan kaki sahaja waktu itu menuju ke kedai emas. Kebetulan gelang yang saya idam-idamkan itu ada di kedai itu. Tanpa berfikir panjang, terus saya beli dengan harga RM840 untuk dua utas. Wah, puasnya hati saya dapat menggayakan gelang yang sekian lama saya impikan!

Pada hujung minggu itu, seperti biasa saya pulang ke Kuala Krai menemui suami saya. Dia terpandang gelang emas di lengan saya, dan saya pun memberitahu yang saya beli gelang itu sendiri di Raub. Dia tiba-tiba kelihatan bad mood. Enggan bercakap dan dingin sekali dengan saya. Hairan saya, apa yang tidak kena? 

Rupa-rupanya dia berkecil hati dengan tindakan saya membuat keputusan sendiri membeli barang kemas tanpa memberitahunya. Oh! Rupanya suami saya seorang yang begitu mengambil berat dan tidak boleh dirinya diketepi dalam apa jua keinginan saya. Dia mahu saya berbincang dengannya untuk semua perkara. Suami isteri, kan?

Saya yang baru mengenalinya tidak sampai setahun tidak menyangka langsung yang dia seperti itu. Saya hanya mampu meminta maaf dan berjanji untuk tidak mengulangi lagi. Tidak mengapalah, saya akan lebih berhati-hati pada masa depan.

Gelang itu saya pakai sekejap sahaja, dalam setahun lebih. Apa yang berlaku menjadikan saya tawar hati dan tidak gembira setiap kali melihat gelang itu. Kesudahannya, saya jual gelang itu pada emak dengan harga RM500. Emak yang mahu, bukan saya promote ya!

Begitulah ceritanya.

Ada lagi yang saya mahu cerita tentang emas. Nantikan ya!