Monday, December 07, 2020

Fokus

Melihat gelaran-gelaran yang terpampang di pangkal nama rakan-rakan sekolah saya dahulu, ada juga rasa seperti sesalan terbit di jiwa. Berapa ramai antara mereka sudah ada doktor falsafah, malah ada yang bergelar profesor juga. Mereka berjawatan hebat dalam bidang akademik, serta dikenali. Saya hanya mampu menumpang bangga dengan pencapaian akademik mereka yang menakjubkan itu.

Dahulu, saya pernah bercita-cita untuk berada di tempat begitu. Saya mahu meneruskan perjuangan saya dalam bidang yang saya minati iaitu akademik. Saya suka belajar. Belajar lebih seronok daripada bekerja. Sungguh.

Pun langkah yang saya atur tidak membawa saya ke puncak itu. Laluan yang saya pilih nian berbeza. Kenapa?

Bukan mencari alasan, tetapi inilah kenyataan. Sebaik saya nekad untuk menjadi guru, borang Pengajian Sarjana yang saya isi sewaktu di tahun akhir UKM, saya buang ke bakul sampah. Waktu itu hati berdetik, biarlah dahulu. Masa masih ada selepas bekerja dan ada duit nanti.

Bila sudah bekerja dan berkahwin, saya menjadi beku. Setiap kali ada tawaran untuk sambung belajar lalu di depan mata, saya pejamkan sahaja. Saya seperti sudah lupa pada segala cita-cita. Lagi pun, menjadi guru sekolah akan tetap guru sekolah biar berkeping-keping sarjana saya miliki. 

Saya sebenarnya seorang yang sangat fokus. Saya tidak boleh melakukan dua tugas utama serentak. Jika saya bekerja, saya akan fokus kepada kerja saya. Tidaklah mampu saya belajar jika saya ini masih bekerja. Itulah saya. Apatah lagi saya juga seorang isteri yang taat dan setia. Menyambung belajar tentulah membebankan bahu yang sedang memikul beratnya tugas isteri dan guru!

Lalu segalanya saya abaikan walaupun ada penyesalan. Saya pasrah. Saya reda dengan jalan yang terbentang di hadapan saya. Walaupun gelaran cikgu hanyalah biasa-biasa, saya tetap mahu berbangga dengannya. Ya, bersyukur sesungguh-sungguhnya.

Meneruskan pengajian memerlukan kecekalan dan semangat. Saya tabik pada mereka yang mampu melakukannya serentak dengan kerjaya. Hebat. Saya tidak sehebat itu. 

Semoga curahan tenaga sebagai cikgu ini memberi saya kepuasan yang boleh saya simpan dalam lembaran kenangan.

No comments:

Post a Comment