Sunday, March 28, 2021

Untuk Neelofa

Tak taulah, tiba-tiba rasa sayu dalam hati saya sampai menitik air mata bila melihat video pernikahan Neelofa dan Haris yang dikongsi di IG story Roxiomar. Sebak. Mungkin kerana terasa payahnya seorang Neelofa menempuh liku hidup sebelum bergelar isteri. Entah, saya pun tak tahu.

Neelofa tidak mungkin membaca tulisan saya ini tetapi biarlah doa ini saya kirimkan setulus hati.

Semoga Allah menjagamu selalu saudaraku, memberi bahagia dalam rumah tanggamu dan menjadikanmu isteri yang dikasihi suamimu sampai syurga. Amin.

Seharian semalam saya seronok menggelintar Facebook dan IG kerana banyak benar cerita perkahwinan Neelofa. Tiba-tiba saya jatuh hati pada gadis manis ini. Kecekalan dan ketabahannya memikat saya. Bukan mudah menjadi Neelofa yang segala perbuatannya menjadi perhatian dan tudingan. Segala kelakuannya dinilai dan diramal, malah juga dihina dan dicerca.

Tabahlah. Allah lebih mengetahui.

Selamat pengantin baru. Semoga Haris mengasihi Neelofa selamanya kerana Allah.



Friday, March 26, 2021

Anggap Saja

Anggap saja hujan ini 
adalah kenangan
meski rintik yang sedetik
tetapi mampu mengingatkan.  

Anggap saja hujan ini 
adalah kerinduan
meski rintik yang setitik 
tetapi mampu mempertemukan. 

Anggap saja hujan ini 
adalah aku
meski sudah tak lagi deras
tetapi tetap membekas   


Sent from Yahoo Mail on Android

Syukur

Salam Jumaat. Hari ini sudah 12 Syaaban 1442. Tinggal 17 hari lagi, dan Ramadan pun tiba. Semoga Allah panjangkan usia kita untuk sama-sama menyambut Ramadan dan menggunakan setiap kelebihan yang ada padanya.

Ini Ramadan ke-25 saya sambut sebagai seorang isteri. Masih jelas di ingatan Ramadan 1418 yang lalu, yang menjadi Ramadan pertama kami lalui bersama. Penuh kenangan. Indah dan bererti. Menjadi pengalaman dan pengajaran.

3 Ramadan 1418, itu tarikh kami disatukan. 

Syukur ya Allah atas tiap kurnia yang Engkau berikan. Tidak terhitung dan sungguh saya mensyukurinya. 

Di sisi saya ialah seorang suami yang setia. Bukanlah sempurna, tetapi cukup baik untuk saya. Ada waktu saya rasa mahu lari jauh darinya, tetapi pada waktu lain saya tidak sanggup kehilangannya. Dia pernah membuat saya rasa marah, tetapi ada ketikanya saya dilayan bak permaisuri. Saya terima dia seadanya. Rindu saya selalu ada walaupun saat dia dekat di sisi.

Menjadi isteri untuk tahun yang ke-24 ini, banyak liku dan cabaran yang menjadi pengajaran buat kami. Tuhan, kekalkanlah rasa kasih antara kami hingga ke syurga-Mu.

Saturday, March 20, 2021

Menjadi Introvert

Tadi, saya resah seharian. Awalnya saya gembira apabila suami saya mendapat jemputan kenduri di rumah jiran hari ini. Tidaklah saya perlu memasak. Sangka saya dia akan pergi sendirian, tetapi petang semalam dia memberitahu saya juga turut dijemput. Saya pun kena pergi. Aduh!

Menjadi introvert memang sinonim dengan sombong. Kejiranan saya ini memang begitu asing pada saya. Walaupun kenal, tetapi saya tidak pandai memesrai mereka. Ya, saya sombong!

Saya senang menyendiri di rumah. Saya serabut bila ada acara yang memerlukan saya turut serta. Seperti kenduri inilah. Tetapi saya tiada upaya menolak.

Jam dua petang, saya berjalan kaki bersama suami menuju ke rumah jiran saya itu. Resah di jiwa masih bertingkah. Bagaimanalah lakuku nanti? Pandaikah aku bertegur sapa?

Sebaik tiba, saya dijemput makan. Sedikit sahaja makanan saya ambil. Selalu begitulah, selera bagai tertutup sebab jiwa kacau. Mencari tempat duduk pun satu masalah besar bagi saya. Mahu ke meja mana? Duduk dengan suamikah atau di tempat perempuan? Serba salah dan serba tidak tahu.

Akhirnya saya ke meja yang sudah ada dua tetamu. Senyum manis saya hiaskan di wajah dan terus menikmati hidangan tanpa lengah. Berbuallah juga sepatah dua, sekadar memecah sunyi. Sambil itu berfikir-fikir, apa lagi nak tanya ni?

Selesai makan, saya mencari tuan rumah untuk berterima kasih dan terus pulang. Ah lega!

Begitulah penyeksaan yang saya rasa bila terpaksa menempuh acara keramaian. Dan saya tidak tahu penyeksaan ini bakal tamat atau tidak!

Tiri

Tahniah Engku Emran dan Noor Nabila yang telah selamat bernikah semalam. Semoga jodoh berpanjangan sampai syurga.

Tidaklah saya mahu mengulas apa-apa selain tentang Aleesya dan Jebat. Tiba-tiba media membicarakan status hubungan mereka selepas ayah dan ibu mereka bernikah.

Aleesya dan Jebat tetap berstatus ajnabi walaupun ibu bapa mereka suami isteri. Mereka tiada hubungan darah dan mengikut hukum Islam, mereka boleh bernikah.

Rupa-rupanya masih ramai dalam kalangan kita yang belum tahu tentang ini. Sebab itulah banyak persoalan yang timbul di media sosial. Kata mereka, adik beradik tiri mana boleh bernikah?

Kata saya, inilah yang dimaksudkan sebagai adik beradik tiri. Jika adik beradik berlainan ibu, kita panggil sebapa. Jika berlainan bapa kita panggil seibu. Mereka tetap adik beradik, ada hubungan darah dan berstatus mahram. Bukan tiri.

Dulu saya pernah bertanya hal ini pada arwah ayah. Saya kata ayah dan Mo' Ma' tu adik beradik tiri kan? Ayah kata bukan tiri. Adik beradik kandung tapi sebapa. 

Perkataan tiri pada saya seperti sedikit tersasar kerana tiri ini membawa maksud hubungan yang baru wujud kerana ikatan perkahwinan. Ibu tiri, bapa tiri itu digelar sebegitu kerana selepas bapa atau ibu kita berkahwin dengannya baru wujud hubungan. Sedangkan adik beradik sebapa atau seibu ini tetaplah adik beradik kita sejak lahir.

Begitu pandangan saya.

Friday, March 12, 2021

Hujung Jari

Usai kertas Matematik Tambahan SPM pada Rabu itu, saya tidak terus pulang. Saya naik ke bilik saya untuk solat Asar dan menunggu suami saya datang menjemput apabila selesai tugasnya di bilik kebal. Saya tidak bersendirian kerana sahabat saya Kak Rohana menemani.

Kami pun berbual-bual mengisi masa. Pelbagai topik kami sentuh, tentang SPM, tentang sekolah juga tentang negara.

Bercerita tentang statistik Covid pula, saya dengan lancar memaklumkan bilangan kes negara dan kes di Kelantan kepada Kak Rohana. Saya nyatakan di Kota Bharu masih banyak kes berbanding daerah lain. 

"Mana Ti dapat maklumat tentang kes Covid  di Kelantan ni?" Teruja Kak Rohana mahu tahu.

"Saya follow page Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di Facebook, memang dia update setiap hari pasal Covid di Kelantan." Jawab saya.

"Oh, Kak Na tak ada Facebook. Biarlah, Kak Na memang tak mau ada Facebook."

Saya diam sahaja. Tidaklah saya tahu kenapa Kak Rohana tidak mahu ada Facebook dan tidaklah saya bertanya. Itu pilihannya.

Cuma pada hemat saya, Facebook seperti sesuatu yang perlu pada masa kini. Tidak usahlah difikirkan sisi negatifnya kerana tanpa Facebook, penerimaan berita menjadi lambat.

Menunggu surat khabar esok, atau berita jam lapan malam ini adalah sangat kelmarin. Hari ini segala maklumat ada di hujung jari dan Facebook antara yang tercepat. Boleh juga di Google, tetapi nanti Google akan menghantar kita ke Facebook juga.

Itu kata saya. Mungkin kata Kak Rohana berbeza.

Wednesday, March 10, 2021

Selepas Dua Tahun

"Cikgu, macam mana nak cari persamaan paksi simetri?" Tanya Dina sambil menunjukkan soalan Fungsi Kuadratik kepada saya.

Tiada apa salahnya pertanyaan Dina itu. Saya jawab dengan sejelas-jelasnya seperti yang telah saya terangkan dua hari lepas dalam kelasnya.

Ya, baru dua hari lepas. Dan itu bukan penerangan pertama. Bab Fungsi Kuadratik diajar pada Tingkatan Empat, maksudnya sudah berbuih mulut saya mengulang ajar setiap kali kelas ulangkaji berlangsung. Tetapi itulah yang diulang tanya oleh mereka seolah apa yang saya terangkan itu tidak pernah mereka dengar.

Ada rasa terbakar dalam hati. Cikgu memang bersungguh tetapi murid yang sambil lewa. Cikgu selalu menganggap murid mendengar setiap patah kata yang keluar tetapi sebenarnya mereka hanyut entah ke mana. Pun cikgu tak boleh marah. Cikgu kena jawab semuanya. Cikgu kena tabah. Murid tidak bersalah dalam hal ini. Jika keputusan SPM Matematik Tambahan tidak memuaskan, cikgu yang akan diminta memberi penjelasan. Murid tidak apa-apa. Mereka sudah selesai.

Penat!

Tetapi itulah cabaran. Kadang-kadang terasa sia-sianya dua tahun mengajar mereka apabila baru hari ini mereka mahu bertanya itu ini. Baru hari ini mereka memberitahu apa yang tidak faham. Baru hari ini mereka ada kesedaran. Ya, hari ini. Hari peperiksaan Matematik Tambahan SPM 2020.

Cikgu mencuba untuk kuat. Untuk tidak marah-marah. Untuk membantu semampu daya. Dan cikgu iringkan doa yang tidak putus-putus untuk mereka. Cikgu tetap cikgu yang sangat sayang pada mereka.

Cikgu tidak meminta apa-apa. Hanya Allah tempat cikgu berserah. Cikgu reda seadanya.

Tuesday, March 09, 2021

Demam dan Ketum

Musim-musim begini, apabila badan terasa lemah dan tidak sihat, hati mula curiga. Takut jika itu gejala dan akan menjangkiti orang lain. Begitulah saya semalam. Jika boleh mahu elak bertemu orang tetapi saya tidak mampu.

Badan saya mula panas seakan demam sejak pagi lagi. Kisahnya perut saya meragam teruk pada malam Isnin itu. Langsung saya tidak lelap sepanjang malam kerana asyik berulang ke bilik air. Memikirkan ketidakselesaan ini rasa mahu bercuti sakit sahaja tetapi teringat anak-anak tingkatan lima yang bersedia untuk kelas Matematik Tambahan di sekolah pagi ini, saya abaikan sahaja rasa tidak selesa saya ini.

Saya tiba awal di sekolah kerana suami bertugas di bilik kebal SPM. Kepala berat, perut masih tidak selesa dan mata pula mengantuk tetapi saya tetap mahu berjuang di kelas saya. Jam 8.00 pagi saya bergerak ke kelas bersama set soalan Kertas 2 untuk dibincang hari ini. Entahlah, saya masih tidak yakin dengan anak-anak murid saya ini. Mereka seperti tidak bersedia dan saya pula sudah kesuntukan masa. Ditambah dengan kesihatan saya yang tidak berapa elok pagi ini, saya hanya mampu berserah. Semoga Allah membantu mereka.

Jam 10.00 pagi kami tamatkan perbincangan. Perut saya mula lapar kerana belum sarapan. Tidak tahu saya mahu makan apa kerana teringatkan nasi rasa tidak lalu. Tadi pun kawan saya yang keluar sarapan menelefon saya jika saya mahu dia belikan nasi berlauk tetapi saya menolak. Sungguh tekak saya tidak mahu nasi pagi ini walaupun lapar. Saya teringat foodpanda, dan terus memesan set nugget, fries dan lemon tea. Jam 11.30 barulah sampai makanan itu dan Alhamdulillah saya berselera pula.

Mata mula mengantuk. Saya baringkan diri di belakang meja beralaskan carpet untuk mencari lelap sebentar. Alhamdulillah dapatlah saya berehat selama 30 minit tanpa gangguan kerana bilik peperiksaan ini sunyi sahaja.

Jam 1.00 tengah hari, saya pulang ke rumah ma menaiki Grab. Ma memasak rupanya. Nasi putih berlaukkan masak lemak cili api udang campur betik dan ikan pekasam goreng sangat sedap tetapi saya seperti tadi juga, tidak mahu nasi. Demi ma, saya makan juga beberapa suap. Alhamdulillah.

Jam 2.00 petang Aziah tiba bersama Muiz dan seperti janji kami beberapa hari lepas, kami keluar ke kedai emas di Tunjong. Badan saya rasa segar pula apabila berada di kedai emas. Sudahnya, terbelilah seutas gelang tangan bercorak ketum seberat 30.30 gram berharga RM7172. Aziah juga tidak ketinggalan untuk membawa pulang seutas gelang tangan bercorak roti bun berharga RM5756. Begitulah perempuan dan emas, seperti irama dan lagu. Ada lagi yang saya berkenan tetapi lain kalilah pula. Kuatkanlah imanku ya Allah!

Pulang ke rumah saya cuma berehat. Suami saya masih bertugas dan hanya pulang pada jam 5.30 petang. Badan saya kembali berasa seram sejuk dan mata pun berat semula.

Dua biji panadol saya telan, dan untuk makan malam suami saya belikan nasi goreng dan tom yam campur sepulangnya dari masjid. Alhamdulillah. 

Selamat malam.



Sunday, March 07, 2021

..dan rasa ini

Ahad. Seperti yang dijadualkan, nama saya tertera sebagai guru bertugas di sekolah pada hari ini, dan seperti selalu keterujaan tidak pernah hilang. Saya akan bertugas lima hari berturut-turut, Ahad hingga Khamis.

Jam 7.10 pagi saya tiba di sekolah. Suasana masih sunyi. Murid memang belum ada kerana SPM tidak berjalan pada Ahad. Nanti jam 8.30 baru bermula kelas tambahan Kimia dan Prinsip Perakaunan. Saya menuju ke bilik peperiksaan di aras dua, tempat kerja saya.

Bukan lama benar saya tidak hadir, baru semalam saya mengendali kelas tambahan Matematik Tambahan SPM selama hampir empat jam. Juga pada Ahad, Isnin dan Khamis minggu lepas. Boleh dikatakan setiap minggu pun saya hadir atas sebab-sebab tertentu. Ya, sekolah saya syurga saya. Tenang dan bahagia ada di sini.

Bilik peperiksaan saya ini pun sunyi. Sunyi yang tenang. Saya mengaji dahulu sebagai pembuka hari. Enam muka surat juzuk 17 surah Al-Anbiya' saya alunkan semampu daya. In shaa Allah sebelum Ramadan tiba saya mahu khatam dahulu pusingan ini. Ada 13 juzuk lagi dalam masa 38 hari. Jika tiada keuzuran syarie yang panjang, in shaa Allah sempat.

Sudah bulan ketiga saya tidak mengalami menstruasi. Tarikh terakhir menstruasi saya ialah pada 26 Disember 2020. Saya amat mengharapkan menopause kerana saya mahu penyakit endometriosis saya ini berakhir tanpa perlu dibedah. Harap begitulah, Ya Allah izinkanlah.

Jam 7.30 sahabat saya Hanani tiba untuk sama-sama bertugas minggu ini. Lama saya tidak berjumpanya, Alhamdulillah terubat rindu. Dia menggayakan seutas gelang emas baru, pattern ketum yang saya minat itu. Cantik sungguh terletak di lengan putih melepaknya itu. Terliur saya. Teringat janji saya dengan adik saya Aziah untuk ke kedai emas Isnin esok. Nanti saya mahu belilah gelang seperti Nani. Boleh kami pakai sama-sama.

Sebenarnya hari Khamis lagi Aziah mengajak saya menemannya ke kedai emas pada Isnin ini dan saya teruja sangat. Dalam hati saya berkira-kira bagaimana mahu meminta izin dari suami, takut nanti katanya saya ini sudah diserang penyakit gila emas. Sudah berkali-kali membeli emas tahun ini. Kuatkan hati, semalam baru saya beritahu suami tentang ini dan dia okay sahaja. Pergilah katanya, kalau sanggup bersesak-sesak di kedai emas itu. Yeay!

Minggu lepas Tabung Haji mengumumkan dividen 2020 sebanyak 3.10% dan sudah pun saya terima iaitu sebanyak RM6882.64. Alhamdulillah. Saya mahu guna duit itu untuk membeli emas esok. Harap-harap Allah merestui dan memberkati.

Hari ini sepulang dari sekolah nanti suami saya mengajak saya ke Laloh untuk menziarah abang Awang yang kurang sihat di sana. Sudah lama kami bercadang menziarah abang dan Kak Wan tetapi tidak mampu kerana larangan merentas daerah. Apabila larangan itu sudah ditarik pada 5 Mac, maka kami tidak boleh berlengah lagi. Hari ini sahaja kami ada ruang yang lapang kerana esok suami saya akan kembali bertugas sebagai Penyelia Kawasan SPM Daerah Kok Lanas.

Esok saya akan berkelas tambahan lagi. Harap-harap Allah berikan saya kesihatan yang baik dan kekuatan untuk terus bertugas sebagai Guru Matematik Tambahan yang dedikasi dan komited kerana saya amat mencintai kerjaya ini. Jika Allah izinkan, saya mahu bekerja sehingga ke usia maksimum iaitu 60 tahun. Harapnya begitulah. Amin.

Sekian untuk rasa jiwa kali ini.


Saya hari ini. Bertudung baru yang dijahit oleh sahabat baik saya, Meriam.




Friday, March 05, 2021

Cerita Temujanji 0203

Jam baru ke angka 12.35 pm, saya sudah pun sampai di HUSM menaiki Grab. Temujanji di klinik O&G pada jam 2.00 nanti. Lama lagi. Saya perlu merancang sesuatu.

Saya teringat untuk ke farmasi dulu, mengambil dan memulangkan ubat. Valsartan, Bisoprolol, Atorvastatin dan Metformin saya sambung lagi dan menghentikan pengambilan Trimetazidine, Aspirin dan Pantoprazole. Ubat yang tidak dimakan saya serahkan kembali ke kaunter 9.

Usai urusan di farmasi, saya ke kafetaria. Di rumah ma tadi saya sudah makan nasi pada jam 10.30, sekarang jam 1.00 saya rasa lapar kembali. Nasi minyak ayam masak merah berharga RM5 saya capai, bayar dan menuju ke tempat makan. Entahlah, nasi tu sedap tapi saya rasa cepat je kenyang. Tak habislah pula.

Saya ke kedai runcit pula. Yogurt mangga dan sebungkus biskut kacang untuk bekal. Seterusnya saya menanti Zohor di musalla sambil mengaji.

Jam 1.40 saya menuju pula ke klinik. Masih tutup, jam 2.00 baru buka. Saya isi dulu borang saringan dan menanti giliran. Alhamdulillah tidak lama pun, belum 2.30 saya sudah dipanggil ke bilik doktor.

Doktor wanita itu masih muda, saya kira umurnya dalam awal tiga puluhan. Tiada tanda nama untuk saya kenali, tidak mengapalah. Bicaranya loghat Kelantan dan budi bahasanya sopan. Alhamdulillah. Lama dia meneliti folder saya, menerangkan banyak perkara dan saya selesa bertanya.

Hampir satu jam kami berbicara. Dia menerangkan dengan jelas sekali segala pertanyaan saya. Dia mengimbas perut saya juga dengan penuh teliti. Saya berpuas hati, terima kasih.

Kesimpulannya, saya memilih untuk dibedah tetapi bukan buat masa ini. Masalah jantung saya perlu dirawat dahulu. Dan jika dibedah pun, risiko yang bakal saya depani sangat komplikated. Pembedahan saya ini memakan masa yang lama katanya, pakar-pakar lain perlu ada bersama kerana kemungkinan organ-organ lain seperti usus, pundi kencing dan buah pinggang itu cedera agak tinggi. Jika nanti mereka lihat ia sukar, mungkin sahaja tiada apa-apa dilakukan. Hanya menjahit kembali kulit yang sudah dihiris.

Saya tenang mendengar walaupun rasa takut itu ada. Pun apalah pilihan yang saya ada. Semoga Allah memberi jalannya.

Amin.

Thursday, March 04, 2021

Facebook 2021

Awal mula saya terjebak dengan Facebook pada 2009, saya tidaklah terhentak seperti sekarang saat membaca komen dan status. Waktu itu istilah netizen pun belum wujud. Waktu itu yang memiliki akaun Facebook hanya segelintir dan yang segelintir itu semuanya berakal sihat. Seronok sekali melayari Facebook waktu itu walaupun perlu menggunakan laptop. Smartphone masih belum popular dan telefon bimbit saya model Sony Erricson K902 bukan berskrin sentuh. 

Hidup tenang sungguh bila hanya jari-jari si cerdik pandai yang mengetuk kekunci menulisi Facebook. Tiada kata-kata yang membodohkan orang, tiada status mengata dan menghina, tiada komen menuduh dan mendakwa. 

Sekarang tenang itu sudah hilang. Semua orang segala golongan boleh berfacebook. Yang tak habis sekolah pun begitu seronok mengomen di Facebook. Yang akal pendek pun bersepah. Sudah hilang semua ketenangan saat membaca komen dan status.

Rasa mahu lari mencari alternatif lain. Tetapi begitulah, di sebalik semua itu masih saya mahu melayari Facebook. Dengan hati yang gundah.