Thursday, April 28, 2022

Jiwa Guru

Di negara ini, isu tentang kerja guru tidak pernah mahu habis. Pihak guru berkata begitu, pihak lain berkata begini. Jarang benar mahu berkata serupa.

Pagi ini, terimbas di mata saya info grafik ini. Ia diulas oleh seorang guru dalam ruangan Facebook Kami Guru Malaysia. 

Benarlah, terlalu banyak tugas guru yang "tidak sepatutnya", yang langsung tidak diajar sewaktu kita di universiti dahulu. Tetapi kenyataannya begitulah.

Lalu, apa yang kita - para guru - harapkan?

Tentunya perubahan. Perubahan dan perubahan agar semua yang menjadi guru ada rasa semangat dan sentiasa bermotivasi untuk berada lebih lama dalam profesion ini, bukan menghitung hari untuk bersara.

Jujurnya, saya masih belum mahu bersara kerana di sebalik segala kemelut dan ribut ini saya masih merasai nikmatnya menjadi guru. Tetapi harapan saya masih sama seperti guru-guru lain, agar akan ada perubahan indah yang mengembalikan jiwa kepada guru.

Jiwa yang telah lama punah dek kebobrokan sistem pendidikan Malaysia. 

Monday, April 25, 2022

Dalam Doa

Semalam, saya pulang dari sekolah menumpang kawan sekerja kerana suami saya terpaksa ke Kota Bharu untuk urusan kereta. Seperti selalu, apabila pulang menumpang kawan, saya akan pulang ke rumah ma.

Jam menghampiri 2.30 petang, saya sampai di rumah ma. Daun pintu saya kuak, tidak berkunci. Perlahan-lahan saya menuju ke tempat ma berehat, dan ma sedang berbaring dengan mata terpejam. Sangka saya ma sedang tidur, rupanya tidak. 

Ma nampak sihat, tetapi cuaca yang panas agak memberi ketidakselesaan kepada ma. Tetapi ma begitulah, suka berbaring di tempat kegemarannya itu walaupun bilik berpendingin hawa ada. Saya menuju ke bilik hujung untuk bersolat Zohor dahulu sementara ma menjawab panggilan ibu saudara saya, Rafiah.

Usai solat, saya menghampiri ma, berbaring di sebelah ma. Ma masih melayan perbualan dengan ibu saudara saya itu. Mereka adik beradik yang akrab, walaupun jauh di negara berbeza, saban waktu mereka berhubung melalui panggilan video. Saya menyapa juga. Terasa bahagia melihat mereka berdua ceria bercerita.

Seterusnya ma bercerita tentang rasa tidak selesa yang dia alami sejak beberapa hari lalu selepas berbuka puasa. Makanan yang dimakan seperti mahu keluar semula dan dia tidak dapat makan dengan sempurna. Hati saya risau, tetapi ma kata nanti baiklah ni. Saya tidak tahu mahu bagaimana, hanya doa agar ma kembali pulih.

Ma bercerita juga dia ada temujanji di klinik kesihatan pada Rabu nanti dan akan pergi dengan Aziah. Harapnya nanti ma beritahu doktor tentang rasa yang ma alami itu. Harapnya doktor boleh beri ubat yang sesuai untuk ma.

Saya selalu rasa mahu berlama-lama menemani ma, tetapi saya tidak mampu. Maafkanlah saya ma, selalu gagal memberi yang terbaik. Menziarah ma pun hanya apabila ada ruang seperti ini, bukan boleh setiap hari. Pun ma selalu berkata ma okay, saya tidak tahu ma benar-benar okay atau sekadar berkata begitu untuk menyedapkan hati saya.

Kepada Allah jualah saya memohon, agar menjaga ma selalu dalam jagaan terbaik.



Friday, April 22, 2022

Mencari Seribu Bulan

Kita akan memasuki 10 malam terakhir bulan Ramadan. Untuk melayakkan diri kita bagi Lailatul Qadar,  bersihkan hati daripada pertengkaran dan kebencian kepada sesama muslim. 

Pada suatu malam di bulan Ramadan, Rasulullah SAW keluar untuk memberitahukan para sahabat berkenaan bila akan berlaku Lailatul Qadar. Baginda lalu melihat dua orang muslim tengah bertengkar di masjid. 

Baginda bersabda:

إِنِّي خَرَجْتُ لِأُخْبِرَكُمْ بِلَيْلَةِ الْقَدْرِ وَإِنَّهُ تَلَاحَى فُلَانٌ وَفُلَانٌ فَرُفِعَتْ وَعَسَى أَنْ يَكُونَ خَيْرًا لَكُمْ الْتَمِسُوهَا فِي السَّبْعِ وَالتِّسْعِ وَالْخَمْسِ

"Aku keluar untuk memberitahukan kamu tentang Lailatul Qadar, namun si polan dan polan bertengkar, lalu ilmu berkenaan Lailatul Qadar diangkat oleh Allah. Mudah-mudahan ini lebih baik untukmu. Carilah Lailatul Qadar pada malam 27, 29 dan 25." (al-Bukhari).

Ibn 'Abd al-Bar berkata:

ومن شؤم الملاحاة أنهم حرموا بركة ليلة القدر في تلك الليلة

"Salah satu akibat buruk pertengkaran adalah mereka tidak mendapatkan keberkatan Lailatul Qadar pada malam itu." (al-Tamhid).

Ibn Battal pula berkata:

وهذا يدل أن الملاحاة والخلاف يصرف فضائل كثير من الدين ، ويحرم أجرًا عظيمًا

"Ini menunjukkan bahawa pertengkaran dan ikhtilaf menghapuskan banyak kelebihan dalam agama dan menghilangkan ganjaran yang sangat besar." (Syarah Sahih al-Bukhari).

(Dari FB Dr. Umar Muhammad Noor)

Wednesday, April 20, 2022

Mas Adiera

Salam takziah Mas. Semoga Mas tabah dengan ujian ini. Doa Kak Ti untuk Mas sentiasa ada.

Malam tadi, Kak Ti lena awal. Belum jam sepuluh Kak Ti dah dibuai mimpi. Tak sangka pada masa itulah kekasih Mas pulang pada-Nya. Bila Kak Ti bangun sahur, baru Kak Ti baca pesanan-pesanan yang sangat banyak dalam kumpulan WhatsApp sekolah kita.

Allahuakbar! Allah lebih menyayangi dia, suami Mas yang baik itu. Allah tidak mahu panjangkan kesakitannya di dunia, lalu menjemputnya pulang hanya selepas sebulan lebih bertarung dengan penyakitnya. Syukurlah Mas, dia pulang pada bulan penuh barakah dan di sisi semua insan tersayang.

Sedih, tentu sekali Mas. Kak Ti pun sedih. Tidak mudah menerima kehilangan insan tersayang, apatah lagi pasangan hidup yang sudah berpuluh tahun bersama. Luahkanlah rasa sedih itu Mas, agar ia tidak menekan perasaan Mas lagi. Tetapi pada masa yang sama kirimlah doa untuk dia, agar dia tenang dan bahagia di persemadiannya. Nanti kita pun akan ke sana juga.

Kak Ti doakan Mas dan anak-anak akan terus kuat dan tabah menempuh hari-hari mendatang. Semoga Allah memudahkan segalanya.

Tenang dan damailah hendaknya suami Mas di sana. Alfatihah.

Tuesday, April 19, 2022

Dia Tiada Lagi

Jam 2.12 petang semalam, suami saya menghantar teks memberitahu dia turun dari rumah untuk menjemput saya di sekolah. Saya berkira-kira, sekitar 10-15 minit sampailah dia.

Lama saya menunggu. Hampir setengah jam, barulah dia tiba. Saya tidak bertanya walaupun tertanya-tanya, tetapi dia yang bersuara.

"Tahu kenapa saya lambat?"

"Kenapa?" Saya menyoal kembali.

Dan dia pun bercerita, dengan suara yang perlahan bernada sayu. Katanya dia tidak perasan langsung kucing kami ada di mana, tetapi apabila keretanya bergerak keluar dari garaj tiba-tiba kucing itu tercampak dan menggelupur lalu mati. 

Allahuakbar! Saya menjerit. Seperti tidak mahu percaya, hati saya sedih sungguh dan mata saya berkaca menahan tangis.

Saya tidak pandai memanjakan kucing, saya takut untuk memegang kucing dan sejak lama saya bukanlah peminat kucing. Tetapi kucing ini saya sayang betul. Walaupun saya tidak pernah manjakan dia, dia baik dengan saya. Bilq kami pulang dari sekolah dia akan datang dan mengekor saya sampai ke pintu rumah. Dia cerdik dan dengar kata. Comel pun ya.

Kalau ada orang yang dia tak kenal datang, dia akan lari jauh. Dia takut dengan orang asing tapi dengan saya dia ok. Dengan suami saya lagilah dia manja. 

Tiba-tiba hari ini dia mati. Saya jadi sedih sungguh. Suami saya lebih-lebih lagi sedihnya kerana seumpama kematian kucing itu akibat kecuaiannya. 

Begini rupanya rasa apabila kehilangan kucing yang baik dengan kita. Baru saya faham kenapa ada yang menangis bila kucingnya mati kerana saya pun begitu.

Saya tidak sanggup melihat jasadnya. Saya takut sayq akan lebih sedih. Suami saya yang uruskan. Kata suami saya, tiada kecederaan pun, hanya berdarah sedikit di hidungnya. 

Esok, tiada lagi ngiauan kucing comel ini menyambut saya pulang dari sekolah. Sedihnya rasa.

Bersemadilah dengan aman, Ching...





Saturday, April 16, 2022

Ramadan Kali Ini

Hari ini sudah empat belas hari kami meniti bulan Ramadan tahun 1443 ini. Alhamdulillah, segalanya dalam suasana tenang dan membahagiakan walaupun sedikit berbeza daripada dua Ramadan yang lalu.

Kali ini, kami bekerja sepenuhnya sepanjang Ramadan dan tiada lagi PKP seperti dulu. Ada seronoknya, kerana saya tidak lagi kebuntuan memikir lauk berbuka kerana ia terjual di merata-rata.

Di sekolah saya, kakak kantin yang rajin itu sentiasa mengambil pesanan dari kami dan masakannya amat menepati selera saya. Senang benar rasanya apabila khidmat begini disediakan. Kami mudah, kakak kantin untung. Menang-menang.

Tetapi hari ini saya memasak kerana hari Sabtu kami bercuti. Ringkas sahaja, ikan bakar berempah yang pesnya saya beli siap dan sayur lemak bayam. Juga telur dadar untuk melengkapkan hidangan.

Semalam Jumaat, saya pulang sebentar ke rumah ma, sekadar mahu berada di sisi ma. Tidaklah lama, dari jam 11.30 pagi sehingga 3.00 petang. Ma nampak sihat dan ceria, dan sentiasa seronok bercerita. Rumah ma agak panas, tetapi bilik berpendingin hawa ada tiga. Ma boleh sahaja berehat di bilik itu jika mahu. Cuma ma lebih selesa berbaring di ruang rehat kegemarannya.

Sepertu selalu, ma akan bekalkan saya dengan buah tangan bila saya mahu pulang. Pada hal, saya datang tadi tidak membawa apa-apa. Tetapi semalam saya ada beri ma sebekas ketupat sotong dan ma kata sedap.

Bekal ma untuk saya kali ini - adunan cek mek dan kelapa parut. Kelapa parut itu saya jadikan santan untuk cendol dan adunan cek mek itu saya goreng untuk dimakan selepas suami saya pulang terawih.

Terima kasih ma. Semoga Allah menjaga ma selalu. Saya tidak mampu untuk sentiasa berada dengan ma (walaupun itu yang saya mahu), kerana sebagai wanita tempat saya ialah di sisi suami. Ma pula tidak mahu tinggal di rumah anak-anaknya kerana lebih selesa di rumah sendiri. Begitulah. Kepada Allah jua saya berserah dan berdoa semoga ma sihat dan dilindungi selalu. Jaga ma saya ya Allah, dalam sebaik-baik jagaan.

Tangan-tangan itu

Melihat dunia sekarang, saya jadi takut. Mengikuti kes Bella, saya jadi tidak sanggup. Tidak sanggup saya membaca setiap cerita tentang penderaan yang Bella lalui. Pedih, tidak terbayangkan. Terlalu dahsyat untuk seorang Bella yang tidak upaya itu berhadapan dengan pendera yang berhati binatang. Semoga ada keadilan buat Bella, itu doa saya.

Juga, memikirkan kalutnya sistem pendidikan Malaysia yang penuh dengan kebobrokan yang entah mengapa berlaku dan entah dari siapa bermula, saya simpati sungguh dengan anak-anak kecil yang perlu melalui liku pendidikan yang tidak seimbang begini. Jika Bella terdera fizikal, nampak lukanya, tetapi anak-anak yang terdera mental ini siapa pun tidak pernah akan tahu kerana zahirnya tidak tergambar.

Allahuakbar! Ibu bapa turut berada dalam keliru dan buntu melihat politik Malaysia yang mewarnai setiap penjuru hidup rakyat dengan warna suram dan kelam.

Apabila merenung semua ini, terasa syukur juga saya menjadi wanita yang tiada zuriat. Sekurang-kurangnya kerisauan untuk anak sendiri tidak mengganggu minda saya. Saya mungkin tidak cukup kuat untuk semua itu, lalu Allah takdirkan saya begini. Saya mahu bersyukur untuk segalanya. Ada hikmah atas setiap ketetapan Tuhan selagi kita celik dalam mencari.

Pun, untuk anak-anak di sekeliling saya, doa saya tetap melimpah ruah. Semoga ada jalan terbaik Tuhan lorongkan untuk kalian di negara ini, dan semoga ibu-ibu dan bapa-bapa kalian (yang tentunya insan-insan terdekat di sekitar saya) sentiasa diberi ilham oleh Tuhan untuk mencari penyelesaian terbaik dalam menangani setiap permasalahan.

Selagi tangan-tangan jahat yang mahukan kuasa masih kita benarkan berlegar dalam sistem politik Malaysia, selagi itulah kita akan penat dan buntu memikir yang terbaik untuk menyelesaikan banyak perkara.

Kepada Allah kita berserah.

Sunday, April 10, 2022

Perkahwinan

Masih ada rupanya lelaki yang tidak tahu maksud perkahwinan. Lelaki yang masih terlalu patriarki, yang melihat wanita dari sudut seorang hamba cuma. Bukan teman hidup. 
Sedih.

Sangka saya, dalam era digital sebegini pemikiran manusia sudah bertapak-tapak ke hadapan. Sudah tahu nilai manusia itu sama, tanpa beza antara lelaki dan wanita. Masing-masing ada peranan dalam membina peradaban dan ketamadunan, dan peranan wanita juga setara, bukan hanya terkurung dalam minda sempit seorang lelaki yang merasa darjatnya terlebih tinggi dari perempuan dengan akal yang sembilan.

Sakit hati saya dengan mentaliti Johari Manikam ini. Dangkal benar dia.

Kewujudan Irdina terlalu istimewa, terlalu membanggakan. Dan Johari, tidak perlulah berkata-kata sekadar untuk mempamer busuk hati anda juga sempit minda anda itu. Loya!
 

Wednesday, April 06, 2022

School

I always love school, since I was a child I guess. The feeling is incomparable, I would say.
I can't explain why it is so, maybe because I love to be with my students or maybe because I love to do those stuff related to my job. Maybe I love to be surrounded with my colleagues or maybe I just want to be with myself. I don't know, just maybe.

I pray that Allah grant me a good health so I can work as a teacher until the time to retire comes. Amin.

Saturday, April 02, 2022

Ekonomi

Salam akhir Syaaban, esok sudah 1 Ramadan. Semoga kita dapat menempuhi bulan yang penuh dengan kelebihan ini dengan sebaik-baiknya.

Apa yang terdetik di hati saya saat ini ialah tentang perbelanjaan. Saya baru terbaca satu perkongsian seorang rakan di media sosial tentang belanja dan simpan. Mana dahulu?

Ada orang sangat gemar berbelanja. Asal ada duit sahaja, akan adalah perkara yang mahu dibeli. Dapatlah duit banyak mana pun, tentu akan dibelanjakan semua. Pegangannya, duit tidak perlu simpan. Kita tidak tahu umur kita takat mana.

Ada pula yang sangat suka menyimpan. Tidak mahu berbelanja mewah, beli sekadar perlu sahaja dan yang murah-murah, tetapi simpanan sentiasa bertambah. 

Jenis yang pertama memang bagus untuk menjana ekonomi negara tetapi sangat tidak elok untuk masa depan sendiri. Manakala jenis yang kedua mungkin akan selesa di kemudian hari tetapi kurang menyumbang untuk menjana ekonomi. 

Seperti biasa, saranan saya tentunya meminta keseimbangan. Usah terlalu rakus berbelanja hingga lupa menyimpan dan apabila ada kecemasan barulah terjaga dari lena. Juga, usah terlalu berkira dengan diri sendiri sehingga tidak memberi apa-apa kegembiraan pun dalam hidup waktu muda kerana kita masih perlu untuk sebuah kenikmatan.

Berbelanjalah, dan menyimpanlah. Biar seiring.

Terima kasih.