Kita akan memasuki 10 malam terakhir bulan Ramadan. Untuk melayakkan diri kita bagi Lailatul Qadar, bersihkan hati daripada pertengkaran dan kebencian kepada sesama muslim.
Pada suatu malam di bulan Ramadan, Rasulullah SAW keluar untuk memberitahukan para sahabat berkenaan bila akan berlaku Lailatul Qadar. Baginda lalu melihat dua orang muslim tengah bertengkar di masjid.
Baginda bersabda:
إِنِّي خَرَجْتُ لِأُخْبِرَكُمْ بِلَيْلَةِ الْقَدْرِ وَإِنَّهُ تَلَاحَى فُلَانٌ وَفُلَانٌ فَرُفِعَتْ وَعَسَى أَنْ يَكُونَ خَيْرًا لَكُمْ الْتَمِسُوهَا فِي السَّبْعِ وَالتِّسْعِ وَالْخَمْسِ
"Aku keluar untuk memberitahukan kamu tentang Lailatul Qadar, namun si polan dan polan bertengkar, lalu ilmu berkenaan Lailatul Qadar diangkat oleh Allah. Mudah-mudahan ini lebih baik untukmu. Carilah Lailatul Qadar pada malam 27, 29 dan 25." (al-Bukhari).
Ibn 'Abd al-Bar berkata:
ومن شؤم الملاحاة أنهم حرموا بركة ليلة القدر في تلك الليلة
"Salah satu akibat buruk pertengkaran adalah mereka tidak mendapatkan keberkatan Lailatul Qadar pada malam itu." (al-Tamhid).
Ibn Battal pula berkata:
وهذا يدل أن الملاحاة والخلاف يصرف فضائل كثير من الدين ، ويحرم أجرًا عظيمًا
"Ini menunjukkan bahawa pertengkaran dan ikhtilaf menghapuskan banyak kelebihan dalam agama dan menghilangkan ganjaran yang sangat besar." (Syarah Sahih al-Bukhari).
(Dari FB Dr. Umar Muhammad Noor)
No comments:
Post a Comment