Monday, October 31, 2022

Memudahkan Hidup

Sewaktu mesin basuh saya rosak selama hampir sebulan baru-baru ini, saya membawa kain baju kotor saya ke rumah ma untuk dibasuh di sana. Ma telah membeli mesin pengering Samsung Heat Pump pada awal tahun ini untuk kegunaan sewaktu musim tengkujuh. Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk turut sama menggunakan mesin pengering itu. 

Ternyata, saya jatuh cinta.

Awalnya, saya tidak rasa pun saya memerlukan mesin pengering. Saya cuma tinggal berdua dengan suami saya, dan tempat menjemur kain saya letakkan di dalam rumah. Saya tidak berasa susah pun untuk menjemur kain, kerana saya tidak perlu tergesa-gesa untuk mengangkatnya. Maklumlah, jemur dalam rumah, seminggu tidak berangkat pun tidak mengapa! Jadi, apa perlunya mesin pengering?

Benarlah kata orang dahulu, tak kenal maka tak cinta. Apabila kenal, terus jatuh cinta! Seronok pula rasanya apabila kain yang siap itu sudah boleh terus dilipat, tak perlu jemur lagi. Mudah.

Saya menyuarakan keinginan saya kepada suami tersayang untuk membeli mesin pengering seperti ma, dan tanpa banyak soal dia mengiakan saja. Wah! 

Jumaat lalu, mesin pengering itu selamat tiba di kediaman kami. Betapa terujanya saya untuk menggunakannya, terus saya membuka kotak dan meletakkannya di tempat yang sesuai sewaktu suami saya ke masjid bersolat Isyak. Terkejut dia apabila pulang melihat mesin itu sedang bekerja. 

"Eh, buat sorang-sorang je? Kenapa tak tunggu saya balik? Berat tu.. " 

"Tak pe, mudah je.. " jawab saya.

Syukur saya dengan segala anugerah Allah ini. Semoga mesin ini dapat memberi sumbangan pada tempoh yang panjang, berbaloi dengan RM2499 yang kami laburkan.

Amin.

Friday, October 28, 2022

Ceramah

Semalam, sekolah saya mengadakan sambutan Maulidurrasul dan antara pengisiannya ialah slot ceramah oleh ustaz Saibon Ismail. 

Penyampaian ustaz sangat bagus, bersemangat dan penuh tenaga. Semua hadirin seronok mendengar tetapi biasalah, tentu ada yang ingin dikomen sedikit sebanyak. Pada saya, ustaz patut memberi lebih penekanan kepada murid kerana merekalah audien utama. Tetapi isi ceramah ustaz banyak dituju kepada orang dewasa (baca: guru) seperti isu pinjaman bank, kaedah guru mengajar dan urusan rumahtangga. Kasihan murid-murid, mereka seperti terpinggir.

Tidak mengapalah, mungkin untuk program seterusnya pihak sekolah boleh menyediakan garis panduan kepada penceramah agar menyampaikan isu-isu yang lebih sesuai untuk murid-murid sekolah. Jika mahu dituju kepada guru, nanti kita jemput ustaz mengendalikan slot LADAP kami, tentu itu lebih mengujakan. 

Apa pun, saya seronok mendengar ustaz berceramah. Cuma jika boleh, kurangkanlah mengata orang perempuan. Eh?

Sunday, October 23, 2022

Anak Harapan

Selepas lama menanti hadirnya zuriat, tetapi tidak kunjung tiba, saya reda dengan sereda-redanya. Tiada apa untuk saya kesalkan kerana ketetapan Allah itulah yang terbaik.
Lalu saya curahkan naluri keibuan saya kepada semua anak-anak saudara saya yang berjumlah 21 orang kini. Mereka pada saya tidak ubah seperti anak sendiri, apa lagi saya mengajar mereka memanggil saya Umi (Ti), kerana sewaktu lahirnya Anis yang sulung pada 22 tahun lalu, saya benar-benar mahukan panggilan itu menggegar pendengaran saya. Alhamdulillah, terasa ajaibnya menyandang gelaran itu walaupun hanya pada anak-anak saudara.

Apabila ada antara mereka yang teruji dengan pelbagai kisah, percayalah saya sebagai Umi tidak pernah berdiam diri. Memang saya tidak boleh menjadi orang yang menunjuk ajar itu dan ini pada mereka kerana itu tugas dan tanggungjawab ibu bapa kandung mereka, tetapi di dalam doa saya yang panjang dan penuh ikhlas, nama mereka satu persatu saya lafazkan dengan segala harapan kebaikan dan kemudahan. Agar terjaga dan terlindung, dan diredai seluruh kehidupan.

Kepada merekalah kasih saya tercurah dan impian saya tertadah. Saya tidak mengharap apa-apa, kerana masa depan saya sentiasa saya serahkan pada Tuhan. Sepenuhnya.

Demi Anak Bangsa

Di sini saya hari ini, di sekolah untuk mengendalikan kelas tambahan Matematik Tambahan SPM. Nama pun Matematik Tambahan, kenalah selalu buat kelas tambahan. Begitu.
Cuaca hari ini agak sejuk dengan hujan sesekali mencurah ke bumi. Suasana dingin begini menjelang November amatlah mengujakan untuk bergolek dan berguling di katil, tanpa perlu susah payah mencari bahan mengisi kelas yang terjadual. Tetapi berada di sisi anak-anak SPM yang masih terkial-kial mencari rentak menuju medan, terasa lebih berbaloi.

Realitinya, SPM lah satu-satunya sijil peperiksaan yang dipandang berharga. Anak-anak yang sedang saya hadap ini sudah tidak boleh berpatah langkah. Mampu atau tidak, Matematik Tambahan mesti mereka tempuh. Dan saya mencuba sedaya yang ada agar perjuangan mereka tidak sia-sia.

Saya tidak kisah gred apa yang bakal terpapar di kertas keputusan SPM mereka nanti asalkan mereka ada usaha untuk faham, dan mengerti mengapa subjek ini mereka pilih. Matematik Tambahan bukan untuk dibangga dan digah tanpa dinikmati. Ia seni penyelesaian masalah yang memungkinkan mereka berfikir di luar kotak saat kesukaran menghambat kehidupan. Harap begitulah.

Anak-anak, cikgu sudah bersedia untuk apa saja demi masa depan kalian. Semoga jiwa kalian kuat untuk terus bersama-sama cikgu menyusun langkah dan memanjatkan doa agar segalanya direstui.

Sunday, October 16, 2022

Bubar

Saya seperti tiada perasaan kali ini. Apabila Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, saya menerima dengan selamba sahaja. Tidak tahu mahu bagaimana.

Nanti, apabila hari mengundi tiba, saya akan tetap keluar mengundi. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab saya mahu melaksanakan hak saya sebagai pengundi. Sementara menanti waktu itu, saya akan mencari pedoman dari pelbagai sumber. Saya akan membaca, membanding, mengukur dan menimbang sebaik mungkin. Siapa yang akan saya undi, saya masih belum tahu. Semuanya sedang saya fikirkan.

Petunjuk dari Allah lah yang benar-benar saya harapkan. Doa saya saban waktu, agar bumi Malaysia ini damai dan makmur, tenang dan tenteram, utuh berpadu antara semua kaum yang ada tanpa curiga apa lagi benci dan dendam. Susahkah untuk terjadi sebegitu?

Saya tidak akan beerhenti berdoa, agar tangan-tangan jahat tidak lagi diberi kuasa.

Amin.



Friday, October 14, 2022

Bilal

Riuh juga tentang kisah seorang anak kecil bernama Muhammad Bilal ini. Ibunya (Neelofa) enggan mengongsi wajah comel bayinya (yang lahir pada Januari lalu) di media sosial, tetapi tidak mengapa jika bertemu di luar. Lalu terjadilah kes seorang hamba Allah ini mengambil gambar wajah Bilal tanpa izin apabila tersapa Bilal di sebuah premis, dan mengongsi di media sosial. Tercetuslah kisah kemarahan dan kekesalan di pihak keluarga Bilal terutama ibunya. Sayu pula rasa hati membaca nukilan ibu Bilal pada hantaran pertamanya yang mengongsi wajah Bilal di Instagram kepada umum (beberapa detik selepas gambar curi wajah Bilal tersebar dan disunting sesuka hati).

Saya bukan mahu mengulas apa-apa kerana saya maklum benar, dalam dunia hari ini masyarakat kita ada pelbagai wajah dan segala wajah itu terpamer tanpa selindung di media sosial. Wajah berkeladak, atau wajah suci bersih, semua boleh kita pandang dari cara mereka berinteraksi dan cara mereka memberi maklum balas pada setiap kisah yang timbul. Ngeri juga kadang-kadang apabila membaca tulisan-tulisan yang penuh idea sumbang dan karut tetapi tersebar dengan mudah dalam segala media yang ada. Punah jadinya, tetapi begitulah senario dunia sekarang. Sukar untuk kita menapis apalagi menghentikan kebobrokan sebegini.

Tidak mengapalah. Saya masih lagi mahu mengagumi kecomelan Bilal. Semoga Bilal dan ahli keluarganya terjaga dan terlindung selalu, di dunia dan di akhirat. Ini doa saya, seorang insan biasa yang bukan siapa-siapa tetapi mengimpikan dunia yang makmur tanpa dendam dan benci.




Thursday, October 13, 2022

Timba yang Retak

"Tentu sahaja tuan lebih sayangkan aku. Lihat sahaja banyaknya air yang dapat kubawa dalam setiap perjalanan" si timba kanan bersungguh mengata.

Timba kiri tidak menjawab. Diam dan sepi seribu bahasa.

Tiada apa yang hendak dijawab. Memang benar bagai dikata.

Dia bukan timba yang sempurna. Bocor sini dan sana. Kasihan melihat tuannya. Berjalan jauh menggendong air dari sungai ke baruh meladang. Di awal cedok, elok penuhnya. Sampai di ladang, air tinggal separuh.

"Sampai masanya nanti, engkau akan tuan gantikan dengan timba baharu. Lebih baik dan sempurna!" ujar timba kanan lagi, menambah garam di jarah luka.

Bagai tidak puas dengan untung dirinya. Hingga mahu ditebuk-tebuk si timba kiri yang sudah maklum akan cela yang ada.

"Tetapi, mengapa tuan masih menggunakan khidmatku?" si timba kiri termenung. Di mana sayangnya tuan pada dirinya yang cacat dan menyusahkan itu… misteri.

Suatu hari, si timba kiri memberanikan diri bertanya kepada tuan yang  duduk berteduh. Hari itu mentari terik menyimbah keringat, jelas kerut lelah di wajah tuanya.

"Tuan, saya ini timba yang retak. Tuan isikan air penuh di tepi sungai, tetapi saya hanya mampu menyampaikan separuh air untuk tuan berladang. Mengapa tuan masih menggunakan saya? Tidakkah baik tuan gantikan saya dengan timba baharu seperti timba kanan itu?" beliau bertanya, antara malu dan kasih kepada tuan yang sudah lama ditemaninya itu.

Petani itu tersenyum.

"Cuba kamu lihat lorong ke sungai itu. Apa yang kamu nampak?" petani itu menunding jari ke lorong kecil menurun lembah ke tebing.

"Kamu nampak, kan? Bahu kanan lorong itu kering tak punya apa-apa. Tetapi di bahu kiri, ia indah dengan bunga-bunga kecil yang menghiburkan hatiku tatkala aku melaluinya saban hari. Engkaulah yang menyiram bunga-bunga itu dengan belah dan retakmu. Ladang aku perlukan air. Bunga-bunga di jalanan itu juga perlukan air. Namun bunga itu tidak bertuan. Tiada yang memberi perhatian. Ia jariahku untuk mereka dan engkaulah asbabnya" jelas tuan, memujuk dengan senyuman.

Terima kasih timba kanan yang sempurna kerjanya.

Terima kasih timba kiri yang luas jasanya.

Janganlah duka andai kita timba yang retak.

Kasih sayang Allah itu Tinggi. 

Ikhlaskan hati berbakti kerana-Nya.

(Dipetik dari Facebook Hasrizal Abdul Jamil)

Wednesday, October 12, 2022

Tapi, Aku Bisa Apa?

Dia.

Dari hujung mata ini aku mencuri pandang. Ada dia di situ, di sekitarku. Dia yang tiba-tiba hadir, tapi aku bisa apa?

Dia.

Dari merdu kidungnya aku terpesona. Butir bicaranya ada kenyamanan yang membuat tenang, tapi aku bisa apa?

Aku bisa melihat dan mendengar.

Itu saja.


Tuesday, October 11, 2022

Tempahan

Kali ini - setelah melalui beberapa sesi perbincangan - saya dan suami bersetuju untuk menempah Toyota Camry 2.5VT untuk kegunaan kami menggantikan Mercedes CLA 180 yang sudah kami jual bulan lepas.

Camry, kami pernah memiliknya pada April 2010 dan menjualnya pada Oktober 2018 apabila suami saya mengalih rasa pada Mercedes. Waktu itu hati saya sedih, kerana cinta saya pada Camry sangat kuat, tetapi terpaksa melepaskannya pergi demi memberi ruang kepada suami saya memenuhi impiannya memiliki Mercedes yang gah. Walaupun gah, saya gagal memberi kasih sayang kepada kereta sebegini. Mungkin itu bukanlah citarasa saya. Saya memang tidak memandang rupa, dalam segi apa pun.

Dan sesungguhnya, masih saya teringat pada Camry pada saat Mercedes di depan mata.

Apa tidaknya, saya meminati Camry sejak 1996. Waktu itu saya sedang berkursus Diploma Pendidikan di Batu Rakit. Apabila melihat Camry meluncur di jalan raya, hati saya berbunga-bunga dan terbit cita-cita dalam hati - apabila saya bekerja dan ada kemampuan nanti, saya akan membeli kereta ini. Jika diberi pilihan antara Camry dan Mercedes, saya akan pilih Camry, itu kata hati saya pada waktu itu dan ia benar-benar terpahat kemas sehingga saat ini.

Apabila suami saya bertanya, kereta apa pula untuk kita selepas Mercedes ini dijual? Tanpa teragak-agak, dengan penuh yakin saya suarakan - Camry!

Dia sedikit tersentak, bukankah kita sudah pernah memilikinya? Ya, tetapi saya tetap mahu Camry juga. Saya masih sedih dan masih berasa kehilangan Camry kita dahulu. Saya rindu Camry itu. 

Suami saya seperti berfikir-fikir. Masih dia memberi beberapa cadangan model kereta lain tetapi saya menolak. Kata saya, jika tanya saya, saya hanya mahu Camry. Kalau dia mahu yang lain terpulanglah.

Nampaknya suami saya akur dengan saya kali ini. Cuma, dia sedikit cuak dan risau kerana harga Camry sangat mahal. Ejen Toyota yang dia hubungi memaklumkan harga kereta itu ialah RM215000 dan stok 2022 sudah tiada. Kami perlu menunggu tahun hadapan, seawal-awalnya pada Mac baru stok 2023 akan tiba. Lama.

Tidak mengapa, saya rela menunggu. Lama pun lamalah, kali ini saya benar-benar mahu. Walaupun saya tidak memandu, saya tetap mahu menaikinya dipandu suami saya.

Harga pula, sepertinya sangat mahal tetapi saya tahu kami mampu. Saya sudah membuat pengiraan dan kami tidak perlu risau dengan bayaran bulanan yang tinggi. Saya bercadang untuk membuat pinjaman sebanyak RM125000 sahaja dengan tempoh 6 tahun. Jumlah bayaran bulanan tidak akan melepasi RM2000 pun dan itu cuma bertambah RM500 daripada bayaran bulanan kereta Mercedes kami sebelum ini. Hilux kami pun sudah hampir selesai, insya Allah pada Julai 2024 nanti. Saya tahu kami mampu.

Akan terusikkah simpanan kami dengan pembelian ini? Sudah tentu, tetapi tidak mengapa. Yang terusik tidak sampai 10% pun dari simpanan yang kami ada. Harga jualan Mercedes yang kami dapat agak besar, jadi sedikit sahaja yang perlu kami keluarkan dari simpanan kami untuk membolehkan kami membayar wang pendahuluan sebanyak RM90000. 

Begitu perkiraan saya. Dan Alhamdulillah, suami saya dapat menerima setiap penerangan saya dengan baik dan menyetujui cadangan saya kali ini. Jadi pagi semalam, dia bersendirian memandu ke pusat jualan Toyota di Bunut Payong dan membuat tempahan kereta itu. RM1000 diberi tanda booking, dan hari ini tempahan kami disahkan.

Terima kasih suami, memberi peluang kepada saya memenuhi impian ini. Semoga Allah reda.




Wednesday, October 05, 2022

Rosak Sudah

Rabu minggu lepas, mesin basuh kesayangan saya yang berjenama LG dan berusia 4 tahun 8 bulan rosak!

Pada paparannya tertera "tE" dan apabila saya menggelintar Google, ia bermaksud "Thermistor Error". Suami saya memanggil tukang baiki datang pada Jumaat dan dia membawa mesin basuh saya pulang kerana perlukan masa untuk menukar barang yang rosak.

Memang sukar hidup tanpa mesin basuh tetapi saya tidaklah mahu menekan diri sendiri. Saya pilih-pilih kain baju yang perlu sahaja untuk dibasuh (tangan) dan membiarkan dahulu kain-kain yang tidak penting. Seronok pula ya membasuh secara manual begini, seperti kanak-kanak yang gembira bermain air lagaknya. Saya buka paip besar-besar dan bergelumang dengan air sehingga saya basah lencun. Macam main air, bukan basuh kain!

Tadi, tukang mesin itu memberitahu barang yang dipesan belum sampai. Tak apalah dik, kakak ok saja. Lagi pun hujung minggu ini kakak nak bawa kain baju kotor tu ke rumah ma, dan basuh di sana. 

Tidaklah kakak tertekan sedikit pun.