Tuesday, January 31, 2023

Sentiasa Syukur

Jika pun aturan langkah yang ada di hadapan saya kelihatannya kabur dan balam-balam, saya tidak akan pernah lupa untuk bersyukur. Sekurang-kurangnya Allah sudah memberi saya lima puluh satu tahun untuk menghuni dunia, dan baki yang tinggal entah sebanyak mana. Saya hanya menanti.

Apabila segalanya menekan rasa dan menuntut kekuatan yang bukan sedikit dalam meneruskan langkah saya yang masih tersisa, saya tidak mampu untuk terus menyembunyikan gusar yang ada. Saya tewas juga apabila menghitung masa depan. Saya bimbang, tetapi saya bukan berputus asa.

Tidak lama lagi saya akan menghadapi satu kenyataan yang entah bagaimana. Saya akan ditidurkan dan perut saya akan ditoreh untuk kali keempat, membawa risiko yang menakutkan. Bolehkah saya berasa tenang memikir segala kemungkinan?

Saya mencuba.

Saban hari saya berserah kepada-Nya, dengan doa yang tidak putus agar saya diberi kesembuhan jua, dipanjangkan umur dalam kesihatan yang baik dan dipermudah segala urusan. Semoga, amin.

Biar apa pun ketentuan dari-Nya, saya akan terus bersyukur. Apalah dunia, dibanding syurga.

 



Saturday, January 28, 2023

Isu Semasa

Banyaknya isu semasa yang panas-panas sehari dua ni. 

Isu 1 - YB Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) mohon hentikan budaya menyekat guru bersuara, merujuk kepada kes amaran yang diberi kepada cikgu Hasmadi oleh pegawai atasan.

Isu 2 - Dr. Maszlee Malik dikecam apabila beliau mengucapkan dialog yang menghina wanita dalam drama lakonannya, Kudeta. Keratan adegan itu tular di media sosial.

Isu 3 - Khairy Jamaludin dipecat dari UMNO. Turut dipecat ialah Dato' Noh Omar manakala Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan digantung keahlian.

Isu 4 - Mas Idayu dan Sissy Iman.

Isu 5 - Puteri Sarah, Ira Kazar dan Syamsul Yusof.

Panas-panas jugalah, tetapi saya paling tak menahan dengan Isu 2. Macam tak percaya. Allahuakbar! Isu 4 dan Isu 5 tu picisan je... 😁😁

Saya tinggalkan ulasan saya berkaitan isu-isu di atas untuk saya sahaja. Risau jika dikongsi, kepanasan akan semakin membara. 


Monday, January 16, 2023

Demam

Bermula 2023 dengan episod yang tidak begitu seronok. Kami berdua demam.

Awalnya, macam sudah mahu sembuh, tetapi sehari dua ini ia semakin teruk. Minggu lepas suami saya yang demam, minggu ini saya pula. Begitulah.

Tidak mengapa, saya reda saja. Demam begini menjadi peringatan supaya saya sentiasa bersedia, untuk apa saja.

Dalam demam yang begini, saya masih mahu ke sekolah. Semoga ia tidak berlarutan.

Monday, January 02, 2023

Mengulang Cerita

 



 
Selamat ulang tahun perkahwinan yang kedua puluh lima buat kami.

Tanggal 2 Januari 1998, hari Jumaat yang mulia, sekitar jam lima petang, bertempat di Masjid Batu 8, kami selamat dinikahkan. Sahlah kami sebagai pasangan suami isteri yang tidak pernah saling kenal mengenali. Ini bukan drama TV3, ini kenyataan. Kenyataan yang manis, apabila kami setuju untuk bernikah pada waktu kami tidak tahu pun nama penuh masing-masing. Kelakar tetapi benar.

Kenapa setuju?

Kerana ini pilihan ayah dan emak. Kata ayah, dia budak baik. Ayah kenal dia sudah lama. Ayah yakin dia mampu menjadi suami yang bertanggungjawab.

Kata emak pula, keluarganya orang baik-baik. Emak berkawan dengan ibunya sudah lama. Emak tahu dia bagaimana.

Baiklah emak. Baiklah ayah. Jika emak dan ayah begitu yakin, siapalah saya untuk menolak. Saya menurut saja. Ah! Begitulah pingitannya saya.

Hari ini menggenap dua puluh lima tahun kami melalui hidup bersama, dan sungguhlah pilihan ayah dan emak ini tinggi mutu dan budinya. Saya tidak pernah dia abaikan, malah terasa benar saya ini dia perlukan. Terima kasih ayah dan emak kerana memilih sebutir permata buat menemani hidup saya, mudah-mudahan sampai syurga.

Terima kasih suami, menjadi insan penyayang yang sentiasa bersabar dengan segala dugaan dari Tuhan. Semoga bahtera kita belayar dalam ketenangan menuju bahagia abadi.

Amin.