Tuesday, February 27, 2024

Setahun Berlalu

Ini wajah saya yang dirakam pada 27 Februari 2023, setahun yang lalu.

Wajah ini menyimpan seribu rasa pada waktu itu. Ada sakit, ada sedih, ada gusar. Tetapi semuanya tidak dizahirkan kerana biarlah ia menjadi rahsia yang terpendam dalam diri sendiri sahaja.

Waktu itu saya sangat tidak stabil - emosi dan kesihatan - tetapi terpaksa juga melangkah ke kelas tambahan kerana anak-anak didik saya memerlukan saya. Mereka anak-anak 5C1, sempat saya temani dan bimbing sehingga ke saat-saat akhir perjuangan mereka. Kertas Matematik SPM mereka duduki pada esoknya, Selasa 28 Februari. Alhamdulillah kesemua 22 orang anak didik saya ini berjaya mendapat keputusan cemerlang untuk mata pelajaran ini apabila semuanya mendapat gred A. Itulah hadiah paling manis buat saya, menjadi penawar yang tidak ternilai.

Pada hari yang sama mereka berjuang di dewan peperiksaan, saya sedang diperiksa oleh Dr. Hoo Pek Siong di Usains dan Dr. Hoo meminta saya melapor diri di wad pada keesokannya, 1 Mac, untuk dibedah. Tiada pilihan lain, demi sebuah kehidupan saya menyerah.

Begitu kisahnya. 

Sunday, February 25, 2024

Troika





Hari itu, saya diberi ruang untuk berada di rumah ma sementara suami saya bertugas di sekolah. Plan awalnya, saya mahu memasak tengah hari dan makan ramai-ramai di rumah ma, termasuk suami saya sekali. Lepas sekolah nanti kita makan di rumah ma ya, begitu kata saya kepadanya.

Tiba-tiba perancangan tidak dapat diteruskan kerana adik-adik saya mahu ke Troika dan bersantai di sana. Saya ok sahaja. Terus saya maklumkan kepada suami saya, plan awal kena batal. Dia akur, malah membenarkan saya turut sama ke Troika dan pulang petang nanti. Terima kasih!

Maka bergeraklah kami ke sana, semua sekali kecuali ma yang mahu berehat di rumah tenang- tenang tanpa gangguan. Semoga ma baik-bail saja di rumah sendirian, di bawah lindungan Allah selalu.

Kami sejumlah 21 orang ini tiba di Troika berperingkat-peringkat kerana kereta bergerak tidak serentak. Apartment mini bersaiz 22'x23' milik Aziah itu menjadi meriah sekali dengan kewujudan tetamu-tetamu tidak beretika ini. Kami seronok sekali mengucar kacirkan suasana dan menikmati pemandangan bandar dari tingkat 32.

Usai solat Zohor kami ke Nasken Coffee di tingkat bawah dan menghabiskan masa dan RM di situ. Alhamdulillah untuk peluang sebegini, yang memberi rasa santai sekali.

Semoga nanti ada lagi waktu untuk berkumpul ramai-ramai dan melakukan aktiviti sesuka hati tanpa apa-apa halangan.

Friday, February 23, 2024

Ratna Haura

Puteri comel bernama Ratna Haura ini menjadi anak sulung kesayangan pasangan bahagia Zulhusnie dan Hayati. Mereka bernikah pada 24 Disember 2014, dan menerima kehadiran zuriat pertama pada 25 November 2023.

Alhamdulillah. Semoga rumahtangga kalian bertambah bahagia dan dirahmati Allah selalu.

Gambar diambil sewaktu majlis aqiqah yang berlangsung pada 10 Februari lalu.
 

Thursday, February 22, 2024

Perodua Axia

Ini cerita tertunda. Kami telah membeli sebuah kereta Perodua Axia model G sebagai kereta ketiga kami pada 13 Disember 2023 yang lalu. Kami cuma menunggu selama dua minggu sahaja untuk mendapat kereta itu, tidak lama kerana model G ini tidak begitu popular.

Semoga kereta Proton Axia ini menjadi kereta yang baik dan dapat berbakti dengan setia. Amin. 

Wednesday, February 21, 2024

Mesyuarat Pertama


Mesyuarat Guru Kali Pertama Sesi 2024/25 akan berlangsung pada 2 Mac nanti bertempat di Bilik Mesyuarat sekolah kami, SMK Kampong Chengal.

Sudah bertahun-tahun kami bermesyuarat kali pertama di hotel, tetapi kali ini kami lakukannya di sekolah sahaja.


2017 - Hotel Reinassance (Grand Renai sekarang)
 
2018 - Hotel mana, lupa...  Riverview kot.

2019 - Hotel Perdana

2020 - Hotel H-Elite
 
2021 - batal (musim PKP covid)
 
2022/23 - Langkawi (nama hotel lupa)

2023/24 - Hotel Perdana (saya tak hadir, cuti sakit)

Sebenarnya perancangan awal, pentadbir memilih untuk bermesyuarat di Sutra Beach Resort, Terengganu tetapi ada suara-suara guru yang hebat meminta untuk tidak dilaksanakan di situ. Mereka tidak mahu memandu sejauh itu dan meninggalkan keluarga selama satu malam. Susah, kata mereka.

Pengetua yang baik hati akur sahaja. Maka keputusan muktamad, mesyuarat sahaja di sekolah. Sukalah hati guru-guru tersebut. Alhamdulillah.

Jujurnya di pihak saya, saya rasa agak kecewa. Saya suka kalau mesyuarat di tempat peranginan begitu, boleh merehatkan minda juga. Bukan lama pun, sehari cuma. Boleh santai-santai dengan kawan-kawan dan lupakan sejenak hal rumah tangga. Tetapi siapalah saya untuk memberi pandangan dan cadangan. Akur jualah akhirnya.


 

Friday, February 16, 2024

Pak Su Mat

Telah pulang ke rahmatullah bapa saudara kami, Tn. Hj. Muhammad bin Omar pada jam 6.30 petang, Isnin 12 Februari 2024 pada usia 79 tahun (lahir 1945).

Beliau yang kami panggil Pak Su, ialah adik bongsu Mek, dan mereka cuma dua beradik seibu sebapa. 

Adik beradik Mek yang lain, yang berlainan ibu dan juga berlainan bapa, semua telah meninggal dunia.

Kini hanya Meklah satu-satu yang masih tinggal. Semoga Allah menjaga Mek selalu. Semoga roh Pak Su dicucuri rahmat.

Sajak Sebuah Ingatan

Ingatan ini seringkali hadir mengetuk fikiran
walaupun puas kuusir agar pergi jauh-jauh.

Pergilah
jauh.

Ingatan ini tetaplah menghuni setiap ruang fikiran
walaupun telah kutekan butang padam berulang-ulang.

Tetaplah
datang.

Gagal, aku gagal melarikan diriku dari ingatan ini yang selalu ada.

Selalu
ada. 

Wednesday, February 14, 2024

Adik Aqil

Sesekali,
ingin kurangkulmu dalam pelukan erat dan membisik ke telingamu rasa syukurku.

Syukur yang sungguh-sungguh.

Kerana pada hadirmu ada terlalu banyak hikmah yang Tuhan kirimkan untuk manusia seperti aku.

Engkau murni, aku tidak.

Engkau membawa sejuta seri buat aku yang kusam kelam.

Terima kasih Aqil, menjadi sinar, menjadi cahaya, menjadi penyeri. Engkaulah anugerah.

Monday, February 12, 2024

Hari Letih

Ahad, 11 Februari 2024. Sudah hari ketiga sekolah bercuti akhir sesi. Saya masih seperti selalu (sejak September), bangkit pagi di rumah mek. Selalunya saya cuma uruskan mek sementara menanti suami pulang bersama sarapan. Tetapi pagi ini, saya merajinkan diri untuk melakukan aktiviti lain juga.

Saya cuci bilik air. Saya basuh kain kotor mek. Saya gosok baju suami saya. Saya cuci sink dapur. Kemudian barulah saya uruskan mek - bagi mek kumur-kumur dan bancuh susu untuk mek basahkan tekak sebelum bersarapan sebentar lagi.

Sudahnya, baru jam 8.00 pagi saya sudah rasa letih.

Pulang ke rumah, lesu benar badan saya. Terus saya merehatkan diri di katil dan lena sejam. Pukul 9.45 pagi baru saya bangkit.

Kali ini saya uruskan rumah pula -  membasuh kain, mengemas dapur dan menggosok. Maka letihlah kembali badan saya. Tidak tercapai akal saya bagaimana orang boleh mengurus rumah seharian?

Mujur hari ini ada kenduri, saya tak perlu memasak tengah hari. Jam 2 petang kami keluar menuju ke tempat kenduri pertama di rumah rakan guru saya, Hasmah di Limbat. Kenduri kedua pula di rumah ipar kepada ipar saya di Salor. Alhamdulillah, kenyang saya makan.

Jam menghampiri 4 petang baru saya sampai semula ke rumah. Kali ini saya teruskan dengan menyiapkan makan malam pula. Saya buat mihun goreng untuk dibawa ke rumah mek malam nanti.

Begitulah. Selesai saja solat Isyak, saya sudah tiada daya untuk berjaga lagi. Selamat malam. 

Thursday, February 08, 2024

Bersara

Mendekati cuti akhir sesi 2023/24 ini, sekolah kami kehilangan tiga orang guru kerana bersara. Kebetulan, tarikh mereka bersara sama - 1 Mac 2024.

Tn. Hj. Azan Halmi genap usia 60 tahun dan bersara wajib selepas berkhidmat selama lebih 30 tahun, dan 17 tahun di SMK Kg Chengal.

Pn. Hjh. Arney pula memohon untuk bersara awal, pada usia 56 tahun (walaupun memilih 60 tahun sewaktu menandatangani borang pencen dahulu) atas faktor kesihatan. Beliau berkhidmat selama 28 tahun, dan berada di SMK Kg Chengal selama 9 tahun.

Dan Tn. Hj. Zawawi, PK Kokurikulum kami, turut memilih bersara awal, juga atas faktor kesihatan. Beliau berusia 58 tahun, telah berkhidmat selama 34 tahun dan merupakan guru perintis yang membuka sekolah ini pada 2006.

Terima kasih semua. Selamat bersara, semoga terus diberi kesihatan yang baik dan tenang menempuh usia persaraan di sisi keluarga tercinta. 





Monday, February 05, 2024

Teman



Tahukah
apabila teman itu seiringan
akrab bagai tiada batasan?

Selama mencipta persahabatan
segala cerita menjadi perkongsian
ada suka kita keriangan
ada duka kita kesedihan
rasa yang sama kita abadikan
dalam jiwa selalu bertautan

Pelukan kasih sebegini indah
biar terus dapat tercurah
tersemi abadi sampai Jannah

Teman
ada doa untuk kalian dalam setiap sujudku