Ini wajah saya yang dirakam pada 27 Februari 2023, setahun yang lalu.
Wajah ini menyimpan seribu rasa pada waktu itu. Ada sakit, ada sedih, ada gusar. Tetapi semuanya tidak dizahirkan kerana biarlah ia menjadi rahsia yang terpendam dalam diri sendiri sahaja.
Waktu itu saya sangat tidak stabil - emosi dan kesihatan - tetapi terpaksa juga melangkah ke kelas tambahan kerana anak-anak didik saya memerlukan saya. Mereka anak-anak 5C1, sempat saya temani dan bimbing sehingga ke saat-saat akhir perjuangan mereka. Kertas Matematik SPM mereka duduki pada esoknya, Selasa 28 Februari. Alhamdulillah kesemua 22 orang anak didik saya ini berjaya mendapat keputusan cemerlang untuk mata pelajaran ini apabila semuanya mendapat gred A. Itulah hadiah paling manis buat saya, menjadi penawar yang tidak ternilai.
Pada hari yang sama mereka berjuang di dewan peperiksaan, saya sedang diperiksa oleh Dr. Hoo Pek Siong di Usains dan Dr. Hoo meminta saya melapor diri di wad pada keesokannya, 1 Mac, untuk dibedah. Tiada pilihan lain, demi sebuah kehidupan saya menyerah.
Begitu kisahnya.
No comments:
Post a Comment