Thursday, January 30, 2025

Kaset

Minggu lepas, saya tergerak untuk menyelongkar almari tv dalam bilik saya yang dipenuhi entah apa-apa. Saya mahu melihat harta karun saya di situ. Dan terbongkarlah isi perutnya yang membangkit pelbagai nostalgia.

Selain VCD Korea yang saya simpan sejak 2002 - antaranya Winter Sonata, Hotelier, All About Eve, My Girl - ialah koleksi kaset dari penyanyi kegemaran saya. Ada M. Nasir dan Siti Nurhaliza, juga kaset dubbing sewaktu di UKM dulu (rakam sendiri semasa rancangan Pilihan Bersama). Sayangnya kaset Fauziah Latiff saya tiada. Tidak pasti hilang ke mana.





Terasa rindu pula untuk memainkan kaset-kaset itu. Jika VCD, saya boleh guna laptop saya yang masih ada CD drive, tetapi kaset-kaset ini?

Saya menggelintar di Shopee, kalau-kalau ada cassette player murah-murah. Betullah kata orang, semua ada di Shopee kecuali emak dan ayah! Saya dapat apa yang saya mahu, dan hanya selang sehari saya menerima sebuah pemain kaset yang berkualiti, berharga RM75.

Terus saya mainkan kaset-kaset simpanan saya itu dan sungguhlah, bunyinya masih elok dan merdu. Kaset original kan!

Begitu saya rasa seperti kembali dibuai irama kenangan lalu, dan saya hanyut dalam nostalgia lama. Indah. 

Tuesday, January 28, 2025

Kuasa Solekan

Gambar ini diambil pada Januari 2006, kira-kira sembilan belas tahun yang lalu, sewaktu usia saya 34 tahun.

Saya menyunting sedikit gambar ini dengan menyolek di bahagian mata. Saya tambah maskara dan celak. Gincu saya kekalkan yang asal, tidak diubah. Sedikit blusher saya oleskan di pipi. 

Saya nampak wajah saya menjadi lebih cantik daripada yang sebenar. Maka inilah kuasa solekan. Cantik hanya dalam gambar, bukan di dunia nyata.

Monday, January 20, 2025

Peluk







"Cikgu, nak peluk..." Pinta seorang murid perempuan tingkatan lima yang sedang menanti masuk dewan peperiksaan untuk menjawab kertas Matematik Tambahan SPM pada 13 Januari lalu.

Saya sedang mundar mandir di khalayak mereka, sekadar memberi semangat. Matematik Tambahan sangat digeruni, jadi saya tenangkan mereka yang sedang gementar itu dengan kata-kata semangat. Tetapi masih jua mereka tidak mampu menyembunyi rasa gementar yang tergambar di wajah. Lalu, mereka meminta satu pelukan.

Satu demi satu anak murid saya - yang perempuan - saya peluk dan bisikkan kata-kata semangat. Buatlah yang terbaik, jangan nervous. Insyaallah ada soalan mudah. Itulah ungkapan saya pada mereka.

Soalan Matematik Tambahan SPM sekarang sangat berbeza daripada sepuluh tahun dahulu. Tahap kesukarannya sangat di luar duga, dan saya sebagai guru Matematik Tambahan terasa sangat tidak bersetuju dengan penggubal-penggubal kini. Mereka mahu cari apa sebenarnya?

Entahlah. Kasihan anak-anak ini, yang kelihatan sugul sekali sebaik keluar dewan setamat kertas dua. Semoga ada keajaiban untuk mereka. Amin. 

Sunday, January 19, 2025

Selamat Ulangtahun











Sentiasa Januari menjadi bulan kebahagiaan saya kerana ia bulan kelahiran dan juga bulan perkahwinan.

Walaupun sewaktu kecil dahulu saya tidak pernah diajar menyambut ulangtahun kelahiran, tetapi tidak salah rasanya untuk saya menzahirkan sebuah kesyukuran dengan mengadakan sedikit jamuan kepada rakan-rakan tersayang.

Tepat pada 9 Januari, bertempat di bilik peperiksaan - tempat kerja saya setiap hari, saya menjemput semua yang ada untuk menjamah sedikit hidangan ringkas yang say tempah. Roti jala kuah kari ayam, mihun goreng, kek, brownies, popia basah, kuih apam dan cream puff saya susun di meja tengah bilik itu, dan semua yang datang dapat merasainya.

Alhamdulillah, terima kasih Allah memberi saya usia dan mengizinkan saya terus bernyawa. Semoga pada usia yang makin singkat ini, saya isi dengan bekal yang terbaik untuk dibawa ke sana nanti. Amin. 

Marah


Membaca berita-berita yang bertebaran di maya mutakhir ini cukup menggusarkan perasaan saya. Saya bimbang malah sangat-sangat risau dengan mentaliti masyarakat kita yang masih mahu menggunakan kekasaran dalam menangani masalah.

Bengkeng, perengus, gedeber, semua itu diertikan sebagai hebat. Jiwa pendekar, kata mereka.

Saya langsung tidak menghormati manusia yang meletakkan amarahnya di tangga pertama. Mereka adalah manusia yang gagal malah sangat lemah. Hanya kekuatan fizikal yang mereka banggakan, sedangkan akal fikiran entah di kedudukan yang ke berapa. Sangat dangkal.


 

Monday, January 06, 2025

Batik


Tiba-tiba saya terjatuh hati dengan kain Batik D'ikat. Kain heavy crepe yang dilukis corak batik sangat ringan dan selesa dipakai. Tambahan pula, kain ini sangat ironless.

Sebenarnya, saya antara yang terlambat terjebak dengan kain ini. Sudah ramai guru di sekolah saya yang memakainya sejak tahun 2023 lagi. Apabila semakin ramai yang memakainya, maka saya pun mahu juga. Saya membeli kali pertama secara online pada sekitar bulan Oktober lalu.

Dan sehingga hari ini, saya sudah memiliki sembilan pasang baju kurung batik D'ikat, dan dua pasang lagi masih di kedai jahit menjadikan sebelas pasang semuanya.

Begitulah, bila terjebak maka ia sukar dikawal. Tetapi saya berjanji untuk berhenti dahulu buat sementara daripada membeli kain ini. Risau juga, apabila baju terlalu banyak akan sukar pula untuk saya simpan nanti. Almari saya kecil sahaja! 





Thursday, January 02, 2025

Salam tahun baru 2025


Bermula tahun baru semalam dengan rasa yang tidak berapa sihat. Sudah dua hari saya batuk, dan kini selesema pula. Apabila kedua-duanya berlaku serentak, kepala saya berdenyut kesakitan. Allahuakbar.

Sepanjang hari di sekolah, saya tidak begitu ceria. Mujur kelas 4C1 saya diambil oleh cikgu Nohardi, kerana dia mahu memulakan pengajaran Matematik Tambahan Tingkatan Lima. Kelas 4C4 pula sedang menguruskan pemulangan buku teks jadi saya tidak perlu masuk. Alhamdulillah.

Saya hanya berada di bilik peperiksaan menyiapkan beberapa tugasan. Apabila kepala berdenyut, saya baring dan lena sebentar. Jam 2.45 saya pulang ke rumah dijemput suami.

Kami menuju ke kedai makan Magic Touch di Nilam Puri untuk makan tengah hari. Sepinggan nasi goreng cina yang saya pesan sedap juga, tetapi saya tidak mampu menghabiskannya. Pulang ke rumah, saya berehat semahunya.

Sehingga malam, saya masih begitu - batuk, bersin dan sakit kepala. Terus saya membuat keputusan muktamad untuk mengambil cuti sakit esok. Tidak mahu lagi saya keresahan dalam kesakitan bila di sekolah nanti.

Begitulah, tiba pagi 2 Januari hari ini, saya menuju ke klinik untuk rawatan dan sijil sakit. Dan berehatlah saya dengan sepenuh hati di atas katil sendiri.

Semoga esok saya kembali sihat. Amin.