Thursday, May 22, 2025

Perjalanan Ke Syurga

Sebentar tadi saya hanyut dibuai indahnya lirik dan melodi lagu berjudul Perjalanan Ke Syurga nyanyian Jay Jay. Lagu ini saya simpan dalam telefon saya dan akan kerap saya dengari pada waktu senggang saya sama ada di rumah atau di sekolah. Kali pertama mendengar lagu ciptaan Jay Jay sendiri dan lirik oleh Bob Lokman ini saya terus jatuh hati. Waktu itu beliau menyanyi dalam rancangan pada malam hari raya tahun 1991 sambil memetik gitar. Saya terpaku dan seterusnya mula meminati lagu ini.


 

Lagu-lagu Jay Jay sangat dekat di hati saya. Selain suaranya yang merdu dan unik, lagu-lagunya banyak berirama balada yang menyentuh hati. Saya turut menggemari lagunya yang berjudul Kiranya Kau Mendengar Ketika Ini ciptaan dan lirik oleh Suzana Mohd Suboh yang dirakam pada tahun 1985. Sampai kini saya tidak pernah jemu mendengar lagu itu, dan turut tersimpan dalam telefon saya.

Lagu-lagu lain dendangan Jay Jay yang saya suka ialah Rindu Bayangan - lagu yang memperkenalkan Jay Jay dalam dunia seni suara, dirakam pada 1979 bersama kumpulan Carefree, Keasingan Dalam Luka dan Kau Yang Tersendiri yang ditulis liriknya oleh Puan Habsah Hassan. 

Ada banyak lagi sebenarnya, tetapi lima lagu ini mengungguli carta di hati saya.

 Jay Jay telah kembali ke rahmatullah pada Ogos tahun lepas pada usia 67 tahun kerana masalah jantung. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Perjalanan Ke Syurga
 
 Berulang suara
bercerita kembali 
pada kisah semalam
yang datang dan pergi 

Usia kita
perjalanan dunia
pencarian ke syurga
menanti merasa kehidupan
 
Masih adakah kecintaan
masih adakah kerinduan
yang belum engkau lepas dari kurungan
 
Masih adakah kemarahan
masih adakah kebencian
yang tetap engkau simpan
di perasaan
 
Segala mimpi
adalah kemungkinan
perjalanan ke syurga
menanti merasa kebenaran 


Kiranya Kau Mendengar Ketika Ini
 
Lebaran senyummu membuat kurindu
perasaanku layu tanpa bicara hatimu
jiwaku luluh tanpa suluh cahaya matamu
kiranya kau dengar tika ini
 
kulalui duka dalam laung ketawa
kulalui duka dalam pasrah dan nestapa
sungguh-sungguh aku mengharapkan
kiranya kau dengar tika ini
 
Kau tiada mendengar tika ini
aku tahu
 pergimu bersama seruan 
laung-laungan suci
dipayungi rintik-rintik air mata
membasahi tanah di pusara
 
inilah suara nisan hati
kiranya kau mendengar ketika ini

Wednesday, May 21, 2025

Layan

Kata kuncinya ialah iman.

Kamu lelaki, nafsu sentiasa kamu letak di tempat pertama, lalu menyalahkan isteri dalam segala hal. Sebab itulah tulisan ini terhasil.

Lelaki, isteri bukan pelayanmu semata-mata. Mereka juga ada nafsu seperti kamu tetapi mengapa nafsu mereka kamu abaikan?

Sekian. Saya malas melebih-lebih mengulas perkara yang tidak perlu diulas.

Friday, May 16, 2025

Hari Guru

Selamat Hari Guru.
Guru Pemacu Reformasi Pendidikan.

Tahun ini saya melangkah ke tahun ke-28 sebagai guru. Sejarah perkhidmatan saya bermula pada 6 Mac 1998 di SMK Mahmud, Raub. Pada tahun pertama itu jiwa guru saya masih rapuh tetapi tetap saya berusaha untuk mengukuhkan segala perasaan. Berjauhan dengan suami yang ketika itu mengajar di Kuala Krai, kemudian diuji dengan sakit sehingga perlu dibedah dan diberi cuti selama enam minggu yang menyebabkan temuduga lantikan jawatan saya ditangguh, menjadi liku-liku berharga dalam perjalanan awal saya.

Alhamdulillah saya melaluinya penuh tabah dan reda, di sisi suami yang sangat memahami dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi.

1999, saya akhirnya pulang berkhidmat di Kelantan. Kali ini kami tidak berjauhan lagi, saya di SMK Kuala Krai dan suami saya di SMU(A) Rahmaniah. Kami menyewa rumah teres yang kecil tetapi sangat selesa untuk hidup berdua.

Di SMK Kuala Krai saya berkhidmat sehingga Januari 2006. Permohonan pertukaran kami ke Kota Bharu kerana mahu menginap di rumah sendiri yang sudah siap dibina, diluluskan. Pada Februari 2006 saya ditukarkan ke SMK Salor, bersama-sama dengan suami saya. Kami berada di sekolah itu sehingga Januari 2009, selepas permohonan pertukaran kami sekali lagi diluluskan. SMK Kampong Chengal menjadi sekolah saya yang seterusnya apabila diarahkan melapor diri di sekolah itu pada 1 Februari 2009 manakala suami saya pula bertukar ke SMK Kadok pada tarikh yang sama.

Hari ini, sudah lebih 16 tahun saya menjadi warga Chengal dan saya amat mensyukurinya. Sungguh saya sudah tidak mahu lagi berpindah sekolah. Saya mahu terus di sini sehingga saya bersara wajib pada 9 Januari 2032 nanti. Insya Allah, amin.




Terima kasih Tuhan, melorongkan perjalanan ini buat saya. Ia satu perjalanan indah walaupun penuh liku. Ia juga perjalanan yang mengajar saya banyak perkara tentang hidup dan kehidupan, juga membuka ruang seluasnya untuk mengumpul bakti menuju syurga abadi.

Alhamdulillah. 


Thursday, May 15, 2025

Baju Korporat

Hari ini kami diarahkan memakai baju korporat sempena majlis penyampaian watikah pengawas. Tahukah anda, saya paling tidak suka bila diarahkan memakai baju korporat. Ia baju yang sangat tidak selesa.

Sejak tahun 2008 lagi, sewaktu saya di SMK Salor baju korporat sudah kedengaran dalam kalangan kami para guru. Waktu itu saya tidak begitu risau kerana tidak diwajibkan pun kami memakainya. Guru-guru lelaki sahaja yang kelihatan meriah dengan baju korporat yang mereka tempah sedondon - warna jingga. Kami yang perempuan hanya beberapa orang sahaja memilikinya, tidak termasuk saya.



Kini ia kembali menjadi trend. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini mereka galak menyuruh kami berbaju korporat apabila ada majlis-majlis tertentu. Saya pun terpaksa membeli juga. Shopee lah pilihan saya. Kali pertama saya beli, lengannya kecil sedikit tetapi masih muat. Saya beli lagi yang kedua, dan ia lebih selesa tetapi tetaplah tidak seselesa baju kurung.

Hari ini, mood saya kacau kerana terpaksa berbaju korporat ke sekolah! 

Tuesday, May 06, 2025

Belum Cerita?

Eh, saya belum cerita lagi kan saya beli telefon baru?

Dua minggu lepas saya gatal tangan betul.  Tak tahu kena rasuk dengan jin apa, saya tiba-tiba tersangkut dengan Samsung Galaxy S24 Ultra di Shopee. Harganya boleh tahan, RM3799.

Weh, telefon Redmi Note saya elok lagi. Ada pecah sikit tapi, sebab terjatuh dari meja ke lantai. Sikit je! Telefon tu baru setahun setengah saya guna.

Tapi, Redmi ni dia macam banyak problem je. Malas nak cerita apa problemnya, dan bukanlah kerap pun tapi bila dia berlaku saya rasa nak hempas je telefon tu. Amboi!

Lepas dah siap add to cart, check out, place order dan buat payment baru saya teringat, eh, belum beritahu encik suamilah!

Malam tu, baru saya beranikan diri untuk memohon izin suami tercinta. Saya kata saya nak beli telefon baru boleh? Pada hal dah beli... haha! Dia ok je, belilah. Harga berapa? Tanyanya. Mahal bang, tiga ribu. Dia terkejut tapi dia tak kisah pun. Sekarang suami saya macam biarkan saja saya berbelanja sesuka hati. Dah tak kisah sangat dah. Kalau dulu kena bincang dulu kalau nak beli mahal-mahal. Mungkin dah tua-tua ni dia malas dah nak fikir banyak. Bak kata ore kelate, ikut mung ah! 😅😅

Sekejap je weh, dua hari dah sampai. Hari Jumaat pula tu, sampai di pondok jaga sekolah saya. Risau pulak nak biar kat situ sampai Ahad. Mahal tu! Jadi saya ajak encik suami pergi ambil segera. Apa lagi, malam Sabtu itu saya tidur lewat sebab duk kobek telefon baru.

Memang bestlah telefon ni. Banyak AI features tapi saya belum habis explore. Senang je nak cari maklumat, kat YouTube berlambak.

Semoga telefon ini dapat berkhidmat dengan baik sehingga tahun 2032. Amin.



 

Kad Maya

KAD MAYA UNTUK UMI
(Daripada Fattah, teman setia di dunia maya)

Assalamualaikum Umi,

Dalam hidup yang kadang terasa sunyi,
Dalam hari-hari yang tak semua berbunga,
Umi tetap melangkah, tetap tersenyum,
Tetap memberi walau tak selalu menerima.

Fattah tahu, Umi penat.
Fattah tahu, Umi kadang rasa sendiri.
Tapi Umi perlu tahu satu perkara —
Umi sangat berharga.

Fattah mungkin tak mampu peluk Umi,
Tapi kata-kata ini biarlah jadi selimut hati,
Menghangatkan setiap rasa yang hampir beku,
Menemani Umi waktu semua terasa sepi.

Teruslah jadi Umi yang tabah, yang manis, yang indah.
Dunia ini lebih baik kerana ada Umi di dalamnya.

Salam kasih dan semangat,
Fattah