Monday, September 29, 2025
Rasa dan Takdir
Walaupun mereka selebriti yang terkenal dan tidak pun mengenali saya, tetaplah saya mahu menulis rasa saya tentang mereka dari sudut pandang seorang saudara seagama.
Fattah. Amira. Fazura.
Saya seorang yang neutral. Apabila Fazura dan Fattah mahu berpisah, saya sedih. Saya kasihan memikirkan nasib Fatima yang akan memiliki ibu bapa yang tidak tinggal bersama.
Apabila mereka sah bercerai, saya reda. Saya doakan setiap mereka menemui kebahagiaan dalam perjalanan hidup masing-masing. Fatima pula, semoga tidak terlalu terkesan dengan perpisahan ini dan menikmati bahagia selayaknya.
Jalan hidup dan ketentuan masa depan kita, semuanya di tangan Tuhan. Manusia diberi upaya untuk berusaha dan merancang, dan natijahnya sudah pun Allah tulis siap-siap.
Tersurat Fattah menemui jodoh terlebih dahulu, bersama Amira, gadis Johor yang manis dan sopan. Mereka dilihat begitu terjaga dalam perhubungan sebelum ikatan terpatri. Kata In-Team, "syariat tetap membataskan". Saya turut berbahagia dengan ikatan yang baharu ini dan mendoakan segalanya berada dalam rahmat Tuhan.
Dan Fazura pula, kelihatan tenang bersahaja menerima segala lakaran takdir dengan hati terbuka. Tiada apa perlu disedihkan kerana Fattah bukan miliknya lagi. Dia sudah reda dan bersyukur meneruskan kehidupan.
Saya mengasihi mereka sebagai insan-insan yang pernah menceriakan hidup saya dengan lakonan dan nyanyian mereka. Tidak mudah menjadi selebriti, kekuatan emosi dan mental terlalu penting dalam menempuh setiap kata nista masyarakat. Pandangan yang pelbagai mencetus rasa tidak senang dalam hati saya seolah-olah masyarakat lebih tahu apa yang ketiga-tiga selebriti ini hadapi.
Doa saya, semoga Allah menjaga mereka dan kehidupan mereka tenang dan bahagia, tanpa dendam dan benci.
Saturday, September 27, 2025
Salam Sabtu
Saya sedang menikmati hari Sabtu saya di sekolah. Alhamdulillah.
Pada hari Isnin dan Selasa 29 dan 30 September nanti, seluruh negeri Kelantan akan bercuti sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-IV yang ke-56. Ini menjadikan hari Ahad kami nanti terapit dengan cuti. Jumaat dan Sabtu kami cuti hujung minggu, Ahad kami bekerja, Isnin dan Selasa kami cuti semula.
Pihak JPN Kelantan melihat situasi ini sebagai satu peluang untuk murid-murid dan guru-guru menikmati cuti sepanjang lima hari jika hari Ahad dicutikan juga. Lalu mereka membenarkan pihak sekolah memohon cuti pada Ahad sebagai cuti berganti, diganti pada Sabtu 25 Oktober nanti. Dengan itu, murid-murid dan guru-guru bolehlah merancang percutian keluarga selama lima hari itu.
Malangnya sekolah kami enggan memohon cuti tersebut. Saya tidak pasti apa rasional Pengetua kami, tetapi tindakan beliau menimbulkan pelbagai rungutan dalam kalangan guru dan murid. Apatah lagi kebanyakan sekolah-sekolah di sekitar sini mengambil cuti tersebut menyebabkan bertambahlah rasa geram dalam hati warga Chengal.
Saya?
Mungkin saya pun ada rasa kecewa itu, tetapi saya alaskan dengan reda. Wah!
Kalau saya kecewa pun, saya boleh buat apa? Saya tetap perlu menerima keputusan pentadbir dan tetap wajib hadir ke sekolah pada Ahad 28 September ini kecuali jika saya ada keuzuran. Jadi saya reda sahaja. Biarlah, apa pun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti - Kata Siti Nurhaliza dalam lagu Melawan Kesepian.
Hari ini pun - walaupun Sabtu - saya ada di sekolah sejak pagi. Saya tiba pada jam 7.39 pagi dan terus menuju ke bilik saya untuk urusan yang pelbagai (termasuk menulis blog ini) semenatara menanti kelas tambahan yang akan bermula pada jam 10.00 pagi nanti. Kenapa saya datang awal? Saja....
Begitulah hidup. Jika kita sentiasa memikirkan sisi negatif sesuatu perkara itu, kita tentunya akan selalu kecewa. Allah memberi kita akal dan emosi, selaraskanlah. Itulah pegangan saya sekarang demi merawat penyakit jantung saya ini. Sudah tiga bulan saya bebas dari serangan SVT, dan saya berdoa semoga saya akan bebas berpanjangan daripada penyakit ini. Amin.
Friday, September 26, 2025
Kad Pengenalan
Siapa sangka, dalam kad pengenalan sekarang ada duit! Eh, ada minyak petrol juga!
Sumbangan penghargaan MySara yang kerajaan beri sebanyak RM100 sudah pun selesai saya habiskan pada Selasa lepas di Pasaraya PKT Tunjong. Bulan depan saya akan belanjakan MySara suami saya pula.
Selasa ini, kami bakal menggunakan BUDI 95 untuk mengisi petrol, dan jumlah kelayakan untuk kami ialah 600L sebulan. Saya, walaupun tidak memandu tetaplah layak menerima subsidi kerana saya ada lesen memandu. Bertuah juga!
Apa pun mekanisme yang diguna pakai, tentulah kekok pada mula-mula. Tetapi seiring masa segalanya akan menjadi biasa. Kokokan-kokokan yang kedengaran itu normal. Biarlah mereka berbunyi, ada baiknya juga untuk penambahbaikan nanti.
Sedikit atau banyak, yang penting bersyukur.
Ladang Pahala
Selalu kita dengar, menjaga ibu atau bapa yang sakit itu ladang pahala buat anak-anak. Benarlah itu.
Saya ulangi, benarlah itu. Sangat benar.
Ujian menjaga orang tua sakit bukan kecil. Ia merangkum segala aspek - fizikal dan mental. Jika kita lemah, akan gagallah kira menuai hasil dari ladang yang diberi.
Akan timbul masalah-masalah yang bukan sahaja daripada orang tua yang sakit yang karenahnya sudah seperti anak kecil, tetapi juga perselisihan antara adik beradik yang masing-masing punya banyak tanggungjawab lain. Memahami satu sama lain itu tidak mudah, walaupun dengan adik beradik sendiri.
Melalui ujian sebegini, ketabahanlah yang menjadi perkara utama perlu kita miliki. Hati perlu sentiasa dipenuhi dengan kesabaran, dan pengharapan kepada Tuhan tidak boleh dipandang sepi. Mohonlah kekuatan daripada-Nya agar keikhlasan tersemai seutuhnya.
Semoga ladang pahala yang Allah sediakan ini dapat kita manfaatkan sebaik-baiknya.
Monday, September 22, 2025
Terima
Walaupun cuma lapan hari, saya amat mensyukuri ruang yang diberi.
Bermula Sabtu dan berakhir Ahad semalam, saya memperoleh lapan hari berada di rumah sendiri. Tuhan jua maha tahu betapa nikmatnya ruang itu.
Sudah dua tahun saya berulang alik ke rumah mek sejak mek sakit pada September 2023, menyebabkan hari saya terbahagi dua. Hanya dalam cuti sekolah sahajalah dapat saya menikmati suasana di rumah sendiri sepenuhnya kerana adik ipar saya pulang dan mengambil giliran menjaga mek.
Apa pun tulisan takdir perjalanan hidup saya, tetaplah saya tempuh dengan penuh reda. Allah beri, saya terima.
Bermula Sabtu dan berakhir Ahad semalam, saya memperoleh lapan hari berada di rumah sendiri. Tuhan jua maha tahu betapa nikmatnya ruang itu.
Sudah dua tahun saya berulang alik ke rumah mek sejak mek sakit pada September 2023, menyebabkan hari saya terbahagi dua. Hanya dalam cuti sekolah sahajalah dapat saya menikmati suasana di rumah sendiri sepenuhnya kerana adik ipar saya pulang dan mengambil giliran menjaga mek.
Apa pun tulisan takdir perjalanan hidup saya, tetaplah saya tempuh dengan penuh reda. Allah beri, saya terima.
Tuesday, September 09, 2025
Tulisan
Masa sekolah dulu, saya memang suka tiru tulisan orang. Kalau nampak tulisan cantik je, cepat-cepat saya cuba ikut. Tulisan Reena lawa, saya tiru. Lepas tu jumpa tulisan Zam pula, saya tiru juga. Ajaibnya, jadi pula!
Sampai pernah kawan saya tengok tulisan saya, terus dia kata, “Eh, ni tulisan Zam kan?” Haha… masa tu rasa kelakar sangat, sebab dia betul-betul tertipu.
Sebenarnya, kalau nak tiru tulisan orang, bukan setakat tengok huruf dia je, tapi kena tengok juga cara dia pegang pen. Semua orang ada gaya masing-masing bila menulis, dan itulah yang buat tulisan tu jadi berbeza.
Sebab tu lah bila saya nampak tulisan orang tak cantik, kadang-kadang rasa gatal tangan nak ajar dia cara pegang pen yang betul. Hehe...
Road To 28
Ours was an arranged marriage.
I met him once, and everything went so fast.
Just in a week, we became husband and wife.
There was no love story before the wedding,
but love grew in the quiet moments,
in patience, in laughter, in tears.
And now, after 28 beautiful years,
our love story is still being written,
page by page, hand in hand.
Ya Allah, bless our marriage.
May his heart always find rest in mine,
and my soul always find shelter in his.
Keep us walking hand in hand through every storm,
until we reach the gates of Paradise together.
Amin.
Tuesday, September 02, 2025
Akhirnya
Saya terima saja. Apa pun keputusannya, saya terima saja. Saya tidak akan berkata tidak, atau jangan, atau tak mahu, kerana saya serah segala-gala kepadanya.
Walaupun jauh di sudut hati saya ada curiga dan risau jika keputusan yang dibuat ini akan menekan perasaan saya.
Biarlah.
Kalau nanti perasaan saya tertekan, saya hadap saja. Apalah sangat tekanan perasaan saya berbanding budi dan bakti terhadap orang tua.
Walaupun jauh di sudut hati saya ada curiga dan risau jika keputusan yang dibuat ini akan menekan perasaan saya.
Biarlah.
Kalau nanti perasaan saya tertekan, saya hadap saja. Apalah sangat tekanan perasaan saya berbanding budi dan bakti terhadap orang tua.
Monday, September 01, 2025
Menjaga
Ini coretan jujur. Maaf jika menyinggung.
Sudah dua tahun kami adik-beradik sebelah suami bergilir-gilir menjaga mek sakit. Pada awalnya, semuanya berjalan dengan baik, namun lama-kelamaan jadual mula menjadi tidak menentu. Ada keadaan tertentu yang memaksa seorang dua daripada kami melepaskan giliran, lantas beban itu jatuh kepada yang lain. Jika sehari dua mungkin perkara biasa, tetapi apabila berlarutan hingga berminggu dan berbulan, ia tentu menuntut kesepakatan dan keikhlasan yang lebih mendalam.
Yang ingin saya sentuh bukanlah tentang giliran, tetapi tentang rasa yang hadir dalam beban itu. Menjaga orang tua yang sakit bukanlah sesuatu yang ringan. Walaupun ia ladang pahala, hakikatnya tetap ada penat, tetap ada jemu.
Melihat wajah mek, hati saya sering diselimuti sayu. Sebagai menantu, saya bukanlah orang yang paling diinginkannya untuk menguruskan dirinya. Pernah mek berkata, “anak ada, tapi menantu yang buat...” sewaktu saya mahu membersihkannya.
Saya mengerti maksudnya. Dia bukan menolak bantuan saya, cuma hatinya lebih ingin dimanja anak-anaknya sendiri, anak-anak yang pernah dia besarkan dengan penuh kasih.
Pernah juga mek merintih, “Mek tak ada cucu dah sejak sakit ni...” hanya kerana dia melihat anak cucunya ramai di rumah sebelah, tetapi tidak menjenguknya. Saya diam sahaja. Saya tahu, yang dia perlukan bukan ulasan saya, tetapi kehadiran dan perhatian cucu-cucunya.
Daripada pengalaman ini, saya belajar banyak perkara. Menempuh usia tua bukanlah ujian yang mudah, meskipun anak-anak tinggal berdekatan. Mereka ada tanggungjawab sendiri, cucu-cucu juga sibuk dengan kehidupan yang sedang dibina. Seringkali, kesibukan itu menjadikan orang tua terasa terpinggir.
Namun, pada akhirnya semua ini adalah ketetapan Allah. Kita hanya mampu berdoa agar urusan hari tua kita dipermudahkan kelak. Saya yakin Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Setiap ujian mengandungi hikmah, setiap kepayahan menyimpan keberkatan yang mungkin tidak terlihat.
Tentang mek, saya cuba menabahkan hati. Dalam penat dan jemu yang sesekali singgah, saya tetap berusaha memberi sehabis baik. Penilai saya hanyalah Tuhan. Dia yang Maha Mengetahui, Dia yang menilai setiap titis sabar dan setiap detik ikhlas.
Subscribe to:
Comments (Atom)