Wednesday, September 30, 2009
Tahniah buat Hawari dan Husna
Lebih kurang jam 3.05 petang, 30/09/09, saya menerima kehadiran anak saudara yang kesembilan, milik pasangan Husna dan Hawari. Bertambahlah lagi bilangan ahli keluarga Almarhum Muhyiddin Mustaffa dan Hajjah Rahmah Idris. Semoga dengan kehadirannya, bertambahlah jua kebahagiaan kami semua, Insya Allah.
Tahniah buat Hawari dan Husna.
Alhamdulillah.
Selamat datang!!
Monday, September 28, 2009
Adik-adikku, Ismah dan Zahidah
Sebenarnya, Ismah dan Zahidah menjadi penghibur hati abang-abang dan kakak-kakaknya yang seramai enam orang ini - Lutfi, Noorhayati, Aziah, Rifqi, Muhammad dan Husna. Jarak usia mereka agak jauh dari kami berenam. Kami sangka Husna dah bongsu dah, rupanya belum! Rezeki Allah ta'ala buat keluarga kami, Ismah lahir pada 1987, sewaktu Abang Lutfi di tingkatan lima dan Husna (si bongsu tak jadi...) enam tahun. Tiga tahun kemudian, Zahidah menyusul. Waktu itu Abang Lutfi sudah pun berusia 20 tahun!
Wajah-wajah tenang kesayanganku
Jiwa yang tenang
Seorang yang mempunyai jiwa yang tenang ia akan menjadi manusia yang selesa hidupnya, bahkan keadaan dirinya. Tidak runsing apabila hatinya tidak terganggu, ia akan dapat membuat kerja dengan baik dan teratur, sama ada kerja-kerja itu berbentuk tugasan harian di tempat kerja ataupun kerja-kerja di rumahnya atau amalan ibadat yang dilaksanakan setiap hari.
Sebaliknya bagi orang yang mengikut hawa nafsu mereka mencari ketenangan melalui proses yang salah yang tidak direstui oleh syarak seperti minum-minuman yang memabukkan, menghidu gam, menghisap dadah, berseronok dengan wanita-wanita yang bukan isterinya, kesan dari perbuatan itu, mereka dapati kehidupan yang tidak selesa sentiasa dihantui dengan perasaan bersalah, hal yang demikian menyulitkan lagi keadaan yang sedia ada.
Sesungguhnya untuk mencapai ke arah jiwa yang tenang, ia bukan suatu yang mudah dan bukan pula suatu yang mustahil. Untuk mendapatkannya ia perlu diusaha, dilatih bersungguh-sungguh secara berterusan dan aktif setiap hari melalui proses bimbingan dan panduan ke atas diri individu seperti membina sikap positif, sebagai contoh " bertafakur", seseorang memerlukan suasana yang tenang dan sunyi. Fikiran dikosongkan daripada peristiwa hidup. Sentiasa mengingati kuasa tuhan. Tubuh badan berasa santai dan rehat secara fizikal dan emosional. Insyallah jika diusahakan akan berjaya. Selain dari pegangan dan amalan agama boleh membantu individu mendapatkan ketenangan. Agama memberi kekuatan iman dan keteguhan jiwa dengan adanya kepercayaan kepada kuasa dan pertolongan tuhan. Dalam Islam sembahyang lima waktu dan sembahyang sunat boleh melegakan fikiran serta memberi harapan kepada individu berkenaan. Wirid, berzikir, membaca Al-Quran boleh membantu menenangkan hati. Nikmat yang dapat dirasai melalui perkara-perkara tersebut ialah ketenangan batin dan ketenteraman jiwa. Pengalaman rohaniah ini membina kekuatan iman. Zikir mengajar individu supaya bertaqwa kepada tuhan.
Firman Allah dalam surah Ar-Ra'du ayat 28
Maksudnya : " Orang-orang yang beriman menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu tenteramlah hati "
Sebenarnya hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram kerana selalu mengingati Allah diwaktu ditimpa malapetaka. Mereka ingat kepada Allah dan cepat insaf dan memeriksa kekhilafannya agar dapat diubahnya dimasa akan datang. Oleh sebab itu hilanglah dukacitanya berganti dengan gembira dan mengharapkan kurniaan Allah. Begitu juga jika mereka mendapat anugerah (nikmat), mereka tidak sombong, malahan mengucapkan terima kasih kepada Allah. Sebab itu hati orang-orang yang beriman itu senang dan tenteram baik diwaktu susah ataupun gembira. Kesenangan hati itu ialah kebahagiaan yang sebenarnya. Sebab itu dalam Islam amat dipentingkan sekali menegakkan sembahyang lima kali sehari semalam kerana dalam sembahyang itulah kita mengingati Allah dan membersihkan jiwa. Nabi mengatakan bahawa sembahyang itu tempat ketenangan jiwanya dan kesenangan hatinya. Oleh yang demikian senanglah hati menghadapi segala kemungkinan dan kesulitan dalam masyarakat hidup di dunia ini. Firman Allah dalam surah Al-Fajr ayat 27-30 yang bermaksud :
" Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya, kembalilah kepada tuhanmu dengan keadaan engkau berpuasa hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (disisi tuhanmu), serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia, dan masuklah ke dalam syurgaku ".
Sunday, September 27, 2009
Allah knows
So why should we complain
We always want the sunshine
But He knows there must be rain
We always want laughter
and the merriment of cheer
but our heart will lose
their tenderness
If we never shed a tear
ALLAH tests us often
with suffering and sorrow
He tests us not to punish us
but to help us meet tomorrow
For growing trees are strenghtened
if they can withstand the storm
and the sharpness of the chisel
gave the marble its grace and form
ALLAH tests us often
and for every pain
He gives us
provided we are patient
Is followed by rich gain
So whenever we feel that
everything is going wrong
It is just ALLAH'S way to make our spirit strong
Doa buat Sahabat
Tatkala menitip jendela sahabat
Terkenang buku memori yang tersimpan di kamar hati
Tatkala suka dan duka diisi dengan seribu erti
Di medan ini menjadi saksi
Dan apabila senja mentari cemas beraksi
Berlenang air mata di sisi
Saat dugaan menikam di perdu hati.
Doa dikirim seribu buat sahabat,
Saat musibah datang tiada bertempat
Sayu kedengaran mendengar berita tenat
Sepantas kilat merona di dada teman
Dan diri bagai layu terjunam
Pasrah dalam musibah warkah takdirnya suratan.
Doa kukirim buat mu sahabat
Siang dan malam ku menadah semoga selamat
Di dunia fana dan akhirat
Semoga tabah dalam dugaan
Di sisimu teman berkongsi kesakitan
Jangan berasa keseorangan
Dan percayalah kami di sisimu meneman
Meski jauh berlainan sempadan.
Saturday, September 26, 2009
Min al-’Aaideen wa al-Faaizeen: Pujian Atau Ejekan?
Selamat hari lebaran
Minal ‘aideen wal faaizeen
Mari bersalam-salaman
Saling bermaaf-maafan
Ikhlaskanlah diri mu
Sucikanlah hati mu
Sebulan berpuasa
Jalankan perintah agamaSelamat hari lebaran
Minal ‘aideen wal faaizeen
Mari mengucapkan syukur
Ke hadirat Illahi
Kita berkumpul semua
Bersama sanak saudara
Tak lupa kawan semua
Jumpa di hari bahagia
Selamat hari lebaran
Minal ‘aideen wal faaizeenLagu ini berkumandang bersama puluhan lagi koleksi lagu raya, yang saya rasakan seperti memaksa-maksa diri untuk ada feeling dengan Hari Raya.
Dipaksa-paksa sedih bagi apa-apa yang hilang dan tak tercapai.
Dipaksa-paksa gembira bagi hasil mahsul sebuah Hari Raya.
Tetapi, apa yang mengasak fikiran saya, ialah ungkapan “Minal ‘Aideen wal Faaizeen” itu. Bukan sahaja ungkapannya di dalam Bahasa Arab, malah maknanya juga saya pasti tidak mudah difahami sekadar dengan menyebutnya di atas lisan. Fahamkah artis-artis yang beraya lebih awal dari kita itu, akan maksud ungkapan tersebut? Maksud saya, mereka merakam program Hari Raya ketika kita masih bertatih puasa. Fahamkah setiap mereka yang melakar kata-kata ini pada sebahagian 160 karakter sms Aidilfitri, atau kad raya itu sendiri?
Atau ia sekadar ungkapan tanpa makna.
Seperti Assalamualaikum yang gersang dari rasa sebuah doa, atau Insya Allah yang hanya kosmetik untuk cadangan memungkiri janji?
Fenomena kata-kata tanpa makna ini memang sudah lama wujud, sudah lama berlaku. Kerana itulah agaknya, Hasan al-Banna sering memulakan ceramahnya dengan menyebut:
“Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, manusia menyebutnya sebagai adat, sedangkan kita menyebutnya sebagai ibadat, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh”
ADAT DAN IBADAT
Dua-dua boleh jadi manfaat. Satu sekadar mengemas dunia, satu lagi memanjang ke Akhirat.
Namun, usahakanlah agar adat itu dibuat dengan sedar akan matlamat, diangkat dari suatu kebiasaan kepada suatu jalan taqarrub kepada Tuhan. Adat harus dibuat dengan ‘kesedaran hidup berTuhan”, agar adat menjadi ibadat.
Manakala ibadat pula, biar pun melakukannya adalah rutin harian dan kelaziman, janganlah pula sampai dibuat secara auto pilot. Lupa matlamat, terabaikan tujuan. Maka untuk ibadat tidak menjadi adat, buat sesuatu biar dalam keadaan sedar. Sedar akan matlamat, sedar akan asal usulnya perbuatan itu.
Lantas ungkapan-ungkapan Islam yang indah dan molek itu, jangan lagi terungkap tanpa makna, dek kerana terlalu biasa. Berulang kali menyebutnya, hingga terlupa kepada makna.
UNGKAPAN MINAL ‘AIDEEN WAL FAAIZEEN
Ungkapan minal ‘aideen wal faaizeen itu adalah suatu ungkapan yang besar.
Kita mengucapkan tahniah atas kejayaan kita memenuhi tuntutan Ramadhan, melepasi proses Tarbiyahnya dan akhirnya, kita melambai senja Ramadhan yang menyinsing dengan suatu diri yang tinggi.
Tinggi kerana kita telah menundukkan nafsu.
Nafsu itu seperti api. Kecil-kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan.
Manusia terhijab dari melihat kebesaran Allah, apabila nafsu terbiar mengganas jadi ammarah. Nafsu yang menipu kita bahawa kita sepatutnya makan lebih dari yang sepatutnya. Nafsu juga menyebabkan kita bercakap lagha, bercakap lucah, mengamuk dan marah-marah, malah bergaduh dan bertelagah.
Semua itulah yang diajar Ramadan agar kita mengatasinya. Kawal diri supaya jangan dikawal nafsu.
Bila nafsu diajar mengenal batas sempadan, baru diri mengikut piawaian. Dan piawaian itulah apa yang dinamakan sebagai fitrah.
Ramadan melatih manusia menundukkan nafsu, agar dirinya kembali kepada piawaian, kembali kepada Fitrah.
Mereka inilah golongan ‘Aaideen… golongan yang pulang, kembali kepada Fitrah.
MEREKA ITULAH GOLONGAN BERJAYA
Mereka yang berjaya menyerlahkan kembali Fitrah diri yang selama ini terkurung di perangkap nafsu dan kejahilan, mereka inilah golongan yang sukses. Golongan berjaya iaitu golongan Faa’izeen!
“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya dari belenggu nafsu” (Asy-Syams 91: 9)
Golongan ini berjaya mengawal dirinya, lantas tidak lagi dikawal oleh dorongan nafsu. Dia sudah merdeka dengan kemerdekaan yang hakiki. Mereka inilah golongan yang berjaya. Golongan al-Faa’izeen yang kita sebutkan.
CERMIN DIRI
Maka cerminlah keadaan diri kita semua. Apakah kita telah kembali kepada fitrah diri yang sebenar selepas Ramadhan ini? Seandainya tidak, ungkapan-ungkapan itu hanyalah sebagai satu ejeken. Mengejek diri sendiri yang jelek, kerana menyarungkan pakaian sutera, pada ‘tunggul manusia’ yang tiada harga…
Moga benar-benar kita ini kembali kepada fitrah, sebelum kita kembali kepada Allah. Kerana itu sahajalah erti Fa’izeen, erti yang sesungguhnya.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, KULLU ‘AAM WA ANTUM BIKHAIR
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Dahulukan Puasa Enam Atau Layan Keluarga?
Soalan: Sempena hariraya, anak cucu saya pulang ke rumah. Selepas hariraya pertama ( 1 syawal) saya terus mula berpuasa enam. Isteri saya bersungut, katanya anak-anak balik dari jauh nak makan bersama-sama sedangkan saya berpuasa. Dia menyuruh saya berbuka sebab syawal masih banyak hari lagi, anak-anak pula cuti mereka pendek mereka hanya sempat beberapa hari sahaja bersama kami. Saya pula takut kehilangan fadhilat puasa enam syawal, apa yang patut saya lakukan. Jika saya berbuka nanti saya tidak dapat ‘raya puasa enam’. Minta huraian Dr Asri.
Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin:
Ada beberapa perkara yang perlu disentuh mengenai soalan di atas;
Pertama: Adapun sunat puasa enam hari pada Bulan Syawwal, bukanlah terhad setakat enam hari berturut-turut selepas hariraya, sebaliknya enam hari pada Bulan Syawwal samada berturut-turut atau berselang-seli dalam bulan tersebut dianggap sebagai memenuhi maksud hadis:
من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim).
Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hariraya disebabkan ungkapan ‘ثم أتبعه’ (kemudian dia susulinya), namun fadhilat puasa enam ini tetap diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berpuasa mana-mana enam hari dengan niat sunnah tersebut dalam Bulan Syawwal. Inilah yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam Syarh Sahih Muslim.
Kedua: Seseorang yang berpuasa sunat dibolehkan berbuka apabila dia mahu. Bahkan, digalakkan berbuka jika itu dapat menguatkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan atau menjaga perasaan orang lain. Ini seperti hadis Abi Sa’id al-Khudri, katanya:
صنعت لرسول الله صلى الله عليه و سلم طعاما فأتاني هو وأصحابه فلما وضع الطعام قال رجل من القوم : إني صائم فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم : دعاكم أخوكم وتكلف لكم ثم قال له : أفطر وصم مكانه يوما إن شئت
(Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: دعاكم أخوكم وتكلف لكم ثم تقول إني صائم (saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!).
Ini menggambarkan betapa menjaga hubungan baik itu patut diutamakan sementara puasa sunat pula boleh diganti pada hari yang lain. Puasa enam Syawwal pun demikian. Maka untuk menjaga hubungan kaum keluarga, maka eloklah ditangguhkan puasa tersebut jika hari-hari pada Bulan Syawwal masih banyak. Pada zaman ini, cuti yang terhad, waktu pertemuan sesama keluarga juga terbatas oleh kesibukan dan urusan yang berbagai, maka amalkanlah galakan Nabi s.a.w ini ‘berbuka dan ganti pada hari yang lain jika mahu’. Dengan itu hubungan keluarga dapat dikuatkan atau dijaga, puasa enam juga dapat dilaksanakan.
Ketiga: tiada dalam Islam apa yang dinamakan dengan ‘hariraya puasa enam’. Apatahlagi jika ia diiringi dengan ibadat khusus seperti solat tasbih sempena hariraya puasa enam yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sabda Nabi s.a.w.:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).
Allah Lebih Mengetahui;
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
25/9/09 -6 Syawwal 1430.
Kepulangan
24 September 2009
Hari ini sudah masuk Syawal yang kelima. Kemeriahan Aidilfitri masih ada, dan saya menerima dua jemputan raya - rumah kawan lama saya Nik Hasni (suaminya Wan Rusdi merupakan rakan setugas suami saya) dan jiran saya Mazlin, yang baru berpindah ke rumah baru.
Emak dan adik-adik saya di PPUM sedang bersiap-siap untuk pulang hari ini. Alhamdulillah, Ismah sudah dibenarkan keluar wad selepas seminggu dirawat. Cuma seminggu, tetapi lamanya bagai sebulan, bukan? Saya faham benar perasaan pesakit yang berada di wad. Sudah tiga kali saya melaluinya - Ogos 1998 (6 hari), Januari 2006 (3 hari) dan September 2006 (7 hari). Betapa waktu bagai merangkak perlahan, dan jarum jam sungguh lambat berputar! Suasana wad tidak merangsang kesembuhan, melainkan mengundang bosan yang tidak berkesudahan.
Jam 2 petang, saya menelefon dan Rifqi memaklumkan segala urusan telah selesai. Mereka akan bertolak pulang sekitar jam 3 petang nanti. Saya doakan mereka selamat. Maklumlah, musim raya seperti ini, sering saja dihidangkan dengan berita yang tidak sedap didengar. Khuatir juga dengan keselamatan mereka, tetapi hanya doa yang mampu dipanjatkan mengiringi perjalanan mereka.
Jam 7.30 petang, saya menelefon lagi sekadar bertanya khabar. Kali ini Aziah yang menjawab, dan memberitahu mereka sekarang berada di Gua Musang. Alhamdulillah.
Talian CELCOM sebenarnya meragam hari ini. Rasa nak saman saja!! Puas saya dail tak masuk-masuk. Jam 11 lebih, saya sms Ismah bertanya khabar lagi. Rupanya mereka baru sampai di rumah. Saya rasa lega, dan tidur lena...
Jumaat
25 September 2009
Saya ke rumah emak jam 9.00 pagi. Ketibaan saya rupanya disambut dengan cerita ngeri, peristiwa kemalangan yang berlaku malam tadi. Rupanya kereta Rifqi tergelincir dan jatuh ke dalam gaung di sempadan Gua Musang sekitar jam 7 malam. Terkejut saya, tetapi syukur alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan, cuma kerosakan kereta sahaja. Syukur saya tidak putus-putus pada Allah. Alhamdulillah!!
Hari ini, 6 Syawal, barulah emak dan adik-adik dapat beraya di rumah. Selamat Hari Raya.
Tuesday, September 22, 2009
Catatan Raya 1430H - Satu pengalaman - 3
19 September 2009
Perasaan saya kini lebih lega dan makin tenang. Tetapi saya masih tidak henti berdoa agar tiada perkara di luar dugaan yang terjadi. Bimbang dan takut masih belum mampu dibuang terus dari jiwa.
Sahur pagi ini, Rifqi dan Muhammad belikan kuew tiau goreng dan sate. Saya pula sempat keluar dengan Zahidah untuk membeli prepaid dan nasi lemak jam 10 malam tadi, dan masih berbaki untuk kami makan waktu sahur.
Selepas subuh saya dan Zahidah ke tempat Ismah. Dia sudah boleh buka mata. Saya maklumkan padanya yang dia selamat. Semua berjalan lancar dan tak perlu risau. Dia menangis. Saya tahu dia sedih, mungkin rasa bersalah kerana menyusahkan kami. Dia bersuara lemah, “minta maaf”. Sayu di hati hadir kembali. Wahai adikku Ismah, tiada apa-apa yang perlu dimaafkan. Kami datang dengan rela, sepenuh rela. Kami bukan terpaksa! Semoga Allah mengampunimu, meredhaimu, dan menyembuhkanmu!
Jam 11 pagi, Rifqi dan keluarganya, termasuk Farah dan Areef bertolak pulang ke Kelantan. Semoga selamat perjalanan mereka. Husna dan suami pula tiba pada jam 2 petang. Abang Lutfi yang pulang dari Pakistan, tiba pada jam 4.00 petang. Lihatlah wahai Ismah, kami semua sangat menyayangimu, dan bersedia menemanimu dalam apa keadaan sekali pun!
Memandangkan unit ICU hanya membenarkan dua orang sahaja masuk pada satu-satu masa, maka kami bergilir-gilir menjenguknya. Alhamdulillah, dia semakin pulih. Tengah hari ini, doktor sudah membenarkan Ismah minum. Petangnya, dia sudah diberi bubur nasi. Syukur Alhamdulillah.
Malam ini saya tidur lebih lena.
Ahad
20 September 2009
Hari ini hari raya Aidilfitri. Kami berhari raya dengan hati yang lega kerana melihat perkembangan positif Ismah. Doktor benarkan dia dipindahkan ke wad biasa pagi ini. Dia sudah boleh berjalan, dan mampu ke bilik air sendiri, walaupun dengan langkah yang masih lemah. Bila saya maklumkan keadaan Ismah kepada Rifqi dan Pak Su, semua terkejut dan gembira. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa-doa hambaNya…. Syukur ya Allah!!
Dengan ‘kepositifan’ ini, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Kelantan, walaupun dengan hati yang berat. Kalau boleh saya ingin terus berada di sini hingga Ismah dibenarkan keluar dari wad. Tapi apa daya, tanggungjawab saya bukan hanya di sini. Saya punya suami yang sedang bersendirian di rumah. Kasihan juga padanya, berhari raya tanpa isteri tercinta ini… hehehe!!!
Saya bertolak pulang bersama Husna dan Hawari pada jam 2.30 petang. Dalam hati masih tidak henti-henti berdoa, agar perkembangan Ismah kekal positif. Amin.
Monday, September 21, 2009
Catatan Raya 1430H - Satu pengalaman - 2
18 September 2009
Selepas sahur baru saya sempat lelapkan mata. Itupun kerana Zahidah ada menemani Ismah. Saya takut kalau saya tidak tidur langsung, nanti saya pula yang tak larat besok.
Lepas solat subuh, saya terus ke tempat Ismah. Dia masih begitu. Tiada perubahan. Kerap muntah dan mata asyik pejam. Sedih di hati saya makin menjadi-jadi. Saya cuba bertahan dan yakinkan diri, Ismah akan sembuh…
Jam 10 pagi, Dr. Khairul Azmi datang dan menerangkan keadaan Ismah. Katanya salur darah di sebelah kanan kepala Ismah pecah, dan di sebelah kiri pula membengkak. Rawatan yang boleh dibuat ialah sama ada pembedahan atau ‘coiling’ dan dia mencadangkan ‘coiling’. Saya, emak dan adik-adik sepakat untuk menerima cadangan Dr. Khairul. Beliau turut memberi penerangan yang detail tentang apa itu ‘coiling’ dan saya rasa kami semua faham dengan kebaikan dan risiko ‘coiling’. Doa kami, semoga segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Jam 11 pagi, Muhammad dan keluarganya tiba dari Perak.
Jam 12 tengah hari, Ismah dibawa ke bilik bedah. Jam 2 petang, rawatan ‘coiling’ dimulakan. Saya menunggu di luar dengan perasaan bercampur baur. Ada risau, bimbang, takut, sedih, sayu, entahlah. Sukar untuk digambarkan apa yang saya rasai selama tiga jam di luar dewan bedah itu. Berkali-kali saya memujuk hati sendiri, agar sedia terima dan redha dengan apa jua yang bakal terjadi. Air mata mencurah-curah lagi. Zahidah ada juga datang menemani saya. Emak tidak berapa kuat untuk menunggu bersama saya, maka saya biarkan saja dia berehat di surau. Rifqi pula memberitahu dia ingin keluar ke masjid untuk membawa anak-anak dan isterinya mandi dan bersalin pakaian. Saya tidak mahu ikut. Saya mahu berada di situ, di depan dewan bedah. Dekat dengan Ismah.
Jam lima petang saya nampak misi dan doktor datang menyiapkan katil Ismah. Tentu Ismah sudah boleh dibawa keluar. Saya telefon emak dan Rifqi, suruh mereka datang ke dewan bedah.
Sayunya melihat wajah Ismah waktu ini. Dengan wayar dan tiub yang berselirat di tubuhnya, matanya terpejam rapat. Tuhan saja yang tahu kebimbangan di hati saya. Dr. Khairul memanggil saya ke biliknya. Debar di dada makin kencang. Takut. Bimbang. Semuanya ada.
Alhamdulillah, Dr. Khairul menyatakan rawatan berjalan seperti yang dirancang. Beliau menunjukkan slaid filem x-ray sebelum dan selepas ‘coiling’. Semuanya ok dan Ismah selamat. Syukur saya pada Allah waktu itu tidak terhitung. Namun debar masih belum hilang. Ismah ditempatkan di ICU sementara menunggu dia sedar sepenuhnya.
Mak su, Pak Su dan Nazifah datang membawakan makanan untuk kami berbuka. Selesai berbuka puasa, saya ke tempat Ismah. Rupanya dia sudah sedar, tetapi masih lemah dan belum mampu membuka mata. Saya biarkan dia tidur dan berehat.
Catatan Raya 1430H - Satu pengalaman - 1
17 September 2009.
Pagi ini saya memang tak ada ‘mood’ ke sekolah. Apa tidaknya, suami saya cuti, sedangkan saya tidak. Ditambah pula dengan hujan renyai-renyai, tentu seronok dapat berehat di rumah! Lagi pun, raya cuma tinggal tiga hari saja lagi. Banyak benda saya boleh selesaikan di rumah – kemas ruang tamu, basuh laman, bersihkan bilik-bilik, macam-macamlah. Memang ‘bengkek’ jugalah dengan pentadbir sekolah sebab tak pertimbangkan langsung perkara-perkara macam ni. Alasan mereka, pentingkan pelajaran. Entahlah, perkara yang subjektif macam ni memang banyak pro dan kontranya. Bagi saya, budak-budak dah tak ada mood nak belajar. Cikgu pun sama. Kita kan semua ni manusia, bukan mesin! Pertimbangan akal mesti selaras dengan psikologi juga. Malah, tak optimum langsung pembelajaran hari ini. Mercun berdentum dentam di sana sini, macam nak perang! Kalau saya sakit jantung dah lama pengsan. Budak-budak yang buat cuti sendiri tak usah ceritalah. Satu kelas ada tak sampai 10 orang pelajar pun. Pendek kata, kalau diberi cuti lebih baik. (Hmmm, itu pada pendapat sayalah… Jangan saman saya pulak ya!!)
Jam 1.10 minit, saya sedang berehat di bilik saya. Tiba-tiba saya terima panggilan telefon dari emak. Emak kata adik saya Ismah dimasukkan ke hospital PPUM pagi tadi kerana pengsan sewaktu sedang membasuh baju di rumah sewanya. Kawan Ismah telefon Rifqi dan Rifqi yang maklumkan pada emak. Berderau darah saya. Saya teringat, Ismah pernah sms saya menyatakan yang dia mengalami sakit kepala yang amat sangat sampai muntah-muntah. Bila dia ke klinik, doktor langsung tak periksa dia, terus bagi ubat tahan sakit. Dia memang bengang betul dengan doktor tu. Siap cakap doktor tu tak betul, sebab sindir-sindir dia, cakap “saya tak boleh bagi awak MC, sebab awak sakit semalam, bukan hari ini.” Saya yang dengar ni pun sakit hati. Macam tak ada perikemanusiaan je doktor itu. Dia ingat semua yang datang klinik tu nak MC je ke? Macam mana dia boleh jadi doktor ek? Tak beretika langsung!! Rasa macam nak saman dia sebab buat pesakit sakit hati.
Emak kata dia dah suruh Rifqi turun KL, tengokkan Ismah. Kebetulan Rifqi dan keluarga dalam perjalanan pulang ke Kelantan. Jadi emak minta dia batalkan kepulangannya ke Kelantan dan patah balik ke KL. Kalau boleh bawa Ismah balik ke KB, dan teruskan rawatan di HUSM. Saya berdoa agar Ismah tidak apa-apa dan selamat di sana. Kesian dia, kesakitan yang amat sangat dan sendirian tanpa keluarga. Air mata saya mencurah-curah bila teringat tentang dia. Saya telefon Zahidah, bertanya sama ada dia tahu Ismah sakit. Rupanya Zahidah langsung tidak tahu menahu. Kata Zahidah, baru petang semalam mereka ber’sms’, tapi Ismah tak cakap pun dia sakit.
Balik dari sekolah, saya hubungi kawannya, bertanyakan khabar Ismah. Memang sedih sangat, tak tahu nak kata apa. Saya terfikir, baik juga kalau saya dan emak ke KL malam ni, dengan Air Asia. Emak setuju saja. Saya dah tak boleh duduk kat rumah dah, asyik teringat kat dia. Asyik menangis. Masa berbuka puasa pun saya rasa menggigil-gigil, tak tahu kenapa. Mungkin saya ketakutan. Saya takut perkara yang tak diingini berlaku. Saya tak sanggup memikirkannya!!
Jam 8.00 malam, suami menghantar saya dan emak ke lapangan terbang Pengkalan Chepa. Mujurlah flight ke KL jam 8.40 delay, jadi sempatlah kami ambil flight itu. Jam 10.40 tiba di LCCT dan pakcik saya, Pak Su Soh, isteri dan menantunya yang jemput kami dan hantarkan kami ke PPUM.
Rasa lambat sungguh perjalanan ke sana. Dalam hati tak henti-henti saya berdoa agar Ismah selamat. Jam 11.55 baru kami sampai di tempat Ismah. Sedihnya hati saya melihat keadaannya yang sangat lemah, nak buka mata pun dia tak mampu. Bila saya bertanya, dia hanya mengangguk atau menggeleng sahaja. Deras air mata saya mengalir melihat dia. Dia selama ini seorang yang ceria, lucu dan sering membuat kami gembira dengan jenaka dan kenakalannya. Walaupun kami berbeza usia 15 tahun, tapi hubungan kami rapat, bagai tiada jurang usia. Mengingati semua itu, saya makin sebak. Adik saya yang periang dan mesra ini sedang berperang antara hidup dan mati! Baru semalam saya berbalas sms dengannya, hari ini dia sudah terlantar tidak bermaya. Hati siapa yang tidak tersentuh?
Saya temani dia, berada di sisinya. Saya takut untuk tinggalkan dia sendirian. Saya takut dia kesunyian. Saya mahu berada di sisinya dan berdoa untuknya. Saya mahu dia sembuh semula.
Jam 2.45 pagi, adik saya Zahidah menelefon. Dia sudah berada di Puduraya, baru tiba dari Pulau Pinang. Alhamdulillah, syukur saya kerana dia selamat sampai di PPUM pada 3.15 pagi dengan teksi. Kasihan dia, seorang diri dari Pulau Pinang menempuh perjalanan yang penuh dengan risiko. Entahlah, hati saya sentiasa mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku, terutama pada orang-orang yang saya sayang. Apa pun, saya sentiasa yakin, Allah akan memudahkan segalanya. Allah maha pengasih dan penyayang. Hanya kepadaNya saya mengadu…
Selamat Hari Raya
Salam Aidilfitri, maaf zahir batin.
Monday, September 14, 2009
Cuba renungkan artikel ini pulak...
Saya jumpa artikel ni kat sini
DAKWAH ADALAH ALASAN SAMPAH
Menjengkelkan apabila melihat sebilangan pengguna Internet hari ini.
Mula-mula boikot Friendster kerana alasan sosial.
Kemudian boikot FaceBook dan fotoPages kerana alasan Yahudi.
Akhirnya keduanya dihalalkan atas alasan dakwah.
Menggunakan Friendster, FotoPages dan FaceBook atas alasan dakwah adalah sampah penipuan terbesar pernah saya dengar.
Kenapa begitu? Kita lihat dari kaca mata seorang yang kuat berpegang teguh bahawa Friendster adalah sosial, dan FaceBook/FotoPages adalah hasil Yahudi:
Macam laa terdesak sangat nak berdakwah sehingga sanggup terjun ke dalam lembah maksiat. Macam laa terdesak sangat hingga sanggup menyumbang kepada Yahudi. Sedangkan rangkaian Friendster serta FaceBook tidaklah sebesar mana. FaceBook lebih keji, apabila limited access diberikan kepada Non-Friend. Maka seluas manakah rangkaian dakwah kamu?
Alasan dakwah, tapi Wall dipenuhi Mesej dan Kuiz lagho. Komen gedik menggedik bersama perempuan. Foto-foto entah pape beraksi di depan kamera. Guna FaceBook atas alasan dakwahkah begini?
Andaikata menghantar Buletin atau Notes agama sekalipun, tengok tajuk pun belum tentu bakal diklik dan dibaca. Maklumlah, tajuknya sahaja sudah typical, boring dan membosankan. Dakwah yang tidak sampai maksud dan tujuan.
Manusia yang benar-benar berdakwah di FaceBook, setiap hari menaip nasihat agama di Wall rakan-rakan mereka. Setiap hari meletak link-link berunsur keagamaan. Bersengkang mata membuat kuiz-kuiz Islamik. Tak putus-putus menukar status bermesejkan Islam. Itu pun belum lagi diambil kira meng-add rakan-rakan yang lagho lalu menasihati mereka. Ataupun setiap hari memeriksa koleksi Album foto mereka, ditegur mana yang beraurat, mana yang tergedik, mana yang melampau. Itu baru Dakwah di FaceBook.
Jika tidak, tak perlu gunakan alasan dakwah untuk kekal di FaceBook. Mengakulah bahawa kamu memang seorang yang lagho, suka main FaceBook walaupun ianya produk Yahudi. Saya pun takkan menyampah.
Golongan kedua yang menjadikan alasan dakwah adalah Blogger. Mereka juga telah menyampahkan perkataan dakwah tersebut.
Post pertama yang ditulis golongan sebegini biasanya "Moga-moga blog ana akan memberi kebaikan kepada orang lain. InsyaAllah ana akan berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan ilmu Islam.Bla bla bla"
Kemudian apa yang terjadi?
Samada blog tersebut dipenuhi entry-entry yang tiada faedah, atau berhabuk bersawang. Kalau yang berterusan menulis pula, biasanya lebih kelakar - tidak ingin blog mereka dikenali. Malahan kalau ada sesiapa yang meletak link blog mereka dalam mana-mana list, dengan marahnya menyuruh dibuang.
Promosi percuma, tapi tak nak. Dulu menggunakan alasan dakwah kononnya. Memang pun, ini namanya dakwah seorang diri. Lain kali kalau tak nak famous lalu riak, jangan kata kamu ingin berdakwah di blog. Tulis "Ini catatan peringatan untuk diri sendiri." Saya pun tak menyampah.
Manusia yang berdakwah di blog, setiap hari sejam sebelum tidur, melakukan blogwalking. Melompat dari satu blog ke blog lain yang tidak dikenali pemiliknya, untuk promosi artikel dan program. Mereka sentiasa menulis up-to-date dengan isu semasa, konsisten tidak menjadikan blog mereka seperti gua. Jalan mencari kefamosaan adalah jalan mencipta authoriti. Sudah terkenal, maka blog anda bakal menjadi wadah dakwah terhebat.
Jangan gunakan perkataan dakwah sebagai penyedap hati. Jika anda gemarkan karutan, maka tuliskan perkataan "Karutan".
Jangan jadi seperti peribahasa Melayu, "Kepala yu, ekor babi".
Facebook: Antara Pro dan Kontra
(Artikel ini adalah tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)
“Ustaz, do you have any networking account?” tanya Saeb kepada saya.
“You mean, like Friendster and Myspace?” saya meminta kepastian.
“Yes. But in the States we don’t use Friendster. We’re more into Facebook,” jelas Saeb kepada saya.
Beliau adalah anak kepada pensyarah saya, seorang warga Amerika Syarikat.
“Oh yeah. I have registered an account but completely forgot about it because there’s no one there,” saya memberitahu.
“Great. Probably Malaysians are still hanging around Friendster. But anyway you’ll find us there. I’m trying to bring Dad into Facebook, too!” gurau beliau.
PENYERTAAN AWAL KE FACEBOOK
Saya mendaftarkan akaun Facebook pada awal 2007 tetapi hanya mengaktifkan penggunaannya semula kira-kira enam bulan selepas itu bagi menguruskan jaringan sosial antara kami, AJK IYEP dengan peserta yang datang dari seluruh dunia.
Ketika itu, amat kecil bilangan pengguna Malaysia yang berada di dalam jaringan Facebook. Namun, saya berasa selesa menggunakannya berbanding dengan Friendster kerana suasana di dalam Facebook lebih teratur, kemas dan ‘tidak kebudak-budakan’. Di kala itu, memang sudah menjadi buah mulut orang menganggap pembabitan anak muda di dalam Friendster di negara kita amat mengundang mudarat. Perkongsian gambar-gambar tidak senonoh hingga membabitkan beberapa artis ketika itu, menyebabkan saya langsung tidak terfikir untuk mempertimbangkan soal menyertai Friendster, biar pun untuk tujuan dakwah khususnya pada mendekati golongan remaja.
Berbeza dengan Facebook, rakan-rakan yang lebih ’sekepala’ dan ’seusia’ bertambah dari semasa ke semasa melalui Facebook dan ia sangat berkesan dalam usaha ‘menjejak kasih’ teman-teman lama dari seluruh dunia.
Keadaan ini sedikit demi sedikit berubah apabila semakin ramai pengguna internet Malaysia menyertai Facebook.
Saya tidak pasti apakah yang patut ditunding kesalahan. Apakah kerana kelompok yang membanjiri Facebook kebelakangan ini adalah remaja bermentaliti kebudak-budakan, atau mereka bekas pengguna Friendster, atau mereka mewakili suatu ngomelan tentang budaya kurang sihat di Malaysia yang disebut sebagai ‘First Class Facility with the Third Class Mentality’. Facebook mula comot dengan pelbagai aplikasi seperti kuiz, permainan dan pelbagai fungsi yang menghilangkan hemah Facebook selama ini.
Keadaan menjadi lebih merunsingkan apabila kita memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringan kita. Apabila beberapa ratus daripada 5000 itu menyebarkan sampah sarap, ia sudah cukup untuk merosakkan fungsi asal Facebook yang menjadi asas tujuan kita memilih jaringan sosial ini.
BOLEH MENJADI HARAM
Keasyikan pengguna-pengguna Facebook melayan kuiz dan permainan, di samping sembang bual yang pada masa ini jumlah warga jaringan Malaysia mencecah lebih 800,000 orang, boleh menghasilkan suatu ketagihan seperti apa yang pernah menimpa pengguna perkhidmatan chatting MiRC suatu ketika dahulu. Tambahan lagi, dengan kemudahan akses Facebook melalui telefon bimbit, tahap ketagihan itu bisa jadi melampau dan merosakkan.
Dalam keadaan seperti ini, keharusan menggunakan Facebook boleh bertukar menjadi HARAM ke atas individu yang menyalahgunakan Facebook hingga berlaku kelalaian di tahap yang ekstrim.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]
Apa yang menjadi larangan bukanlah Facebook sebagai medium. Tetapi larangan itu terkena ke atas individu yang gagal mengawal dirinya hingga sesuatu yang asalnya begitu bermanfaat berubah menjadi mudarat akibat lemah daya mengawal dan membuat pilihan.
Dalam masa yang sama juga beberapa konsep akhlaq perlu diberikan penjelasan dalam konteks etika melayari internet serta menggunakan aplikasi yang kedapatan, termasuk email dan Facebook.
Saya tidak menyiarkan alamat email di tempat terbuka.
Antara tujuannya ialah untuk melindungi akaun email saya daripada kebanjiran email spam. Justeru untuk kemudahan perhubungan, saya sediakan borang email dan semua mesej yang dihantar di situ akan masuk terus ke akaun Gmail saya.
Akan tetapi, apabila mesej yang dikirim, saya balas dengan memberikan jawapan yang diminta, penerima email itu telah memasukkan email saya ke senarai email yang bakal menerima artikel-artikel yang beliau hantar dalam jumlah yang sangat mengganggu. Entah mengapa, ada sesetengah kita memiliki tabiat mengajukan rantaian-rantaian artikel melalui email dalam bentuk yang tidak terkawal. Tentu sahaja mengambil satu artikel lalu dikongsikan bersama rakan-rakan lain agar tersebar manfaat, adalah suatu perbuatan yang terpuji. Tetapi tatkala menerima satu email, dan kemudian terus menekan butang REPLY atau REPLY TO ALL dengan email yang sudah lima lapis diperlakukan sedemikian rupa, ia menampakkan bahawa email itu dihantar lebih kepada tabiat suka mengajukan email (Email Forwarding) berbanding menghantarnya dalam keadaan sedar akan apakah tujuan ia dilakukan.
Ada yang menyebarkan secara BULK hingga 20 email sehari.
Bagaimanakah anda menguruskan akaun email apabila seorang yang tidak anda kenali, menghantar 20 forwarded email sehari (sebahagiannya adalah artikel anda sendiri yang diajukan kembali kepada anda)?
Kaedah mudahnya ialah tandakan sahaja email itu dan penghantarnya sebagai SPAM.
Tetapi atas dasar menghargai sesama Mukmin yang berutusan email dengan maksud kebaikan, saya menghantar email peribadi kepada si pelaku ini memohon jasa baiknya agar email saya dikeluarkan daripada senarai penerima forwarded article beliau.
Permintaan saya itu telah menyebabkan beliau melenting. Saya ditegur kerana ‘tidak menghargai kebaikan’, ’sudah terlalu baik hingga tidak perlu ditegur oleh artikel-artikel yang baik’ dan macam-macam lagi. Saya cuba untuk terangkan kepada beliau bahawa sebahagian daripada artikel yang beliau hantar kepada saya adalah artikel tulisan saya sendiri. Ini menunjukkan beliau tidak meneliti apa yang dihantar dan kepada siapa ia dihantar. Semuanya dilakukan sebagai tabiat bahawa selepas email dibaca, terus ditekan butang Forward untuk membina rantaian email yang menyemakkan.
Dek tindak balas beliau yang agresif, saya mengambil langkah drastik membuat tapisan (filter) bahawa semua email daripadanya, terus dipadam dan dimasukkan ke tong sampah (bin).
Sehingga kini ada lebih 20 filter yang berada di dalam email saya untuk menangkis kelakuan sebegini.
TAGGING DI DALAM FACEBOOK
Fungsi tagging di dalam Facebook mempunyai manfaat yang banyak.
Disebabkan oleh adanya fungsi ini, saya sudah kurang menggunakan kamera sendiri untuk mengambil foto program yang saya hadiri atau kendali. Lazimnya jurukamera atau peserta yang bergambar akan memuatnaikkan fotonya dan tatkala saya ditanda dengan tagging, maka foto itu secara otomatik masuk ke koleksi foto saya.
Namun, terdapat sejumlah pengguna Facebook yang menggunakan fungsi tagging ini sebahagian daripada apa yang dilakukannya di dalam kuiz dan permainan. Mungkin hal ini lebih menjadi masalah apabila ia berlaku kepada pengguna Facebook yang memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringannya.
Kemunculan aplikasi seperti PICKUPFRIENDS telah mengundang lambakan ratusan tagging berserta mesej balasan yang mengganggu ketenteraman penerimanya.
Tabiat-tabiat seperti ini tidak seharusnya berlaku. Ia menggambarkan betapa kita tidak menghargai ruang persahabatan yang wujud lantas mengisinya dengan benda-benda yang disangka lucu tetapi hakikatnya menyakiti orang lain. Cukuplah pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud:
“Daripada Abdullah bin ‘Umar radhiyallaahu ‘anhuma beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Seorang Muslim itu ialah seorang yang kaum Muslimin lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya. Seorang muhajir pula ada orang yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah kepadanya” [muttafaq 'alayh]
FACEBOOK DAN YAHUDI
Dalam sentimen kemarahan kita terhadap apa yang menimpa umat Islam di bumi Palestin, kemahuan untuk melakukan sesuatu yang berbalut emosi sering membuatkan kita keterlaluan dalam tindakan.
Suatu ketika, kempen boikot berlangsung secara aktif. Senarai panjang barangan dan perkhidmatan disebarkan untuk diboikot. Masyarakat terbahagi kepada beberapa kelompok dalam hal ini. Ada yang menolak sepenuhnya tindakan boikot, ada yang bertindak memboikot sepenuhnya apa sahaja yang berkaitan dengan Yahudi dan Amerika Syarikat, dan di celah kedua-dua aliran itu, ada yang bertindak memboikot secara selektif.
Tindakan memboikot secara selektif ini didorong oleh kesedaran bahawa mengharamkan secara mutlak urusniaga yang membabitkan Yahudi atau Nasrani semata-mata kerana dia itu Yahudi atau Nasrani, adalah suatu tindakan yang tidak menepati kehendak Syara’.
Di dalam Majalah al-Islam keluaran September 2009, terdapat sebuah artikel yang tajuknya amat serius berbunyi, “ZUCKERBERG GUNA FACEBOOK UNTUK BUNUH PENDUDUK PALESTIN”.
Apa yang tidak wajar berlaku ialah, makalah tersebut hanya mendedahkan aktiviti biasa pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, sebagai seorang Yahudi yang ‘multazim’ (mempraktikkan agama Yahudi dalam kehidupan seharian). Tetapi justifikasi terhadap kebenaran dakwaan bahawa Zuckerberg menggunakan Facebook untuk membunuh penduduk Palestin, hanya ditulis dalam sebuah perenggan ringkas berbunyi:
“… Pun begitu sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas-desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza”
Itu sahaja kenyataan yang wujud di sepanjang artikel berkenaan dalam mengaitkan Facebook dengan jenayah perang di Palestin. Ada pun isi kandungan lain, kesemuanya menceritakan tentang betapa Yahudinya seorang anak muda bernama Mark Zuckerberg, sesuatu yang tidak pernah diputuskan oleh Islam sebagai sebab untuk produk atau perkhidmatannya diharamkan.
ASAL KEHARUSAN MUAMALAH BERSAMA YAHUDI
Terdapat begitu banyak keterangan daripada Sunnah bahawa berurusniaga dengan kaum Musyrikin dan Yahudi itu adalah harus. Misalnya di dalam sepotong hadith:
“Sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 2326, 2/841]
Al-Imam al-Bukhari juga memberikan tajuk kepada salah satu bab di dalam Sahih beliau, yang mendatangkan hadith di atas sebagai, “BAB BERJUAL BELI DENGAN KAUM MUSYRIK DAN YAHUDI”.
Dalam mengulas hal ini, al-Imam al-Nawawi membuat kesimpulannya di dalam syarahan beliau kepada Sahih Muslim dengan berkata:
“Telah ijma’ seluruh umat Islam pada keharusan urusan dengan Ahli Zimmah dan lain-lain orang Kafir selagi mana urus niaga itu tidak jatuh di dalam perkara yang haram. Akan tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka” [Sharah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 11/40]
Keharusan ini hanya berubah dengan adanya dalil lain yang mengubah keharusan itu, atau berlakunya sesuatu yang mengubah konteks hadith ini. Di dalam kes Facebook, adalah sangat penting untuk didatangkan bukti bahawa Mack Zuckerberg membiayai regim Zionis di Palestin, dan artikel di Majalah al-Islam September 2009 itu gagal mendatangkannya.
Di hujung artikel tersebut, satu lagi dakwaan dibuat pada menyatakan bahawa, “dengan klik sahaja pada Facebook kita juga turut sama menjadi pembunuh orang Palestin di Gaza“
Namun sama juga seperti sebelumnya, tiada sebarang bukti diketengahkan pada menunjukkan bagaimanakah penjanaan keuntungan Facebook disalurkan kepada regim Zionis yang menjajah bumi Palestin”.
Kita tidak mahu wujudnya satu budaya paranoid umat Islam yang melatah dengan mudah tatkala didatangi oleh kenyataan-kenyataan seperti ini. Orang Islam sangat cepat dimanipulasi sebagai agen merosakkan produk dan perkhidmatan melalui penyebaran email yang mendakwa ada benda tidak halal, ada campuran beracun dan lain-lain yang mana sebahagaiannya adalah palsu. Ia hanya membuktikan bahawa orang Islam banyak kerisauan tetapi tidak banyak berusaha untuk menyelidik bagi menghilangkan kerisauan tersebut.
Islam tidak pernah mengharamkan Muslim membeli atau menggunakan apa-apa produk dan perkhidmatan daripada non Muslim termasuk Yahudi. Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.
Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.
Facebook terbuka sebagai satu ruang untuk dimanfaatkan sebagai medium perhubungan dan penyebaran maklumat. Ia boleh berfungsi sebagai alat dakwah serta penyebaran maklumat, sebagaimana ia juga boleh berfungsi sebagai alat pemasaran. Seandainya di Facebook ada kempen yang memburuk-burukkan Islam, maka gunakanlah ruang yang ada untuk kempen memburuk-burukkan Islam itu ditukar kepada suatu bentuk promosi yang menimbulkan rasa ingin tahu manusia kepada Islam, seperti yang banyak berlaku pasca 11 September 2001.
Namun, jika umat Islam menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, penggunaan Facebook boleh menjadi haram ke atas golongan seperti ini, sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.
PANDUAN MENGATASI KETAGIHAN
Sedikit nasihat buat mereka yang mengalami ketagihan Facebook, buangkan segala aplikasi third party seperti kuiz, permainan dan yang seumpama dengannya. Gunakan Facebook sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, isikan ia dengan perbincangan, perbualan yang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.
Andaikata langkah mudah ini pun gagal mengurangkan tahap ketagihan berkenaan, tamatkan akaun Facebook dan carilah kehidupan yang lebih bermakna di luar sana.
Tepuk dada, tanyalah Iman!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunah
Tulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.
Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.
Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.
Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut. Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.
Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat. Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34). Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263). Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).
Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama. Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.
Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.
Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara. Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.
Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?! Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis; Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (riwayat al-Bukhari). Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.
Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya. Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya: Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.
Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr). Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.
Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik. Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis. Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih). Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).
Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187). Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh). Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya. Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal. Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.
Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain baginda bersabda: Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).
Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti. Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan. Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.