Monday, September 21, 2009

Catatan Raya 1430H - Satu pengalaman - 2

Jumaat

18 September 2009

Selepas sahur baru saya sempat lelapkan mata. Itupun kerana Zahidah ada menemani Ismah. Saya takut kalau saya tidak tidur langsung, nanti saya pula yang tak larat besok.

Lepas solat subuh, saya terus ke tempat Ismah. Dia masih begitu. Tiada perubahan. Kerap muntah dan mata asyik pejam. Sedih di hati saya makin menjadi-jadi. Saya cuba bertahan dan yakinkan diri, Ismah akan sembuh…

Jam 10 pagi, Dr. Khairul Azmi datang dan menerangkan keadaan Ismah. Katanya salur darah di sebelah kanan kepala Ismah pecah, dan di sebelah kiri pula membengkak. Rawatan yang boleh dibuat ialah sama ada pembedahan atau ‘coiling’ dan dia mencadangkan ‘coiling’. Saya, emak dan adik-adik sepakat untuk menerima cadangan Dr. Khairul. Beliau turut memberi penerangan yang detail tentang apa itu ‘coiling’ dan saya rasa kami semua faham dengan kebaikan dan risiko ‘coiling’. Doa kami, semoga segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Jam 11 pagi, Muhammad dan keluarganya tiba dari Perak.

Jam 12 tengah hari, Ismah dibawa ke bilik bedah. Jam 2 petang, rawatan ‘coiling’ dimulakan. Saya menunggu di luar dengan perasaan bercampur baur. Ada risau, bimbang, takut, sedih, sayu, entahlah. Sukar untuk digambarkan apa yang saya rasai selama tiga jam di luar dewan bedah itu. Berkali-kali saya memujuk hati sendiri, agar sedia terima dan redha dengan apa jua yang bakal terjadi. Air mata mencurah-curah lagi. Zahidah ada juga datang menemani saya. Emak tidak berapa kuat untuk menunggu bersama saya, maka saya biarkan saja dia berehat di surau. Rifqi pula memberitahu dia ingin keluar ke masjid untuk membawa anak-anak dan isterinya mandi dan bersalin pakaian. Saya tidak mahu ikut. Saya mahu berada di situ, di depan dewan bedah. Dekat dengan Ismah.

Jam lima petang saya nampak misi dan doktor datang menyiapkan katil Ismah. Tentu Ismah sudah boleh dibawa keluar. Saya telefon emak dan Rifqi, suruh mereka datang ke dewan bedah.

Sayunya melihat wajah Ismah waktu ini. Dengan wayar dan tiub yang berselirat di tubuhnya, matanya terpejam rapat. Tuhan saja yang tahu kebimbangan di hati saya. Dr. Khairul memanggil saya ke biliknya. Debar di dada makin kencang. Takut. Bimbang. Semuanya ada.

Alhamdulillah, Dr. Khairul menyatakan rawatan berjalan seperti yang dirancang. Beliau menunjukkan slaid filem x-ray sebelum dan selepas ‘coiling’. Semuanya ok dan Ismah selamat. Syukur saya pada Allah waktu itu tidak terhitung. Namun debar masih belum hilang. Ismah ditempatkan di ICU sementara menunggu dia sedar sepenuhnya.

Mak su, Pak Su dan Nazifah datang membawakan makanan untuk kami berbuka. Selesai berbuka puasa, saya ke tempat Ismah. Rupanya dia sudah sedar, tetapi masih lemah dan belum mampu membuka mata. Saya biarkan dia tidur dan berehat.

No comments:

Post a Comment