Friday, December 31, 2010

Salam Tahun Baru

Salam tahun baru.

2010 pun berlalu dan tidak akan kembali lagi. Pahatlah kenangan manis sepanjang tahun menjadi sejarah di ruang hati. Selitkan pengajaran dari setiap kepahitan, ambillah iktibar dari setiap kegagalan, agar 2011 yang tiba membawa erti. Kita tidak punya upaya menyekat perjalanan masa. Itu peraturan alam, ketetapan Tuhan. Kita hanya mampu menyimpan ingatan.

Sematkan azam untuk menjadi lebih baik terhadap insan, terhadap Tuhan.
Selamat tinggal 2010 dan kita tidak akan bertemu lagi.
Selamat datang 2011. Semoga sinarmu bercahaya gemilang.

Tuesday, December 28, 2010

Hati yang tergores

Maaf.

Ada waktu-waktunya kita melukai hati orang yang kita sayang tanpa kita sedari. Apa yang berlaku tempoh hari memang salah saya. Tidak sepatutnya saya berlalu begitu sahaja tanpa mengirim walau sepatah kata lewat talian telefon. Saya sebenarnya lalai, tapi bukan saya lupa padanya. Dia saudara saya, dan saya mengasihinya. Saya bukan sengaja. Sungguh!

Sekali lagi maaf.

Dia memang berkecil hati. Saya tidak salahkannya kerana saya tahu saya yang bersalah. Dia berhak berasa begitu dan saya pula, gagal memberi jawapan yang baik. Sungguh benar saya minta maaf.

Walaupun dia tidak membaca tulisan ini, jauh di sudut hati saya mengharap kemaafannya. Saya mengakui salah saya dan saya berjanji untuk tidak mengulanginya. Saya tahu dia tidak menyimpan rasa. Semoga kita kekal bersaudara hingga akhirat.


Minggu yang padat

Sepulangnya kami dari berehat di Dungun, kami kembali melalui rutin hari yang penuh dengan agenda. Saya yang selalunya santai bersendirian di rumah, melayan hobi sendiri dan seringnya tanpa sebarang gangguan tiba-tiba menjadi sentiasa sibuk setiap hari.

Hari Rabu, saya dan suami keluar membeli belah barang keperluan dapur di kedai berhampiran dan singgah juga di Pesona Anggun untuk menghantar batik-batik Terengganu yang dibeli semalam. Janji tukang jahit itu, minggu hadapan baju-baju saya itu bolehlah diambil untuk digayakan di sekolah sempena tahun baru…

Pulang ke rumah, saya menyediakan diri untuk masak makanan tengah hari. Kali ini saya sediakan kari kepala ikan, sayur pucuk paku goreng campur sotong dan ikan kerisi goreng. Selesai makan, saya berehat panjang hingga ke malam. Kebetulan malamnya suami saya dijemput bertahlil di rumah jiran, maka saya tidak perlu menyediakan makan malam. Hanya kue teow goreng saya sediakan untuk diri sendiri.

Khamis tiba tanpa mungkir. Suami saya ada mesyuarat di sekolahnya lalu saya minta dia hantarkan saya ke rumah emak untuk bersantai di sana pula. Sebenarnya, kerja di rumah sangatlah banyak. Kain yang belum berbasuh penuh bakul, yang belum berlipat juga sama. Bilik tetamu masih belum dikemas, sedangkan saya akan menerima tetamu dari KL pada Sabtu nanti. Beranda dan kawasan luar rumah juga masih begitu, belum dibersihkan sepenuhnya. Tetapi, saya rasa rindu dan teruja untuk berada bersama keluarga di rumah emak. Jika saya tidak pergi hari ini, susah pula untuk mencari masa lain nanti sedang adik-adik sudah pun mahu pulang ke negeri masing-masing.

Di rumah emak pun bukannya lama sangat, jam 1.00 tengah hari suami saya pulang dan menjemput saya, bersama-sama dua bungkus nasi untuk santapan tengah hari. Dia juga membawa khabar, esok (Jumaat) kami dijemput Kak Zan ke rumahnya, menyiapkan apa yang patut sempena majlis pertunangan anaknya.

Waktu malam tiba, kali ini bersama temujanji suami saya dengan tukang urutnya. Jam 8 malam, tukang urut tiba untuk mengurut suami dan saya ke dapur menyediakan makan malam. Saya sediakan ikan kerisi goreng, ayam halia dan sayur petola masak air campur udang. Jam 8.40 malam, sahabat kami dari Kuala Krai menelefon dan memberitahu mereka dalam perjalanan ke rumah kami. Jam 9.15 mereka tiba dan berada di sini hingga hampir 11 malam. Mujurlah makan malam yang saya sediakan itu mencukupi untuk mereka sekeluarga juga.

Pagi Jumaat, kami berdua ke rumah Kak Zan dan saya berada di sana hingga petang. Majlis berjalan baik dan saya pulang pada jam lima. Hmm, rumah belum berkemas juga.

Menjelang malam, saya berhasrat untuk mengemas rumah kerana esok pagi sahabat-sahabat saya akan tiba. Apa pun, rancangan tidak menjadi kerana suami saya mengajak saya menemannya ke klinik di Ketereh. Jam 8.00 kami pergi, jam 10.30 baru balik. Mata mengantuk, tetapi saya mesti kemaskan juga bilik tetamu, bilik air dan bahagian dapur yang bersepah itu. Lalu bekerjalah saya dalam kemengantukan sebegitu.

Sabtu, jam 10.15 pagi tiga orang sahabat saya pun tiba seperti yang dijanjikan. Saya sudah siapkan mihun goreng untuk mereka. Seronok berbual sambil makan, tidak sedar jam menghampiri 12 tengah hari. Kami keluar untuk makan tengah hari di KB, bersama dua orang lagi sahabat kami yang menanti di sana. Seterusnya, kami meronda bandar KB, dan menghantar mereka ke airport pada jam 6 petang. Dua orang lagi sahabat saya menghantar saya pulang ke rumah dan meneruskan agenda berbual kami hingga jam 10 malam.

Ahad, saya kira saya bakal bersendirian kembali tetapi ia tidak begitu. Jam 10 pagi, kakak ipar saya datang bersama empat orang anaknya. Seronok melayan keletah Afnan, Aisyah, Ain dan Anis yang jarang-jarang dapat berjumpa. Jam 11.30, mereka ingin pulang tetapi Afnan mahu terus bersama saya. Emaknya membenarkan, dan meminta Ain dan Aisyah turut bersama. Lalu mereka bertiga menemani saya di rumah sehingga jam 5 petang.

Apabila mereka pulang, suami menerima panggilan telefon dari sahabatnya yang tinggal di Dungun. Dia dan keluarganya dalam perjalanan dari Penang dan ingin singgah di rumah kami. Jam 6.45 petang mereka tiba. Saya sediakan karipap goreng dan kuih tradisional Kelantan – jala emas dan kaya – yang saya beli di bandar semalam. Selepas maghrib, kami bawa mereka ke rumah Kak Zan dan kami dihidangkan dengan sate dan nasi himpit. Jam 9.30 malam, mereka pulang ke Dungun.

Isnin, saya dan suami keluar ke kedai dan ke pejabat pos pada jam 9.30 pagi. Tiba di rumah semula pada jam 10.45 pagi. Saya terus masuk dapur untuk masak tengah hari – ayam halia, ikan bawal pedas, pucuk paku celur, ikan tawar dan budu. Jam 12 tengah hari siap masak dan kami terus makan. Jam 12.45, keluar ke rumah mek untuk menghantar adik ipar saya ke airport. Di sana, suami menerima panggilan daripada sahabatnya yang tinggal di Cameron Highland. Dia dan isterinya berada di Machang, dan ingin datang ke rumah kami petang nanti.

Sebaik selesai urusan di airport, saya dan suami bergegas pulang. Tiba di rumah, dengan kadar yang segera saya siapkan mi goreng dan karipap goreng untuk dihidangkan pada mereka nanti. Mujurlah sempat siap. Mereka tiba pada jam 3.30 petang dan pulang pada jam 5 petang.

Malam, selepas Isya saya dan suami ke rumah saudara kami yang juga jiran kami untuk majlis solat hajat. Kami pulang jam 10.20 malam.




Thursday, December 23, 2010

Keputusan PMR 2010

Hari ini 23hb Disember 2010, keputusan PMR diumumkan. Ramai yang berdebar-debar, dari calon PMR, ibu bapa hinggalah guru-guru.

SMK Kg Chengal (SMKKC), sekolah tempat saya mengajar sekarang dibuka pada tahun 2006. Kali pertama pelajar-pelajarnya menduduki PMR ialah pada tahun 2008. Apabila keputusan diumumkan, 18 orang pelajar berjaya mendapat semua A. Ia satu rekod baik kerana sekolah-sekolah sekitar tiada yang dapat menandingi pencapaian SMKKC. waktu itu Nama SMKKC harum semerbak secara tiba-tiba. Ramai ibu bapa berhajat menghantar anak mereka ke sekolah ini kerana pencapaian yang sebaik itu.

2009, kali kedua PMR berlangsung di SMKKC dan keputusan yang diperoleh agak mengecewakan. Hanya 2 orang pelajar mendapat semua A dan ia jauh ketinggalan dengan sekolah-sekolah sekitar. Bukan hanya ibu bapa, guru-guru juga berasa terhantuk dengan keputusan ini. Mujurlah kepercayaan ibu bapa pada sekolah tidak pudar. Masih lagi mereka berebut-rebut menghantar anak mereka ke sini. Malah, ada yang datang ke rumah meminta bantuan saya menempatkan anak mereka di SMKKC. Apalah daya saya yang ada kerana penempatan di SMKKC dibuat oleh pihak PPD, bukan pihak sekolah.

Hari ini debaran di hati guru-guru SMKKC tiada terkata. Sebaik keputusan diterima, syukur pada Allah melimpah ruah. 19 orang pelajar berjaya mendapat semua A dan ini mengatasi rekod 2008. Kali ini kami mampu bernafas lega. Alhamdulillah.

Kesimpulannya, keputusan yang baik dalam apa-apa peperiksaan pun adalah terletak pada usaha yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak - pelajar, guru dan ibu bapa. Saya rasa sedih apabila kedengaran suara-suara sumbang menyalahkan guru apabila keputusan tidak seperti disasarkan. Kata mereka, "cikgu tak bersungguh!" apabila anak mereka tidak mendapat keputusan baik. Kasihan guru. Apabila keputusan jatuh, guru yang tidak bersungguh. Jika keputusan baik pula, anak mereka yang bijak.

Tak mengapalah, kami redha...

Wednesday, December 22, 2010

Mencari Kerehatan di Dungun

Jam 9.00 pagi Isnin 20hb Disember, saya dan suami bertolak ke Terengganu. Tujuan hanyalah sekadar berjalan-jalan makan angin sambil mencari batik Terengganu sehelai dua. Perjalanan memang nyaman kerana hujan di beberapa tempat. Kami sebenarnya ingin menuju ke Dungun, bandar kecil di hujung negeri Terengganu yang belum pernah kami kunjungi. Kenapa Dungun ya? Tiada alasan atau sebab, mungkin untuk menambah koleksi pengalaman merantau di tempat orang.

Jam 12.40 tengah hari kami pun tiba di bandar Dungun. Ia tidak sebesar mana tetapi serba lengkap juga. Kami menuju ke hotel UiTM untuk menginap di sana tetapi malang nasib kami, bilik sudah penuh. Hmm, kami tidak berapa tahu hotel-hotel lain tetapi dengan keyakinan diri kami berpatah balik ke bandar, dan mata kami meliar membaca setiap papan tanda di tepi jalan.

Kami terpandang papan tanda hotel Mayang Sari dan segera mengikut arah yang diberikan. Kira-kira jam 1.30, kami pun tiba di hotel tersebut dan disambut mesra pelayan tetamunya. Kami menginap di bilik C2, Water Villa yang cuma berharga RM75.00 untuk satu malam beserta sarapan.

Selesai solat, kami keluar mencari kedai makan. Suami saya berkenan untuk singgah di Restoran Saujana di hadapan Hospital Daerah Dungun dan kami menikmati hidangan Nasi Ayam Saujana yang boleh tahan sedap rasanya, dan harganya pun murah, cuma RM3.80.

Sambil menanti hidangan tiba, suami saya menghubungi sahabat sebiliknya sewaktu di Mekah baru-baru ini iaitu Hj Ruslan dan menjemputnya datang ke restoran. Tidak lama kemudian, Hj Ruslan tiba dengan kereta Citra kelabunya.

Selesai makan, Hj Ruslan membawa kami ke rumahnya untuk berjumpa isterinya, Hjh Zaharah dan anak-anaknya. Apabila mengetahui hajat saya ingin membeli batik, beliau dan isteri membawa saya dan suami ke kilang batik berhampiran. Saya beli sepasang kain batik berharga RM170.00 dan sehelai kaftan berharga RM25.00.

Jam 5.00 petang kami pulang ke Mayang Sari untuk berehat seketika. Selepas solat, kami keluar pula. Kali ini kami keluar bersama-sama dengan keluarga Hj Ruslan dan keluarga Hj Razali, iaitu seorang lagi sahabat sebilik suami saya ketika di Mekah. Hj Razali datang bersama isterinya Hjh Rohani dan tiga orang anaknya.

Kami menuju ke restoran Batu 50 dan menikmati makan malam di situ. Banyak juga Hj Ruslan memesan makanan - tom yam campur, ikan tiga rasa, kerabu sotong, kailan ikan masin, ayam halia, telur dadar dan sotong celup tepung. Kami makan dengan berselera dan sungguh kenyang sekali. Terima kasih banyak-banyak Tuan Haji kerana sudi belanja kami.

Selesai makan, kami berkunjung ke rumah Hj Razali pula yang terletak di belakang hospital. Lama juga berbual-bual di rumahnya sambil menikmati kopi Radix, tapai pulut dan buah limau. Jam 11.00 malam baru kami pulang.

Esoknya, selesai sarapan di restoran Sari Bayu, kami bertolak pulang. Kami tiba di bandar Kuala Terengganu pada jam 10.00 pagi dan singgah di Pasar Payang untuk mencari batik lagi. Kali ini saya berkenan dengan tiga pasang kain batik yang masing-masing berharga RM190, RM200 dan RM230. Risau juga saya kalau-kalau suami membebel kerana berbelanja sebegitu rupa, tetapi suami saya seperti memahami keinginan saya dan membiarkan sahaja saya membeli belah tanpa banyak cerita. Sebagai hadiah, saya belikan sehelai kemeja batik berharga RM120 buatnya.

Jam 11.30 pagi, kami bertolak pulang ke Kota Bharu. Dalam perjalanan kami singgah di Batu Rakit untuk membeli keropok lekor sebagai buah tangan kepada keluarga dan jiran, dan singgah makan tengah hari di gerai makan di Penarek. Kami makan banyak juga, nasi putih dengan gulai ikan tongkol, sayur lemak, daging goreng dan budu. Air pula teh o ais. Harganya? Cuma RM11.00! Murah, bukan?

Lebih kurang jam 2.45 petang, kami tiba di Batu 8. Alhamdulillah, percutian kami walaupun cuma satu hari, cukup memberi kepuasan diri.

Saturday, December 18, 2010

Makanan di Mekah

Sebelum ke Mekah lagi, kami sudah dimaklumkan oleh banyak pihak yang makanan pakej haji Tabung Haji (Muassasah) diagih secara bungkus, diberi dua kali sehari iaitu tengah hari dan malam. Makan pagi beli sendiri, tapi teh dan gula disediakan.

Saya sebenarnya kurang berkira sangat bab makan ni. Tekak saya mudah menerima makanan. Orang lain kata tak sedap pun saya selalunya boleh habiskan. Arwah ayah pernah kata, saya ni nasi dengan kicap pun lalu, maklumlah budak asrama. Emak pula cakap, senang nak bela orang macam saya ni, semua benda boleh makan!

Hmm, di Madinah dan Mekah pun begitu. Nasi yang disediakan bagi saya boleh tahan juga rasanya. Jika lauk ayam atau ikan saya selalu makan sampai habis. Tetapi bila lauk daging, kurang lalu sedikit. Di Malaysia pun saya kurang makan daging.

Semasa di Arafah dan Mina, makanan disediakan oleh pihak Muassasah, jadi rasanya berbeza sedikit daripada yang disediakan oleh pihak Tabung Haji. Saya yang sentiasa berselera ini pun tiba-tiba jadi tidak lalu. Mungkin kerana saya diserang batuk dan selesema semasa di sana menyebabkan kurang selera makan.

Apabila kembali ke Mekah, selera saya pulih semula. Alhamdulillah. Tetapi tidak lama, kerana beberapa hari sebelum pulang ke Malaysia saya demam teruk. Mujurlah ia tidak berlarutan.

Setiba di Malaysia, ramai yang menegur saya kurus. Hmm, ini sudah bagus! Saya teruja juga hendak mengetahui berat badan terkini saya. Kebetulan Selasa baru-baru ini saya ada temujanji di HUSM, jadi sempatlah saya menimbang berat badan saya.

Tahu berapa? 76 kg! Itu berat badan saya 5-6 tahun yang lalu, sewaktu masih di Kuala Krai. Sejak berpindah balik ke Kota Bharu, berat saya melebihi 80kg malah pernah menjangkau 86 kg pada 2007. Saya rasa seronok sangat tetapi saya tidak tahu sampai bila berat ini bertahan. Tambah-tambah lagi bila berada di rumah sendiri ini, kerja saya asyik makan sahaja!

Berbalik kepada cerita makanan di Mekah, pada saya ia tidaklah seteruk mana. Beberapa minggu sebelum saya bertolak ke Mekah, saya terbaca satu artikel yang disiarkan dalam akhbar tahun lepas yang mengkritik keterlaluan makanan Tabung Haji sehingga saya jadi bimbang. Rupanya ia tidak begitu. Mungkin selera manusia berbeza-beza, tetapi bagi saya ia tetap sesuai dengan kita jemaah haji Malaysia.

Friday, December 17, 2010

Demam

Sewaktu di Mekah baru-baru ini saya mengalami demam yang teruk. Sebelum itu saya hanya mengalami batuk sahaja, tetapi bermula Khamis 2 Disember, saya mula berasa tidak sedap badan. Saya telan panadol, kebah sebentar, kemudian demam balik. Malam Sabtu adalah kemuncak demam saya. Sejuk yang menikam hingga ke tulang hitam, saya menggigil dan tidak dapat tidur lena. Terjaga pagi hari, tekak saya perit amat. Suami belikan nasi goreng dan mihun, saya cuma makan dua sudu sahaja. Itu pun kerana takut perut terlalu kosong. Makanan yang ditelan tiada rasa langsung. Semua tawar. Hidung tersumbat dan tidak dapat menghidu. Tekak perit dan pedih. Saya terlantar seharian. Jam 4.30 petang, suami temankan saya ke klinik. Doktor berikan panadol, antibiotik, ubat selesema dan multivitamin. Ubat batuk sudah habis di klinik Tabung Haji! Dua, tiga hari seterusnya saya masih tidak mampu bergerak banyak dan tidak lalu makan. Kebetulan saya uzur, maka tidaklah perlu saya keluar ke masjid.

Sehinggalah hari Isnin 6 Disember, iaitu hari terakhir saya di Mekah. Saya berdoa agar uzur saya segera selesai kerana saya ingin sekali bersolat dan bertawaf di masjidilharam sebelum pulang ke Malaysia. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana terkilannya saya jika tidak dapat ke sana.

Alhamdulillah, Allah mengizinkannya. Saya suci pada waktu maghrib dan sempat bersolat di masjidilharam sebelum bertawaf wada’ bersama suami. Syukur sungguh rasanya kerana diberi Allah kesempatan itu. Demam saya sudah baik sedikit, walaupun badan masih lemah.

Kami keluar ke masjid untuk tawaf wada’ pada jam 11.00 malam. Tiba di masjid, saya solat sunat tetapi tidak sempat lama kerana tiba-tiba perut saya memulas. Bukan sekali bahkan berkali-kali. Terpaksalah suami saya berulang alik temankan saya ke tandas. Dua kali kami ke sana, perut saya masih belum lega. Akhirnya saya tawakkal untuk meneruskan tawaf walaupun kesakitan. Kasihan suami saya yang terpaksa melayan karenah saya tetapi dia sangat sabar, sedikit pun tidak merungut walaupun berulang alik ke tandas itu bukanlah dekat!

Jam 12.35 malam kami mulakan tawaf kami. Alhamdulillah perut saya tidak sakit lagi dan kami selesai tawaf dalam tempoh 25 minit sahaja kerana orang tidak seramai mana. Sayu di hati kerana ini tawaf terakhir kami buat musim ini. Jam 1 pagi kami berjalan pulang ke hotel. Di hotel perut saya kembali memulas!
Jam 2.30 pagi kami turun ke lobi dan menaiki bas untuk ke Jeddah. Jam 3.00 pagi bas bertolak, dan air mata saya bercucuran lagi. Selamat tinggal Mekah. Saya akan merinduimu… semoga nanti saya punya kesempatan untuk kembali menyusurimu. Tunggulah saya!!

Kami kemudian tiba di Madinatul Hujjaj, Jeddah pada jam 5.00 pagi. Kami berehat di sana sehingga dibawa ke airport pada 8.30 malam, dan bertolak ke Malaysia pada jam 1.30 pagi Rabu 8 Disember.

Dalam pesawat, saya sangat tidak selesa. Batuk yang tidak henti-henti, ditambah dengan kepala yang sakit dan demam yang masih bersisa. Lapan jam setengah terasa sangat lama. Pun saya cuba bersabar dan bertahan. Ini ujian buat saya.

Hari ini, sudah sembilan hari saya pulang ke Malaysia. Dua, tiga hari pertama saya masih lagi penat dan lemah. Jiran, rakan dan saudara pula ramai yang datang bertandang, menziarah kami yang baru pulang ini. Biasalah itu, mengambil berkat kata mereka. Kami terima dengan hati terbuka dan menghulur pula sedikit buah tangan sebelum mereka pulang, sebagai kenang-kenangan. Bukan apa pun, sehelai sejadah atau sebiji kopiah sahaja.

Apabila tiada tetamu, saya terbaring lesu. Badan terasa penat dan tekak sakit. Suami ajak ke klinik tetapi saya tidak mahu. Saya cuma minta dia belikan ubat batuk sahaja. Batuk saya sangat teruk. Belum pernah dalam hidup saya mengalami batuk sebegini. Rasa sakit sampai ke kepala. Mujurlah sekarang sudah semakin berkurangan.

Alhamdulillah, saya hari ini sudah semakin sihat. Rumah pun sudah dikemas sekadar termampu. Tetamu yang berkunjung sudah berkurangan. Saya rasa ingin berehat di tempat peranginan pula. Insya Allah esok, Sabtu 18 Disember saya dan suami akan bertolak ke Tanjung Jara, Dungun dan berehat di sana barang semalam dua.
Semoga pulang nanti saya mendapat semangat baru untuk meneruskan rutin kehidupan.

Thursday, December 16, 2010

Manusia Berubah

Dulu lain, sekarang lain. Tidak perlu sebab, tidak perlu punca, manusia boleh berubah bila-bila masa.

Berubah itu biasa. Semua perkara di dalam dunia ini tidak akan dapat lari dari perubahan. Baik manusia, bangunan, pokok-pokok atau apa saja. Semua berubah. Cuma yang berbeza ialah perubahan itu. Ada yang negatif menjadi positif, ada pula sebaliknya.

Saya merenung diri saya. Saya yang dulu berbeza dengan saya yang sekarang. Dulu saya simple dan kurang berfikir sebelum bertindak. Dulu saya buat perkara yang saya ingin buat tanpa berfikir panjang. Dulu saya hanya fikir diri saya, jarang fikir orang lain.

Sekarang? Sekarang saya ingin berubah. Saya mahu menjadi saya yang lebih baik. Saya yang lebih berwaspada dalam segenap hal. Saya yang mendahulukan niat yang baik, saya yang ikhlas dan saya yang sentiasa bersangka baik pada semua orang. Insya Allah, saya akan cuba menjadi sebegitu demi masa depan dan akhirat.

Apabila saya melihat manusia lain berubah, saya tidak layak menghakimi mereka. Walaupun ada waktunya saya tertanya-tanya juga, "eh! Dulu dia tidak begitu, kenapa sekarang jadi begini?" tetapi biarlah ia menjadi rahsia Tuhan.

Manusia berubah. Saya juga berubah.

Wednesday, December 15, 2010

Tabung Haji vs Pakej Swasta

Awalnya dahulu, kami berhasrat untuk menunaikan haji melalui pakej swasta. Kata orang, ia lebih selesa dan banyak kemudahan berbanding pakej Muassasah. Tetapi apabila nama kami terpilih sebagai jemaah haji 1431H, kami mula berkira-kira. Ditambah lagi dengan kata-kata pegawai TH yang berurusan dengan kami, "Dah terpilih ni tak payahlah ikut pakej ya.."

Kebanyakan jemaah yang ke Mekah melalui pakej swasta adalah disebabkan nama mereka belum terpilih dalam senarai jemaah haji tahun tersebut, lalu mereka menggunakan kuota pakej swasta kerana enggan menunggu lama.

Setelah berbincang, saya dan suami sepakat untuk mengambil pakej Muassasah sahaja. Rasionalnya, kami masih muda dan kuat, jika menginap jauh pun tidak terlalu membebankan. Bab makan kami tidak kisah sangat kerana boleh dibeli di mana-mana. Perbezaan harga juga menjadi salah satu sebab. Jika setakat berbeza dari empat ke lima ribu rasanya masih berbaloi. Tetapi maklumat yang kami dapat, pakej swasta termurah ialah RM18 000, berbeza RM8 000 dengan pakej Muassasah. Rasa sayang juga untuk menambah duit sebanyak itu yang apabila dikali dua, sudah menjadi RM16 000. Tidak mengapalah, kami muktamad meneruskan dengan pakej Muassasah yang cuma RM9 980 seorang.

Apabila tiba di Madinah, kami menginap di hotel yang sama dengan jemaah yang datang dengan pakej TH Travel. Apa yang membezakan kami cuma makanan. Mereka makan secara buffet di restoran hotel, kami pula mendapat makanan yang dibungkus. Rasanya itu sahaja. Bilik kami sama, jarak ke masjid juga sama.

Di Mekah barulah kami dapat rasakan perbezaan dengan jemaah pakej ini. Selain makanan, perbezaannya ialah kami ditempatkan di hotel yang agak jauh dari masjid, sekitar 700 - 800 meter. Walaupun begitu, bukan semua jemaah pakej bernasib baik kerana ada yang ditempatkan sedikit jauh dari masjid. Sebenarnya bagi orang yang masih muda dan kuat, jarak 700 - 800 meter bukanlah jauh mana. Apatah lagi bila berjalan beramai-ramai, sambil meronda kedai pula....

Di Arafah dan Mina pula, semua jemaah dilayan sama oleh pihak Muassasah. Ketika ini TH dan syarikat haji swasta tidak punya banyak peranan kerana pihak Muassasah mengambil alih. Dari khemah hinggalah makanan, kami dilayan serupa selama lima hari.

Jadi pada pandangan saya, sekiranya nama telah terpilih sebagai jemaah haji, tidak perlulah bersusah-susah mencari pakej swasta kerana dengan Tabung Haji ini pun kami tidak rasa sesukar mana. Lainlah kalau belum terpilih dan ingin segera ke Mekah, bolehlah menggunakan pakej swasta ini.

Apa yang dapat saya simpulkan, saya berpuas hati dengan apa yang saya dapat daripada pihak TH. Biasalah, ada sedikit lompang di sana sini tetapi ia berbaloi dengan apa yang kami bayar. Syabas TH, semoga kecemerlangan ini berterusan.

Original?

Setiap kali saya keluar membeli belah bersama suami di kedai-kedai di Mekah, kami sering ditanya dari negara mana. Bila kami jawab, "Malaysia", dengan dahi berkerut peniaga itu akan bertanya lagi, "Original?" Mulanya kami tidak faham apa maksudnya. Rupanya dia bertanya asal keturunan kami. Kami tetap menjawab "Malaysia" tapi ditanya lagi, "father? mother"? Hmm, dia kurang puas hati hingga mahu tahu keturunan ibu bapa kami pula! Kami tetap berkata "Malaysia". Akhirnya dia sendiri menjawab, "No, not original Malaysia. You (dituju pada suami saya) India and you (dituju pada saya pula) Pakistan!"

Sewaktu saya menunggu suami di luar kedai, seorang jemaah wanita menyapa saya, "Pakistan?" Saya senyum saja, dan menjawab, "No, Malaysia." Dia mengangguk dan menyatakan yang dia dari Libya. Hmm..

Bukan sekali atau dua kali, tetapi berkali-kali ia berlaku begitu. Aduh! Paras kami tidak kemelayuan rupanya hingga menerbitkan kekeliruan di kalangan mereka. Tak mengapalah, kami bangga dengan rupa kami ini... hahaha!!!

Tuesday, December 14, 2010

Kenangan Madinah Makkah 1431H

Madinah, sebuah bandar yang nyaman dan tenang. Kami tiba di lapangan terbang Madinah sekitar jam 2.00 pagi waktu tempatan, Selasa 19/10/2010. Lama menanti urusan imigresen yang selesai pada sekitar jam 5 pagi. Seterusnya kami menaiki bas ke hotel , dan perjalanan mengambil masa hampir sejam.

Kalut juga kami mencari bilik kerana tersilap bangunan. Mujur ada petugas TH yang membantu kami menaiki lif yang betul dan alhamdulillah, akhirnya kami tiba juga di bilik kami di hotel Movenpick itu.

Lapan hari menyusur waktu di kota Madinah, rasa tidak puas. Indah sekali perasaan di sini. Aura nyaman dan tenangnya menyelinap ke segenap ruang rasa. Tiada tekanan, tiada kesukaran. Saban waktu solat kami turun ke masjid Nabawi yang hanya 50 meter dari hotel kami. Manusia memang sangat ramai. Jika kami lambat sedikit, kami terpaksa bersolat di luar masjid. Inilah pengalaman pertama saya berada dalam lautan manusia yang hampir jutaan jumlahnya.

Hari ketujuh di Madinah, kami melakukan ziarah wada’. Sayunya hati untuk meninggalkan ketenangan kota ini, meninggalkan Raudhah dan Makam Rasulullah. Doa tidak putus-putus dipanjatkan pada ilahi agar memberi lagi ruang dan peluang buat saya untuk ke mari suatu hari nanti.

Rabu, 27/10/2010 jam 8.45 pagi, bas kami bergerak ke Mekah. Selamat tinggal Madinah. Semoga kita bertemu lagi. Kami berihram umrah hari ini kerana kami bakal melaksanakan haji tamattu’.

Jam 5.30 petang, kami tiba di kota Mekah. Kota yang menggamit pelbagai rasa. Menginap di Abraj Reman mulanya mendatangkan sedikit rasa janggal di hati namun kami cuba menyesuaikan diri dan redha dengan ketetapan ini. Lama-lama kami betah juga.

Jam 8.30 malam, taklimat tawaf di lobi oleh petugas TH dan kami dibawa oleh mutawwif ke masjidilharam untuk menyelesaikan tawaf, saie dan bercukur. Jarak 750m bukanlah jauh mana, rasanya sedang-sedang elok buat saya. Hanya 15 minit berjalan kaki.
Kali pertama memasuki masjidilharam melalui pintu Bani Syaibah (Babussalam) dan dibawa ke dataran ka’abah menerbitkan rasa sayu yang tidak terucap. Demi terpandang Ka’abah di depan mata, air mata tanpa dipaksa mengalir di pipi. Ya Allah! Betapa kukagumi kebesaran-Mu dan kusyukuri rahmat-Mu…

Kami bertawaf, bersaie dan bergunting. Selesailah umrah wajib kami sekitar jam 11.30 malam. Alhamdulillah.

Hari-hari seterusnya kami lalui dengan rutin yang serupa. Bersolat di masjidilharam lima waktu sehari. Subuh kami turun jam 3.30 pagi. Zohor pula sekitar 11.00 pagi, Asar 2.30 petang dan Maghrib kami turun pada 5.00 petang dan terus tunggu Isya’. Kami tidur awal setiap malam, sekitar jam 9.00 malam.

Hari wukuf jatuh pada 15/11/2010 iaitu hari Isnin. Kami ke Arafah pada Ahad 14/11/2010 jam 12.15 tengah hari dan tiba sekitar jam 2.00. Berada dalam khemah Arafah sememangnya satu pengalaman yang manis. Alhamdulillah tiada sebarang kesulitan yang timbul dan kami dapat melaksanakan ibadah wukuf dengan lancar.

Sebaik selesai solat maghrib dan Isya’ secara jamak tamam pada malam Selasa 16/11/2010, kami bertolak ke Muzdalifah. Waktu inilah saya mula rasa sakit tekak dan batuk. Di Muzdalifah kami Cuma berehat dan mengutip batu. Jam 1.30 pagi, bas tiba untuk membawa kami ke Mina pula.

Kami tiba di Mina pada jam 3.00 pagi dan dibawa melontar Jamrah Kubra pada jam 4.00 pagi. Walaupun penat, kami gagahi jua untuk berjalan kaki sejauh 6km pergi balik. Memang mencabar tetapi ia pengalaman bermakna. Jam 6.00 pagi kami tiba di khemah semula.

Tiga hari seterusnya, kami berulang alik dari khemah ke jamrah setiap hari untuk menyempurnakan lontaran. Alhamdulillah, kami dapat melaksanakan rukun dan wajib haji dengan lancar, walaupun kesihatan sudah mula goyah. Batuk saya makin teruk, sehingga sakit kepala dan badan. Suami pula mula demam dan tidak lalu makan. Kami terima ujian ini dengan penuh kesyukuran kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Hari Jumaat 19/11/2010 kami pulang ke Mekah dan tiba di hotel sekitar jam 12.30 tengah hari. Kami selesaikan ibadah tawaf dan saie pada jam 2.00 pagi Sabtu 20/11/2010. Alhamdulillah, sempurnalah haji kami tahun ini dan semoga Allah menerima haji kami ini.

Sementara menanti hari pulang ke Malaysia, kami teruskan rutin kami bersolat di masjidilharam, berumrah dan bertawaf sunat. Sehinggalah hari terakhir kami di bumi Mekah, iaitu Isnin 6/12/2010 kami melakukan tawaf wada’. Jam 3.00 pagi 7/12/2010 kami menaiki bas ke Jeddah dan berehat di Madinatul Hujjaj sehinggalah kami dibawa ke lapangan terbang Jeddah pada 8.30 malam tersebut. Penerbangan kami berlepas pada 1.30 pagi 8/12/2010 dan kami selamat tiba di lapangan terbang Kuala Terengganu pada 2.56 petang, hari yang sama.