Tuesday, December 14, 2010

Kenangan Madinah Makkah 1431H

Madinah, sebuah bandar yang nyaman dan tenang. Kami tiba di lapangan terbang Madinah sekitar jam 2.00 pagi waktu tempatan, Selasa 19/10/2010. Lama menanti urusan imigresen yang selesai pada sekitar jam 5 pagi. Seterusnya kami menaiki bas ke hotel , dan perjalanan mengambil masa hampir sejam.

Kalut juga kami mencari bilik kerana tersilap bangunan. Mujur ada petugas TH yang membantu kami menaiki lif yang betul dan alhamdulillah, akhirnya kami tiba juga di bilik kami di hotel Movenpick itu.

Lapan hari menyusur waktu di kota Madinah, rasa tidak puas. Indah sekali perasaan di sini. Aura nyaman dan tenangnya menyelinap ke segenap ruang rasa. Tiada tekanan, tiada kesukaran. Saban waktu solat kami turun ke masjid Nabawi yang hanya 50 meter dari hotel kami. Manusia memang sangat ramai. Jika kami lambat sedikit, kami terpaksa bersolat di luar masjid. Inilah pengalaman pertama saya berada dalam lautan manusia yang hampir jutaan jumlahnya.

Hari ketujuh di Madinah, kami melakukan ziarah wada’. Sayunya hati untuk meninggalkan ketenangan kota ini, meninggalkan Raudhah dan Makam Rasulullah. Doa tidak putus-putus dipanjatkan pada ilahi agar memberi lagi ruang dan peluang buat saya untuk ke mari suatu hari nanti.

Rabu, 27/10/2010 jam 8.45 pagi, bas kami bergerak ke Mekah. Selamat tinggal Madinah. Semoga kita bertemu lagi. Kami berihram umrah hari ini kerana kami bakal melaksanakan haji tamattu’.

Jam 5.30 petang, kami tiba di kota Mekah. Kota yang menggamit pelbagai rasa. Menginap di Abraj Reman mulanya mendatangkan sedikit rasa janggal di hati namun kami cuba menyesuaikan diri dan redha dengan ketetapan ini. Lama-lama kami betah juga.

Jam 8.30 malam, taklimat tawaf di lobi oleh petugas TH dan kami dibawa oleh mutawwif ke masjidilharam untuk menyelesaikan tawaf, saie dan bercukur. Jarak 750m bukanlah jauh mana, rasanya sedang-sedang elok buat saya. Hanya 15 minit berjalan kaki.
Kali pertama memasuki masjidilharam melalui pintu Bani Syaibah (Babussalam) dan dibawa ke dataran ka’abah menerbitkan rasa sayu yang tidak terucap. Demi terpandang Ka’abah di depan mata, air mata tanpa dipaksa mengalir di pipi. Ya Allah! Betapa kukagumi kebesaran-Mu dan kusyukuri rahmat-Mu…

Kami bertawaf, bersaie dan bergunting. Selesailah umrah wajib kami sekitar jam 11.30 malam. Alhamdulillah.

Hari-hari seterusnya kami lalui dengan rutin yang serupa. Bersolat di masjidilharam lima waktu sehari. Subuh kami turun jam 3.30 pagi. Zohor pula sekitar 11.00 pagi, Asar 2.30 petang dan Maghrib kami turun pada 5.00 petang dan terus tunggu Isya’. Kami tidur awal setiap malam, sekitar jam 9.00 malam.

Hari wukuf jatuh pada 15/11/2010 iaitu hari Isnin. Kami ke Arafah pada Ahad 14/11/2010 jam 12.15 tengah hari dan tiba sekitar jam 2.00. Berada dalam khemah Arafah sememangnya satu pengalaman yang manis. Alhamdulillah tiada sebarang kesulitan yang timbul dan kami dapat melaksanakan ibadah wukuf dengan lancar.

Sebaik selesai solat maghrib dan Isya’ secara jamak tamam pada malam Selasa 16/11/2010, kami bertolak ke Muzdalifah. Waktu inilah saya mula rasa sakit tekak dan batuk. Di Muzdalifah kami Cuma berehat dan mengutip batu. Jam 1.30 pagi, bas tiba untuk membawa kami ke Mina pula.

Kami tiba di Mina pada jam 3.00 pagi dan dibawa melontar Jamrah Kubra pada jam 4.00 pagi. Walaupun penat, kami gagahi jua untuk berjalan kaki sejauh 6km pergi balik. Memang mencabar tetapi ia pengalaman bermakna. Jam 6.00 pagi kami tiba di khemah semula.

Tiga hari seterusnya, kami berulang alik dari khemah ke jamrah setiap hari untuk menyempurnakan lontaran. Alhamdulillah, kami dapat melaksanakan rukun dan wajib haji dengan lancar, walaupun kesihatan sudah mula goyah. Batuk saya makin teruk, sehingga sakit kepala dan badan. Suami pula mula demam dan tidak lalu makan. Kami terima ujian ini dengan penuh kesyukuran kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Hari Jumaat 19/11/2010 kami pulang ke Mekah dan tiba di hotel sekitar jam 12.30 tengah hari. Kami selesaikan ibadah tawaf dan saie pada jam 2.00 pagi Sabtu 20/11/2010. Alhamdulillah, sempurnalah haji kami tahun ini dan semoga Allah menerima haji kami ini.

Sementara menanti hari pulang ke Malaysia, kami teruskan rutin kami bersolat di masjidilharam, berumrah dan bertawaf sunat. Sehinggalah hari terakhir kami di bumi Mekah, iaitu Isnin 6/12/2010 kami melakukan tawaf wada’. Jam 3.00 pagi 7/12/2010 kami menaiki bas ke Jeddah dan berehat di Madinatul Hujjaj sehinggalah kami dibawa ke lapangan terbang Jeddah pada 8.30 malam tersebut. Penerbangan kami berlepas pada 1.30 pagi 8/12/2010 dan kami selamat tiba di lapangan terbang Kuala Terengganu pada 2.56 petang, hari yang sama.

No comments:

Post a Comment