Thursday, January 13, 2011

Karamah Pulang Dari Makkah

(Petikan dari Majalah Solusi Isu # 27)

Pulang dari masjid malam itu perasaan saya berkecamuk pelbagai rasa. Fikiran ligat berputar mencari suatu pencerahan. Masih terngiang-ngiang apa yang dibualkan oleh sekumpulan ahli kariah yang baru pulang dari Makkah.

"Banyak keajaiban berlaku semasa aku di sana. Kau macam mana? Berapa kali dapat kucup Hajarul Aswad?"

"Aku dapat sekali sahaja. Itu pun puas berasak-asak dan bertolakan. Kalau tidak, tak merasalah. Aku dengar kau dapat banyak kali. Betulkah?"

"Dah rezeki aku. Bila aku bergerak sahaja menujunya, macam ada sahaja orang yang menolak aku dari belakang. Aku teruskan saja. Mudah. Kucup berapa kali yang aku hendak." Jawabnya agak bangga.

Tak lama kemudian dia menambah, "Insya Allah, tahun hadapan aku akan sekali lagi ke sana."

Mereka berdua memang kaya. Saya tidak berapa pasti apa profesionnya. Sekali sekala sahaja mereka muncul di masjid. Tidak sempat mengenali lebih dekat. Namun perbualan yang singkat itu mengingatkan pengalaman sendiri bagaimana saya melihat "pergaduhan" di tepi Kaabah akibat berebut-rebut untuk mencium batu hitam itu.

Dalam hati saya tertanya-tanya, bagaimana agaknya jika golongan Muhajirin dan Ansar melihat perlakuan umat yang menggadaikan soal ukhuwwah yang wajib hanya kerana amalan sunat mencium Hajarul Aswad. Teringat pula teguran Dr. Yusuf Al-Qaradawi tentang susunan keutamaan amal dalam 'Fiqh al-Awlawiyyat'nya. Betapa tidak tepatnya sikap kebanyakan orang yang mengerjakan haji berkali-kali sedangkan masih ramai umat Islam miskin yang melarat, pelajar yang kekurangan dana dan institusi Islam yang goyah kerana ketandusan biaya. Itu lebih utama dibantu!

Aneh
"Aku mengalami satu kejadian ajaib. Ketika aku letih dan haus selepas tawaf, tiba-tiba ada seorang lelaki berwajah jernih menghulurkan aku segelas air zam zam. Peliknya dia kemudian hilang secara tiba-tiba."

"Tentu itu wali Allah. Kau bertuah dapat minum air zam zam yang diberikan wali Allah itu," balas kawannya.

"Kalau kau pergi lagi tahun depan, tunggulah di tempat minum air zam zam selepas tawaf. Mana tau rezeki kau pula dapat jumpa wali macam aku," balas kawannya itu.

Dialog itu saya dengar beberapa tahun yang lalu. Terasa aneh dalam hati. Betapa tersilapnya pemahaman masyarakat tentang kebaikan. Seringkali apa yang didakwa "keajaiban" menenggelamkan kebaikan yang didasarkan oleh nas yang lebih jelas dan sahih. Bukankah Rasulullah s.a.w. menegaskan tangan yang di atas (memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima)?

Pada pandangan saya, tentulah menghulur air kepada manusia lain yang keletihan dan kehausan itu lebih utama berbanding menerima daripada orang lain (tidak kira siapa pun) yang menghulurkan untuk kita.

Sepatutnya kita berazam untuk menjadi pemberi, bukan penerima.

Misteri di Tanah Suci
Di kedai-kedai buku sekarang ini masih terjual majalah atau buku yang memuatkan pelbagai kisah misteri yang berlaku di Tanah Suci. Kisah penzina yang tidak nampak Kaabah. Kisah orang ego yang tersesat dalam masjid Nabawi. Insiden orang celupar kehilangan suara. Cerita orang yang makan rasuah terasa panas membahang dan meminta pulang. Macam-macam cerita lagi.

"Aku takut hendak ke Makkah," kata kenalan saya seorang usahawan yang berjaya satu ketika dahulu.

"Kenapa? Bukankah semua orang bercita-cita hendak ke sana?"

"Kau tahulah aku dulu. Hidup bergelumang macam-macam maksiat."

"Pergilah ke sana. Baiki diri sekarang dan bila di sana nanti, perhebatkan langkah taubat. Insya Allah, Allah akan ampunkan dosa-dosa kita."

"Aku takut... aku takut tak nampak Kaabah nanti!"

"Masyaallah! Inilah akibatnya terlampau banyak baca kisah misteri. Kau mesti 'delete' semua anggapan itu. Baca al-Quran dan hadis-hadis yang mendorong kita ke Makkah dan Madinah."

Itu satu cerita. Seorang kenalana saya membawa satu cerita lagi. Tetapi cerita ini berlawanan dengan cerita tadi.

"Aku kenal seorang ahli perniagaan yang kaki rasuah. Dapat projek ikut jalan tak betul. Macam-macam hal negatif yang dia buat. Baru-baru ini dia pergi mengerjakan haji setelah bertahun-tahun berhujah yang dia belum sampai seru."

"Alhamdulillah, dia sampai seru akhirnya," balas saya sambil tersenyum.

"Tapi malang..."

"Apa yang berlaku? Dia tak nampak Kaabah?" kata saya sekadar memeriahkan perbualan dengan input-input yang selalu dikatakan orang apabila orang "seumpama itu" pergi ke Makkah.

"Dia nampak. Segala-galanya macam biasa saja. Balik dari Makkah dia semakin 'confident' dengan perbuatan negatifnya. Sikap buruknya malah makin menjadi-jadi."

"Kenapa dia jadi begitu?"

"Dia kata, kau tengok aku. Aku nampak Kaabah. Tak terasa panas, tak pernah sesat macam orang yang aku baca dalam kisah-kisah misteri dan aneh itu. Itu menunjukkan aku ok lah.. Tuhan pun merestui aku. Kalau aku jahat dah tentu aku ditimpa macam-macam insiden malang seperti yang diceritakan dalam kisah-kisah misteri itu. Ini tidak. aku ok... ok saja!"

Saya menggeleng kepala. Inilah gugusan kisah misteri yang sepatutnya dikupas dan dijelaskan berdasarkan wahyu dan sunnah. Betapa roh ibadah dan tujuan sesuatu amalan sudah terlalu kabur akibat diselubungi pelbagai kepercayaan, kecenderungan dan amalan yang jauh tersasar. Maka terciptalah "topeng-topeng" agama yang menyembunyikan wajah kejahatan dan kemungkaran yang semakin sukar dikesan dan dikenali.

Dan itu semua membenarkan apa yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menjawab soalan seorang sahabatnya Abu Huzaifah tentang kebenaran yang akan muncul semula pada akhir zaman. Rasulullah menjawab: "Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan." Maksudnya kebenaran akan muncul buat kali kedua tetapi kali ini di tengah-tengah banyaknya kesamaran!

Demikianlah kisah-kisah 'karamah' dari Makkah. Manusia ghairah mencari yang luar biasa sehingga terlupa yang luar biasa itu sebenarnya adalah sikap ikhlas, istiqamah, sabar, khidmat dan iltizam dalam beragama. Ramai yang lupa bahawa roh daripada mengerjakan haji dan umrah di Tanah Suci adalah bangunnya jiwa perjuangan untuk menyucikan semua tanah yang kita pijak sekembalinya kita dari sana.

Ulama tersohor zaman ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah berkata: "Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga!"

Tanamlah benih itu di sini, di sana dan di mana-mana jua. Itulah semangat jihad tiga perempat daripada 124 ribu sahabat Rasulullah yang meninggal dunia di luar Makkah dan Madinah!

(Imam Global)

No comments:

Post a Comment