Friday, January 27, 2012

Tercari-cari

Zaman kanak-kanaknya penuh duri. Dalam usia yang masih tidak mengerti apa-apa, dia didera. Bukan penderaan biasa, tetapi seksual. Sukarnya untuk dia menempuh hidup kerana dia masih terlalu kecil untuk mengongsi segala rasa duka dengan siapa-siapa. Dia menangis dan menjerit dalam diam cuma.

Apabila sedikit dewasa, dia mula berani meluah rasa, berkongsi cerita dengan sahabat dan saudara. Malangnya, mereka hanya berkata, "sabarlah, itu ujian Tuhan".

Dia rasa terhina. Dia hanya seorang kanak-kanak sewaktu Tuhan mengujinya dengan penderaan sebegitu. Dia belum mengerti makna hidup dan kehidupan sepenuhnya, tetapi dia sudah diuji sebegitu rupa. Mengapa Tuhan zalim padanya?

Semakin dewasa, dia semakin tercari-cari. Merantau ke luar negara membuka ruang dia mengenali lebih ramai manusia daripada pelbagai agama. Dia melihat dan meneroka, lalu menemui rumusan sendiri. Rumusan yang membawa dia secara perlahan-lahan menjauhi Islam. Dia berasa Islam tidak adil padanya. Islam tidak memberi penyelesaian pada derita yang bertahun-tahun ditanggungnya. Islam hanya mahu dia bersabar, tanpa pernah mahu menghentikan segala. Penderaan demi penderaan masih berlaku pada kanak-kanak dan Islam masih gagal mengatasinya!

Dia lari. Lari sejauh-jauhnya. Dia tidak percaya lagi kepada Tuhan kerana derita yang dirasainya sekian lama, namun Tuhan tidak pernah mahu membantunya.

Lalu, apa tindakan kita yang sewajarnya pada dia? Hukum bunuhkah?

Kita akan berkata dia murtad. Kita akan menghina dia sepenuh rasa, sesuka hati. Namun kita tidak pernah mahu membawa dia ke arah satu penyelesaian yang jitu.

Wahai lulusan agama dan pendakwah-pendakwah sekalian! Insan-insan seperti inilah yang sangat perlu dibantu dengan memberi motivasi dan kesedaran sebenarnya agar dia tidak semakin jauh mencari dirinya sendiri. Agar dia tidak terus-terusan membuat kesimpulan daripada pemerhatian tanpa panduan kalian. Dia sangat perlu dibantu, namun golongan agamawan kini hanya tahu bertelagah sesama sendiri.

Saya simpati padanya. Dia tercari-cari kebenaran yang hakiki.

Thursday, January 26, 2012

Al Fatihah

Al Fatihah buat Allahyarham Mahadi bin Che Noh, 52 tahun yang kembali ke rahmatullah pada jam 10.25 pagi ini kerana kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau bekerja di Hospital Daerah Besut sebagai Pembantu Perubatan.

Beliau ialah biras saya, suami kepada kakak ipar saya, Rohaini Salleh dan bapa kepada tujuh orang anak - Afiqah, Zulhusnie, Faris, Adilah, Aiman, Syahirah dan Ilina.

Beliau seorang yang sangat mudah mesra dan begitu peramah. Sebentar sahaja mengenalinya, kita sudah boleh berbicara macam-macam. Melihat keakraban Allahyarham dengan keluarga dan anak-anaknya, mencetus rasa kagum dalam hati. Beliau seorang bapa dan suami yang sangat baik. Tidak segan silu beliau mempamer kasih sayang dan kemesraan dengan keluarganya di hadapan ramai.

Betapa sukar untuk seluruh keluarganya menerima kehilangan ini namun diharap mereka tabah dan sabar menerima ujian ini. Sesungguhnya, dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.

Semoga Allah mengampuninya dan meletakkan Allahyarham dalam kalangan para solihin. Amin.




Cinta

Sekadar berkongsi satu emel yang Ustazah Noraslina Jusin terima daripada pembaca blog ummuhusna99.blogspot.com. Semoga bermanfaat.

“Saya baru lepas membaca blog Ustazah . Dan saya sedar betapa cintanya Ustazah pada suami. Suami saya bukan seperti Ustaz Zaharuddin. Saya berkelulusan Ijazah sedangkan suami hanya diploma. Kehidupan keluarga saya lebih senang berbanding suami dan suami bukanlah pilihan saya.

Tetapi Allah takdir jodoh saya dengan suami yang saya kira baik. tak pernah 'naik tangan' dan menjaga saya dan anak-anak dengan baik. Saya cintakannya kerana Allah. Pada awal perkahwinan, suami tak pernah membaca al-Quran kerana mungkin dia tak tahu. dan saya berdoa dan berdoa. Alhamdulillah dengan Rahmat Allah, sebulan selepas itu suami terbuka hati untuk belajar membaca al-Quran. alhamdulillah. suami saya merokok dan saya berdoa lagi pada yang Esa. alhamdulillah dalam masa sebulan Ramadhan yang lepas suami saya cuba untuk berheti merokok walaupun saya tak pernah nasihat untuk berhenti merokok kerana saya takut dia marah. suami bekerja di sebuah kelab rekreasi menguruskan akaun kelab dan kelab itu menghidangkan arak kepada pelanggan. Dan saya nyatakan tentang hadis Rasullullah tentang golongan yang dilaknat kerana terlibat dengan penjualan arak. Kerana egonya kami bertengkar. Tetapi alhamdulliah tidak lama selepas itu suami diterima bekerja di sebuah bank Islam yang tidak mengamalkan riba.

Semuanya kerana Rahmat Allah. Apa lagi yang harus saya katakan tentang besarnya nikmat Allah dan Rahmat Allah untuk kami sekeluarga. Hari ini ujian datang lagi dan saya cuba bersabar kerana Allah.

Pada pendapat sya, Cinta kerana Allah ialah apabila Allah beri kepada kepada kita apa yang bukan kita idamkan yang kurang sempurna dan kita terima walaupun pahit. Semuanya kerana Allah.
Sekian Wassalam.

JAWAPAN Ustazah Noraslina Jusin

Waalaikumussalam, Puan.

Semoga kita semua sentiasa di dalam peliharaan ALLAH SWT.
Terima kasih kerana berkongsi pengalaman dan pandangan.

Cinta kerana ALLAH pada saya adalah cinta yang ditempatkan sesuai dengan tingkatannya, iaitu cinta ALLAH dan Rasul-NYA mestilah menjadi paksi kepada cinta-cinta lain. Sebagaimana Rasulullah SAW menegaskan dalam sabda baginda tentang keadilan dalam memberikan hukuman, walau sekiranya anak yang dikasihi baginda, Fatimah r.a mencuri, Rasulullah tetap akan menjalankan hukum padanya.

Keadaan cinta begini akan menjadikan pemiliknya seorang yang reda dan pasrah terhadap apa jua takdir yang dilalui. Mengembur usaha tanpa kenal lelah demi membawa orang yang dikasihinya kepada jalan ILAHI.

Pemilik cinta begini selalu menginsafi bahawa sebagai makhluk dia hanya digesa untuk berikhtiar dan berusaha semampunya manakala hasil dari usahanya itu dipulangkan kepada Yang Maha Esa lagi bijaksana. Sabar dan syukur selalu menjadi kekuatan yang menambah keimanan dan ketaqwaan kepada-NYA.
Walau apa yang diimpi tidak menjadi, dia yakin setiap kebaikan dan keburukan itu adalah ujian. Pada setiap nikmat yang disyukuri ada kemungkinan ia mengundang musibah yang perlu disabari. Hanya ALLAH SWT jua yang mengetahui apa yang terbaik buat hamba-NYA.

Justeru, pegangan saya, usah membandingkan pasangan dengan individu lain kerana hakikatnya kita sebagai manusia yang amat terbatas segala-galanya ini hanya mengetahui sebahagian sahaja kehidupan orang lain, manakala ada sebahagian besar lagi yang tidak kita ketahui, yang hanya dimaklumi oleh individu berkenaan serta pasangannya dan sudah pasti, ALLAH SWT Yang Maha Esa. Rasulullah SAW mendidik kita agar melihat orang yang kurang dari kta dalam urusan dunia, manakala dalam urusan agama, hendaklah kita melihat orang yang lebih atas dari kita. Dengan itu, kita akan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan berusaha untuk memperbaiki diri demi kebahagiaan dunia, lebih-lebih lagi di akhirat sana.

Buat akhirnya, tahniah atas kesabaran puan dan teruskan usaha.

Salam ukhuwwah.

Wednesday, January 25, 2012

Ombak Rindu vs Hafalan Solat Delisa

Adalah normal bagi sesebuah karya yang menjadi fenomena untuk memasuki ruang diskusi yang akan diisi dengan kritikan, pujian dan kutukan. Ianya membuktikan bahawa karya tersebut mempunyai aura tersendiri sehingga diperdebatkan sebegitu rupa.

Sebelum ini, satu ulasan berkenaan filem Ombak Rindu (OR) telah dinaikkan di blog ini. Ulasan ini sebetulnya cenderung menyentuh isu adaptasi karya novel ke filem. Ia sama sekali tidak memberi tekanan terhadap isu moral yang menjadi kontroversi dalam filem ini. Namun kemelut Ombak Rindu yang dimainkan beberapa pihak di sana-sini telah membangkitkan beberapa persoalan di benak saya. Malah, sewaktu artikel ini ditulis, beberapa status di facebook yang memaut trailer Hafalan Shalat Delisa (HSD) telah dinaikkan dengan sebahagian besarnya mengaitkan atau membandingkannya dengan OR. Hampir kesemua status ini termasuk deretan komen yang diberikan menjurus kepada kritikan yang menonjolkan kerendahan mutu dan nilai karya filem anak tempatan. Situasi ini benar-benar membuatkan saya terfikir, salah siapa semua ini?

Bukan tidak ada karya kita yang bermutu tinggi. Tetapi bagaimana dengan sambutannya? Kita sendiri yang banyak mengkritik kebobrokan karya tempatan, kita sendiri juga sebenarnya tidak sedar dengan kewujudan karya-karya terbaik yang pernah terbit atau telah diharamkan.

Adakah fenomena OR membuka mata kita untuk mencari karya-karya ini? Tidak! Kita hanya sibuk mengutuk hasil karya anak tempatan sedangkan kita sendiri tak pernah mampu walau untuk mengedit sebuah video peribadi. Lebih buruk lagi, untuk menaikkan sebuah entri yang bermanfaat di blog pun kita tidak mampu. Malah, selepas gagal menjawab pelbagai isu dan persoalan yang kita naikkan ke facebook pun, kita lebih suka lari dan mengambil jalan pintas menuding kepada pihak lain untuk menjawab.

HSD berkait rapat dengan tragedi alam. Malah, kalau kita amati, Indonesia sendiri akrab dengan pelbagai tragedi tidak kira tragedi alam mahupun tragedi manusia. Rakyat negara jiran ini telah bertahun bergelumang dengan tragedi dan perjuangan sebagai rencah kesinambungan hidup. Sedarkah kita bahawa tragedi dan perjuangan ini telah sekian lama mencorak pemikiran seterusnya menjadi pencetus kepada lahirnya karya mereka?

Bagaimana dengan pemikiran kita?

Kalau kita fikir pengkarya perlu menghasilkan karya yang bernilai, bermoral, kritis dan menonjolkan tahap pemikiran yang tinggi, kita inilah yang perlu mula membuktikan telah menjadi manusia yang bernilai, bermoral, kritis dan mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Kerana pengkarya tidak mahu rugi menghasilkan karya yang tidak boleh dijiwai oleh penontonnya seterusnya merencatkan keuntungan.

Perhatikan sahaja facebook kita. Isu apakah yang paling banyak kita naikkan? Kisah peribadi? Dialog suami isteri? Perkembangan anak-anak? Maklumat agama? Isu semasa? Isu politik? Ekonomi? Ilmiah? Nah, masing-masing lebih tahu facebook sendiri. Itulah antara cerminan pemikiran kita. Dan kita tidak malu pula memperlekeh karya tempatan yang hakikatnya mencerminkan jiwa dan minda sebenar kita. Maka bagaimana pula anda mengandaikan pemikiran pengkarya kita?

Hanya pengkarya dengan jati diri yang tinggi sahaja yang sanggup menongkah arus. Tetapi berapa ramai yang sanggup melaburkan berjuta-juta ringgit untuk mengangkat moral, etika dan pemikiran manusia yang belum tentu memberi pulangan? Sedangkan penonton/pembaca hanya melabur RM8 – RM30 untuk menghadam hasil keringat dan idea orang lain.

Saya tentu sekali bukan seorang pengkarya semasa. Namun pengalaman menghasilkan beberapa karya kecil membuatkan saya faham perit jerih berkarya. Ianya umpama anda bersusah-payah memasak, dan orang yang menghadam makanan itu dengan mudah memberi komen “tidak sedap! Sedap lagi makanan Indonesia”.

Seperti mana saya bukan peminat Aaron Aziz (telah disebut dalam ulasan OR), saya juga bukan peminat OR. Namun saya kira, menghukum OR sebagaimana yang dilakukan ramai sekarang ini agak tidak adil. Berapakah peratus kerosakan dilakukan oleh OR sehingga disifatkan sebagai tragedi murahan di sini? Berapa banyakkah penderhakaan plot OR terhadap nilai agama dan kemanusiaan? Adakah di antara anda di luar sana yang pernah cuba membandingkan jumlah kerosakan itu dengan tingkat kerosakan dan penderhakaan yang disajikan dalam banyak filem Melayu yang lain? Jika tidak, anda sama sekali terlalu bias!

Cuba kaitkan sebentar perenggan di atas dengan tragedi Superman Faizal Tahir yang telah dihukum Vs trend pakaian tidak senonoh sesetengah selebriti wanita tanah air yang tidak pernah dihadapkan ke muka pengadilan sebagai satu bentuk pengajaran kepada diri sendiri dan individu lain. Dapatkah anda menterjemahkan konotasinya? Adilkah kita menghukum satu pihak sedangkan pihak yang lain terus ghairah berkarya dalam kemaksiatan?

Di sisi saya, OR memang bukan sebuah filem moral. Ia hanya sebuah filem yang mempertaruhkan idea asal sebuah novel yang laris, barisan pelakon pujaan dan dendangan lagu yang menusuk jiwa untuk bermain dengan emosi penonton rakyat Malaysia yang memang gemarkan melodrama. Ia adalah kehendak pasaran sendiri.

Sekiranya kita masih diulit perkembangan lilitan terbaru hijab muslimah, ghairah mempromosi konsert rock tanah air, masih hanyut mengulit majalah fesyen/keluarga terkini, rasanya lebih molek kita muhasabah diri. Bak kata kawan-kawan facebook saya, carilah cermin.

OR bagaimanapun masih lebih baik dalam beberapa sisi moralnya berbanding lambakan filem-filem tempatan sebelum ini. Ia telah menunjukkan satu peningkatan dan telah pun mendapat sambutan (di sini saya menegaskan bahawa saya 100% menolak keperluan wujudnya adegan ranjang atas sebab apa sekalipun). Sebagai penonton/pembaca yang menikmati hasil kerja pengkarya, buktikan bahawa kita telah bersedia untuk menerima dan memberi sambutan terhadap sebuah karya yang kuat dengan isu kemanusiaan, jati diri dan moral hasil dari pemikiran yang tinggi. Dan semoga lebih ramai pengkarya filem/novel kita akan mampu menghasilkan karya bermutu yang bukan hanya mampu menjadi medan sebaran dakwah dan moral, tetapi mampu meraih keuntungan berganda hasil sambutan pasaran yang hakikatnya adalah terhad.

Berilah peluang kepada karya kita untuk bergerak di atas landasan ‘sokong dan dorong’ rakyatnya sendiri. Kurangkan kritikan membunuh. Keparahan nilai moral dalam karya perlu dibimbing, dipapah, dimotivasikan serta dirawat. Jangan biarkan ianya jadi seperti pokok-pokok yang mati selepas dicaci-maki oleh satu kaum di Pulau Solomon (sumber).

Karya kita, cerminan bangsa kita. Tak percaya? Semak profile facebook masing-masing.

saye: ini belum masuk lagi kekangan berkarya akibat dictatorship. Ada beran?

(widura.org)

Carilah Ungkapan Yang Lebih Molek

Antara perkara yang indah yang diajar oleh Islam ialah muslim diperintahkan menggunakan perkataan-perkataan yang baik atau sekurangnya tidak keji dalam ungkapannya.

Muslim bukan seorang pencarut, atau pemaki hamun orang atau pencerca dengan kalimat-kalimat yang jelik dan keji. Lidah muslim indah, atau selamat dari kalimat-kalimat yang tidak senonoh. Dia mungkin tegas, keras amarannya, tinggi nadanya dan tajam kritikannya, tapi kalimat-kalimatnya itu terpilih; tidak lucah, tidak juga makian dan hamunan. Inilah yang Anas bin Malik ceritakan:

“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”. (riwayat al-Bukhari).

Mencerca atau memaki hamun orang lain dalam sesuatu majlis adalah perkara yang tidak baik. Dalam riwayat al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir:

bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.

Di Barat ini walaupun tidak dinafikan ada kesopanannya terutama dalam pengurusan rasmi, namun vulgar language atau bahasa tidak senonoh sudah sebati dalam kehidupan harian mereka. Kalimat f*ck sentiasa di bibir. Di mana sahaja kita dengar mereka bersembang, biasanya perkataan itu akan terbit. Filem mereka, komedi mereka dan segala seni mereka akan diselitkan kalimat-kalimat jelik seperti itu.

Stand-up comedy di sini antara yang dapat sambutan hebat. Ramai yang terkenal dan kaya raya dengan idea-idea lawak mereka. Ada banyak siaran khusus untuk stand-up comedy ini. Namun kesemua lawak tidak terlepas dari perkataan kotor, lucah dan cerita lucah. Makian juga menjadi modal lawak yang mendapat tepukan gemuruh. Tuhan, agama, Jesus, orang politik dan ramai lagi menjadi mangsa maki-hamun yang melucukan pendengar.

Budaya lucah mendapat pasaran dalam masyarakat mereka. Penyanyi seperti Lady Gaga dengan segala kelucahannya mendapat tempat yang hebat. China telah senarai hitam Lady Gaga dan Katy Perry yang menjadi pujaan ramai di Barat, bahkan di pelbagai negara lain juga. Shanghai Baby novel karya Wei Hui, yang meriwayatkan kisah peribadinya yang bercampur lucah, yang telah dibakar sebanyak 40,000 naskah secara terbuka di China, tapi menjadi ‘the international bestseller’ di Barat.

Banyak nilai yang berbeza yang menyerap ke dalam kehidupan masyarakat Barat. Bayangkan apabila budaya ini berterusan dan setiap anak yang lahir dalam masyarakat ini sudah terbiasa demikian rupa. Cumanya, di atas pentas ilmu atau akademik, nampaknya bahasa mereka masih terkawal dan molek.

Saya teringat hadis apabila sekumpulan Yahudi datang bertemu Nabi s.a.w dan memberi salam dengan mengucapkan as-sam alaikum yang bermaksud ‘maut ke atas kamu’. Nabi s.a.w menjawab ‘wa alaikum’ sahaja. Isteri Nabi, Aishah r.aha yang perasan dengan mainan ucapan salam mereka itu menjawab “as-sam ‘alaikum wal la’nah” maksudnya maut dan laknat ke atas kamu.

Nabi s.a.w bersabda:

“Nanti dahulu wahai Aishah! Sesungguhnya Allah suka sikap lunak dalam semua perkara”. Jawab Aishah: “Wahai Rasulullah! Engkau tidak dengarkah apa mereka kata?”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku telah pun jawab ‘wa alaikum’ (ke atas kamu)’ (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Demikian halusnya contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Jawapan ‘wa ‘alaikum’ juga satu tindak balas atas kebiadapan yahudi, namun ia bebas dari perkataan yang buruk dan keji. Kita tidak pernah menafikan bahawa Nabi s.a.w pernah bertegas dan tinggi nada suara baginda terutama ketika berkhutbah. Namun, baginda tidak memaki hamun atau melaknat orang lain, apatah lagi sesama muslim.

Malanglah jika ada yang memaki hamun orang lain lalu menyandarkan kepada Nabi s.a.w. Bertegas, tinggi nada ucapan, keras amaran tidak sama dengan mengeluarkan perkataan yang buruk dan jelek kepada orang lain. Kata Jabir r.a:

“Nabi ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi suaranya, keras marahnya, seakan baginda sedang member amaran tentang bahaya kedatangan tentera musuh” (riwayat Muslim).

Ini pun mengikut isu yang Nabi s.a.w perkatakan. Ada pelbagai riwayat tentang khutbah baginda.

Ada pula pihak yang apabila mereka memaki hamun orang lain, dia berkata: saya tiru Saidina Umar. Aduhai, nampak buruk khalifah yang mulia itu apabila menjelma dalam tindakannya. Ya, banyak riwayat menunjukkan sikap tegas dan keras Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab, namun bukan bererti dia memaki hamun.

Ada beberapa perbezaan antara beliau dengan kita semua, beliau khalifah yang ada kuasa untuk menghukum rakyat bawahan seperti memukul bagi yang melanggar kesalahan. Sedang kita tiada hak tersebut. Dimensi zaman juga tidak sama, ketika itu tindakan beliau dianggap serasi dengan cara kehidupan di zaman itu. Di zaman kita, tidak perlulah seorang perdana menteri atau presiden negara membawa tongkat memukul rakyat yang melanggar peraturan jalanraya atau seumpamanya. Undang-undang yang detil sudah wujud, mahkamah dan pihak berkuasa berperanan sepenuhnya. Itu lebih dihormati di zaman ini.

Di sana pula ada perbezaan antara ucapan di khalayak umum dan perbualan peribadi. Ucapan buruk di khalayak umum adalah satu kempen secara langsung atau tidak kepada budaya negatif. Tidak sama dengan ‘bersembang biasa’. Walaupun keduanya perlu berakhlak, namun yang dibuat depan khalayak kesan buruknya lebih besar.

Kita tidak temui dalam khutbah para khulafa’ dan insan-insan terhormat menggunakan kalimat-kalimat makian dan hamunan. Firman Allah: (maksudnya)

“dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKU (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia”. (al-Isra: 53).

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini:

“Allah memerintah Rasulullah s.a.w memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan”. (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).

Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan setiap kita ada emosi. Kadang-kala terlepas cakap, terkasar bahasa dan tersalah bicara. Namun, itu tidak boleh menjadi budaya lidah. Jika berlaku, ia wajar dikuti dengan penyesalan dalam diri dan memohon yang lebih baik dari Allah. Nabi s.a.w pernah berkata tentang diri baginda:

“Sesungguhnya aku manusia; aku redha seperti mana manusia redha, aku marah seperti mana manusia marah. Justeru, sesiapa sahaja di kalangan umatku yang aku doakan keburukan ke atasnya dengan sesuatu doa, sedangkan dia tidak layak maka Allah akan jadikan untuknya kesembuhan, penyucian dan perkara yang mendekatkannya dengan Allah pada Hari Kiamat nanti” (riwayat Muslim).

Jika seseorang sekali dua termaki orang, mungkin dia terlajak atau gagal kawal emosi disebabkan keadaan tertentu. Namun jika setiap kali berucap atau sering kali menjadi mainan bibir, maka itu sudah macam lelaki Ansar yang Nabi s.a.w tegur dalam majlis tersebut.

Menjadi lebih rosak jika seperti di Barat ini, perkataan buruk dan hodoh itu menjadi satu lawak jenaka yang mendapat sambutan yang gemuruh. Ini mungkin disebabkan jiwa mereka kosong lalu mereka ingin pengisian. Mereka rasa lawak jenaka kasar itu mengubat kekosongan jiwa. Demikian mereka tersalah mengenai rohani insani. Demikian juga ada muslim yang tersilap apabila merasakan duduk mendengar lawak yang bercampur kebiadaban itu sesuatu yang mengisi kekosongan jiwa.

Yang baik tidak sama dengan yang buruk. Allah mengingatkan kita: (maksudnya)

“dan tidaklah sama antara yang baik dan yang jahat. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau buat demikian maka orang ada permusuhan terhadapmu, seolah-olah menjadi seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diamalkan melainkan oleh orang-orang mempunyai kedudukan yang besar (dunia dan akhirat). (Fussilat: 34-35)

Kita semua rindu ingin mengikuti ajaran al-Quran. Kita tahu kita sering gagal, namun kita tetap menyatakan yang teragung itu adalah panduan al-Quran. Kita cuba sedayanya. Jangan apabila kita melakukan yang sebaliknya, kita justifikasikan tindakan kita sehingga menafikan keunggulan al-Quran. Jangan pula kita jadi seperti sesetengah yang berkata ‘puak yang menentang kita pun teruk, kita balas la’. Mengapakah kita jadikan musuh yang kita rasa tersasar dari landasan yang betul sebagai piawaian yang menjadi panduan dalam tindakan?!

Bahasa yang baik Allah suka. Kita mungkin ada kelemahan diri, namun jangan kita zahir dalam bahasa yang hodoh dan penuh dengan cacian dan makian. Bahasa yang baik akan dirahmati Tuhan, bahasa yang jelek akan menimbulkan kekerasan dalam perasaan dan nurani. Diriku dan sahabat sekalian, mari kita cari perkataan yang lebih molek dalam berinteraksi antara kita.

(Minda Tajdid Dr Maza)

Monday, January 23, 2012

Cacamarba

Kelakarlah malam ni, tiba-tiba saja blackout separuh-separuh. Lampu, kipas dan air cond dalam bilik tak hidup tapi TV ok pula. Kat ruang tamu semua padam terus, tapi kat dapur semua ok. Peti sejuk je yang padam. Hahaha!! Kelakar tapi bagus juga sebab still boleh masak. Alah, suami saya tak lapar sangat malam ni. Dia nak makan tom yam je. Bukan susah pun, just campak-campak apa yang patut, tak sampai 20 minit siap!

Sebenarnya, saya mengantuk tapi kepanasan nak tidur dalam bilik. Selepas makan tom yam tadi, suami saya keluar ke majlis tahlil di rumah jiran. Saya bersendirian seperti biasa. Ingat lepas solat Isya' nak terus tidur, tapi panaslah. Mujur juga kipas kat ruang tengah ni hidup. Jadi lepak di sinilah sekejap, sejukkan badan sambil bercacamarba dengan blog kesayangan saya ini.

Pagi tadi, lebih kurang pukul 10, kak Zaiha dan anak-anak datang rumah saya. Selalunya begitulah, setiap kali bertandang rumah ma, rumah saya tidak dilupakan. Sebaliknya, saya belum pernah lagi sampai ke rumahnya di Terengganu. Teruk, kan? Saya bukan tidak sudi, tetapi banyak betul kekangannya.

Apabila bergelar isteri, seorang wanita akan tertakluk seratus peratus kepada suaminya. Itu yang termaktub dalam ajaran Islam. Selagi tidak menyalahi syarak, maka suami adalah keutamaan. Segala yang lain akan jatuh ke nombor-nombor seterusnya. Pendekkan cerita, tiada lagi kebebasan mutlak buat wanita bergelar isteri tanpa keizinan suami.

Bunyi macam veto kan? Kasihan wanita...

Namun selamilah sedalam-dalamnya apa yang tersirat dalam perundangan ini. Sebenarnya, tanggungjawab suami juga bukan mudah. Maka sama-samalah bekerjasama membina rumah tangga bahagia dengan penuh toleransi dan utamakan tanggungjawab berbanding hak. Itu petuanya.

Lalu buat saudara-saudaraku yang masih bujang, tidak perlulah tergesa-gesa berkahwin jika belum puas menikmati kebebasan. Jika zaman dahulu, ibu bapa cepat-cepat mengahwinkan anak daranya kerana khuatirkan banyak perkara. Takut tidak laku pun ya juga. Jika sudah dikahwinkan, beban tanggungan mereka akan semakin ringan. Maklumlah, anak perempuan kita dah ada suami yang jaga. Tak ada apa nak risau lagi. Kalau dapat menantu yang berada, bukan setakat anak kita disaranya, dengan kita-kita sekali boleh tumpang senang!

Tapi itu dulu, waktu perempuan dipingitkan. Sekolah pun tidak, apa lagi nak bekerja.

Sekarang wanita sudah diberi banyak peluang. Tanpa suami pun wanita mampu hidup senang lenang dan penuh gaya. Jadi tujuan perkahwinan bagi wanita zaman sekarang bukan lagi untuk dinafkahi semata-mata (kerana ada kalanya, mereka yang menafkahi suami, kan?) tetapi lebih kepada mencari rakan kongsi. Berkongsi segala-galanya.

Bukanlah saya ingin menegatifkan apa yang positif. Ini sekadar cacamarba saya sementara menunggu suami pulang dari majlis tahlil.

Eh, dia dah pulang. Sekian dulu. Bye!

Serik

Saya bukan pendendam, tetapi mengingat kembali apa yang saya, emak dan suami alami saat bertandang ke rumahnya, saya berasa serik. Berasa enggan lagi berurusan dengan manusia yang saya sangka tinggi ilmu dan akhlaknya, namun menghormati tetamu pun tidak mampu. Apatah lagi saat itu jiwa kami sekeluarga sangat resah memikir kemungkinan yang bakal dihadapi insan yang kami sayangi, namun dia - manusia berilmu itu - tidak menunjukkan sedikit pun simpati. Dia tega membiarkan kami berlama-lama di suatu tempat yang kami sangka sangat islamik, menunggu dengan sabar mengharap buah pertolongannya. Rupanya dia sedang enak tidur di kamar sendiri!

Lucu sekali, bukan? Hati saya menggelegak amat malam itu, namun dengan sedikit pengertian tentang hikmah sabar, saya tahankan kemarahan daripada meletup. Biarlah, biar Allah yang menentukan segala. Saya bukan pendendam.

Peliknya, sebegitu dia melayan saya, emak dan suami namun kami masih juga ingin meneruskan urusan hidup di dunia ini dengannya. Apa hebatnya dia sehingga kami tidak mampu mengelak daripadanya?

Apabila adik perempuan saya memberitahu dia ingin bekerja di situ, saya sangat cuak. Peristiwa dua tahun lalu kembali menerpa dalam benak fikir saya. Bukan dendam, tetapi serik. Saya takut pisang berbuah dua kali. Namun saya bukanlah lulusan agama yang tahu ayat itu dan ayat ini untuk dibaca kepada adik saya agar dia tidak bekerja di situ. Lalu, saya mempositifkan minda dengan menganggap, mungkin ini satu peluang untuk adik saya membina pengalaman dan mencari pendapatan, dengan mengabaikan siapa tuan punya pusat pengajian itu.

Ah, masakan ia semudah itu!

Benarlah. Saya berani merumuskan betapa Islam itu hanya dijadikan topeng dan alat sahaja oleh manusia ini dalam merealisasikan nafsu dan keinginan diri. Dia mencemar nama baiknya sendiri dengan membuka segala pekung yang ada. Berselindung di sebalik gelaran, dia mengonar sesuka hati.

Saya buntu. Saya mahu keluarga saya terpisah daripada dia kerana dia bukan seorang pejuang tulen yang ikhlas dan bersungguh-sungguh menegakkan agama. Dia ego, bangga diri dan tidak pandai menghormati orang lain. Walaupun dia lulusan agama, itu bukan tiket untuk dia merendah-rendah dan menjatuhkan maruah orang lain. Walaupun saya bertemunya hanya sekali itulah, namun saya banyak mendengar cerita-cerita tentangnya. Dan dari situ, saya sanggup membuat rumusan seberani ini.

Sungguh, saya berani berkata begini kerana saya mahu keluarga saya jauh daripadanya. Mungkin ada jasa baktinya pada keluarga kami dan jazakallahu khairan kathira kami ucapkan untuk itu, namun hutang budi biarlah kami bawa ke mati. Tak perlu dibalas di dunia ini!

Saturday, January 21, 2012

Perbukitan Bangi

Jun 1992, kali pertama saya tiba di bumi Selangor untuk bermukim di perbukitan Bangi di bawah naungan langit UKM.

Tempoh lapan semester yang tertera di surat tawaran terasa begitu lama sekali untuk saya habiskan. Bimbang dan resah berbaur menjadi satu rasa yang tidak mampu diungkap dengan kata. Saya bimbang jika saya tidak mampu menjadi pelajar yang baik, yang membahagiakan hati ibu bapa dengan kecemerlangan keputusan pada setiap kali peperiksaan. Saya juga resah kerana sahabat-sahabat rapat saya semuanya tiada lagi di sisi. Saya keseorangan menghadap Fakulti Sains Matematik dan Komputer, pada masa sahabat-sahabat rapat saya Azidah, Azni, Faridah, Salbiah menuju ke Fakulti Perubatan di KL. Maira, Fazlina, Rohaya pula memohon untuk ke Fakulti Perubatan di India. Manakala Fajariah masih berada di Kuala Pilah.

Minggu pertama saya sangat menyakitkan. Orientasi tidak pernah mahu mengambil tahu kesihatan saya yang terganggu. Tuhan maha tahu betapa tersiksanya saya berjalan kaki dari Kamsis Ungku Omar ke Dectar berkali-kali sehari pada saat perut saya menanggung kesakitan bulanan. Pada saat badan saya memerlukan air yang banyak, saya tidak sempat mencari walau sebotol air mineral! Lalu setiap kali pulang ke asrama, saya tega meneguk air paip dek kedahagaan yang tidak tertanggung.

Mujur ia tidak memudaratkan dan mujurlah ia seminggu sahaja. Pada minggu kedua, orientasi di Kamsis pula berlangsung dan ia tidaklah terlalu mendera.

Sebermula perkuliahan, saya semakin betah meneruskan kehidupan. Di sini, saya merapati Opie, Kasma, Zila, Eton, Tena, Rose dan Shima yang dahulunya sama matrikulasi dengan saya. Juga rakan-rakan baru dari UiTM Shah Alam yang menyambung ijazah mereka di sini iaitu Nazihah, Yusnida, Koni dan Rafinah.

Hidup saya berterusan selama lapan semester di sini, penuh dengan warna warni.

Pengajian tidak terlalu menekan, malah saya tenang menghadapinya. Cuma kewangan yang tidak keruan kadangkala meruntun rasa. Saya menerima pinjaman MARA sejumlah RM4200 setahun. Memang sangat tidak cukup tetapi jumlah itulah yang saya guna berdikit-dikit untuk menyempurnai pengajian saya. Pun masih juga mengharap bantuan ayah pada hujung semester yang sentiasa kekeringan.

Alhamdulillah, saya menyelesaikan segalanya dalam tempoh yang ditetapkan.

1996, saya menghadiahkan ayah dan ibu saya Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Matematik dan Pengurusan Perniagaan. Biarpun cuma kelas dua bawah, saya sangat bangga kerana perjuangan selama empat tahun itu selesai juga.

Kini, telah lebih lima belas tahun perbukitan Bangi itu saya tinggalkan. Rindu padanya tidak terhitung, namun peluang mengunjunginya tidak pernah ada. Biarpun tiada cinta yang bersemi di sana, kenangannya tetap manis dan indah untuk saya bawa sampai bila-bila...

Di sinilah saya menginap selama empat tahun. Dahulu ia dikenali sebagai Kamsis Ungku Omar sebelum ditukar kepada Kolej Ungku Omar.

Di Dewan inilah saya memerah otak menjawab segala kertas pada setiap kali peperiksaan. Dan di Dewan ini jugalah majlis Konvokesyen saya berlangsung.

Friday, January 20, 2012

Bermalas-malasan...

Kain dalam bakul hampir melimpah. Yang dalam mesin basuh belum bersidai. Yang dalam bakul kain kotor juga hampir penuh.

Seminggu sekali saya melayan kain baju saya. Dan, hari ini hari minggu. Hari untuk itu. Tetapi...

Pagi tadi, selesai solat Subuh hujan turun dengan lebatnya. Cuaca sesejuk ini menyebabkan saya terliur sungguh apabila memandang bantal dan selimut di atas katil saya. Namun bimbang jika tertidur, tidak sedar pula suami balik dari surau. Kasihan dia nanti tertunggu-tunggu saya membuka pintu. Lalu, sebagai langkah berjaga-jaga, saya berbaring sahaja di sofa di ruang tamu sambil menonton Tanyalah Ustaz. Hampir 7.30 baru suami saya pulang kerana terperangkap dalam hujan. Sekejap sahaja pulangnya, kerana dia ada jemputan majlis cukur jambul di rumah sepupunya. Sebaik dia ke sana, saya mencari-cari makanan untuk sarapan pagi.

Nasi lebihan malam tadi masih ada. Kuali yang diguna untuk menggoreng daging malam tadi pun masih ada. Minyaknya kelihatan sedap. Saya masukkan nasi ke dalam kuali, pasang api dan panaskan dalam lebihan minyak menggoreng daging itu. Oh, ada sebiji telur rebus yang masih belum berkupas. Cukuplah untuk sarapan pagi ini.

Selesai makan, jam sudah pun lapan pagi. Elok benar untuk mula bekerja sebagai suri rumah, namun saya tiada mood. Mata saya layu. Hujan pula masih mencurah-curah turun. Masih menghadirkan rasa sejuk dan nyaman. Sedapnya jika dapat menyambung tidur!

Saya bermalas-malasan lagi. Berbaring di katil, saya mencapai laptop dan broadband. Apa lagi, melayari internetlah! membaca Minda Tajdid, menonton Ustaz Azhar Idrus juga melayan facebook.

Jam 9.15 suami saya pulang. Melihat suasana sesuram ini, dia kebosanan. Sebentar sahaja kami berbual-bual kerana saya asyik pula bermain Zuma Deluxe di laptop saya. Dia mencapai telefon dan memanggil beberapa orang kenalannya, bertanya perihal kambing. Oh, itukan hobinya!

Sebentar kemudian, dia bersiap-siap untuk keluar. Nampaknya, saya punya masa untuk kembali bermalasan seoptimumnya! Jam sudah sepuluh lebih, tapi mood untuk menyelesaikan segala urusan kain baju masih belum datang juga. Tak mengapa, hari ini hari untuk saya melayan kemalasan saya!

Teruk betul. Malas menjadi raja hari ini....

Wednesday, January 18, 2012

Terpesong

Mulanya, saya sangat terkejut. Pada saya, dia seorang gadis yang sangat baik. Berhemah dan berbudi pekerti. Kami rakan sekelas pada tahun 1989 dan dia antara yang banyak membantu saya untuk mencapai keputusan baik dalam SPM. Apa tidaknya, dia sendiri muncul sebagai pelajar terbaik SPM tahun itu dengan keputusan 7A1 dan 2A2. Saya masih ingat, dia mendapat A2 dalam subjek Matematik Tambahan dan Kimia.

Sungguh lama kami tidak berhubung. Tamat SPM, saya memilih untuk belajar di tanah air sedang dia yang cemerlang itu tanpa susah payah, terbang belajar di luar negara. Dia memilih kejuruteraan dan nyata, dia sentiasa cemerlang apabila mampu diterima bekerja di Schlumberger apabila pulang ke tanahair sekitar 1995.

Dunia Facebook menemukan kami kembali pada 2010. Tidaklah terlalu kerap berbicara di alam maya bersamanya, namun saya mengikuti perkembangan setiap sahabat saya. Dia turut menjadi penyanyi sambilan sebagai memenuhi masa lapangnya. Dia belum berkeluarga, tentu punya ruang melayan minat yang agak luas.

Sekitar Ramadan tahun lalu, cerita tentang dirinya menjadi sebutan di laman-laman tertentu Facebook. Sungguh-sungguh saya tidak menyangka itu jalan yang dia pilih, namun membaca kenyataannya sendiri, dia menafikan apa yang disangka ramai itu.

Sukar juga menelah kerana ayatnya umpama menyelindungi sesuatu. Namun saya berhenti di situ, enggan memikir yang bukan-bukan sebaliknya berdoa agar dia masih di jalan lurus.

Semalam, ia berulang kembali. Membaca dan melihatnya di sini, saya kelu dan kaku. Saya rasa seram sejuk seluruh anggota badan.

Dia sahabat saya. Saya menyimpan banyak kenangan dengannya selama lima tahun menyusur hidup di MRSMKT, dan saya tahu dia orang yang baik. Saya tidak mahu menjadi emosional kerana saya tidak tahu laluan hidup yang dilaluinya. Saya hanya mampu mengirim doa buatnya, agar tidak terlalu jauh memesongkan dirinya sendiri!

Friday, January 13, 2012

Buku Oh Buku!

Sesungguhnya, saya keliru dengan hobi saya yang satu ini. Suka membaca buku atau suka membeli buku? Semakin bertambah bilangan buku yang belum habis dibaca, semakin galak pula saya memesan buku lagi dan lagi di MPHOnline!

Kali ini, saya menerima empat buah buku lagi.

Buku yang pertama ialah The Road To Mecca - Muhammad Asad


Saya mengetahui tentang buku ini melalui pembacaan juga. Menurut Dina Zaman, penulis buku I Am Muslim, untuk kisah dan biodata Nabi Muhammad S.A.W yang lengkap, bacalah buku ini. Sebagai Muslim yang masih lagi samar-samar tentang peribadi Rasulullah, saya ingin sekali memiliki buku ini. Tanpa lengah, saya memesannya di MPHOnline. Ia naskhah lama, terbitan pertamanya pada 1954 namun ilmu di dalamnya tiada luput ditelan zaman.

Seterusnya, saya membeli juga Mukmin Profesional - Pahrol Mohd Juoi


Suatu pagi yang nyaman, saya menonton Tanyalah Ustaz di TV9. Hosnya ialah Ustaz Zahazan Mohamad dan tajuk perbincangannya, saya lupa! Dalam episod itu, beliau menyarankan setiap mukmin membaca buku tulisan sahabatnya ini. Kata beliau, sangat bermanfaat dan penuh maklumat. Saya tergoda lagi. Bukan pada ustaz, tetapi pada saranannya.

Pada episod yang sama, beliau turut membawa buku yang berikutnya - Hadis 40 Imam Nawawi susunan beliau sendiri. Melihat beliau membelek-belek buku itu sambil berkuliah, saya terpikat (pada buku itu). Dan membelinya juga di MPHOnline.



Akhir sekali, saya turut menempah sebuah novel tahun 70-an karya Khadijah Hashim, Badai Semalam. Ia adalah impian saya sejak lama. Meskipun telah berkali-kali khatam novel ini sejak di sekolah rendah lagi, saya tidak pernah jemu membacanya dan ingin memilikinya.


Hmm, jam sudah pun lima petang, saya ingin menonton al Kuliyyah sebentar. Kebetulan, Ustaz jemputan hari ini ialah Ustaz Zahazan Mohamad yang akan berbicara tentang tajuk - Menolak Fitrah.

Jumpa lagi!

Mangsa

Terkejut suami saya suatu pagi, apabila menerima panggilan telefon daripada seorang rakan guru yang tidaklah begitu rapat dengannya. Suaranya tenang memberi salam dan bertanya khabar. Suami saya kehairanan, begitu baik wanita ini bertanya khabar pagi-pagi begini?

Dia ingin datang ke rumah, menziarah katanya. Dia tahu suami saya kurang sihat. Hmmm, memang baik hati dan prihatin gayanya. Suami saya bertanya lagi - untuk kepastian - sebenarnya kenapa? Dia tanpa segan silu menjawab, ingin menjual produk MLM nya!

Oh! Suami saya faham sekarang. Tentu sekali guru itu berhasrat untuk mempromosi kehebatan produknya yang berharga beratus-ratus ringgit sebotol itu kepada suami saya yang sakit ini. Tentu sekali banyak kisah benar tentang keberkesanan ubat itu akan diceritakan satu persatu. Pesakit kencing manis sembuh, pesakit darah tinggi sembuh, gout juga, kanser pun ya...

Kebetulan hari itu suami saya ada janji dengan temannya maka dengan berterus terang, guru itu tidak dialu-alukan ke rumah. Mujur guru itu tidak terlalu mendesak untuk datang lain kali. Selamatlah suami saya daripada menjadi mangsa MLM!

Mangsa MLM. Ya, mangsa!

Sampai bila-bila pun, saya tidak akan pernah bersetuju dengan perniagaan MLM ini. Biarlah apa pun hukumnya, tetapi bagi saya peniaga-peniaga MLM ini sangat suka memangsakan rakan sendiri. Mereka mencipta satu situasi seolah-olah produk mereka itu satu keperluan padahal objektif mereka hanyalah semata-mata keuntungan! Sejak dulu, saya ingin lari daripada rakan-rakan begini dan sekarang saya rasa saya semakin kuat untuk menolak segala tawaran palsu mereka.

Jika saya sakit, biarlah saya mengikut saluran perubatan yang betul. Kita ada hospital, ada doktor. Ada juga Darussyifaa' dan pakar-pakar perubatan Islam. Mereka ini lebih ikhlas meskipun masih dibayar perkhidmatannya. Mereka tiada upline, tiada bonus jualan berganda-ganda, tiada sebarang tawaran palsu. Objektif mereka benar-benar berkhidmat untuk masyarakat. Keuntungan pun ya, tetapi bukan sehingga meminggirkan kemanusiaan.

Sahabat dan saudaraku, jauhilah MLM. Semiskin mana pun kamu, jangan tertipu dengan taktik MLM mencari ahli dan downlinenya. Jika ingin berniaga, berniagalah dengan jujur dan ikhlas, mengikut prosedur yang betul. Insya Allah rezekimu lebih berkat. Tidak perlu kaya cepat dengan skim MLM kerana jika tiada berkatnya, ia tidak bermakna apa-apa!

Monday, January 09, 2012

Semangat Baru

Rasanya, saya masih belum mampu memujuk hati menerima sebuah realiti yang menjadikan saya sendu berhari-hari. Setiap detik, benak fikir saya menjadi begitu sarat dengan segala perbandingan tentang sebuah ketidakadilan yang saya alami kini. Jiwa saya sakit sebenarnya. Sangat-sangat sakit! Namun hanya saya yang tahu kesakitan ini. Tidak sesiapa, hatta suami saya sendiri...

Puas saya pujuk hati, terimalah setiap ketentuan. Percayalah, ini sudah tersurat. Ia ketetapan azali. Bukankah saya ini berminda positif? Bukankah saya ini sentiasa menyedari tentang hikmah setiap kejadian? Bukankah saya ingin melatih diri saya kuat menerima ujian? Bukankah begitu? Bukankah?

Bukan!

Aduh! Saya sangat sakit. Kebencian tiba-tiba menjadi sahabat hampir saya. Kemarahan juga. Dan kemurungan.

Pun, hari ini hari jadi saya. Hari yang membawa saya ke fasa baru kehidupan. Ya, saya sudah melangkah ke usia yang penuh warna-warni. Usia yang tidak memungkinkan lagi saya menjadi keanak-anakan, atau terus-terusan melayan jiwa yang melankolik. Saya sudah empat puluh tahun. Bukan sahaja matang, malah tua!

Tua itu bukan sesuatu yang menakutkan. Ia lumrah dan saya menerima penuh pasrah. Biarpun hakikatnya, ketuaan itu membawa saya lebih dekat dengan mati, sekurang-kurangnya saya tahu kematian itu membawa saya lebih dekat dengan Ilahi.

Saya mahu membina semangat baru untuk hidup. Sakit itu masih terasa. Peritnya mencakar-cakar dalam dada saya. Namun semangat baru ini wajib saya hidupkan dengan penuh kekuatan. Kekuatan yang hanya diperoleh daripada rasa kecintaan yang hakiki. Saya tidak mahu penganiayaan yang saya rasa ini menghancurleburkan semangat yang sedang saya bina.

Payah. Memang payah membuang segala duri yang mencucuk pedih tangkai hati. Namun saya tahu, kewajaran membiarkan ia melukai saya tiada. Saya ingin bangkit! Biar segala sakit dan pedih itu tinggal hanya mimpi. Saya mahu semangat baru saya ini subur dalam jiwa, membawa saya ke syurga.

Di syurgalah sahaja, saya akan temui bahagia hakiki. Bukan di sini....

Thursday, January 05, 2012

Luahan

Sememangnya dunia ini tidak pernah adil. Tidak akan pernah! Benarlah kata adikku, akhirat itulah kekuatan. Namun sebagai manusia biasa, hati tetap tersentuh dengan ketidakadilan yang berlaku. Jika mampu, ingin rasanya memberontak tapi apalah upaya yang ada pada seorang penjawat awam yang serba kekurangan seperti saya ini!

Hati rasa sakit. Pedih dan perit. Serta merta keinginan untuk berhenti kerja muncul. Syaitan pula menari-nari irama lagu putus asa dan kebencian. saya bagai ingin terpengaruh, namun sisa-sisa kekuatan berlandaskan keimanan ini masih ada, masih berpaksikan akal yang waras. Alhamdulillah!

Ya, saya masih positif. Biarpun kali ini hati saya ditoreh-toreh, dikoyak-koyak dan dirabak-rabak, tetapi saya tahu Allah itu ada. Keadilan-Nya lah yang saya harap dan saya tahu dia Maha Mendengar. Jika tidak di sini, akhirat itu tetap ada. Akhirat yang tiada kezaliman padanya. Dan itulah kekuatan.

Semoga saya akan sentiasa mampu untuk terus berkhidmat dengan ikhlas dan penuh amanah, demi mendidik generasi muda menuju masa depan yang gemilang. Pedulikan segala kekejaman, kerana ikhlas itulah yang utama, yang menyalurkan segala keberkatan dalam hidup. Apa erti wang berjuta-juta jika tiada keberkatan padanya, bukan?

Saya berdoa, agar mampu mengikhlaskan diri, selamanya!

Amin.

Wednesday, January 04, 2012

Biar Sampai Ke Bintang


Biar mimpi-mimpi kita
jejak sampai ke bintang
walau harus menggapai awan

Menongkah arus ini
aku tak berundur dengan mudah
tapi mimpi ini harus satu

tiada gunung yang terlalu tinggi
tiada lautan terlalu luas
untuk mereka memisahkan kita
dari mimpi-mimpi kita ini

Jangan resah
ini takdir
Tuhan mendengarnya
untuk mebawa mimpi-mimpi kita

Ketenteraman Hati

Serabut. Kalut dan ribut.

Selama lebih sebulan saya bersunyi-sunyi dengan penuh ketenangan di rumah saya. Saya punya waktu fikir yang banyak, waktu santai dan tenang yang optimum. Saya bebas menjadi saya yang saya suka.

Kini, rutin kembali. Saya mula menatap wajah-wajah anak didik saya yang dahagakan ilmu. Saya menganyam janji di lantai hati, ingin membantu mereka membina masa depan segemilangnya. Saya tidak mahu mereka disia-siakan kerana jiwa mereka adalah amanah buat saya. Lalu saya genggam anyaman janji saya, untuk saya bawa sepanjang tahun ini.

Namun sekental manakah seorang saya? Serabut minda rasanya, tatkala ruang kerja saya bagai diganggu. Saya tak punya kuasa untuk mengekalkan kebersendirian saya di sini kerana situasi. Dia tiba tanpa digamit, perlukah saya mohon dia pamit? Saya tidak mahu menjadi manusia kejam, tetapi mengapa dia masih tidak mengerti?

Saya bukan mementingkan diri sendiri. Tetapi ruang ini saya cipta untuk keselesaan saya, kesesuaian dengan kerja saya dan sifat saya. Saya hairan, bagaimana dia boleh mahu berada di ruang saya demi melarikan diri daripada persekitaran yang memulaunya? Sedang ruang ini bukan dicipta untuknya!

Buntu juga, kerana saya jadi serabut melihat dia. Saya ragu-ragu jika janji sebesar Tembok China yang saya anyam di lantai hati saya itu gagal direalisasi kerana keserabutan saya tatkala melayan tanyanya yang kadangkala di luar bidang kerjanya. Serabut saya! Aduh! Gangguan apakah ini?

Saya rindu pada ketenteraman hati seperti dahulu. Saat kebersendirian saya tidak digugat. Saat saya punya banyak waktu menyelesakan diri sendiri tanpa perlu memikirkan siapa-siapa. Kini saya tak punya ruang itu lagi. Ruang itu telah dicemari, dan saya wajar berlapang hati untuk menerima sebuah realiti!

Monday, January 02, 2012

Travelog Minda Tajdid

Alhamdulillah, saya temui buku ini di KB Mall semalam. Dengan harga RM15.00 ia kini menjadi milik saya.

Saya seronok sekali membacanya. Sangat berinformasi. Sangat bermanfaat. Sungguh, gaya penulisan yang santai dan mudah difahami.

Sebenarnya ia adalah koleksi artikel Dr. MAZA yang pernah tersiar di Mingguan Malaysia sekitar 2009 sewaktu beliau bercuti sabatikal, dan belajar di Lampeter, UK. Tetapi saya bukanlah pelanggan tetap surat khabar tersebut maka memiliki buku ini sangat bermakna buat saya.

Ingin meminjam? Hmmm.... boleh sahaja asalkan dipulang semula!

Bual-bualan

Anis :
Ummi, bila Ummi nak kuruskan badan?

Ummi :
Ummi tak naklah kuruskan badan, sebab kalau Ummi kurus Ummi tak cantik.

Ummi cantik kalau gemuk macam ni kan?
Anis :
Ha'ah lah... betul jugak.


Alahai Anis, terpengaruh dengan dakyah Ummi!

************

Ummi :
Ok lah, Ummi nak balik dah...

Kak Teh :
Alaa.. janganlah balik lagi!

Ummi :
Kenapa?

Kak Teh :
Kak Teh nak main dengan Ummi lagi!

Ummi :
Kalau macam tu, jom balik dengan Ummi. Duduk rumah Ummi nak?

Kak Teh :
Tak nak....!!


Alahai Kak Teh, tau nak main aje ya.. hehe!!

***********

Ummi :
Abang Long, tak baik tau benci kat Najib. Kesian dia. Ummi sokong dia tau.

Abang Long :
Mana boleh, dia kan Barisan.

Ummi :
Memang Ummi sokong Barisan pun!

Abang Long :
Ummi tipu!!

Ummi :
Betul, Ummi sokong Najib, Ummi orang Barisan. Bukan orang PAS.

Abang Long :
Alaa... Ummi tipu, Abang Long tau Ummi sokong PAS!!


Alahai Abang Long, anak ustaz ni dah tau politik dah!!

************

Sunday, January 01, 2012

Apabila Usia Menjelang 40

APABILA USIA MENJELANG EMPAT PULUH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Waktu berlari dengan pantas. Detik, jam, hari, minggu, bulan dan tahun terus beredar dalam kealpaan insan atau sedar. Waktu yang berlalu tidak pernah menunggu persetujuan kita, atau menunggu sambutan tahunan. Samada ia disambut, atau ia tentang tiada siapa dapat menghalang perjalanannya. Ia terus datang dan pergi. Berlari tanpa henti. Dalam setiap nafas insan yang disedut atau dihembus keluar, waktu terus beredar.

Waktu tidak pernah hirau yang mati atau yang hidup. Waktu terus datang tanpa diundang, dan ia akan berlalu tanpa dihalang. Waktu adalah makhluk makhluk Tuhan yang paling ajaib. Berulang kali dalam al-Quran yang suci, Allah bersumpah dengannya; Demi masa! Demi waktu fajar! Demi waktu malam! Demi waktu dhuha! Demi waktu subuh dan seterusnya. Ciptaan yang maha ajaib.

Tiada raja, tiada penguasa yang mampu menghalang waktu dari beredar. Kita adalah makhluk Allah yang dipenjara dalam ikatan waktu. Tidak mampu keluar dari sistemnya walaupun sedikit, melainkan dengan izin Allah jua. Jika Allah mahu, nilaian dan kadar waktu kita akan berbeza atas kurniaan keberkatan dari Pencipta waktu iaitu Allah Yang Maha Agung!

Saya menulis tulisan ini ketika melihat tanpa mampu menghalang usia sendiri yang makin bergerak menuju 40 tahun. Tak berapa lama lagi, angka itu akan menjelang. Ramai orang berfalsafah tentang usia empat puluh. Ada yang berkata ia permulaan ‘kenikmatan hidup’, ada pula yang berkata ia adalah permulaan tarikh luput kehidupan. Ada yang berkata ia detik untuk mula berpesta dengan hidup. Ada yang kata usia empat puluh mula jadi ‘orang tua’. Ya! empat puluh juga menamatkan usia ‘pemuda’ dalam banyak organisasi.

Usia 40 Dalam Al-Quran

Jika kita kembali kepada Allah, Tuhan yang mencipta usia insan, Yang menentukan panjang atau singkatnya, maka kita dapati Al-Quran memberikan ingatan tentang usia 40 tahun dengan penuh makna dan menusuk jantung hati. Demikian Allah berfirman: (maksudnya)

"dan Kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan, dan tempoh mengandung beserta menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)” (Surah al-Ahqaf: 15)

Bagi yang dapat memahami bahasa Arab, dapat merasai keindahan bilah-bilah ayat di atas. Ia tersusun dengan cantik, indah dan penuh kerohanian. Ia menusuk kalbu, menusuk rohani yang lesu lantas mengheret insan ke dataran Tuhan. Ia mengingatkan tentang perjalanan insan; dari hari dia dalam kandungan ibunya, sehingga dilahirkan, sehingga matang, sehingga berusia empat puluh.

Lalu dia diajar agar berdoa untuk dirinya, untuk keturunannya dan agar dia bertaubat atas segala dosa yang dilalui sebelum menjelang empat puluh. Maka dia pun menjadi insaf yang benar-benar menyerah diri atau muslim. Dengan ayat ini, insan yang insaf tersentuh jantung hatinya, perasaannya tersentak, rohaninya sebak lalu dia terduduk insaf, taubat, ibadat dan terus membasahi perjalanan hidupnya dengan linangan airmata takwa sehingga bertemu Allah.

Keinsafan

Allah dalam ayat di atas mengingatkan insan tentang sejarah hidupnya yang pernah dikandung ibu, agar dia tidak lupa setelah lama hal itu berlalu. Insan diingat tentang payahnya pengorbanan tersebut. Setelah dia dilahir dalam keadaan yang sukar itu, dia mula melalui perjalanan hidup sehingga ke usia matang. Al-Quran tidak pula menyebut tentang berapakah usia matang tersebut. Para mufassirin berbeza pendapat. Namun, ia barangkali sekitar antara 30an ke 40an. Ada yang lebih awal, dan ada pula yang mungkin terlambat. Apapun, insan apabila sampai usia empat puluh maka itu adalah tarikh yang wajib untuk dia mengingati dan menginsafi hakikat kehidupan yang dilaluinya selama ini.

Perjalanan hidup; pahit manis, suka duka, cubaan dan kurniaan, halangan dan laluan kesemuanya menjadi bekal untuk dia meneliti dan memahami ‘apakah makna sebuah perjalanan hidup dan ke mana jalan yang hendak dituju?’. Dalam suasana keinsafan itu, dia lantas berdoa dengan penuh harap agar Allah memberikannya kurnia perasaan ‘kesyukuran’ atas segala nikmat yang diperolehi selama ini. ‘Syukur’ adalah tanda atas keinsafan terhadap hakikat diri bahawa segala nikmat ini hanyalah dari Allah. Maka, hilanglah bongkak, hilanglah sombong, hilanglah bangga diri dan terasa kerdil atas segala yang dinikmati.

Kesombongan

Kesombongan atau bongkak adalah musuh insan. Kesombonganlah yang menimbulkan pemusuhan antara Iblis dan Adam, kesombonganlah yang menjadikan Iblis dilaknat. Kesombongan juga yang menyebabkan Firaun dan Qarun menolak dakwah. Kesombonganlah yang menyebabkan ada insan yang dihina kerana kekurangan yang ada padanya. Kesyukuran membunuh kesombongan. Usia 40 tahun, usia yang menghalau kesombongan, bukan usia untuk mendabik dada dengan menyatakan ‘aku, aku dan aku..’ tetapi usia yang mengingatkan insan untuk berkata ‘segalanya nikmat Allah’. Hilang bongkak, lalu nikmat ibadah pun menjelang dan insan memohon kurnia agar dia dapat terus beribadah dengan cara yang diredhai Allah. Pada usia ini, teringat pula tentang zuriat yang bakal muncul dalam kehidupan, lantas insan pun berdoa untuk zuriatnya seperti yang Allah ajar dalam ayat di atas.

Selepas itu, menginsafi perjalanan hidup selama empat puluh tahun, insan pun berkata “Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)”. Bergabunglah keinsafan, taubat dan penyerahan. Maka berdasarkan ayat dalam Surah al-Ahqaf ini, kita diajar untuk bertaubat apabila menjelang usia 40 tahun. Kata al-Imam Ibn Kathir (w. 774H):

“Ayat ini memberikan petunjuk bahawa insan apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah, serta bersungguh-sungguh mengenainya” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/281. Saudi: Dar al-Tibah).

Ganjarannya..

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya)

“mereka (yang bersifat seperti itu) itulah orang-orang yang Kami (Allah) terima dari mereka amalan yang baik yang mereka telah amalkan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (mereka akan dimasukkan) dalam ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka”. (Surah al-Ahqaf: 16).

Indahnya janji dari Yang Maha Benar. Diterima segala kebaikan, diampun kesalahan dan dimasukkan ke dalam syurga. Alangkah indahnya. Soalnya, mampukah diri memulakan azam baru dan beristiqamah atasnya?! Berikanlah pertolonganMu Ya Allah!

Kematangan

Usia 40 tahun adalah usia yang mengajakkan kita untuk bersungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kedangkalan ketika usia muda yang lepas, lebih santun, lebih berhati-hati, melempar jauh kegopohan lepas, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Usia 40 adalah usia matang yang berbekalkan pengalaman empat dekad. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:

Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (Riwayat al-Bukhari).

Usia 40 usia adalah tanda aras usia insan yang insaf, syukur, merendah diri, ibadah, harapan, taubat dan penyerahan. Usia 40 adalah usia bersungguh-sungguh dalam memikul amanah, membuang kedangkalan, mengambil iktibar dari pengalaman dan bertindak dengan hikmah dan kebijaksanaan. Ya Allah! Selamat kami pada usia ini sehingga kami bertemuMu!

Ulangtahun

Selain tahun baru, Januari punya dua makna lagi dalam hidup saya. Tarikh lahir saya (9/1) dan tarikh perkahwinan (2/1).

Esok, genaplah 14 tahun masehi saya hidup bersama-sama suami. Hidup berdua selama 14 tahun, punya banyak kisah dan cerita. Suka seiring duka, bahagia seiring sengsara. Pasangan manakah yang tidak punya pasang surut dalam perhubungan? Itu lumrah, itu warna-warni sebuah perhubungan. Redha dan syukurlah yang menjadi pendindingnya.

Semoga rumahtangga kami ini kekal hingga hujung nyawa. Diwarnai tawa dan tangis, disulami rindu dan kasih, dibaluti kesetiaan dan kejujuran tidak berbelah bagi. Tuhan, jauhkan pengacau bahagia rumahtangga ini. Selamatkan kami di dunia dan akhirat. Semoga tiada benci selamanya. Amin...



Telah kita bingkaikan janji
atas kanvas perkahwinan itu
berangkakan kesetiaan
bertintakan kejujuran
berlorekkan keimanan.

Kita lakarkan kemesraan itu
bersama-sama warna kasih
menjadi citra asmara
jalinan berahi
merenjis pada setiap penjuru rindu.

Pada anjung rindu yang
berdinding kesabaran
berhampar ambar keikhlasan
kita balut potret itu
dengan renda rahmat Tuhan.

Buat kesekian waktu
kesyahduan yang mewangi itu
tidak pernah melerai pergi.